TAG 1924:
Malaysia Terjebak Dalam Perangkap Sendiri 
(Malaysia is caught in its own trap)
Oleh: MGG Pillai - 21-11-2005 04:03 pm    - Laman M@RHAEN

Tersebut satu kisah bagaimana polis Malaysia membogelkan pelancong (perempuan) daripada Negara China. Mereka memiliki visa yang sah, yang tidak dinafikan oleh pihak yang berkuasa. Disebabkan pengalaman pahit pelancong yang memiliki visa yang sah itu makanya pelancong China tidak mahu datang ke sini lagi. Pada 21 November, 2005 akhbar The New Straits Times telah melaporkan bagaimana 50,000 pelancong yang datang ke sini telah ghaib entah ke mana. Kehilangan mereka tidak menjadi isu. Begitu juga dengan kisah mereka yang mempunyai visa sah yang melanggar undang-undang kita. Daripada mencari mereka yang ghaib itu, pelancong yang datang secara sah telah dibogelkan pula. Berita itu sampai ke negara China dan kesusutan enam puluh peratus pelancong daripada negara China sudah menjadi satu isu yang menjadi satu dilema kepada kerajaan Malaysia yang tidak tahu kenapa sebabnya. Menteri Pelancongan Kadir Sikh Fadhir akan ke negara China menyiasat kenapa. Yang pasti, polis Malaysia yang kurang ajar sudah mencemarkan nama baik Malaysia. Soalnya sekarang pihak yang berkuasa semacam mahu melindungi pegawai-pegawai polis dalam kenyataan yang mereka berikan mengenai isu ini. Mereka akan menyiasat apa sebabnya. Kalaulah akhbar tidak mendedahkan berita itu sudah tentu pihak polis diam membisu. Rupanya polis tidak akan membogelkan para pelancong kalau mereka berkulit putih dan berdarah Caucasian. Mereka fikir tidak ada kesan buruk terhadap tindakan mereka itu. Setakat ini Paklah masih diam membisu. Kabinet pun turut diam membisu sedangkan sudah menjadi kebiasaan mereka bersuara lantang kalau ada sesuatu yang tidak kena dengan majlis tempatan negara ini. Pelancong China kini menuju ke negara lain. Kita menerima padahnya, kerana kerugian tukaran wang. Akan tetapi kisah membogelkan pelancong wanita bukanlah satu perkara baru. Satu kenyataan bahawa ada undang-undang yang menegah polis membuat kerja buruk semacam itu bukanlah satu jawapan dan penyelesaian Malaysia yang disenangi oleh China.

Kerja busuk semacam itu memang selalu dilakukan oleh Pasukan RELA setiap masa. Apa juga rungutan dan bantahan, tidak membawa sebarang kesan. Memang sudah menjadi kenyataan bahawa mereka kerap mengambil gambar wanita yang membuang air. Pada mulanya wanita ini ditahan dengan pelbagai tuduhan, kemudian disuruh mencangkung berjam-jam tanpa sebarang ketentuan. Ada segelintir wanita ini yang minta kebenaran pergi ke tandas, dan diberikan keizinan itu. Secara rahsia gambar mereka dirakamkan, dan bukan susah membuat kerja busuk itu dengan bantuan fon bimbit yang dilengkapi peralatan menggambar. Rakaman inilah yang disebarkan merata-rata sedangkan perbuatan itu menceroboh hak asasi wanita itu semuanya. Pihak berkuasa berkata mereka tidak menerima sebarang aduan akan hal ini dan tidak akan melancarkan siasatan. Sesungguhnya wanita ini tidak akan membuat aduan, kerana sudah mendengar dan tahu kemungkinan ada bentuk pencerobohan dan tindak-balas terhadap mereka seandainya mereka berbuat demikian. Mungkin juga andaian mereka itu tidak benar. Akan tetapi sudah diketahui umum bahawa orang yang pergi bercuti (dan meninggalkan rumah mereka) tidak berani memberitahu polis seperti yang menjadi amalan dulu-dulu kerana itu merupakan satu jemputan istimewa untuk pencuri menyamun rumah mereka. Yang lebih teruk lagi, secara rasmi mereka telah diberitahu jangan membuat laporan seperti itu. Mungkin juga in tidak benar, tetapi orang ramai mempercayainya. Orang ramai lebih rela memberitahu musuh mereka daripada polis mengenai pergerakan mereka. Apakah sebabnya tidak ramai orang yang mahu ke depan setiap kali berlakunya kemalangan? Tentulah bukan susah sangat menjadi saksi kepada sesuatu kemalangan. Soalnya ialah sikap polis di balai mereka (stesen polis) dengan andaian bahawa mereka yang sanggup menjadi saksi adalah mereka yang terlibat dengan kemalangan itu. Itu sebabnya orang ramai lebih suka menyisihkan diri dengan sikap tidak peduli.

Kenapakah rakyat Malaysia tidak mahu banyak maklumat disimpan dalam MyKad mereka yang canggih itu? Pihak berkuasa telah menyatakan hanya pihak yang berkuasa mempunyai kuasa membaca kandungan MyKad dengan menggunakan alat pengimbas khas. Akan tetapi pengimbas yang diberikan kepada polis membolehkan mereka mengetahui banyak maklumat peribadi yang bersifat rahsia. Kalau anda kehilangan MyKad anda akan menghadapi banyak masalah. Pertama anda perlu membuat laporan mengenai kehilangan kad itu kemudian membayar wang denda kerana kehilangannya. Ada seorang lelaki yang ditahan seorang polis kerana memandu laju. Dia tidak punya wang ketika itu untuk membayar rasuah. Polis yang menahannya memberitahu bahawa dia ada lebih satu ribu Ringgit dalam simpanannya dan boleh menarik keluar wang itu di bank. Anggota polis naik kereta si pesalah itu untuk membolehkannya pergi ke bank yang terdekat dan mengambil wang keluar untuk menyogok polis tersebut. Pihak polis (kemudiannya) mencadangkan orang itu membuat aduan, tetapi dia enggan kerana tahu akan implikasinya. Usahanya tidak akan berbaloi dan membazir sahaja. Mangsa telah melakukan tindakan yang terbaik dengan melupuskan apa juga maklumat yang penting tadi daripada MyKad dan hari ini MyKad miliknya hanya mengandungi maklumat yang minima sahaja.

Pihak kerajaan membuat sesuatu secara sambil lewa sahaja. Inilah punca segala masalah. Memang tidak ada sifat akauntabiliti. Sesiapa yang tertangkap mudah dilindungi dan sesiapa yang berani membuat aduan selalu disalahkan dan dijadikan mangsa. Kerajaan seolah-olah selesa dengan keadaan yang sedia ada. Malahan kita diberitahu, kerajaan sengaja menangkap orang yang menyebelahi pihak pembangkang. Sebagai contoh ini juga yang dilakukan oleh Amerika Syarikat selepas peristiwa 11 September 2003. Demokrasi sudah dinodai untuk melanggar Perlembagaan negara. Kesediaan Amerika meniru gelagat yang diamalkan Malaysia sejak berdekad itu adalah satu tanda, seolah-olah sikap itu adalah betul. Penahanan tanpa bicara sudah menjadi satu bahagian perundangan yang luar biasa. Setiap negara memerlukannya. Sepatutnya undang-undang semacam itu perlu dikenakan terhadap mereka yang benar-benar membahayakan negara. Akan tetapi undang-undang semacam itu digunakan terhadap pihak pembangkang untuk menentukan Barisan Nasional terus mencengkam kuasa. Berapa ramaikah ahli Parlimen pembangkang yang ditahan sejak dahulu disebabkan kegiatan mereka menggugat Barisan Nasional?

Paklah beranggapan bahawa China akan menjadi riang gembira jika diberitahu tanpa mereka Asia akan berbeza keadaannya. Akan tetapi China memang prihatin akan warganya di luar negara. Mungkin juga tindakan China itu mahu menunjukkan yang ia adalah kuasa besar di rantau ini. Apa pun, ia bersedia menghukum sebuah kerajaan yang berani mencetuskan kejadian membogelkan warganya di khalayak ramai. Seandainya para pelancong itu adalah pelacur atau melanggar undang-undang negara yang mereka lawati, kerajaan China tidak akan ambil peduli. Akan tetapi kalau mereka didera oleh pegawai kerajaan luar seperti yang terjadi di Malaysia, China pasti bertindak. Inilah yang tidak dilakukan oleh kerajaan India, Pakistan dan Bangladesh. Begitu juga oleh kerajaan Sri Lanka. Memang itu bukan amalan negara-negara di rantau ini. Itu sebabnya ada yang berfikir China tidak akan bertindak, sehingga ada tanggapan pelancong China boleh dilayan seburuk rakyat kita daripada kaum Cina dan India. Kerana itu penurunan sebanyak 65 peratus dalam kedatangan pelancong China akan berterusan seandainya kerajaan tidak bertindak. Kerajaan lebih memberi muka kepada golongan Caucasian berbanding orang-orang Asia, khususnya daripada India dan China. Ketika MAS jatuh merudum, kerajaan cuba mendapatkan seorang Caucasian menguruskannya tanpa memikirkan tenaga rakyat Malaysia kerana ini akan melibatkan orang Cina dan India. Segala kemudahan disediakan untuk orang Caucasian dan bukannya untuk orang tempatan. Mudah-mudahan orang-orang ini bukan beragama Islam pula.

Pegawai Melayu dalam perkhidmatan awam dinaikkan pangkat bukan kerana kecekapannya tetapi dia adalah Melayu dan beragama Islam. Dia menunggu akan hari di mana seorang bukan-Melayu akan bersara. Ini akan terjadi tidak lama lagi. Hari ini kalau ada bukan-Melayu yang diambil berkhidmat, adalah disebabkan ketidakcekapan beliau. Bukan-Melayu yang pintar-pintar tidak mahu berkhidmat dengan perkhidmatan awam kerana wujudnya satu siling kaca di atasnya. Bukan-Melayu yang berada di jawatan tinggi-tinggi adalah satu lambang sahaja untuk menunjuk-nunjuk kepada dunia sejagat bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Begitulah juga halnya dengan pemimpin bukan-Melayu dalam kerajaan Barisan Nasional. Pegawai Melayu dalam kerajaan ditugaskan untuk meminggir pegawai bukan-Melayu sambil si Melayu membalun harta karun. Kerajaan telah memperuntukkan RM1.2 billion untuk melatih 3,000 pelajar MARA, tetapi tidak ada peruntukan untuk bukan-Melayu. Ini adalah perkara biasa di Malaysia. Kalau ada negara asing yang marah dengan Malaysia kerana perbezaan dan penderaan, sudah tentu begitu juga perasaan bukan-Melayu di negara ini. Reaksi China adalah satu tindakan yang pertama daripada negara luar yang sudah pun menghentam Malaysia. Akan muncul beberapa bantahan lagi, tetapi ini tidak akan datang daripada orang asing. Usaha menjadikan menteri Cina meniru gelagat orang Melayu tidak akan dapat membantu.

- MGG Pillai
pillai@streamyx.com

http://www.mggpillai.com/article.php3?sid=2160

Terjemahan MT-SPAR  - 25.11.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.