Dilema Untuk Sambut Kepulangan Sdr. Anwar di KLIA!
Oleh Tun Paduka Tuan

Jika tidak ada aral merintang insyaAllah pejuang negara untuk semua bangsa, Sdr. Anwar Ibrahim akan menjejaki kaki ke tanah air pada pagi Ahad, 31 Oktober ini. Beliau akan pulang selepas selesai  menjalani rawatan dan mengerjakan umrah di Makkah. Sihat dan selepas “menemui” Allah, satu kepulangan yang sungguh besar erti dan maknanya. Kepulangan dalam keadaan suci dan bersih!

Kepulangan Sdr. Anwar dengan penuh kesejahteraan adalah satu lagi sejarah buat rakyat Malaysia. Apa lagi kalau kepulangan itu akan membuka ruang kepada rakyat negara ini untuk menerima semangat perjuangan dan kepimpinan baru (beliau) pada masa akan datang. Harapan itulah yang bersemi sekian lama di hati segenap lapisan rakyat negara ini.

Semua orang gembira dan berbahagia dengan kepulangan beliau itu, (kecuali bekas PM, dan beberapa anak dan cicit bangsawan yang menuduh Anwar penderhaka). Terima kasih kita ucapkan kepada Sdr. Anwar kerana beliau tidak meninggalkan kita semua.  Sdr. Anwar masih sayang dan rindukan kepada kita dan Malaysia meskipun “negara” ini pernah mengazabkannya.

Anwar sebagai pejuang yang ulet dan jati tidak mudah kecewa dan kesal dengan apa yang dilakukan ke atas dirinya. Kalau hendak ikutkan hati yang marah dengan apa Malaysia perlakukan terhadap beliau, beliau sepatutnya sudah tidak perlu memijak bumi berbentuk jantung ini lagi.

Lebih baik beliau bersenang atau bertenang di luar negara, membina penghidupan baru dan meluaskan langkah perjuangan ke seluruh benua. Tetapi tidak begitu dengan Sdr. Anwar, bahawa bumi tempat tumpah darahnya ini (dua kali tumpah, pertama ketika dilahirkan kedua ketika di dalam lokap di Bukit Aman) masih disayangi dan dikenanginya. Di sinilah kita merasakan betapa jiwa pejuang yang ada kepada Anwar sungguh utuh dan kuat. Justeru kita hendaklah menerima dan membalas pengorbanan beliau itu dengan apa sekalipun.

Hasrat orang ramai untuk hadir beramai-ramai menyambut kepulangan beliau sedikit sebanyak boleh dirasakan sebagai penghargaan (apresiasi) rakyat kepada beliau. Mana ada pemimpin yang pergi berubat di luar negara kepulangannya disebut-sebut dan dinanti-nantikan demikian rupa.

Bagaimana pun, apa yang kurang senangnya di celah-celah menunggu masa dan ketibaan pesawat Arab Saudi yang akan membawa mantan Timbalan Perdana Menteri itu (insyaAllah selepas ini akan jadi PM pula), timbul beberapa perkara yang kurang menyenangkan dan semacam wujud dilema kecil mengenainya.

Seperti timbul sedikit kekeliruan dan ketidaksekataan di dalam mengatur program (mewarnakan) sambutan kepulangan beliau itu. Ada pihak yang kurang bersetuju orang ramai berduyun-duyun ke KLIA kerana ia dibimbangkan boleh menimbulkan suasana yang kurang sihat dan dibimbangkan akan berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya.

Sementara di pihak lain pula seperti berkeras untuk tetap pergi menyambut Anwar di KLIA. Inilah dilema kecil yang dimaksudkan itu?

Kita faham semua orang ingin melihat dan berjabat salam dengan pemimpin mereka selepas pemimpin ini menghadapi penderitaan. Lagipun itulah cara luahan rasa terima kasih seperti mana yang dituntut tadi. Walaupun masih ada banyak waktu dan kesempatan tetapi kedatangan ke KLIA itu memberi sesuatu signifikan tersendiri kepada setiap yang menyokong dan menyayangi Anwar.

Kekeliruan dan dilema kecil ini berlaku apabila usaha untuk menghimpunkan sambutan di Stadium Bukit Jalil gagal. (Tidak diketahui apakah ada permohonan atau memang permohonan untuk perhimpunan di Bukit Jalil ditolak, tidak pula dimaklumkan). Mulanya acara sambutan hendak diadakan di stadium itu atau sekiranya gagal kononnya ada plan “B” dan sebagainya. Plan “B” itu pun kini sudah hilang entah ke mana?

Sekarang ini jalan tengah perlulah diambil oleh semua pihak. Sambutan dan pengalu-aluan tetap diadakan. Cuma sama ada di mana sekalipun biarlah ianya berlangsung dalam keadaan sopan dan tertib. Masing-masing mereka hendaklah berjumpa dengan Sdr. Anwar kena beringat dan berwaspada. Menjaga diri dan kesopanan masing-masing, jangan sampai sesuatu keadaan meributkan berlaku di KLIA, jangan!

Kalau boleh laungan dan pekikan yang dijeritkan semasa demonstrasi dahulu, sehingga menyakitkan hati pihak lain jangan kedengaran sama sekali. Arahan dan juga larangan pihak Polis atau petugas lalu lintas nanti hendaklah dipatuhi. Sudah pasti keadaan dan suasana di KLIA kali ini bukan seperti pada 5 September pada hari Sdr. Anwar hendak berlepas ke Munich.

Kali ini sekatan jalan raya tentu makin banyak dan bilangan polis trafik juga bertambah. Besar kemungkinan juga pihak berbaju merah dan bertopi merah bersama trak dan tangki membawa cecair berwarna kuning juga akan turut sama. Mereka juga rasanya kali ini tidak akan senang duduk daripada untuk sama menyambut kepulangan Sdr. Anwar.

Kena fahamlah kehadiran mereka (pihak berbaju merah) tidak boleh disekat dan perlu dihormati kerana mereka juga sebenarnya berkhidmat untuk negara yang pernah menyakit dan mengaibkan wira kita. Layanilah mereka dengan tertib, dan ingat jangan sampai timbul kekecohan. Kita semua ingin menyambut Aidilfitri bersama Sdr. Anwar Ibrahim pada tahun ini.  – Reformasi!

Tun Paduka Tuan - 28.10.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: