TAG 1903:
Al Jazeera: Kuasa Baru Di Layar Kecil
Oleh: Paul Vallelly – The Independent 26.10.2005 - Laman M@RHAEN

Kenyataan BBC semalam sudah pasti boleh dianggap sebagai satu ucap tahniah kepada Qatar – sebuah negara kecil di Teluk Parsi. Pada 25 Oktober 2005, BBC telah mengumumkan mahu menutup 10 rangkaian radio di bawah World Servicenya untuk membolehkan stesen itu mengalihkan dana untuk mengongkosi satu stesen TV dalam Bahasa Arab. Keputusan itu adalah satu testimoni hebat kepada pertumbuhan luar biasa Al-Jazeera. Itulah dia stesen satelit Arab yang ditubuhkan kurang satu dekad dulu hasil minat Emir Qatar hingga berkembang kini menjadi entiti yang beperanan global di bidang penyiaran di peringkat antarabangsa.

Jaringan TV yang berpangkalan di Qatar itu telah diwujudkan pada 1996. Ia sudah menjadi satu kuasa media yang berbisa sepanjang perang Afghanistan dan Iraq kerana berjaya membuat laporan akan kejadian di Timur Tengah. Siarannya dibuat dari kaca mata Arab yang berbeza sekali dengan kesulitan yang dihadapi oleh banyak organisasi media yang lain. Baru-baru ini Al-Jazeera telah dipilih menduduki tempat kelima sebagai jenama yang paling berpengaruh di peringkat global (di belakang Apple dan Google)

Status ini pasti akan melonjak lagi tahun depan apabila ia melancarkan versi bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa juga, dengan ditunjangi oleh eksekutif di sebalik tabir yang pernah bertugas di ITN dan BBC. Termasuklah Sir David Frost yang pernah menemuramah tujuh orang Presiden AS dan enam orang Perdana Menteri Britain. Beliau sudah menandatangani kontrak sebagai seorang ‘presenter’. Adalah menjadi hasrat Al-Jazeera mahu menyaingi CNN dan BBC sebagai penyiar dunia yang paling besar.

Idea ini sudah tentu akan diterima oleh sesetengah pihak di dunia ini dengan campuran suka dan duka. Stesen itu telah mendapat perhatian dunia selepas 11 September 2001 ketika ia mula menyiarkan video di mana Osama bi Laden dan juaknya mengeluarkan kenyataan menjelaskan serangan terroris di Amerika Syarikat. Sejak itu Al-Jazeera kerap dituduh oleh Setiausaha Pertahanan AS Donald Rumsfeld dan ramai yang lain sebagai “sentiasa berbohong dan bersekongkol dengan pengganas”. Malahan Rumsfeld pernah menuduh Al –Jazeera membawa wanita dan kanak-kanak melawat tempat di mana bom Amerika telah digugurkan supaya mereka dapat berpura-pura sebagai mangsa serangan AS.

Perkara semacam ini tidak semestinya membawa keburukan kepada Al Jazeera. “Lagi hebat Rumsfeld menyerang kami, semakin terkenal kami kepada para penonton,” demikian jawapan pengarah komunikasi stesen itu, Jihad Ballout. Keadaan memang sudah lama bercelaru di Al Jazeera sejak penubuhannya dulu. Ia bermula pada 1996. Pada April tahun itu juga suasana sedih muncul di BBC apabila 250 orang wartawan diberitahu yang stesen Arab World Wide Service milik BBC mahu ditutup. Sebelum itu stesen tersebut adalah satu usahasama dengan sebuah syarikat Saudi. Disebabkan tiada kata sepakat dari awal mengenai dasar editorialnya mereka mendapati masalah apabila kerajaan Saudi cuba menapis satu dokumentari mengenai pemancungan kepala mengikut undang-undang Syariah yang diamalkan di negara itu.

Akan tetapi, Emir Qatar merupakan seorang raja yang menguasai simpanan gas dunia yang ketiga besarnya di dunia ini. Beliau memang sudah lama menanti. Dia memang suka dengan rancangan BBC Arabia itu dulu dan yakin bahawa kepentingan dunia Islam akan dapat dikekalkan dengan lebih baik lagi oleh kebenaran dan bukan melalui penapisan. Baginda pun mengeluarkan $150 juta (kini bersamaan dengan 90 juta pound sterling) untuk menubuhkan.al-Jazeera. Ramai kakitangan BBC dulu yang beralih daripada London untuk menetap di Qatar dan menguruskan syarikat baru itu.

Terdapat sekitar 100 stesen TV Arab untuk mereka yang menggunakan satelit. Semua ini adalah di bawah kawalan kerajaan berdaulat ataupun rangkaian yang tidak diminati oleh penonton. Dari mula lagi al-Jazeera memang berbeza. Ia menyiarkan kisah korupsi dalam kerajaan Mesir, Arab Saudi, Syria dan mana juga. Ia menyiarkan debat yang tidak pernah dilihat di stesen TV Arab yang lain. Malahan ia menemubual pegawai- pegawai Israel – satu usaha yang belum pernah dilihat di stesen TV lain. Ia mempunyai motto yang berbunyi: “Kami dapatkan cerita kedua-dua pihak”.

Akan tetapi memang ada pihak yang sentiasa tidak suka melihatkan pihak saingannya mendapat peluang penyiarannya. Mereka bukan sahaja kerajaan totalitarian di Timur Tengah. Semasa Presiden George W. Bush melancarkan perang mengganyang keganasan dia telah mengumumkan bahawa seseorang itu terpaksa memilih, sama ada memihak kepadanya ataupun memusuhinya. Walaupun al-Jazeera menayangkan rakaman ucapan Osama bin Laden dalam satu rencana yang memakan masa lima jam semuanya, berbanding 550 jam menyiarkan rencana Presiden AS, semakin jelas betapa ... al-Jazeera dilihat menyebelahi kem musuh.

Dalam 2001 semasa AS menakluk Afghanistan, al-Jazeera SAHAJA satu-satunya stesen TV yang mempunyai siaran 24 jam melalui rangkaian satelitnya daripada Kabul hingga ke merata dunia. Demikianlah jadinya sehingga dua butir bom pintar meledakkan pejabatnya di Kabul. Perkara yang sama berlaku juga pada 2003 di Iraq. Ketika itu pejabat al-Jazeera telah diserang oleh tentera AS membunuh wartawan Tareq Ayyoub. Pengeboman dilakukan selepas kerajaan Amerika menyatakan kordinat (coordinates) yang tepat akan kedudukan pejabat itu.

Semasa perang itu Al Jazeera telah menyakitkan hati askar bersekutu Britain-Amerika dengan menyiarkan satu filem selama 30 saat menunjukkan dua mayat askar British yang bergelimpangan dan tindakan al-Jazeera dikatakan telah melanggar peraturan Geneva Convention. Mereka yang sedar akan budaya Arab menyatakan bahawa Arab tidak mengongsi pantang larang Barat terhadap gambar kematian, kerana itu gambar mayat Palestin dan Israel bergelimpangan adalah perkara biasa di stesen TV Arab. Namun, kemarahan itu tidak pun dapat disejukkan.

Perbezaan yang terdapat bukan sahaja kepada budaya tetapi kepada propaganda. Al-Jazeera telah melengkapkan rakyat marhaen di seluruh Iraq dengan telefon dan kamera semasa pencerobohan sedang rancak berjalan, kerana sudah mengagak betapa komunikasi di Baghdad akan bertambah buruk dengan kemaraan tentera AS. Dengan demikian stesen itu dapat menyiarkan gambar daripada kawasan yang memang hangat seperti Fallujah, yang menafikan secara terbuka bahawa tentera Amerika sedang berjaya.

“Percanggahan itu memang semakin menyerlah di Fallujah di mana Amerika membuat pengumuman pada satu hari adanya perdamaian bermula pada 12 tengah hari” kata seorang wartawan al-Jazeera. “Kemudian kami menyiarkan pula gambar bagaimana jet pejuang Amerika sedang menggugurkan bom ke atas bandar itu dan mengingkari perjanjian damai itu”

Namun demikian memang banyak perbincangan di stesen bagaimana wartawan mereka harus terus berkecuali. Ada satu etika para editor mengharamkan wartawan memberikan gambaran kehadiran tentera Amerika sebagai satu ”penaklukan” dan tentera yang menyerang mereka sebagai kumpulan “ pejuang pembebasan”

Sepanjang tahun lalu al-Jazeera telah menyiarkan beberapa rakaman video menunjukkan mangsa penculikan – dengan tahanan yang kerap ditutup mata, merayu agar dibebaskan dan membaca kenyataan yang disediakan oleh penculik mereka - stesen itu telah membantu kerajaan Barat dalam usaha mendapatkan pembebasan orang yang diculik. Al Jazeera selalu menolak usaha menayangkan tindakan memenggal kepala yang dilakukan oleh kumpulan terroris di laman web Internetnya.

Semua itu tidak meyakinkan Washington. Amerika telah mendesak Emir Qatar supaya menjual stesen yang masih diberikannya subsidi sebanyak $30 juta setahun (kerana semua kerajaan Arab memboikot iklan al-Jazeera dan ini merupakan satu kenyataan betapa “inilah satu-satunya pakatan yang membuatkan Menteri Penerangan Arab dapat sama-sama bersetuju). Syarikat Ernst and Young telah dilantik untuk mencari model penswastaan yang baik pada awal tahun in, tetapi idea itu nampaknya sudah ditangguhkan. Mungkin kerana al-Jazeera membawa erti emiriah yang kecil itu sudah mampu menghayun penumbuknya lebih berkesan.

Namun, tekanan politik ke atas stesen itu memang tidak pernah surut. Sejak awal 2002 salah seorang jurukameranya telah ditahan di Teluk Guantanamo. Pada tahun yang sama Bahrain telah mengharamkan wartawan al-Jazeera – kerana stesen itu “telah berat sebelah kepada Israel dan memusuhi Bahrain.” Kemudian dua orang wartawan kewangan yang mempunyai hak melaporkan New York Exchange telah dibatalkan. Pada 2003 seorang wartawannya di Sepanyol telah ditangkap dan dituduh sebagai seorang ejen al-Qaeda. Pada 2004 kerajaan Algeria telah membekukan kegiatan wartawan al-Jazeera di sana dan kemudiannya kerajaan Iraq menutup pejabatnya di Baghdad. Pelbagai masalah telah muncul di Kanada, Jordan, Kuwait, Iran, Tunisia, dan Arab Saudi di mana al-Jazeera telah diharamkan membuat liputan jemaah haji di Mekah. Laman webnya di Internet telah digodam dan penggodam menghalakan perhatian pengguna untuk memasuki laman patriot AS ataupun laman porno.

Di sebalik semua itu ataupun mungkin kerana itu semua, sumbangan caruman pelanggan kepada al-Jazeera telah naik berganda dalam satu minggu sahaja selepas perang di Iraq bermula. Kini al-Jazeera mempunyai 50 juta penonton dan sedang menjalani pembaharuan yang besar. Di samping tambahan kepada jaringan sedia ada ‘al-Jazeera Sports’, rencana kanak-kanak al-Jazeera dan lintas langsung al-Jazeera, yang menyiarkan persidangan secara lintas langsung tanpa suntingan dan komentari. Perkhidmatan al-Jazeera dalam bahasa Inggeris yang dilancarkan pada Mac nanti akan disiarkan daripada ibu pejabatnya di Qatar dan biro di London, Kuala Lumpur dan Washington DC. Kita tidak hairan kenapa ia masih belum dapat satu rangkaian kabel di Amerika untuk menyiarkan siarannya. Besar kemungkinan ia akan mendapat penonton yang sedia menyokongnya.

Pengarah Urusan al-Jazeera International berkata ”siaran kami nanti bukanlah satu terjemahan bahasa Inggeris daripada rancangan rangkaian Arab.” Beliau dahulunya merupakan eksekutif kanan dengan Associated Press Television dan BBC. “Ia akan sentiasa mempunyai tarikan antarabangsa dan mengisi banyak kelompongan dalam siaran yang sedia ada.”

Laman web al-Jazeera berbahasa Inggeris menerima ‘hit’ yang banyak semasa berlakunya pengeboman di London. “Salah satu tugas kami ialah memaparkan satu kefahaman baru mengenai kedudukan sebenar,” kata Parsons. “Kami akan menentukan wujudnya keseimbangan .... Ia tidak akan berbaur anti-Barat ataupun anti-Amerika.” Malahan ada kakitangannya takut ini yang akan berlaku dengan menjadi terlalu kebaratan dan menjadi tidak popular kepada umat Islam yang bercakap bahasa Inggeris.

Parsons percaya masih wujud kelompongan di pasaran disebabkan gelagat CNN yang telah cenderung ke arah kanan disebabkan rangkaian Fox News Channel milik Robert Murdoch. Cara CNN membuat liputan di Iraq telah menyebabkan ia hilang martabatnya. Dan liputan antarabangsa oleh BBC terutamanya mengenai negara membangun “hanya merupakan 40% daripada keupayaannya yang lalu sejak Michael Burk membuat liputan mengenai kebuluran di Ethiopia.”

Banyak pihak telah dapat diyakinkan oleh Parsons dalam industri itu. Di sebalik nama besar seperti Sir David Frost, masih ada barisan profesional yang sungguh berwibawa. Mereka itu termasuklah John Pullman, bekas editor News at Ten; Paul Gibbs seorang bekas editor BBC Breakfast; Steve Clarke, seorang penerbit eksekutif daripada Sky; dan Al Anstey, yang baru sahaja berundur sebagai ketua berita luar ITN. Kemudian, ada pula Susan Phillips, yang dahulunya merupakan ketua biro di London kepada Canadian Broadcasting Corporation, dan Mark Seddon bekas editor Tribune yang akan menjadi koresponden di New York dan PBB. Parsons telah menerima 4,000 permohonan untuk mengisi 40 jawatan di biro Washington daripada kakitangan CNN, Fox, Sky, BBC dan TV Australia.

Apakah kemungkinan BBC Arabic Service’ menjejaskan al-Jazeera? Washington sudah pun melancarkan al-Hurra, kesannya tidak sampai ke mana-mana. Begitu juga dengan al-Arabiya tajaan Arab Saudi, walaupun ia berjaya memberikan liputan di Iraq dan Bahrain. Mengikut Mouafac Harb, pengarah al-Hurra, “Al Jazeera telah merampas peranan masjid sebagai sumber utama maklumat dan pandangan. Al-Jazeera merupakan satu-satunya proses politik di Timur Tengah.”

Ada beberapa orang Amerika yang terpaksa bersetuju. Kenton Keith yang dahulunya seorang duta AS di Qatar berkata: Bagi tujuan jangka panjang untuk mengekalkan kebebasan akhbar di Timur Tengah dan segala kebaikan yang akan muncul akhirnya di Barat anda perlu memberikan sokongan kepada al-Jazeera, walaupun ada kalanya anda terpaksa memegang hidung untuk seketika.”

- Paul Vallelly.

Terjemahan MT-SPAR  - 29.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.