TAG 1891:
Kemalangan Maut Berterusan di Jalanraya Kita 
(Continuing Carnage On Our Carriageway)
Oleh: M. Bakri Musa - MalaysiaKini - 18/10/05 - Laman M@RHAEN

Setiap hari kerugian insani dan ekonomi disebabkan kemalangan maut di jalanraya kita tidak menyerlah gara-gara tajuk besar yang memaparkan kenderaan yang rosak teruk dan badan manusia yang remuk-redam.

Bencana yang menimpa manusia memang tidak ternilai. Tidak ada cara mengukur kesedihan mereka yang kehilangan orang yang tersayang, ataupun kesakitan dan penderitaan. Kesan ekonomi memang boleh dicongak dan itu sahaja mewajarkan usaha untuk memperbaiki isu yang berbangkit.

Sebagai seorang pakar bedah saya amat sedar perasaan manusia ketika dihantui tragedi. Beberapa tahun dahulu, semasa bulan Ramadan, ada sebuah kereta yang mengandungi empat orang pelajar Indonesia telah mendapat kemalangan di satu lebuhraya yang berbahaya di pinggir pekan tempat saya tinggal. Salah seorang penumpang telah terbunuh. Polis mendapati kesukaran menghubungi keluarga si mati. Mujurlah saya dapat membantu.

Saya telah memperkenalkan diri sebagai seorang pakar perubatan menelefon daripada sebuah hospital di California. Si ibu telah merayu agar saya mengatakan bahawa anak perempuannya itu selamat. Kelewatan saya memberikan jawapan, memberikan gambaran berita buruk yang akan didengarnya. Saya telah memperakukan syak wasangka si ibu itu. Selepas menangis tersedu-sedu untuk beberapa ketika, dia merayu agar saya sembahyangkan mayat anaknya. Permintaan itu telah saya laksanakan.

Selepas tiga dekad sebagai seorang pakar bedah, saya telah melihat ribuan babak semacam itu, ataupun beberapa kelainannya. Saya juga telah menulis beberapa kertas kajian mengenai perkara itu.

Kerugian terhadap harta benda adalah tinggi, namun itu adalah sekelumit sahaja kalau dibandingkan dengan perbelanjaan perubatan dan pemulihan. Kerugian dari segi pendapatan si mati dan mereka yang cacat memang kecil berbanding keperluan perubatan.

Kos memperbaiki jalanraya dekat pekan saya itu telah mendapat pulangan berkali ganda dalam bentuk penjimatan daripada memberikan rawatan kepada pihak yang tercedera.

Malangnya, seperti masalah besar yang lain di Malaysia, keselamatan jalanraya tidak diberikan perhatian utama oleh para pemimpin yang sepatutnya menyentuh perkara itu ketika berucap di perhimpunan ramai, dan disusuli dengan komen yang berterusan. Masalahnya ialah menganggap sesuatu itu sudah beres dan diikuti oleh sikap melupakannya. Dalam ucapan saya kepada orang Amerika yang disalinkan ke Malaysia, ada satu topik yang saya tekankan mengenai keselamatan diri, khususnya keselamatan jalanrya. Bagaimanpun kita kira, apabila diambil nisbah penduduk, jarak jauh perjalanan, jumlah kereta dan kenderaan di jalanraya – kemalangan di jalanraya Malaysia adalah antara yang tetinggi, lebih besar gandanya dengan catatan kejadian di Amerika.

Jalanraya, kenderaan, pengguna

Kita boleh belajar dari orang lain. Kemalangan bukan boleh terjadi begitu sahaja; kita boleh merancang dan mengajar keselamatan jalan raya. Terdapat tiga nisbah: jalanraya, kenderaan, dan para pengguna.

Saya terkejut bila mengetahui kurangnya kemudahan kesalamatan di jalanraya Malaysia. Banyak bahagian lebuhraya yang sibuk tidak mempunyai ciri-ciri keselamaan untuk mengelakkan kemalangan dalam bentuk pertembungan berdepan. Persimpangan yang sibuk dan sesak mempunyai jalan keluar dan laluan percantuman yang amat pendek. Inilah yang mencetuskan keadaan berbahaya disebabkan kereta terpaksa tertahan dan berasak-asak. Tanda jalan tidak berapa jelas, dan kalau adapun, kedudukannya kerap dilindungi oleh papan iklan ataupun pepohon yang tumbuh liar. Selekoh jalan dibina tanpa bahu jalan yang cukup bentengnya. Tidak ada “lampu pintar” yang boleh bertukar warna apabila tidak ada kenderaan di sesuatu hala. Persimpangan yang mempunyai “bulatan” dan tanda “berhenti” sentiasa padat.

Semua ini adalah perkara asas, ditulis mengikut bentuk lakaran jalan dalam semua buku panduan. Kalaulah kos menghantar jurutera kita keluar negara untuk mempelajari ciri-ciri keselamatan ini dianggap mahal, eloklah didapatkan pakar-pakar asing untuk mengajar orang orang kita di Malaysia.

Amerika juga pernah mengalami kadar kemalangan jalanraya yang begitu dahsyat antara 1950-an dan 1960-an, sejurus siapnya sistem lebuhraya antara wilayah. Sejak itu ‘design’ (rekaan) jalanraya sudah bertambah baik dan kadar kemalangan pun turut menurun.

Dua bentuk kemajuan telah terjadi secara berangkai: kereta yang semakin baik buatannya di mana ciri-ciri keselamatan diberikan keutamaan, dan pendidikan pemandu yang semakin canggih.

Kereta di zaman ini mempunyai tali pinggan keledar, beg udara, brek anti-kunci, dan rangka-bingkai yang semakin teguh. Penasihat pengguna seperti Ralp Nader telah banyak menyumbang terhadap mendesak supaya ciri keselamatan diberikan keutamaan dalam rekaan dan pembikinan kereta.

Amerika mempunyai ‘tort system’ (sistem tort) yang mengenakan denda yang tinggi kepada para pembuat kereta seandainya mereka mengabaikan ciri-ciri keselamatan dalam menghasilkan barangan mereka.

Mekanik kereta perlu mendapat sijil dan bertanggungjawab dengan tugas mereka. Kerana itu mereka gunakan alat ganti yang tulen sahaja. Kerja membaik-pulih brek kereta yang dibuat sambil lewa boleh menjadikan satu perjalanan bersantai di kampung bertukar rupa dan mencetuskan kemalangan maut di lebuhraya. Setiap tahun kereta perlu menjalani pemeriksaan untuk menentukan kadar pelepasan asap. Pemeriksaan begini memberikan peluang kepada mekanik memberitahu tuan punya kereta kalau ada brek yang sudah haus, tayar yang botak dan kemungkinan bahaya yang lain.

Pemandu juga telah meningkatkan kepintaran mereka, melalui sekolah memandu. Warga emas dan mereka yang menghadapi masalah penglihatan dan penyakit seperti kencing-manis, dan sawan memerlukan kelulusan perubatan sebelum diberikan lesen memandu. Terdapat pengumuman khidmat awam yang selalu dihebahkan yang memberikan panduan keselamatan jalanraya seperti jarak yang perlu dipatuhi kalau mengekori sebuah kereta di hadapan bagi setiap kelajuan 16 km/j (10 bsj).

Para pemandu telah dididik betapa wujudnya kelewatan dalam kemampuan manusia bertindak. Pada kadar perjalanan 48 km/j (30 bsj), tentulah tidak berapa ketara, tetapi kalau kereta dipandu laju di lebuhraya, bencana kelewatan bertindak balas itu boleh membawa maut.

Bahaya meminum arak dan memandu laju selalu diberikan penekanan, dan dikuatkuasakan melalui pemeriksaan ketat di tepi jalan secara rambang. Mujurlah Malaysia tidak dihantui sangat oleh bahaya semacam ini. Tetapi sudah wujud satu bahaya yang tidak berapa diumumkan: yakni dadah.

Kenaikan harga minyak mempunyai satu bentuk bonus keselamatan; pemandu sudah kurang menggunakan kenderaan mereka dan kalau memandu pun mereka jarang suka memandu laju.

Rasuah yang Menjadi-jadi

Pembaikan pada jalan raya, kereta dan pengguna tidak akan membawa makna seandainya keseluruhan sistem tidak berfungsi.

Penyumbang terbesar yang menjahanamkan sesuatu sistem ialah rasuah yang berterusan. Korupsi yang muncul dalam pemberian tender kontrak membawa kesan kepada pembinaan jejambat yang mudah runtuh, jambatan yang goyah dan lebuhraya yang dibuat dengan mutu piawaian yang rendah. Ini tidak termasuk sebutharga yang sengaja dikembungkan. Tanpa rasuah, wang yang dapat dijimatkan itu mampu digunakan untuk memperbaiki ciri-ciri keselamatan.

Korupsi di Jabatan Pengangkutan Jalan berkesudahan dengan pengeluaran “lesen kopi-o” yang pastinya menjadi satu bahaya kepada si pemegang lesen itu dan juga kepada pengguna jalanraya. Dasar nasional yang berbaur rasuah membolehkan pembuat kereta melupakan ciri-ciri keselamatan dalam pembuatan mereka. Kerana inilah pembuat kereta asing memilih negara ini sebagai pasaran terbaik untuk melambakkan kereta mereka yang cacat pembikinannya.

Korupsi yang menjadi-jadi di kalangan penguatkuasa terutama sekali polis trafik dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan, menyumbang banyak dan memburukkan masalah. Kesalahan lalu lintas daripada memandu laju kepada trak yang membawa muatan berlebihan selalunya diselesaikan (melalui fahaman ‘kautim’) di peringkat tempatan. Pesalah dan penguatkuasa sudah tentu sama-sama menikmati faedah daripada amalan rasuah begini, tetapi masyarakat terpaksa membayar satu harga yang tinggi.

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada kepincangan ini ialah perundangan yang bertimbal-balik. Jabatan Pengangkutan Jalan melalui Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) memeriksa kenderaan komersial. Tetapi, polis trafik tidak pun ada mekanik bila memeriksa kenderaan (yang mereka anggap) berbahaya yang berada di jalanraya. Di Amerika, trak yang didapati tidak selamat ditarik keluar jalan dengan serta merta oleh peronda lebuhraya sehingga masalah itu diperbetulkan. Pemilik kenderaan seperti itu dikenakan denda yang berganda dan mereka kerugian lagi kerana tidak mampu menggunakan kenderaan mereka. Tindakan begini merupakan pengajaran yang berkesan.

Memang banyak lagi cara menyelesaikan masalah keselamatan jalanraya daripada lalakan yang tidak henti-henti agar pemandu berhati-hati. Kalau kita ketepikan pertimbangan insani, tuntutan kemestian ekonomi memerlukan kita mencari penyelesaiannya secara agresif dan menyeluruh.

Terjemahan MT-SPAR  - 22.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.