![]()
Bekukan Derma Masjid Sg. Terap:
Imam Pembangkang Ditunggangi Pemimpin Parti Kerajaan?
Oleh Trooper BugisSetelah sekian lama seorang dermawan penduduk tempatan menyumbang bakti untuk menanggung sedikit kos yang melibatkan biaya api, air, program dan sedikit keperluan Masjid Kariah Sungai Terap, Mukim Permatang Selangor Darul Ehsan, tindakan drastik telah diambil oleh pihak pentadbir untuk membekukan semua bentuk sumbangan .
Mesyuarat agong tahunan masjid berkenaan yang berlangsung sebelum bulan Ramadhan lepas telah memutuskan setiap sumbangan mesti disalurkan terlebih dahulu kepada AJK pentadbir untuk memudahkan pengurusan.
Usul yang dikemukakan oleh Imam Satu masjid berkenaan telah diluluskan tanpa sebarang bangkangan .Walaupun ramai ahli kariah yang kurang berpuashati terhadap usul tersebut tetapi tidak berani membantah, maklum sajalah Pak Imam yang mengemukakannya.
Menurut mereka selama ini dermawan berkenaan tidak pernah membelakangkan AJK masjid ketika menghulurkan bantuannya. Sebagai contoh penggantian karpet masjid kira-kira tiga tahun lalu telah dimaklumkannya terlebih dahulu kepada pihak terlibat.
Cuma pembelian karpet tersebut dibuat sendirian tidak menyerahkannya kepada AJK. Hal yang sama dilakukan untuk bayaran bulanan bil api dan air dimana dermawan itu membayar terus kepada PUAS dan TNB tanpa melibatkan pihak pentadbir.
“Salahkah dermawan tersebut membayar terus bil-bil dan menukar apa-apa peralatan masjid yang diperlukan tanpa menyalurkan wang tunai kepada AJK! lagi pun beliau tidak mahu menyusahkan pihak lain dan perkara itu sudah berjalan sekian lama mengapa sekarang baru ditimbulkan,” soal seorang anak muda yang tidak berpuas hati dengan langkah pembekuan itu.
Anak muda yang merupakan aktivis parti pembangkang di situ turut menyatakan kekesalannya terhadap Imam Satu: “Mengapa Pak Imam sanggup membawa usul itu, sedangkan kebanyakan orang tahu tangan-tangan gatal bermain di belakang, usul itu seolah-olah mahu menghalang orang daripada berbuat maaruf”.
Masjid berkenaan dipengerusikan oleh pemimpin kanan sebuah cawangan parti kerajaan dan majoriti AJKnya pun datang dari parti yang sama..
Aktivis pembangkang itu mencurigai tujuan pihak yang merancang usul berkenaan: “Oleh kerana selama ini dermawan berkenaan tidak pernah menyumbang dalam bentuk wang tunai mungkin peluang pihak tertentu untuk mengambil kesempatan tidak kesampaian.”
Dakwaan tersebut ada kebenarannya kerana sudah menjadi budaya hampir kesemua pemimpin parti kerajaan turun temurun zaman berzaman baik bawahan maupun atasan jika tidak korner tak sah jadi pemimpin.
Setiap sesuatu mesti berbayar amat sedikit yang mahu berkorban. Biasalah tu! kalau peruntukan RM3,000.00 diperolehi sampai ke bawah hanya RM1500.00 yang lain tercicir di dalam poket ketua dan apit lempangnya.
Mereka tak peduli, semua disamaratakan tanpa mengira parti, masjid, surau atau apa sahaja pertubuhan asal ada peluang pasti mereka telan dengan tulang-temulangnya sekali.
Disebabkan usul itu, dermawan berkenaan cukup terkilan dan khabarnya sudah menghentikan semua bentuk sumbangannya kecuali Kelas Iqra` anjuran masjid tersebut. Akibatnya sekarang pihak pentadbir benar-benar gelabah apabila bil-bil api dan air sudah mula tertunggak.
Dermawan tersebut diberitakan tidak mahu menyalurkan sumbangannya di dalam bentuk wang tunai sejak mula lagi kerana tidak mahu ada pihak yang tidak jujur mengambil kesempatan. Sebagai orang yang sudah cukup masak dengan karenah puak parti kerajaan tindakan beliau dikira tepat menurut kebanyakan penduduk kampung.
Tetapi mengapa Imam Satu yang kebetulan pernah menjadi Yang Di Pertua sebuah parti pembangkang itu sanggup diperalatkan oleh tangan-tangan gatal yang sudah begitu lama menguasai masjid berkenaan mengikut rentak mereka sendiri?
Adakah Imam berkenaan sudah merasa terhutang budi kepada parti kerajaan kerana Ahli Parlimen dan Ketua Parti Kerajaan Bahagian Tg. Karang menyokong penuh pelantikan beliau sebagai Jurunikah kariah Sungai Terap.
Mungkin beliau merasa terlalu terhutang budi kerana sikapnya sekarang selalu mengulang-ulangi kebaikan Ahli Parlimen Kerajaan tersebut di khalayak ramai: “YB Dato yang sokong saya jadi Jurunikah”.
Berlainan pula dengan seorang ustaz di kampung berdekatan kebetulan juga seorang pemimpin parti pembangkang peringkat cawangan yang menolak untuk menemui Ahli Parlimen berkenaan bagi mendapatkan sokongan sebagai Jurunikah di kariahnya.
Imam Satu pemimpin parti pembangkang, ustaz kampung berdekatan pun pemimpin pembangkang. Seorang merasa bangga kerana mendapat sokongan YB Dato Ahli Parlimen juga selaku Timbalan Menteri Kerajaan sementara seorang lagi tidak mengharapkan sokongan sesiapa lalu menolak peluang walaupun dia benar-benar layak kerana tidak mahu terhutang budi kepada orang yang suka mengungkit-ungkit dan menagih balasan
Nampaknya motivator terkemuka juga selaku Naib Presiden Parti Pembangkang Pusat merangkap Yang Di Pertua Kawasan Tg.Karang kenalah selalu turun ke bawah, tinjau dan pandang dengarlah karenah ahli yang beraneka ragam, banyak udang banyaklah garam.
Jangan asyik sibuk menjaga negeri dan pusat kawasan sendiri kelabu asap, kadang-kadang laporan orang kiri kanan tidak semestinya tepat! Don’t take things for granted!
Di dalam apa parti pun terdapat kaki ampu yang hanya memberi laporan cemerlang, gemilang dan terbilang tetapi yang berlaku sebenarnya lintang pukang.
Sekiranya saya dedahkan ada seorang hamba Allah yang mengaku telah menjadi 'ahli seumur hidup jemaah Islam` juga dari berasal dari Sungai Terap kini begitu mengagumi Islam Hadhari yang dibawa oleh Pak Lah, mungkin risikonya terhadap parti tidaklah seberapa.
Jika itu sahaja pengakuannya memadai didengar sebelah telinga tetapi kalau hamba Allah itu berkata penuh konfiden bahawa hukum hudud tidak adil dan satu alternatif perlu dicari, masih layakkah dia digelar `ahli jemaah Islam` seumur hidup?
Untuk mengesan kes itu turunlah ke Sungai Terap atau risik-risiklah lah ke premis Telekom Kuala Selangor kerana `ahli jemaah Islam seumur hidup ` berkenaan mencari makan di situ.
Tuan Hj SAR ketua parti kerajaan cawangan Sungai Terap rajin-rajinlah balik, jangan biarkan anak buah mengganas di kampung, nanti tak fasal-fasal Tuan Haji SAR yang busuk nama! Makan orang lain yang sakit perut Tuan Haji!
Selamat Hari Raya `Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Trooper Bugis - 27.11.2004 (suntingan M@RHAEN: marhaen@gmail.com )