![]()
TAG 2333:
Bila Lipas Berkerutung dan Tikus Menghurung (Bhgn 1)
(The roaches are scurrying and the rats are hurrying - Part 1)
Pendedahan mengenai persekongkolan
antara sindiket jenayah terancang dengan PDRM
Oleh Raja Petra Kamarudin (Malaysia Today) - Laman M@RHAEN
Sejak Malaysia-Today mendedahkan buat pertama kali persekongkolan antara sindiket jenayah terancang orang Cina dan Polis DiRaja Malaysia, beberapa insan yang berani telah muncul ke hadapan untuk membuat pengakuan mengenai apa yang telah kami paparkan dalam episod yang lalu dalam Siri ”The Corridors of Power” (Anjung Kuasa). Mereka membuat pengakuan bahawasanya apa yang kami dedahkan itu bukan sahaja kisah benar, malahan keadaannya adalah lebih dahsyat daripada apa yang kami dedahkan. Salah seorang insan yang sungguh berani itu telah menandatangani satu Akuan Bersumpah setebal lapan muka surat. Beliau ialah Assistant Superintendent (ASP) Hong Kin Hock daripada Jabatan Operasi Bahagian Jenayah Komersial di Bukit Aman. Alangkah memeranjatkan kita apabila seorang pegawai polis berbangsa Cina berani maju ke hadapan mendedahkan betapa korupnya rakan sejawatan mereka berbangsa Melayu sedangkan dia sendiri boleh sengaja diam membisu dan terus menikmati habuan yang ada. Ini amat bertentangan dengan apa yang kerap disebut oleh orang; bahawasanya bukan semua orang Cina merestui korupsi.Oh ya, sebelum saya terlupa, SELAMAT PENGANTIN BARU kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Jeanne Danker @ Jeanne Abdullah. Saya harap anda akan anggap artikel ini sebagai hadiah saya kepada perkahwinan anda berdua
Apa pun, berbalik kepada isu hari ini, mengikut ASP Hong, pada 20 Jun 2006, beliau telah menerima arahan daripada Pengarahnya ACP Hamzah Mohd Som, Ketua Operasi, untuk melancarkan satu siasatan terhadap sindiket jenayah terancang orang Cina di Johor dan Melaka. Seperti yang didedahkan oleh Malaysia-Today dalam episod yang terdahulu, sindiket ini berkembang di Johor sejurus Musa Hassan mengambil alih tugas sebagai KPN dan sindiket itu kemudiannya menular ke Melaka, Negri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Kini ia mula bercambah di Perak dan selepas itu ia akan beralih ke Pulau Pinang tidak lama lagi.
Ramai yang berhujah bahawa sindiket jenayah terancang orang Cina telah bermula sejak orang Cina berhijrah masuk ke Malaysia (ketika itu dipanggil The Straits Settlements, the Federated Malay States dan the Unfederated Malay States). Mereka datang berbondong-bondong pada pertengahan 1700-an dan sudah pun menjadi sebahagian ‘budaya’ dan ‘tradisi’ untuk selama 300 tahun. Memang benar, sebelum ini ia merupakan imbasan sindiket jenayah yang berselerak. Tetapi hari ini, apa yang kita lihat ialah ‘kebebasan’ yang ditelan oleh sindiket kebangsaan yang menyeluruh merata negara. Sesungguhnya kita tidak lagi bercakap mengenai kewujudan ‘Sendirian Berhad’ tetapi gabungan beberapa ‘Sendirian Berhad’ membesar menjadi satu konglomerat Berhad yang bukan kepalang besarnya.
Berbeza dengan dunia korporat di mana penggabungan dan pemilikan adalah sesuatu yang normal dan diamalkan setiap hari berasaskan kesediaan pembeli dan kesediaan penjual. Namun, penggabungan korporat haram ini adalah berasaskan kesediaan yang ‘dipaksa’. Anda terpaksa menjual jika tidak mahu ditangkap tanpa bicara dan disumbat di penjara Simpang Renggam. Kalau ini berlaku, ia bererti anda bernasib baik kerana keadaan yang lebih dahsyat mungkin menimpa diri anda. Anda mungkin dibunuh oleh asasin dan si asasin (pembunuh upahan) itu tidak akan tertangkap — dan kalau pun mereka ditangkap mereka akan masuk balai polis melalui pintu hadapan dan dengan pantas akan keluar semula melalui pintu belakang. Inilah yang pernah didedahkan oleh laporan BBC dalam episod terdahulu dalam siri yang sama.
Apa yang difokuskan oleh ASP Hong bukanlah setakat kewujudan sindiket jenayah yang terancang ini semata-mata -- kerana setiap insan dan anjing pun tahu kewujudan sindiket semacam ini sudah pun bertapak sejak 300 tahun dahulu lagi -- tetapi yang lebih dititik-beratkan ialah jaringannya dan bagaimana sindiket ini berkembang sebagai satu perusahaan kebangsaan yang sungguh rapi susunannya. Dengan kata lain, ASP Hong, telah berura-ura melancarkan satu siasatan jenayah tetapi satu siasatan mengenai jenayah yang betul-betul sudah terurus.
Pada 24 Jun, 2006 ASP Hong telah bertemu dengan tali barut yang mendedahkan susunan seluruh sindiket jenayah yang terancang itu dan segala tokoh yang menganggotainya. Ketua samseng di Johor yang dikenalpastikan oleh ‘Si Talibarut’ ialah ‘Tengku’, Ah Koon, Ah Seng, dan Ah Heng serta perniagaan sindiket yang melibatkan pelacuran, dadah dan perjudian haram, seperti yang disebut dalam episod terdahulu dalam siri yang sama.
Yang sungguh menakutkan dalam pendedahan Si Talibarut itu tadi ialah pembabitan Ketua Polis Negara sebagai ‘penaung’ (penaja utama) sindiket jenayah yang terancang merata negara itu.
Sudah menjadi kebiasaan, mana-mana pegawai polis yang mendapati kisah ketua besarnya yang merupakan orang nombor satu dalam pasukan polis adalah orang yang sesungguhnya mempunyai kuasa sebenar dan pemikir yang mendalangi sindiket jenayah yang tersusun itu akan menjadi kecut-perut yang teramat sangat. Apa yang saya maksudkan ialah, bukannya mudah untuk anda melancarkan siasatan terhadap ketua besar anda dan menulis namanya dalam laporan siasatan. Ini adalah laksana membunuh diri sendiri, lebih baik anda melompat ke hadapan bas yang sedang bergerak laju ataupun menekup muncung pistol ke dalam mulut dan menarik pemicunya. Ini sudah tentu lebih baik daripada menghadapi kematian yang sungguh dahsyat.
Pada 20 Januari 2007, Si Talibarut telah memberitahu ASP Hong bahawa dia mempunyai seorang kawan bernama ‘Richard’ yang dikatakan amat rapat dengan KPN. Richard telah membantu kawannya dalam pasukan polis untuk dinaikkan pangkat sedangkan mereka yang tidak sebulu dengannya akan ditukarkan ke lain tempat. Memang mudah sangat pilihan yang perlu dibuatnya. Terima sahaja habuan ‘komisen’ dan dinaikkan pangkat ataupun menolak semua itu dan diketepikan. Yang mana satu pilihan anda? Sudah tentu bukan semua pegawai polis itu kotor jiwanya. Ada segelintir seperti Rahim Jaffar, enggan menerima rasuah dan dia telah ditukarkan dengan pantas keluar daripada Johor dan dihantar ke ‘bilik beku’ di Pahang di mana dia tidak akan menjejaskan pergerakan sindiket jenayah terancang tersebut.
Pada 24 Mac 2007, ASP Hong telah mendapat maklumat tambahan daripada Si Talibarut bahawa Ah Kooi dan Ah Hong sedang bertelagah tentang penguasaan kawasan di Melaka. Akan tetapi yang membuatkan ASP Hong sedikit cuak ialah pendedahan Si Talibarut betapa KPN akan memanggil beliau (ASP Ah Hong) untuk di ‘temubual’. Perkara semacam ini belum pernah berlaku sebelum itu dan sudah tentu mencemari aturan urutan rangkaian arahan. Ini hanya bermakna akan ada sesuatu perkara yang tidak baik, fikir ASP Hong dan untuk menjaga kedudukannya, ASP Hong telah memberikan taklimat kepada Pengarah beliau dan juga ketuanya yang terdekat, ACP Hamzah Mohd Som, apa yang selama itu telah didedahkannya.
Dengan pantas ‘Tengku‘ telah dicekup untuk disoal-siasat dan inilah yang membuatkannya naik angin. Pada 23 April 2007, ASP Hong telah diberikan amaran untuk berwaspada kerana sindiket haram terancang itu tidak akan membiarkan perkara itu berlalu tanpa dia terhukum. ASP Hong diam membisu dan menunggu kemungkinan terlaksana ancaman itu. Akhirnya ASP Hong pandai mempelajari satu hukum-hakam yang paling utama di mana dia faham kalau tidak mahu jawatan terjejas, jangan sekali-kali menyanggah mereka yang sedang berkuasa dan berlenggang di anjung kuasa.
Pertemuannya dengan KPN telah diadakan di rumah kediaman KPN di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 22 Mei, 2007 dengan disaksikan oleh Si Talibarut. ASP Hong telah memberikan takimatnya kepada KPN secara terperinci keseluruhan fakta kes itu dan apa jua yang telah dicungkilnya setakat itu. Hasil daripada pertemuan itu ASP Hong telah diarahkan menerima tindakan tatatertib kerana dia tidak mempunyai ‘kuasa’ menjalankan siasatan ke atas sindiket jenayah terancang itu. ASP Hong menjelaskan betapa dia telah menerima arahan daripada ketuanya termasuk daripada Pengarah Jabatannya untuk menjalankan siasatan dan sudah tentu tindakan itu bukannya satu inisiatif sendirian. Apapun, tindakan tatatertib terpaksa dilaksanakan sebagai contoh kepada semua pihak supaya tidak memandai-mandai menyiasat ketua-ketua haram pertubuhan jenayah terancang.
Keesokan harinya ASP Hong telah menerima panggilan telefon daripada Superintendent Navamaney agar beliau pergi ke tingkat 13 Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman. ASP Hong menjawab bahawa dia terlebih dahulu perlu mendapatkan kebenaran daripada ketuanya untuk berbuat demikian. Namun demikian Pengarahnya, memberi arahan kepada ASP Hong agar mengabaikan arahan itu dan tidak pergi menemui Navamaney.
Pada 3.30 petang pada hari yang sama, ASP Hong telah menerima satu lagi panggilan telefon daripada Navamaney dan ASP Hong telah memberitahu beliau bahawa dia masih belum mendapat kelulusan daripada ketuanya untuk bertemu beliau dan dia tidak dapat berbuat demikian.
Pada 28 Mei 2007, ketika ASP Hong berada di Pulau Pinang, dia telah menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) pada pukul 10.30 pagi daripada Navamaney yang bertanya bila ASP Hong boleh datang menemui beliau. ASP Hong menjawab dia berada di Pulau Pinang untuk tugas siasatan. Lagi pun dia belum menerima sebarang keizinan daripada ketuanya lagi. Sehingga ke hari ini ASP Hong telah mengelak daripada menemui Navamaney yang masih tidak putus harap. Ketua-ketua ASP Hong enggan membenarkan beliau bertemu Navamaney kerana mereka tahu pertemuan itu adalah satu persiapan untuk menyediakan satu kes terhadap ASP Hong supaya dia ditukarkan dan segala siasatan yang telah dilancarkannya terhadap sindiket jenayah terancang itu boleh ditutup kesnya dengan catatan ‘NFA’ (No Further Action) dipaparkan pada kulit fail.
Sementara itu, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sudah pun melancarkan satu siasatan dan telah siap sediakan satu carta susunatur organisasi sindiket jenayah terancang itu di mana nama para pemimpinnya turut disertakan. Siasatan itu telah dilaksanakan oleh Inspektor Raj Gopal a/l Valoo. Lakaran carta itu akan disiarkan dalam siri seterusnya.
… akan bersambung ke Bahagian 2
12.06.2007 - Terjemahan marhaintua (MT-SPAR)
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.