![]()
PAK SAMY... SAYA PUN BOLEH JADI MENTERI KERJA RAYA!
Oleh Tun Paduka TuanBingung juga kepala Menteri Kerja Raya, Samy Vellu, apabila kena keronyok dan buli oleh para ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen minggu lepas. Mungkin teruk sangat kesnya sampai Presiden MIC itu diminta letak jawatan. Tentu kalau Abdullah Badawi al-Hadhari tidak campur tangan minta budak-budaknya berhenti, makin banyak yang bersuara mendesak Pak Samy meninggalkan kabinet.
Terima kasih dan syabas kepada mereka (YB) yang telah mengambil bahagian membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2005 untuk Kementerian Kerjaraya sambil mendedahkan kelemahan Samy dan menimbulkan kemungkinan berlaku penyelewengan dalam projek yang dilaksanakan oleh kementerian Samy.
Wakil rakyat seperti itulah yang kita mahu, berada di dewan membawa aspirasi rakyat dan bukannya mengukuhkan tokoh idola masing-masing, walaupun tokoh itu berkerapu, berkurap dan berpenyakit sopak (kudis buta bernanah di waktu malam).
Kalau menteri itu orang Melayu mungkin dia sudah gelabah dan sudah menghitung hari-hari akan datang. Tetapi tidak pada Samy. Beliau nampaknya selamba sahaja. Dalam reaksi pertamanya beliau rileks menjawab masalah tanah runtuh dan bencana alam itu dengan mengatakan ia masalah semula jadi. Katanya sesiapa pun yang jadi menteri akan menghadapi masalah sama. Senang Samy melepaskan diri. Wah.... pandai Pak Samy... bercakap soal takdir.
Kerana beliau menjustifikasikan kesnya dengan masalah takdir saya ingin ulas sedikit. Saya ingin tanya Pak Samy, takdir yang berlaku itu apakah ianya langsung daripada Tuhan, ataupun kerana kecuaian manusia juga? Maksudnya ada sangkut paut dengan manusia?
Ingat Tuhan tidak akan menurunkan bala ke atas sesuatu kaum itu kalau bukan kerana kedurjanaan kaum itu. Kaum-kaum yang diturunkan bala ialah mereka yang durjana. Kedurjanaan itu antara lain ialah kerana kecuaian jaga alam sekitar, kejahilan (kurang ilmu), kedegilan – tidak mendengar nasihat, tamak haloba sehingga mendorong rasuah, dan sebagainya.
Di sini boleh difahami, tanah itu runtuh kerana manusia telah membongkarkan pasak bumi. Konkrit jejambat yang runtuh itu disebabkan simen tidak cukup atau kekurangan jerjak besi (kerana nak jimatkan wang) (wang terpaksa dijimatkan kerana nak bagi kepada tol-tol di tengah jalan). Begitu juga bangunan hospital di Johor itu tidak tumbuh kulat kalau alat perawat bangunan yang digunakan berkualiti tinggi dan ada pula pemantau dari pegawai JKR.
Saya harap Pak Samy jangan membabit dan menyalahkan Tuhan dan takdir di dalam hal ini! Jawapan Pak Samy itu boleh diterima oleh orang yang bodoh dan tidak mengetahui tentang wasilah hubungan manusia dengan Tuhan, manusia dengan alam dan mengakui bahawa apa-apa yang berlaku di atas dunia ini adalah disebabkan oleh kelalaian (ghafi) dan ketamakan manusia juga.
Bagaimana pun apabila Abdullah Badawi al-Hadhari menasihati budak-budaknya bertenang sambil meminta Samy memberi jawapan dan penjelasan, menjadikan Samy tenang semula. Samy tidak perlu gundah gulana kerana ia masih ada ruang untuk bersilat meloloskan dirinya dari kepungan ahli Parlimen.
Samy akan memberi jawapan bukan sahaja untuk membela dirinya. Dia akan memberi jawapan ‘sangat’ memuaskan hati Abdullah dan sekalian wakil rakyat yang membangkitkan soalnya. Sudah tentu dalam tempoh beberapa minggu ini – menjelang sidang Parlimen yang akan disambung selepas puasa nanti, Samy sudah ada jawapan yang kemas dan memuaskan.
(Satu formula untuk Samy bagi memudahkan kesnya selesai, kalau ada apa-apa projek di kementeriannya, panggillah yang bersuara itu dan berikan mereka satu seorang projek, pasti ianya akan khlas -- selesai!)
Soal pembinaan melibatkan soal teknikal. Soal teknikal sepertilah soal perundangan di mahkamah. Dengan sebaris ayat, atau sebutir titik sahaja ia boleh merubahkan makna dan keputusan. Saya tidak nampak Samy akan terperangkap di dalam kata-katanya itu. Dia akan lepas. Sejarah sebelum ini sudah banyak menunjukkan Samy ‘cemerlang’, ‘gemilang’ dan ‘terbilang’ dalam menghadapi situasi buntu seperti itu. Kalau tidak masakan sampai begitu lama dia di Kementerian Kerjaraya itu. Rakan sejawatannya Ling Liong Sik sudah pun kena tendang?
Apa kata kalau di dalam jawapan (pertemuan tertutup) dengan Abdullah nanti, Samy akan menjawab, soal-soal teknikal itulah; kelemahan kontraktor – yang tidak ada pengalaman, kepakaran serta kewangan yang mencukupi, yang menjadi punca berlaku segala masalah itu. Dan kenapa kontraktor demikian dipilih ialah kerana kehendak pihak atasan?
Dalam bahasa yang mudah difahami walaupun oleh budak tadika, kontraktor itu adalah di kalangan kroni dan kaum kerabat UMNO dan parti BN sendiri. Takdirnya itulah jawapan, dan Samy mendedahkan kedudukan sebenarnya, apalah yang Abdullah boleh buat? Apakah Islam Hadharinya sanggup mengambil tindakan?
Saya tidak mahu menjawab, tetapi memulangkan pertanyaan ini kepada kita semua. Apa yang berlaku ke atas Samy Vellu itu adalah satu ujian besar kepada Abdullah. Apakah beliau akan tegas dengan janjinya, bahawa setiap janji yang dilafaz katanya, bukan janji politik. Atau beliau tetap terikat dengan amalan tolak ansur, hormati menghormati sambil poket (parti) mendapat wang, birokrasi dan amalan sebelum ini! Kita tunggu selepas ini.
Bagaimanapun saya yakin, selepas Samy berjumpa Abdullah, isu yang dibangkitkan itu pun akan senyap sunyi sehinggalah berlaku apa-apa bencana lain, barulah ia akan ditimbulkan kembali. Selamanya isu-isu penyelewengan atau skandal peringat tertinggi sebegitu akan jadi seperti cerita bangau oh bangau, yang berakhirnya dengan pengakuan sang ular berbunyi “memang ia makanan aku… memang ia makanan aku!.
Habis....
Tun Paduka Tuan - 17.10.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)