![]()
Curi Pasir Di Selangor:
Pemadu Lori Dikambing Hitam, Pencuri Sebenar Dilindungi
Oleh Trooper BugisKetika `Operasi Mesin` mula dilancarkan pada 24 Disember tahun lalu, pengarah operasinya Dato Abd Fatah Iskandar anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa tidak ada sebarang kompromi terhadap pencuri pasir yang telah mengakibatkan kerajaan negeri kerugian hampir RM 60 juta sejak 1998.
Kenyataan Abd Fatah terus mendapat sokongan MB Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menambah bahawa pencuri-pencuri pasir terlibat menggunakan khidmat tonto untuk menghalang pihak penguatkuasa PBT/Pejabat Daerah daripada melaksanakan tugas mereka.
Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa orang pegawai kerajaan dan ketua-ketua kampung bersubahat dengan pencuri-pencuri tersebut, pihaknya akan memastikan mereka yang terlibat diberkas dan didakwa.
Kehebatan dan keberkesanan `Operasi Mesin` begitu menonjol apabila di dalam tempoh tidak sampai seminggu, berpuluh-puluh buah jentera berat dan lori hantu dapat dirampas. Operasi berkenaan meliputi daerah-daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat dan Petaling Jaya.
Namun yang menjadi tandatanya mengapa hanya jentera berat dan lori hantu tak bernyawa sahaja yang diberkas, itu pun tidak sampai 24 jam hampir semuanya lesap dari tempat sitaan kecuali sebuah dua yang diparking di kawasan Pejabat Daerah dan Balai Polis di kawasan operasi terlibat.
Sejurus sebelum p/raya umum 2004 `Operasi Mesin` senyap sunyi tiada khabar berita. Tiada seorang pun ketua kampung diberkas sepertimana dijanjikan Khir Toyo. Kalau ada pun hanya seorang kakitangan kerajaan ditangkap atas tuduhan melepaskan beberapa buah jentera berat dari tempat sitaan.
Operasi Mesin dan keberhasilannya hampir-hampir dilupai kalau Dato Abd Fatah tidak menghebohkan bahawa seorang Dato’ sedang disiasat kerana terlibat dengan aktiviti mencuri pasir di Sungai Buloh pada Oktober lepas.
Sehingga 20 November 2004 Dato' Fatah menyatakan bahawa hampir sepuluh orang pemandu lori telah dihadapkan ke mahkamah dan dihukum atas kesalahan mencuri pasir. Sebuah syarikat kepunyaan seorang Dato' pula sedang di dalam proses untuk didakwa.
Sekali lagi kemusykilan timbul apabila sebilangan pemadu lori sahaja yang dihukum sedangkan mereka hanya diupah untuk mengangkut bahan berkenaan kepada para pelanggan atas arahan pengusaha (pemegang permit).
Ke mana perginya ketua-ketua kampung dan pegawai-pegawai yang didakwa oleh MB bersubahat dengan pencuri pasir? Apakah adil namanya sebilangan pemadu lori yang makan gaji dengan tauke mereka (pengusaha lori) diberkas manakala pencuri pasir sebenar dibiarkan bebas setelah puas merompak hasil masyhul negeri.
Mengapa operasi tersebut dihebohkan semula selepas Mesyuarat Agung Umno Bahagian dan Perhimpunan Agung Umno berakhir, apakah pencuri-pencuri terlibat telah diminta menyumbang derma untuk memastikan orang-orang tertentu memenangi jawatan penting di peringkat bahagian dan pusat?
MB DS Dr Mohd Khir Toyo harus lebih telus dan jujur menangani aktiviti yang amat merugikan rakyat itu. Sebenarnya tiada istilah `pencuri pasir`, yang berlaku adalah apabila para pengusaha pasir mengorek bahan berkenaan melebihi kawasan yang dibenarkan seperti yang termaktub di dalam permit.
Para pemegang permit tersebut ratusan jumlahnya di seluruh Selangor telah dikenal pasti sebagai para pemimpin Umno di cawangan-cawangan dan bahagia-bahagian tertentu. Hampir semua memajakkan bulat-bulat permit mereka kepada tauke-tauke Cina tanpa sedikit pun mengambil peduli sama ada tauke-tauke berkenaan mematuhi syarat permit ataupun tidak.
Pencuri sebenar adalah tauke-tauke (pengusaha/kontraktor) pasir yang digalakkan oleh para pemegang permit namun pemandu-pemandu lori menjadi mangsa. Tauke pasir kaya raya, pemegang permit setakat cukup makan, pemadu lori yang dikambing hitamkan!
Begitulah sebab mengapa kerajaan negeri di bawah pimpinan Dr Khir terpaksa melindungi pencuri sebenar. Kalau tidak, sudah tentu berpuluh-puluh orang pemimpin Umno di peringkat bahagian dan cawangan akan didakwa kerana menyalah gunakan permit mengorek pasir.
Sebilangan daripada puluhan itu adalah kaum kerabat dan suku sakat Dr Khir dan Dato Fatah sendiri! Sampai bila lah wayang ini akan berakhir………………………….. ?
Trooper Bugis - 23.11.2004 (suntingan M@RHAEN: marhaen@gmail.com )