![]()
TAG 1895:
Peniaga Menguasai Deepavali dan Hari Raya
(Business men have taken over Deepavali and Hari Raya)
Oleh: MGG Pillai - 25-10-2005 09:51 am - Laman M@RHAEN
Para peniaga telah menguasai Deepavali dan Hari Raya Puasa. Seperti yang mereka lakukan kepada Krismas pada tahun 1930 dulu. Ketika itu ekonomi sedang merudum. Sejak itu Krismas tidak lagi menjadi majlis sambutan keagamaan seperti yang dilakukan sebelum itu. Sambutannya lebih tertumpu kepada keutamaan perniagaan sahaja.Kini, Deepavali dan Hari Raya Puasa sudah semakin mejadi satu perusahaan perniagaan. Apatah lagi dengan adanya bantuan daripada pihak yang berkuasa. Saya tinggal di Brickfields. Jalan-jalannya dipenuhi para peniaga daripada Malaysia dan India yang berniaga di hadapan kedai-kedai di sepanjang Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Travers. Mereka mudah mengganggu orang yang lalu lalang atau orang yang semacam saya yang kerap pergi ke restoran di sana. Mereka mendapatkan lesen perniagaan melalui orang tengah untuk membolehkan para pegawai menerima wang sogokan. Permintaan secara terus tidak dilayan Kerana itu lesen yang bernilai RM250 sudah menjadi RM10,000 untuk berniaga selama satu bulan. Anak lelaki KPN telah ditangkap kerana membuat duit melebihi yang sepatutnya. Kawasan lapang di belakang KL Sentral dulu pernah dijadikan satu kawasan meletak kereta. Kini ia menjadi satu tapak jualan di mana para peniaga melalak memperaga kek daripada India yang dijual dalam keadaan yang kotor, selalu terdedah sehingga lalat boleh bertelur sebelum anda membelinya. Restoran yang kerap saya kunjungi berjaya membeli tapak gerai di hadapannya tetapi orang lain tidak bernasib seperti itu. Pada waktu yang sama kita kerap mendengar iklan di radio dan TV kerajaan dan juga swasta bahawa anda akan menyumbang bakti menjelang Deepavali dan Hari Raya Puasa seandainya anda membeli daripada para peniaga di situ.
Pada 1930-an dulu, perniagaan di Amerika Syarikat telah merudum sebelum ekonomi dunia jatuh terperosok. Orang tidak pergi berbelanja di kedai kerana mereka tidak punya wang dan pekerjaan. Kerana itu satu kumpulan orang perniagaan telah berkumpul dan membuat keputusan menyuntik iklim perniagaan untuk menggerakkan dagangan mereka. Ada seseorang yang terfikir menjadikan suasana Krismas kepada keadaan yang dilihat hari ini. Mereka menggunakan nama St. Nicholas dan menukarnya menjadi Santa Claus. Kejayaan mereka dapat dilihat hingga ke hari ini. Hari ini, merata dunia musim Krismas sudah bermula. Di Malaysia kerana Deepavali dan Hari Raya akan menjelma tiba, upacara Krismas akan diadakan lambat sikit. Upacara Krismas sudah berubah di kalangan penganut Kristian. Mereka kononnya menyambut hari kelahiran Jesus Christ (Nabi Isa a.s.) pada 25 Disember, sedangkan itu bukanlah tarikh kelahirannya yang sebenar. Banyak penganut Kristian daripada fahaman berbeza termasuk Syria dan mereka di bahagian Timur, menyambut Krismas 12 hari selepas dunia sejagat menyambutnya. Tetapi siapa kisah perkara itu. Orang Kristian sebenarnya menyambut satu upacara pagan (orang yang tidak bertuhan) pada hari kelahiran Jesus untuk menarik kumpulan pagan ini menganut agama Kristian.
Krismas bukan semacam dulu lagi. Tetapi apakah Deepavali dan Hari Raya memang semacam yang dulu-dulu juga? Saya telah menelefon seorang duta negara Timur Tengah. Beliau sedang berpuasa seperti yang dilakukan oleh umat Islam pada bulan Ramadan. Beliau berkata beliau mulakan sahur dengan memakan kurma dan meminum satu gelas susu. Waktu berbuka, itu juga amalannya sebelum solat Maghrib. Selepas itu beliau makan malam (sekali sahaja dalam sehari) pada jam 9.30 malam. Inilah yang sepatutnya. Tetapi bulan Ramadan di Malaysia merupakan bulan memuaskan nafsu makan. Memang benar orang Islam yang kaya-raya turut berpuasa. Tetapi, mereka gandingkan puasanya itu dengan makan banyak ketika berbuka puasa. Amanat Nabi telah mereka lupakan kerana setiap umat Islam di Malaysia menunjuk-nunjuk betapa mereka banyak wang dan betapa mereka mampu berbelanja besar di restoran setiap hari. Bulan Ramadan menjadi satu bulan di mana golongan kaya menunjukkan kekayaannya. Ia menjadi satu pesta pembaziran. Bandingkan pula telatah itu dengan umat Islam yang miskin membeli hanya apa yang termampu untuk membuka puasa mereka. Golongan semacam ini lebih jelas imannya berbanding mereka yang berbuka puasa di hotel bertaraf empat bintang. Kalau berbuka puasa di rumah pula, golongan kaya menjemput sahabat handai yang sekandang dengannya sambil melupakan amanat Nabi lagi. Ini bukan masanya untuk perniagaan istimewa. Ajaran Islam dipatuhi mengikut kehendak umat Islam Malaysia yang kaya-raya sahaja.
Begitu juga halnya dengan Deepavali. Sudah tidak ada lagi cara menyambut Deepavali dengan mematuhi ajaran agama. Pada waktu dulu, Deepavali merupakan sambutan keluarga semata-mata. Saya tidak menyambut Deepavali tetapi saya pastikan saya mandi minyak dan berdoa sama ada di rumah ataupun di kuil yang berhampiran. Pada hari itu kami tidak menyediakan kek untuk orang lain, walaupun kami adakan juga sedikit juadah kalau ada tetamu yang datang. MIC sudah terlalu pandai menukarkan upacara Deepavali menjadi satu kejayaan komersial. Presiden parti itu, Dato S. Samy Vellu sedang sibuk merungut kekurangan gerai untuk penjual yang menyambut Deepavali, sedangkan beliau sedar itu adalah satu upacara keagamaan. MIC menguasai serba-serbi menyangkuti orang India. Itulah pandangan Barisan Nasional. Orang-orang yang membodek Samy menentukan tidak ada pandangan lain mengenai Deepavali selain apa yang dikatakannya. Inilah puak yang menguasai semua pertubuhan Hindu dan pertubuhan ini tidak akan memberikan nasihat kepada Samy Vellu ataupun membantah sikap beliau memperdagangkan Deepavali. Tidak lama lagi Deepavali dan Hari Raya akan bertukar menjadi satu institusi dan perniagaan akan mengambil alih upacara itu. Seperti Krismas yang didagangkan merata dunia walaupun di negara yang tidak ada kaum Kristian.
Budaya menghantar Kad Raya dan Kad Deepavali adalah meniru budaya Krismas. Ada kad yang dihantar kepada si penerima yang tidak pun dikenali oleh si pengirimnya, tetapi dibuatnya juga kerana mahukan bisnes. Beliau kata beliau tidak kisahkan itu. Semua itu sama ada pelanggannya ataupun orang yang memberi peluang perniagaan kepadanya. Sebagai seorang yang beragama Hindu saya tidak meraikan Deepavali tetapi diberikan pula Kad Deepavali, Kad Raya dan Kad Krismas daripada orang yang saya tidak kenali. Kini saya sudah separuh bersara, ramai yang tidak menghantarkan kad lagi. Saya pernah menerima 1,000 kad daripada penganut Kristian, Hindu, Islam dan Buddhist semasa perayaan mereka. Kini saya terima hanya 20 peratus daripada jumlah itu. Selalunya kad itu tidak membawa sebarang makna kepada si pengirim ataupun si penerimanya. Orang yang menghantar kad itu, kalaulah beliau seseorang dalam satu pertubuhan, tidak pun tahu beliau ada menghantar kad kepada anda. Selalunya kad itu diletak untuk ditandatangani, ataupun disain bagi pihaknya oleh Setiausahanya. Kalau semua orang menghantar kad, beliau mesti juga melakukannya.
Golongan moden yang beragama Hindu dan Islam di Malaysia tidak tahu fadilat upacara agama itu semua. Kerajaan dan sektor awam memang mahu mereka melupakannya. Supaya mereka boleh buat duit. Dalam bulan (perayaan) begini memang terdapat lebih banyak kegiatan rasuah berbanding bulan-bulan yang lain. Pegawai polis menyorok di sebalik tiang dengan harapan ada pemandu yang melanggar undang-undang. Wang bertukar tangan sebagai ganti mengeluarkan saman. Polis yang meronda selalu sangat mempunyai seorang wakil untuk menerima rasuah. Jadinya kedua-duanya menerima wang itu. Ada seorang pemandu teksi memberitahu saya bagaimana beliau mengangkut seorang pelanggan ke lapangan terbang dan oleh kerana beliau memandu sedikit perlahan, beliau disuruh (oleh penumpangnya) supaya memandu lebih laju, dan itulah yang dipatuhinya. Dua bulan kemudiannya, beliau telah menerima satu saman kerana memandu laju di jalan menghala ke lapangan terbang itu. Pada waktu itu beliau tidak ingat siapa penumpangnya, untuk mendapatkan wang itu. Beliau terpaksa membayar RM300 untuk tambang bernilai RM70. Sepatutnya semasa menyambut perayaan, kenapa pula menuntut wang sogok. Perkara semacam ini tidak dihiraukan oleh pegawai Melayu, Cina ataupun India. Mereka mengambil rasuah itu sama sahaja setiap hari.
Sudah menjadi satu petua, lagi banyak undang-undang yang diluluskan, lagi korup sesuatu masyarakat itu. Begitulah yang berlaku di India dan begitu juga di Malaysia. Hanya puak yang sedang berkuasa yang berkata tidak ada korupsi. Mereka penjarakan sesiapa yang berkata adanya rasuah. Kerana itu Deepavali dan Hari Raya merupakan ‘open sesame’ (semacam samar ingseng - kata laluan buka gua) untuk korupsi. Untuk membiakkan rasuah, semua upacara keagamaan mesti ditukarkan menjadi satu pesta membuat duit. Selalunya itulah kerja pegawai kerajaan. Pesta jualan Hari Raya dan Deepavali memang tidak adil kepada orang awam tetapi dikira adil untuk golongan ahli perniagaan, pegawai kerajaan dan kerajaan. Selagi itu menjadi amalannya, perdagangan akan diteruskan. Orang atasan memang korup, dan mereka memberi peluang kepada orang dalam perkhidmatan kerjaan menerima rasuah. Kerana itulah Deepavali dan Hari Raya Puasa menjadi satu usaha komersial.
- MGG Pillai
pillai@streamyx.comhttp://www.mggpillai.com/article.php3?sid=2141
Terjemahan MT-SPAR - 26.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.