PATTANI CUKUPKAH SEKADAR SIMPATI?
Oleh Tun Paduka Tuan

Tragedi yang menimpa saudara sebangsa dan segama kita di Takbai (Thailand) pada 24 Oktober lalu bukan sebuah lakonan tetapi suatu realiti yang berlaku di hadapan mata. Peristiwa itu cukup mencabar bangsa Melayu kerana ia seperti berlaku di hadapan mata kita semua. Jarak Takbai dengan Pengkalan Kubur (Kelantan) hanya dipisahkan oleh sungai yang jaraknya tidak sampai setengah kilometer.

Kedudukan sungai itu menjadi seperti ‘kelir’ ataupun pentas untuk disaksikan oleh kita dari tebing sungai di Pengkalan Kubur tentang apa-apa yang berlaku di sana. Jika kita berada di tebing itu pada hari kejadian tentu telinga kita akan disumbat dengan bunyi letupan dan jeritan kesakitan manusia.

Asap gas pemedihan mata dan semburan air untuk meleraikan (kononnya) tunjuk perasaan yang berlaku juga akan bertabiran di mata kita. Mungkin peristiwa itu bagi penduduk di Pengkalan Kubur dan sekitarnya (Tumpat) merupakan sebuah wayang kisah perang secara live yang meninggalkan kesan negatif kepada mereka.

Tragedi itu telah meragut 84 nyawa, kebanyakan anak muda lepasan dan masih mengaji di pondok di sekitar Takbai. Mereka berhimpun bukan untuk menyerang kerajaan Thailand, tetapi cuma menunjukkan perasaan meluahkan bantahan mereka di atas penangkapan guru (ustaz) mereka. Itu sahaja, tidak lebih dari itu. Mereka tidak menggunakan apa-apa senjata melainkan anak batu.

Mereka sepatutnya dileraikan dengan gas pemedihan mata atau air gatal sahaja. Atau paling keras pun ditangkap kemudian dilongkap, bukannya diserang hendap dengan menggunakan senjata automatik.

Melihat kepada keadaan para penunjuk perasaan walaupun dalam jumlah yang agak ramai (kira-kira 2,000) tidak sepatutnya pihak berkuasa Thailand mencegahnya dengan penuh kebiadaban begitu.

Apa yang berlaku dilakukan tentera Thai itu ada kesenimbungan kepada peristiwa berdarah yang berlaku pertengahan tahun lalu di perkarangan masjid Kerisek, Pattanni. Seramai 32 orang mati dibunuh dalam kejadian selepas Subuh itu.

Kita sungguh merasakan kesal dan sedih bercampuran geram di atas apa yang berlaku. Sekaligus kita menjadi naik darah dan hilang sabar apabila menonton di televisyen yang merakam tindakan sadis itu.

Kenapa begitu kejam sekali tentera Thailand bertindak ke atas mereka. Apakah pihak berkuasa Siam telah hilang pertimbangan, khasnya Perdana Menteri Thaksin Shinawatra sendiri? Gambaran yang diberikan oleh media kononnya Thaksin seorang PM yang prihatin, bertolak ansur ternyata meleset sama sekali. Permohonan maaf Thaksin di atas kejadian di masjid Kerisek tidak lama dahulu ternyata suatu pemunafikan!

Di manakah pertimbangan dan semangat Asean yang ada kepada Thailand? Apa yang dilakukan itu seolah Thaksin sedikit pun tidak mempedulikan kepada rakan di sekelilingnya. Seolah-olah kejadian itu berlaku di negara blok komunis dan sosialis. Semangat kerja sama Asean yang saling bantu membantu dan hormat menghormati sudah dirobek oleh Thaksin.

Kita sedia maklum kerajaan Bangkok sudah kesekian lama berdendam dan senantiasa mencuirgai orang Melayu Pattani. Sebab itulah diskriminasi ke atas orang Melayu Pattani menjadi-jadi. Puncanya kerana rakyat Pattani berjuang untuk mencapai kemerdekaan ke atas bumi mereka yang dirampas. Hakikat itu perlu dilihat dan disedari oleh semua orang, khasnya Bangkok. Bahawa bumi Patani adalah milik mutlak rakyat Melayu Pattani.

Tidak boleh dinafikan Thailand mempunyai dua buah buku sejarah. Satu sejarah lama di mana dalam sejarah lama itu Siam dan Patani adalah dua buah negara. Selepas tahun 1785 barulah Pattani menjadi jajahan dibawah pentadbiran Siam. Secara rasmi Pattani berada di bawah kerajaan Siam di bawah dinasti Chankri Pertama.

Sejarah itu perlu diingati oleh kerajaan Thailand hari ini. Bahawa apa yang berlaku ialah mereka menceroboh dan menakluki Pattani yang berdaulat. Sebelum daripada itu sebanyak empat kali kerajaan Siam telah menyerang dan cuba hendak menguasai Pattani, bermula pada tahun 1603, 1632, 1633 dan 1638.

Sampai ke bila-bila pun pihak kerajaan Thailand tidak boleh menafikan mengenai sejarah itu dan mengambusnya begitu sahaja. Sejarah tetap hidup dan tidak boleh dipadam sama sekali. Demikian juga rakyat Pattani dari generasi ke generasi tidak akan melupai apa yang berlaku ke atas tanah air mereka.

Selagi anak-anaka muda Pattani mampu membaca dan menilai sejarah, maka selama itulah mereka mengetahui hak mereka dan akan berjihad untuk mengembalikan hak mereka. Rakyat Pattani juga mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi sebagai bangsa lain di dunia ini.

Mereka tidak akan berundur. Sebab itu adalah maruah dan air muka mereka. Soal tanah, air dan angin adalah isu sensitif dan tidak boleh dicabar dan dipermainkan. Mereka menjadi semakin kesal dan hiba serta marah apabila penaklukan itu berlaku dan sikap diskriminasi Bangkok ke atas mereka berterusan. Sumber kekayaan Thailand yang terdapat di Pattani tidak pernah dipulang kepada Pattani sebaliknya dibawa ke Bangkok.

Atas kesedaran dan hakikat itu sepatutnya kerjaaan Thailand memandang lunak perkara ini. Thaksi atau kerajaan Thaid patut bertolak ansur dengan rakyat Islam di Pattani. Thaksin juga tidak boleh bertindak mengikut peraturan di perutnya, dan beliau kena ingat apa yang beliau lakukan itu turut melukai hati jiran di sekelilingnya.

Thaksin juga dilihat tidak sensitif kepada kerajaan Malaysia yang menjadi jirannya. Thaksin tidak hormat langsung kepada rakyat Malaysia yang mempunyai hubungan darah daging dengan rakyatnya di Pattani itu. Seolah ucapan dan ikrar untuk sama-sama membangun rakyat Pattani yang dilapazkan di hadapan pemimpin Malaysia sebagai retorik semata-mata.

Tragedi merah itu berlaklu tidak sampai sebulan Thaksin berjabat tangan dan bersalam dengan Abdullah Ahmad Badawi al-Hadhari di majlis perletakan batu asas untuk pembinaan jambatan muhibah kedua di antara kedua buah negara.

Kita memang arif masalah yang berlaku di Pattani adalah masalah dalaman dan urusan kerajaan Thailand. Namun sebagai manusia yang bertamdun dan bernaung di bawah panji-panji Bangsa-bangsa Bersatu, apa lagi Thaksin bergelar pemimpin, Thaksin perlu mengenang bahawa Abdullah adalah bangsa Melayu. Orang yang sejenis dengan 84 orang orang yang dikorbankan secara hidup-hidup itu.

Sebagai negara berjhiran sekurang-kurangnya, hormatlah Abdullah dan kerajaan Malasyaia. Ini rumput yang dipijak kedua pemimpin itu ketika bermain golf, belum tegak semula, Kerajaan Siam telah bertindak memukul dan menembak rakyat Pattani yang tidak berdosa.

Thaksin kena bertanggungjawab di atas kejadian itu. Beliau kena menagmbil risiko. Sudah dua peristiwia berdarah berlaku di Pattani sejak beliau menjadi PM. Ini tidak termasuk penculikan, pembunuhan secara senyap ke atas pemimpin masyarakat dan rakyat Pattani. Apakah Thaksin sudah terkena badi (kenan) George W. Bush yang menjadi gila dan hilang akal terhadap rakyat Iraq?

Persoalannya kini apakah kita sebagai bangsa Melayu yang seagama dengan rakyat Pattani yang teraniayaan itu hanya mampu bersimpati sahaja? Cukupkah kita melihat tragedi itu sebagai sebuah wayang gambar sahaja dari tebing sungai Golok atau Rantau Panjang itu? Tanpa prejudis kepada kerajaan Siam atas semangat persaudara Islam dan manusia sejagat, kita sesungguhnya perlu melakukan sesuatu yang lebih daripada simpatis sahaja. Sesekali kita kena ajar juga kerajaan Thaksin bahawa orang Melayu ada maruah!  – Reformasi!

Tun Paduka Tuan - 30.10.2004 (Disiarkan tanpa semakan/suntingan)


Hantar artikel ini kpd sahabat: