![]()
TAG 1925:
Ujian Jatidiri di Kelantan
(A test of will in Kelantan)
Oleh: MGG Pillai - 24-11-2005 08:02 pm - Laman M@RHAEN
Pilihan raya kecil di Pengkalan Pasir, Kelantan merupakan satu pilihan raya kecil yang pertama selepas pilihan raya umum tahun lalu. Apa juga keputusannya tidak akan membawa banyak perbezaan kepada siapa yang memerintah Kelantan. Akan tetapi beberapa parti politik utama yang terlibat, Barisan Nasional yang sebenarnya adalah UMNO, dan PAS menganggap pilihan raya itu satu pertarungan kalah mati. UMNO sudah pun melalak agar kerajaan negeri (PAS) dibubarkan seandainya ia kalah, sedangkan kerajaan PAS tidak perlu berbuat demikian dan terus memerintah. Bukankah Tun Mahathir Mohammad yang pernah berkata betapa dia akan terus menjadi seorang Perdana Menteri walaupun Barisan Nasional menang dengan hanya satu kelebihan kerusi? Berkemungkinan besar PAS akan mengalami kedudukan demikian selepas pilihan raya kecil itu nanti. Akan tetapi kemenangan di Pangkalan Pasir adalah dianggap satu isu yang berprestij kepada PAS dan UMNO. Para pemimpin UMNO, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah melawat Pengkalan Pasir sebelum pilihan raya kecil itu. Memang terdapat ramai daripada bahagian UMNO luar yang bertahan di situ. Para pemimpin UMNO di Kelantan telah meminta agar calon UMNO dan PAS diumumkan secara serentak agar kedua-dua pihak tidak lebih menonjol daripadanya. Mereka cuba merobah hukum-hakam politik apabila Barisan Nsional bertemu PAS di sebuah negeri yang diperintah oleh PAS. Akan tetapi PAS dilihat resah gelisah juga dan inilah gelagat yang tidak difahami oleh rakyat Malaysia. Pemimpin UMNO Kelantan sedang bertelagah dengan Ketua UMNO negeri, dan mereka sedang bertungkus lumus mahu memusnahkannya. Alangkah bagus percaturan mereka seandiainya dia kecundang dengan tugasnya di Pengkalan Pasir. Kemenangan UMNO di Pengkalan Pasir akan memberi keuntungan besar kepada beliau, dan inilah yang mereka cuba hindari.Setakat ini tidak mungkin pilihan raya kecil itu merupakan pertandingan satu lawan satu. Ibrahim Ali yang satu ketika dulu pernah menjadi Timbalan Menteri Penerangan kerajaan pusat dan rapat dengan Tengku Razaleigh Hamzah tetapi telah dipecat oleh UMNO dan mahu bertanding sebagai calon bebas, adalah seorang calon yang berstatus ‘wild card’. Beliau telah berjanji mahu bertanding kali ini. Walaupun dia tidak akan menang kali ini, tetapi dia akan menarik segala undi yang mungkin untuk PAS ataupun UMNO. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan itu. Tengku Razaleigh Hamzah pernah menjadi bekas Menteri Kewangan kerajaan pusat dan keluar daripada UMNO gara-gara pertandingan kerusi Presiden parti. Namun dia masih dikagumi di merata negara terutama di Kelantan, dan menang kerusinya di Gua Musang sama ada dia terus bersama UMNO ataupun tidak. Ura-ura Dato' Ibrahim Ali memang menggugat UMNO kerana mereka yang akan mengundi beliau adalah mereka yang anti-UMNO. Ada desas-desus bahawa Parti Keadilan Rakyat akan meletakkan calonnya, tujuannya untuk menarik pengundi yang sepatutnya memangkah UMNO. Semua itu adalah bertujuan agar PAS menang. Kalaulah PAS kalah di Pengkalan Pasir, ia bererti bahawa UMNO mempunyai tarikan yang lebih baik dan mampu menopengi masalah dalamannya bagi kepentingan parti.
Akan tetapi UMNO sudah lama menghilang di lembayung senja, lebih lama sebelum Dato' Abdullah Ahmad Badawi (Paklah) mengambil-alih jawatan sebagai Perdana Menteri, dua tahun dahulu. Dia berjaya memperkasakan kedudukannya hanya selepas menang besar pilihan raya umum tahun lalu. Kini Paklah lebih berminat mengekalkan status quo parti sambil dicabar oleh beberapa panglima perang dalam parti. Malahan Paklah enggan merombak kabinet pilihan Mahathir dulu kerana takut dia akan dibelot oleh sesiapa yang digugurkannya. Lebih-lebih lagi dalam pemilihan pucuk kepimpinan parti pada 2007 nanti. PakLah lebih risaukan pemilihan dalam UMNO berbanding dalam pilihan raya umum, dan inilah juga sikap bos lamanya dulu. Paklah masih tidak keruan dan sudah ada desas-desus yang dia akan membawa masuk kembali Dato' Seri Anwar Ibrahim. Rencana ini adalah serampang dua mata yang diharap mampu membunuh dua musuh politiknya, Dato' Seri Najib dan bos lamanya Tun Mahathir Mohamad. Tun Mahathir telah mengaibkan Anwar dengan tuduhan sodomi tetapi enggan menghadirkan diri di mahkamah untuk mewajarkan tohmahannya. Belum ada sesiapa yang bertanyakan Anwar apakah dia akan menganggotai UMNO semula. Dia bukannya anggota Parti Keadilan ataupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggantikan penggabungan parti itu dengan Parti Rakyat Malaysia. Sedangkan isteri beliau Datin Seri Wan Azizah adalah Presiden parti. Memang sudah lama dia menyebut kerelaan menganggotai parti pembangkang. Di Kuala Lumpur memang ada desas-desus mengatakan beliau akan menganggotai PAS untuk menjadi Presidennya sebelum pilihan raya umum yang akan datang.
Itu sebabnya UMNO sedang bercelaru. Tun Mahathir yang sudah lama bersara sebagai Presiden UMNO, masih lagi cergas berpolitik. Walaupun pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, dia kini dikenali di Malaysia dan merata dunia bukan kerana pembangunan Malaysia yang diterajuinya tetapi kerana dia merupakan orang yang memecat Anwar Ibrahim. Mahathir pernah menggunakan jasabaik kawan-kawannya mengemukakan satu resolusi di Persidangan UMNO, menghalang sesiapa yang telah berundur ataupun dipecat oleh parti untuk menganggotainya semula. Cadangan itu telah ditarik-balik secara tergesa-gesa apabila disedari bahawa empat bekas Presiden Umno tidak pun menganggotai UMNO Baru, ketika mereka mati. Empat orang Presiden UMNO yang terdahulu - Dato' Onn Jaafar (datuk kepada Hishamuddin Hussein, ketua pemuda UMNO sekarang) Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein (ayah Dato' Seri Najib) dan Tun Hussein Onn (anak Dato' Onn dan ayah Hishamuddin Hussein) – tidak pun menganggotai UMNO Baru. Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein meninggal dunia ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri tanpa menganggotai UMNO Baru. Malahan mereka telah berjuang untuk menentangnya, tetapi tidak berjaya.
Sudah menjadi kebiasaan kepada anak muda Melayu menganggotai UMNO kalau mereka mahu jadi kaya-raya, dan PAS kalau mereka ingin berpolitik. Inilah yang membuatkan UMNO resah gelisah selamanya. PAS sedang kebingungan kerana anggota baru parti mahukan PAS menjadi sebuah parti politik, dan membiarkan agama ditangani oleh satu majlis Syura. Kini PAS sedang ditadbir oleh golongan ulama. Anggota baru parti sudah pun berjaya menjadikan PAS lebih dinamik berbanding UMNO di banyak tempat, dan mereka mampu membangunkan parti itu sebagai parti politik Melayu yang utama. Parti itu akan bersifat Islamik kerana UMNO bukan lagi parti Melayu, cuma Islamik sahaja. UMNO boleh terus menabur kelentungannya dan kelentungan inilah yang membuatkan ramai orang Melayu menganggotai PAS. Pertembungan ini semakin jelas di Kelantan, satu-satunya negeri yang diperintah oleh PAS. Seandainya PAS kalah di Kelantan, seperti yang diduga dalam pilihan raya umum yang baru nanti, ia adalah disebabkan percanggahan yang tidak ada tamatnya antara anggota muda dengan golongan Islamis. Inilah yang amat difahami oleh UMNO dan cuba memasang jerat di pergentingan. Tetapi PAS akan terus mentadbir Kelantan walaupun dengan satu kerusi majoriti seandainya UMNO menang di Pengkalan Pasir nanti.
Tidak ada sebarang isu dalam pilihan raya kecil ini. UMNO mesti menang di Pengkalan Pasir. Pas tidak perlu menang. Tetapi PAS sengaja bergocoh dengan UMNO, tidak tentu pasal. Sepatutnya ia diam membisu. PAS sudah lama memerintah di Kelantan sejak 1959, ketika pilihan raya pertama diadakan dalam Malaya merdeka (sebelum bertukar menjadi Malaysia), hinggalah 1978. UMNO telah mentadbir Kelantan selama 12 tahun, sebelum PAS menang balik pada 1990. Pemerintahan itu berterusan dan sehinggalah pilihan raya umum yang akan datang. Tidak ada sebab kenapa PAS mesti risau dengan keputusan pilihan raya kecil nanti. Kematian anggotanya yang menang hanya dengan kelebihan 65 undi pada 2004 dulu, tidakpun merobah keputusan walaupun ia akan kalah dalam pilihan raya nanti. Oleh kerana UMNO menguasai media massa, ia mampu memutar-belit keadaan. Keributan yang dilakonkan oleh UMNO hanya bertujuan menunjuk-nunjuk kepada ahli-ahli UMNO yang ia masih relevan lagi. Apa gunanya PAS turut terikut-ikut?
- MGG Pillai
pillai@streamyx.comhttp://www.mggpillai.com/article.php3?sid=2162
Terjemahan MT-SPAR - 25.11.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.