![]()
TAG 1904:
Israel, Judaisme dan Zionisme
(Israel, Judaism and Zionism)
Talk By: Rabbi Ahron Cohen at Birmingham University, England - 26th February ‘03
- Laman M@RHAEN
Sahabatku sekelian, adalah merupakan satu penghormatan untuk berpeluang bercakap kepada anda hari ini.
Saya dan rakan-rakan saya dari Neturei Karta menghadiri majlis seperti ini kerana kami merasakan yang kita mempunyai tugasan keagamaan dan juga kemanusiaan bagi menghebahkan mesej kita seluas yang mungkin. Jadi saya berharap dan berdoa agar dengan bantuan Maha Pencipta ucapan saya serta perbincangan kita hari ini tepat dan benar dalam kandungan serta kesimpulannya.
Sebagaimana yang telah diberitahu kepada anda, saya ialah seorang Yahudi Orthodoks (yakni penganut Yahudi yang pasrah menjalani kehidupan sepenuhnya menurut aturan Agama Yahudi). Saya terlibat dalam tugas-tugas kerahiban dalam lingkungan masyarakat Yahudi dan khususnya terlibat dalam mendidik belia kita dan dalam membantu mereka mencapai sikap yang sihat dan betul. Lantas menjadikan satu yang amat penting kepada saya untuk berucap kepada anda, badan pelajar hari ini.
Saya telah diminta untuk menyentuh tentang Judaisme dan Zionisme. Tajuk ini tersangatlah relevan dalam suasana hari ini di Palestin, di mana kita mempunyai- mari kita menghadapinya- satu pihak, Zionist (yang juga adalah yahudi), yang berharap melaksanakan pemerintahan ‘sektarian’ ke atas penduduk asal yakni rakyat Palestin. Konfrontasi yang telah menyebabkan pertumpahan darah yang dahsyat dan kekejaman tanpa henti melainkan terdapat perubahan yang radikal.
Kelayakan saya untuk bercakap tentang perkara ini ialah kerana kedudukan saya sebagai salah seorang dari ramai Yahudi Orthodoks yang sepenuhnya bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin, dan kami membantah keras terhadap kezaliman dahsyat yang dikenakan terhadap penduduk Palestin oleh rejim Zionis haram di Palestin.
Kumpulan pendesak di kalangan kami yang terlibat secara aktif dalam perkara ini secara tetap dipanggil Naturei Karta, yang boleh diterjemah secara santai sebagai Penjaga Keimanan (The Guardian of The Faith). Kami bukanlah parti atau pertubuhan yang terpisah tetapi secara asasnya adalah perwakilan falsafah kepada sebahagian besar Yahudi Orthodoks.
Izinkan saya pertamanya menyatakan secara kategori betapa Judaisme dan Zionisme adalah saling bertentangan. Mereka ibarat langit dan bumi.
Pastinya persoalan timbul dalam kepala ramai dari kamu di sini bahawa ianya kelihatan aneh. Apatah lagi setiap orang tahu yang Zionis adalah Yahudi dan Zionisme adalah untuk keuntungan kaum Yahudi. Manakala bangsa Palestin pula adalah musuh kepada Zionist. Mana boleh saya seorang Yahudi bersimpati dengan perjuangan Palestin.
Saya ingin cuba menjawab soalan ini dan merujukkan kembali kepada tajuk ucapan saya- Judaisme dan Zionisme- atas dua tahap, kepercayaan agama dan kemanusiaan. Harus diingat bahawa mendokong kemanusiaan juga adalah asas keperluan dalam beragama.
Pertamanya dari sudut pandangan kepercayaan agama Yahudi. Seseorang perlu melihat sesetengah aspek sejarah bangsa Yahudi dan pada kepercayaan asas tentang kuasa Yang Maha Besar berkaitan takdir kita dan apa Yang Maha Besar mahukan dari kita. Kesemua sebagaimana yang telah ditetapkan dalam pengajaran agama kita, kitab Torah kita dan juga sebagaimana yang diajar melalui pelbagai generasi oleh pemimpin agama kita. Bertentangan dengan ini kita juga perlu melihat akan sejarah Zionisme, bagaimana ia berkembang dan apakah matlamatnya.
Agama kita mendorong kita dengan cara hidup yang sepenuhnya. Menunjukkan kepada kita bagaimana menjalani kehidupan dalam pengabdian kepada Yang Maha Kuasa. Ia melibatkan segenap aspek kehidupan kita bermula dari dalam buaian sehinggalah ke liang lahad. Kita telah diajar betapa ia telah diturunkan kepada kita secara suci sebagaimana diterangkan dalam Kitab Injil, kira-kira tiga ribu lima ratus tahun yang lalu, dan ketika itulah bangsa Yahudi mula wujud. Kesemua tuntutan agama kita, secara praktik mahupun falsafahnya, telah ditetapkan dalam Kitab Torah yang terdiri dari Kitab Injil (perjanjian lama) dan kod Pengajaran Lisan yang disampaikan kepada kita dari generasi ke generasi.
Sebagaimana yang dinyatakan, agama kita adalah satu cara hidup lengkap yang meliputi setiap aspek kehidupan. Satu bahagian dari agama kita yang tertakluk kepada syarat-syarat tertentu kita akan dianugerah Negara, Tanah Suci yang kini dikenali sebagai Palestin, di mana dalamnya menjalani kehidupan serta pelbagai bahagian pengabdian kita kepada Yang Maha Kuasa.
Baiklah, sebelum saya pergi lagi jauh, saya ingin menegaskan sesuatu yang merupakan asas untuk memahami perbezaan antara Judaisme dan Zionisme juga betapa konsep yahudi Orthodoks akan bernegara adalah sangat berbeza dari konsep kenegaraan yang dipegang oleh kebanyakan orang. Kebanyakan orang memahami sebuah negara perlu khusus kepada bangsa tertentu yang hidup dia atas tanah yang khusus. Tanah adalah penting kepada jatidiri negara. Mereka mungkin ada atau pun tidak menganut agama, tetapi agama bukannya penting dalam pengenalan negara. Konsep Yahudi Orthodoks akan kenegaraan ialah bangsa khusus dengan agama anutan yang juga khusus. Agamalah yang membentuk pengenalan kebangsaan. Mereka mungkin mempunyai tanah atau pun tidak, tanah tidak penting kepada pengenalan bangsa Yahudi.
Ide ini terlahir dari hakikat betapa bangsa Yahudi tidak bernegara selama 2000 tahun, namun selagi mereka kekalkan agama mereka bermakna mereka mengekalkan identity mereka.
Saya ada menyebut pada awal tadi yang kita pernah diberi tanah Negara namun di bawah syarat tertentu. Syarat-syarat itu secara asasnya ialah kita perlu mengekalkan tahap tertinggi moral, etika serta beragama. Bangsa Yahudi memang mempunyai Negara sendiri bagi hampir 1500 tahun yang pertama kewujudan mereka. Namun, dengan penuh kesal, syarat-syarat itu telah tidak dipenuhi ke tahap yang diperlukan dan bangsa Yahudi telah terusir dari tanah air mereka. Bagi tempoh dua ribu tahun terakhir lebih kurangnya, bangsa Yahudi telah menjadi bangsa terusir yang telah diatur Yang Maha Kuasa kerana mereka tidak mempertahankan tahap yang diharapkan dari mereka. Keadaan pengusiran oleh Maha Pencipta itu wujud sehingga ke hari ini. Ianya adalah bahagian asas akan kepercayaan kita untuk menerima dengan redha pengusiran Yang Maha Kuasa dan tidak mencuba dan melawan takdir atau menamatkan sumpahan itu dengan kuasa kita yang kecil ini. Untuk mengambil langkah itu akan merupakan satu pemberontakan terhadap kehendak Yang Maha Kuasa.
Dalam terma praktis, walaupun kita telah mengekalkan identity Yahudi kita dengan berpeluk kepada agama kita, pengusiran kepada kita bermaksud pertamanya betapa Yahudi mesti taat setia kepada Negara di mana mereka tinggal dan tidak mencuba memerintah penduduk asal yang sudah pun berakar umbi di Negara-negara tersebut.
Yang keduanya, kita tidak sepatutnya menubuhkan Negara kita di Palestin.
Ini juga tertakluk walaupun tanah itu terbiar kosong tidak diduduki dan tentu sahaja tertakluk sebagaimana dalam kes ini, terdapat penduduk asal yang sudah lama menghuni di situ. Larangan itu adalah bahagian asas akan pengajaran agama kita dan kita telah bersumpah untuk tidak melanggarnya dan kita juga telah diberi amaran akan akibat yang dahsyat sekiranya kita melanggarnya.
Lantaran itu bangsa Yahudi tidak mempunyai hak untuk memerintah hari ini di Palestin.
Sekarang mari kita membicarakan tentang gerakan Zionisme. Ianya telah ditubuhkan sekitar 100 tahun lalu oleh kebanyakannya adalah pendokong sekular yang menghumban ke tepi agama mereka tetapi masih mengekalkan apa yang mereka anggap sebagai stigma Yahudi yang terusir. Mereka menganggap betapa keadaan kita yang terusir ialah kerana sikap rasa hamba-‘mentaliti Golus (terusir)’-dan bukannya kerana Hukuman Tuhan. Mereka mahu menghumban jauh sekatan pengusiran dan cuba menubuhkan bentuk baru identity Yahudi. Bukannya berdasar kepada agama tetapi nilai kewujudan tanah air. Ianya berdasarkan kepada sasaran secular kebangsaan yang tipikal dan didorong emosi, serupa dengan kebanyakan bangsa lain. Polisi mereka ialah bermatlamat menubuhkan Negara Yahudi di Palestin. Akan tetapi mereka sedang memaksa sejenis Yahudi baru. Hakikatnya ia bukanlah Yahudi lagi- bahkan Zionis.
Gerakan Zionis meninggalkan sepenuhnya kepercayaan serta pengajaran agama kita- secara am- dan khususnya menyimpang dari pendekatan kita kepada keadaan terusir serta sikap kita terhadap manusia di mana kita tinggal bersama.
Hasil praktikal Zionisme dalam bentuk Negara yang dikenali sebagai Israel amatlah asing kepada Judaisme dan Kepercayaan Yahudi. Nama “Israel” yang pada asalnya bermaksud Umat Israel yakni bangsa Yahudi telah dirampas oleh Zionist. Atas alasan itu ramai Yahudi Orthodoks yang mengelak dari merujuk kepada Negara Zionist dengan nama ‘Israel’.
Ideologi Zionisme bukannya bergantung harap kepada ketentuan Yang Maha Suci akan tetapi mengambil hukum rimba di tangan mereka sendiri dan cuba memaksa hasilnya dalam bentuk kewujudan sebuah Negara. Ia sepenuhnya bercanggah kepada pendekatan berkait pengusiran yang mana Kitab Taurat menghendaki kita laksanakan, sebagaimana yang telah disampaikan oleh guru-guru agama kita yang muktabar.
Sehingga kini saya telah berceramah dari sudut pandangan agama. Sekarang mari kita pertimbangkan dari sudut kemanusiaan pula. (dan untuk melakukannya adalah juga merupakan satu keperluan agama sebagaimana telah saya katakana sejak awal tadi). Ideology Zionis sepanjang masa adalah untuk memaksa kewujudan Negara tanpa mempedulikan harga nyawa serta harta benda yang perlu dibayar oleh mereka yang menentangnya. Bangsa Palestin menjadi penghalang akan niat Zionist. Kita mempunyai fakta bagaimana untuk mencapai cita-cita kebangsaan yang terhasil secara jahat itu, perlanggaran mengejutkan ke atas keadilan semulajadi telah dilakukan oleh Zionist dalam menubuhkan sebuah rejim haram di Palestin yang bercanggahan sepenuhnya dengan keinginan penduduk asalnya, bangsa Palestin yang tanpa dapat dielak terpaksa bersandar kepada kehilangan nyawa, pembunuhan dan mencuri.
Kebanyakan Yahudi Orthodoks menerima pandangan Neturei Karta sehingga mereka tidak bersetuju secara prinsipnya akan kewujudan Negara Zionist dan tidak akan menitiskan walau setitik air mata sekiranya Negara itu hancur. Walaupun begitu terdapat pendapat yang berbeza bagaimana untuk menangani hakikat yang ketika ini Negara Zionis itu memang wujud. Segala pendapat ini berkisar dari kerjasama yang positif kepada penerimaan yang pragmatic sehinggalah penentangan sepenuhnya. Yang terakhir itu adalah pendekatan Neturei Karta.
Namun begitu, selama ini terdapat fenomena tambahan Zionis yang mengelirukan suasana. Ianya adalah Zionist yang taat mengamal agama Yahudi. Mereka adalah orang yang mendakwa beriman kepada agama Yahudi tetapi telah dipengaruhi oleh falsafah kebangsaan secular Zionist dan telah menambah dimensi baru kepada Judaisme- Zionisme, dengan sasaran untuk menubuhkan serta meluaskan Negara Yahudi di Palestin. Ini akan mereka cuba gapai dengan keazaman yang tinggi. (saya memanggilnya Judaisme-plus) mereka mendakwa yang usaha itu adalah tuntutan dalam agama Yahudi. Namun hakikatnya sebagaimana yang telah diterangkan awal tadi ianya adalah suatu yang benar-benar bercanggah kepada pengajaran guru agama kita yang muktabar.
Tambahan lagi, dari sudut kemanusiaan, ideology mereka ialah selamanya untuk memaksa matlamat mereka tanpa mempedulikan kehilangan nyawa dan harta benda terhadap sesiapa sahaja yang menghalang. Bangsa Palestin berdiri untuk menghalang. Kesemua ini amat mengejutkan kerana ia telah dilakukan atas nama agama. Sedangkan dalam reality terdapat keperluan yang bercanggahan dalam agama kita yakni untuk melayan kesemua manusia dengan penuh kasih sayang.
Kesimpulannya. Menurut kepercayaan Yahudi dan Taurat, bangsa Palestin hari ini> Arab yang menuntut untuk memerintah di Palestin adalah suatu yang hak dan adil. Tuntutan Zionis adalah salah dan satu jenayah. Sikap kita terhadap Israel ialah betapa keseluruhan konsep itu cacat dan tidak sah.
Kita juga mempunyai satu masalah lain dan ianya ialah tentang Zionist telah menjadikan mereka sebagai wakil dan jurucakap kepada semua Yahudi, dengan tindakan-tindakan keji mereka telah menimbulkan kebencian orang terhadap Yahudi. Mereka yang mempunyai perasaan benci telah dituduh pula sebagai anti-semitik. Namun, apa yang perlu dinyatakan dengan jelas ialah Zionisme bukanlah Judaisme. Zionist tidak boleh bercakap bagi pihak Yahudi. Pendokong Zionis mungkin telah dilahirkan sebagai yahudi, akan tetapi untuk menjadi yahudi juga memerlukan ketaatan kepada kepercayaan dan agama itu sendiri. Jadi apa yang telah menjadi terang ialah penentangan kepada Zionisme dan jenayahnya tidak bermaksud kebencian akan Yahudi atau ‘anti-semitik’. Sebaliknya Zionisme itu sendiri dan kejahatan mereka adalah ancaman terbesar kepada Yahudi dan Judaisme.
Perbalahan antara Arab dan yahudi di Palestin hanya bermula sebaik Zionist mula datang ke Palestin dengan matlamat untuk membentuk Negara Yahudi di atas kepala penduduk asal Arab. Perbalahan itu berterusan sehingga ke hari ini dan telah menelan dan berterusan meragut ribuan nyawa. Penindasan, penderaan serta pembunuhan di Palestin adalah satu tragedy bukan hanya kepada bangsa Palestin bahkan juga kepada bangsa Yahudi. Dan ianya adalah sebahagian dari akibat buruk yang telah dikhabarkan kepada kita jika kita melanggari kehendak agama supaya tidak memberontak terhadap ‘pengusiran’ kita ini.
Saya ingin menambah betapa hubungan antara Islam dan Yahudi sudah terjalin zaman berzaman sejak sejarah silam. Kebanyakan dari hubungan itu adalah mesra dan menguntungkan kedua pihak. Sejarahnya, agak kerap tatkala Yahudi dipunggah dan dihukum di Eropah mereka mendapat perlindungan di berbagai Negara Islam. Sikap kita terhadap orang Islam dan Arab hanyalah persahabatan serta penuh rasa hormat.
Saya ingin menamatkan ucapan dengan beberapa perkataan ini. Kita ingin memberitahu dunia terutamanya jiran Islam kita, bahawa tidak ada kebencian atau rasa jelak antara Yahudi dan Islam. Kami ingin untuk hidup bersama sebagai sahabat dan jiran sepertimana yang kita lalui lebih ratusan malah ribuan tahun yang lalu dalam semua Negara-negara Arab. Hanya setelah kewujudan Zionis dan Zionisme yang telah menggugat hubungan yang lama itu.
Kami menganggap bangsa Palestin sebagai manusia yang berhak untuk memerintah Palestin.
Negara Zionist yang dikenali sebagai ‘Israel’ ialah sebuah rejim yang tidak berhak untuk wujud. Kewujudan yang berterusan menjadi penyebab kepada perbalahan di Palestin. Kami mendoakan satu penyelesaian kepada perangkap suasana tragic dan dahsyat yang wujud. Harap-harapnya berdasarkan kepada keputusan dari tekanan moral, politik serta ekonomi yang dikenakan oleh Negara-negara di dunia ini.
Kami mendoakan pengakhiran kepada pertumpahan darah serta penderitaan kepada semua manusia yang tidak bersalah- Yahudi dan juga bukan Yahudi- seluruh dunia.
Kami menanti bagi pembatalan Zionisme serta pembubaran rejim Zionist, yang akan membawa penamatan kepada penderitaan rakyat Palestin. Kami akan mengalu-alukan peluang melibatkan diri dalam keamanan di Tanah Suci di bawah pemerintahan yang sepenuhnya menuruti kehendak dan aspirasi Rakyat Palestin.
Semoga tidak lama lagi kita akan meraikan masa bila mana kesemua manusia akan aman antara satu sama lain.
http://www.nkusa.org/activities/speeches/bham022603
Terjemahan N-SPAR - 30.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.