![]()
TAG 1893:
Pengaruh Desas-desus dan di Mana Malaysia Tersilap
(The power of rumours, and where Malaysia went wrong)
Oleh: MGG Pillai - 20-10-2005 10:54 am - Laman M@RHAEN
Pegawai kerajaan Malaysia telah memberikan penghormatan yang sama kepada Perdana Menteri dan ahli keluarganya seperti mana mereka menghormati keluarga DiRaja. Khamis yang lalu (20 Oktober, 2005) kita telah melihat gelagat ini semasa pengkebumian isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood. Almarhumah bukanlah Wanita Pertama seperti yang disebut oleh surat khabar dan rangkaian televisyen. Malahan bukan Wanita Kedua Negara kerana kehormatan itu adalah milik isteri kepada Timbalan Yang DiPertuan Agong. Ini bererti Almarhumah bukan jua Wanita Negara yang Ketiga, tetapi bolehlah disebut sebagai Wanita Negara Keempat Belas di bawah senarai nama Permaisuri Sultan dan isteri-isteri Yang DiPertua Negeri. Saya bersedih dengan pemergiannya dan ini akan lebih membebankan tugas Paklah lagi. Semoga Paklah mempunyai keberanian dan kecekalan menghadapi masa depannya yang sungguh mencabar.Kini sudah muncul desas-desus adanya ahli UMNO yang mahu mencabar beliau bagi jawatan Presiden UMNO. Kononnya, seandainya ada seorang tertentu yang mencabar Paklah, insan itu akan berjaya menumpaskannya.
Bagaimana pun Perdana Menteri kelihatan sudah menjadi semakin ‘imperial’ (kuasa seorang maharajah) walaupun dia semakin kehilangan cengkaman ke atas Ahli Majlis Tertinggi parti dan terhadap panglima perang dalam parti. Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, dia memang mempunyai kuasa besar, tetapi dia mesti sentiasa berjaga-jaga kerana ramainya musuh politik dalam parti sendiri. Apabila dia tidak boleh menyingkir dua orang menteri kabinet setelah mereka didapati bersalah oleh parti dan rakyat jelata, adalah bukti kelemahannya. Kalau bukti lain diperlukan lagi, ialah kelewatan beliau merombak kabinet bekas ketuanya dua tahun dulu sejurus mengambil-alih jawatan dan selepas selesainya pilihan raya umum tahun lalu.
Almarhumah Endon pernah menemani suami beliau menziarahi saya di rumah selepas saya menjalani pembedahan jantung tujuh belas tahun dulu, Tidak berapa lama kemudian hatinya jadi tersentuh kerana saya mengkritik suaminya bukan sebagai kritikan peribadinya tetapi sebagai seorang Perdana Menteri. Memang jelas beliau tidak tahu membezakan kritikan peribadi dengan kritikan ke atas jawatan. Saya sentiasa dapat menjalin persahabatan yang baik dengan Paklah setiap kali kami bersua muka, tetapi peluang begitu semakin jarang sekarang ini sejak beliau menetap di Putra Jaya dan saya di Kuala Lumpur. Waktu ini saya tidak lagi boleh memandu , selepas menghidap serangan angin ahmar
Saya memang menyukai Almarhumah. Akan tetapi ini tidak bermakna saya tidak boleh mengkritik pegawai kerajaan yang memberikan layanan Wanita Pertama Negara kepada Almarhumah semasa pengkebumiannya seolah-olah Almarhumah adalah orang istana. Inilah pertama kali isteri seorang Perdana Menteri meninggal semasa suami masih berkuasa. Dulu, kita mempunyai seorang Perdana Menteri (Tun Razak) yang meninggal semasa dalam jawatan. Pada kali ini kita telah melihat bagaimana pegawai kerajaan jadi gelabah seolah-olah tidak tahu apa yang mesti mereka lakukan. Perdana Menteri adalah penjawat yang dilantik, dan kematian isterinya betapa pun meremukkan hati, tidak memestikan rencana radio dan TV ditukar kepada pembacaan ayat suci Quran bermula daripada 10 pagi hinggalah selesai pengebumian itu. Setiap hari ada sahaja umat Islam yang meninggal dunia, dan radio dan TV tidak pun menukar rancangan biasanya sebelum pengebumian mereka. Kenapa pula kematian isteri seorang Perdana Menteri menjadi penyebabnya?
Akan tetapi pejabat Perdana Menteri mesti diberikan kepujian kerana mengumumkan kematian itu dalam masa satu jam. Endon menghembuskan nafas terakhir pada 7.55 dan Radio dan TV mengumumkannya pada 8.27 pagi. Pada keseluruhannya negara ini mengetahui kematian itu melalui desas-desus yang tersebar luas. Pengumuman radio dan TV telah memadamkan berita angin itu. Tindakan ini memang amat berbeza dengan amalan yang terdahulu. Pernah terjadi apabila seorang Yang DiPertuan Agong, ketika itu Sultan Kelantan, telah mangkat, bendera di Istana Negara telah dipasang setengah tiang, tetapi rakyat belum diberitahu mengenainya sehinggalah beberapa jam kemudian. Saya telah memberitahu BBC tempat saya bertugas sebagai wartawan bebas, dan si editor ketika itu telah meminta penjelasan Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk memperakukannya. Pegawai itu memperakukan kematian itu. Lantas pengumuman pun dibuat oleh BBC. Rakyat mengetahui berita rasmi kerajaan mengenai kematian itu dua jam kemudiannya.
Dalam kisah kematian Datin Seri Endon, pengumuman kematiannya telah disiarkan sebelum desas-desus dapat bertiup kencang. Pihak berkuasa telah bertindak bijak. Apabila ada amalan baru memberikan berita kepada rakyat sebaik sahaja kejadiannya, sudah tentu berita kematian isteri Perdana Menteri tidak boleh ditangguh-tangguhkan lagi.
Akhbar The New Straits Time hari ini telah memarahi rakyat jelata kerana mencadangkan kematian mantan Timbalan Perdana Menteri. Kononnya, Tun Ghafar Baba yang berusia 80 tahun sudah meninggal dunia. Beliau telah berada di Wad ICU, Hospital Pantai dan sedang sakit tenat. Perdana Menteri dan tetamu lain sudah pun menziarahinya, walaupun beliau tidak dibenarkan menerima tetam. Sebenarnya persiapan untuk mengalihkannya ke sebuah hospital di England telah menyebabkan berita angin itu. Saya belum berjumpa beliau sejak diserang angin ahmar dulu. Ketika itu pun dia memang kelihatan tidak sihat. Beliau kelihatan menjadi terlalu gemuk dan ingatan beliau sudah tidak menentu. Beliau pernah dikalahkan dalam pertandingan jawatan timbalan presiden UMNO oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, yang kemudainnya telah dipecat oleh Mahathir Mohamad semasa Anwar sudah menjadi timbalan perdana menteri.
Setelah kalah, Tun Gahafar telah bersara daripada dunia politik dan dipinggirkan oleh media perdana. Lagipun beliau telah menjadi begitu lantang mengkritik beberapa dasar kerajaan. Tetamu yang datang menemui beliau di Bangsar adalah orang biasa sahaja. Mereka datang dengan ikhlas Tetapi mereka menyebarkan berita angin kerana kekurangan maklumat rasmi kerajaan. Tun Ghafar telah berada di hospital selama sebulan tetapi adakah sebarang maklumat mengenainya? Dia mungkin merupakan orang biasa pada hari ini, tetapi satu ketika dulu dia merupakan seorang yang ternama. Berita angin tidak boleh tersebar luas seandainya para pegawai mengeluarkan maklumat yang secukupnya. Cadangan bahawa rakyat menyebarkan berita angin adalah tidak benar. Apabila mereka terpaksa mendengar berita angin yang kemudiannya ternyata betul sudah tentu mereka menyebarkan berita angin itu. Mereka tidak teragak-agak berbuat demikian kerana media rasmi dan mereka yang rapat dengan Barisan Nasional tidak mahu menyiarkannya ataupun sengaja menyebarkan pembohongan. Kebanyakan laporan berita yang kita terima adalah memihak kepada kerajaan dan selalunya tidak berguna kepada rakyat jelata.
Kalau pun ada surat khabar yang memaparkan kebenaran, berita itu mengambil masa sampai kepada para pembaca. Saya menetap di Kuala Lumpur dan hanya kira-kira satu batu jaraknya daripada pejabat pengedaran akhbar. Namun, saya menerima akhbar langganan saya pada 10 pagi setiap hari. Saya tidak kisah sangat kerana saya membaca internet pada awal pagi. Akan tetapi saya telah diberitahu kelmarin bahawa di beberapa tempat mereka yang ketiadaan komputer akan mendapat berita itu selewat-lewatnya pada keesokan harinya. Seandainya dia tidak mempunyai ASTRO program, dia terpaksa bergantung pada berita angin yang akhirnya selalu membawa kebenaran juga.. Kerana itu penyebaran berita angin di Malaysia tidak mempunyai niat jahat. Surat khabar, radio dan TV tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan mereka dengan cara memberikan berita yang tidak berguna, berita palsu ataupun lambat mengedarkan akhbar mereka.
Cuba kita renung kembali kisah penyakit Datin Seri Endon. Beliau telah menerima rawatan di California dan mereka yang rapat dengannya tidak memberitahu rakan-rakan mereka apa yang dihadapinya. Akan tetapi rakyat Malaysia sedar hayatnya tidak akan lama apabila dia menerima rawatan di Malaysia dan akhbar Malaysia melaporkannya sebagai satu buletin perubatan beberapa hari sebelum kematiannya. Apabila doktor ditemuramah oleh akhbar menunjukkan penyakitnya sudah serius. Apabila pemimpin agama lain (bukan-Islam) berkumpul mendoakan beliau, memang jelas harapan sudah semakin menghilang. Hanya menunggu masa sahaja. Tetapi kenapakah pihak berkuasa menangani desas-desus yang bertiup kencang? Ketika itu saya adalah semacam rakyat Malaysia lain yang boleh mengagak masa beliau sudah sampai. Jadi apakah kita semua menyebarkan berita angin?
Kenapakah rakyat tidak diyakini dan diberitahu apa sebenarnya yang mengena isteri Perdana Menteri? Kenapakah berita angin dibenarkan membiak mengenai kesihatannya? Apa boleh kita buat, seandainya berita angin dibiarkan berleluasa tanpa maklumat dan berita yang benar, angkara pegawai serta kakitangan pejabat beliau enggan menjawab soalan? Kenapakah para pegawai memberitahu apa yang mengenainya, supaya desas-desus tidak merebak? Apa gunanya merungut seperti yang berlaku kepada The New Straits Times pagi tadi mengenai kesihatan Tun Ghafar Baba. Beliau yang sedang sakit di wad ICU dikatakan sudah mati sedangkan persiapan masih dibuat untuk menghantarnya ke United Kingdom. Kalaulah rakyat jelata diberitahu akan penyakitnya di setiap tahap, mungkin juga desas-desus itu tidak merebak begitu hebat.
Kali pertama rakyat mengetahui penyakit Ghaffar ialah semasa Perdana Menteri dan tetamu lain pergi menziarahi beliau di hospital. Barulah rakyat tahu bahawa dia sudah tidakmampu bersuara. Akan tetapi kita memang mempunyai tabiat mrlupakan pemimpin kia yang lama, bermula dengan Tunku Abdul Rahman Putra. Sebelum menghembuskan nafas terakhir Tunku telah meminta agar dia dikebumikan di makam diraja di Kedah, di mana ramai wara istana dikebumikan. Pesanan itu melegakan satu maslaah besar di mana patut dikebumikan beliau kalau terpaksa diadakan di Kuala Lumpur. Ketika itu ramai pegawai yang merasa lega takut-takut tersilap memberikan penghormtan kepadanya. Itulah jadinya kalau dasar kerajaan tidak dirangka dengan teliti. Saya tidak fikir kalau tiba masa beliau nanti, Paklah mahu dikebumikan di perkarangan Masjid Negara sedangkan isterinya di kebumikan di Putra Jaya.
Apapun, di sebalik kehebatannya Datin Sri Endon tidak seharusnya diberikan penghormatan diraja. Lainlah kalau tujuan berbuat begitu ialah untuk menggantikan keluarga diraja dengan Perdana Menteri. Kalau begitu, kita harus diberitahu dulu dan bukan dikejutkan seperti yang sudah berlaku
- MGG Pillai
pillai@streamyx.comhttp://www.mggpillai.com/article.php3?sid=2139
Terjemahan MT-SPAR - 24.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.