![]()
TAG 1888:
Usah Terburu-Terburu Dengan Saddam.
Dunia Arab Mahu Menyaksikan Perbicaraannya
(Don’t hurry over Saddam. The whole Arab world needs to watch this trial)
Oleh: Amir Taheri - The Times London - 19/10/05 - Laman M@RHAEN
“Apa yang terbaru?" merupakan soalan yang biasa dilontarkan oleh orang Iraq ketika mereka berkumpul untuk minum teh dan bertukar berita di waktu yang penuh harapan dan ketidaktentuan. Ada juga suara yang menjawab melaporkan terjumpanya satu tapak kubur yang baru mengandungi ramai mangsa pembunuhan Saddam Hussein. Mengikut taksiran yang terkini, rangka mayat lebih 200,000 mangsa, kesan pemerintahan 35 tahun oleh Arab Socialist Baath Party, telah dijumpai.Namun, apabila perbicaraan diktator itu bermula hari ini, dia hanya menghadapi satu tuduhan: pembunuhan beramai-ramai 143 lelaki, perempuan dan kanak-kanak di sebuah kampung bernama Dujail pada 1982. Turut bersama beliau di mahkamah itu ialah adik tirinya Barzan al-takriti, yang mengepalai perkhidmatan rahsia regim, dan Taha al-Jizwari, yang memerintah pasukan Popular Corps, satu pasukan tentera pembunuh.
Kes Projek Anfal di mana 1280,000 orang Kurdis telah dibunuh beramai-ramai, tragedi Halabja, di mana 5,000 orang telah disembur dengan gas saraf, dan pembunuhan selama satu minggu di selatan Iraq pada 1991, masih ditangguhkan untuk sementara waktu.
Para peguam di mahkamah tribunal istimewa dari mana Saddam dan tujuh orang lain yang tertuduh, berkata bahawa Dujail adalah satu kes pembunuhan yang membabitkan mangsa yang keseluruhannya daripada puak Shiah. Kes ini telah terpilih kerana mudah mendapatkan saksi dan bahan bukti yang banyak bagi kemudahan pihak pendakwa. Saddam dan para penyokongnya termasuk Roland Dumas yang pernah menjadi Menteri Luar Peranchis, dan mengepalai satu barisan peguambela, mendakwa bahawa kes Dujail merupakan satu usaha majoriti Shiah membalas dendam. Strategi para peguambela ialah merobah imej Saddam daripada manusia yang paling kejam dalam sejarah bertukar kepada seorang mangsa yang tidak diberikan keadilan.
Kerana itu, pihak yang berkuasa di Iraq, terpaksa menjelaskan pada mulanya bahawa kes Dujail adalah salah satu kes daripada satu siri jenayah yang dilakukan oleh Saddam Hussein dan para penjilatnya.
Berjuta manusia yang pernah merana di tangan regim Saddam dulu tentu akan merasa lega melihatkan Saddam dikenakan hukuman secepat mungkin. Mahkamah ungka memang sudah lama wujud di Iraq. Ia bermula dengan satu perbicaraan yang ditunjukkan di TV terhadap Fadhil al-Mahdawi di bawah Kolonel Abdul Karim Qassim pada 1958. Perbicaraan al-Mahdawi menjadi terkenal kerana ia dilangsungkan selama 15 minit sahaja, selalunya dengan hukuman mati. Apabila Saddam merampas kuasa dia telah memendekkan waktu itu kepada dua pertiga sahaja dan menambah satu lagi pembaharuan: orang yang dituduh dihukum mati secara ditembak oleh bekas komradnya dan hukuman itu dirakamkan oleh TV yang memberikan siaran lintas langsung.
Iraq sudah bebas sekarang (kononnya – penterjemah.) Banyak yang sudah berubah mengikut sistem demokrasi. Apa perlunya terburu-buru menghukum Saddam hingga mati. Para penyelidik sudah pun mengumpulkan 40 tan dokumen, lebih 10 juta muka surat mengandungi testimoni dan laporan forensik daripada lebih 297 kubur beramai-ramai. Ini tidak termasuk bahan bukti yang didapatkan daripada Iran dan Kuwait, di mana ramai lagi yang merana disebabkan serangan Saddam.
Yang diperhitungkan sekarang ialah nasib seorang diktator yang kejam dan para penjilatnya. Iraq dan dunia Arab keseluruhannya di mana masih ramai yang menghormati Saddam sebagai wira mereka, perlu satu pengajaran yang mendalam untuk memahami sejarah dan etika politik.
Mengikut Khalil al-Dulaimi yang mengepalai pasukan peguam Arab membela Saddam, diktator yang tumbang itu ingin mempamerkan imej beliau sebagai “penegak nilai pan-Arab”. Tindakan mereka akan dialu-alukan oleh para hakim kerana memberi ruang kepada mereka memainkan peranan yang lebih besar. Mereka bercadang menggunakan model perbicaraan berasaskan mahkamah tentera yang menjadi begitu popular di dunia Arab sejak berlakunya rampasan kuasa di Mesir pada 1952. Saddam Hussein kini merupakan satu lambang pemimpin zalim berteraskan pembabitan perkhidmatan tentera dan keselamatan (polis). Cara kezalimannya telah ditiru dan dilaksanakan di beberapa negara Arab pada waktu yang berbeza dan masih lagi wujud di Libya, Syria dan Sudan. Kerajaan jenis ini sudah wujud sejak 50 tahun dulu, dan inilah yang telah meledakkan sepuluh perang besar, termasuk yang paling lama pada abad dulu: perang Iran-Iraq, 1980-88, yang mengorbankan lebih satu juta nyawa.
Saddam mungkin cuba menonjolkan ketokohannya sebagai juara Sunni Arab di Iraq yang merupakan 15 peratus penduduk negara itu. Hakikatnya puak Sunni adalah juga menjadi mangsanya seperti masyarakat yang lain. (Sebenarnya Saddam lebih bertanggungjawab dengan kematian lebih ramai Sunni berbanding Shiah ataupun Kurdis). Kemudian, dia mungkin cuba menonjolkan diri sebagai wira parti Baath dan idealismenya mengenai sosialisme dan kesatuan Arab. Akan tetapi, lebih ramai anggota parti Baath telah dibunuh semasa Saddam berkuasa berbanding pemimpin lain sejak 1947. Itulah tahunnya parti itu dilahirkan. Ketika merampas kuasa pada 1968, parti Baath mempunyai 18 orang anggota politburo (semacam Majlis Tertinggi UMNO – penterjemah). Setakat 1988, hanya Saddam yang masih bernyawa dan terus berkuasa.
Perbicaraan Saddam akan mendedahkan kuasa negara asing yang membantu beliau untuk mengekalkan regim yang sungguh besar dosanya. Begitu juga dengan barisan ahli politik, diplomat, intelek dan peniaga, ada antara mereka datang daripada Eropah dan Amerika Syarikat untuk bersekongkol dengannya. Seorang Pembantu Setiausaha Agung PBB telah meletakkan jawatannya selepas dikenakan tuduhan pernah menerima sogokan daripada Saddam. Salah seorang diplomat kanan Peranchis kini berada dalam penjara atas tuduhan yang sama. Seorang mantan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, beberapa anggota Parlimen Russia dan beberapa tokoh media Arab sudah pun didedahkan.
Selama tiga dekad Saddam mencengkam kuasa dia telah membelanjakan hampir $200 bilion hasil minyak Iraq hanya untuk membiayai tiga perang besar dan membunuh ratusan ribu orang Iraq. Wang itu juga telah digunakannya untuk membeli pengaruh di Barat. Sebahagian pelaburannya itu akan nampak berbaloi kerana ada satu barisan peminatnya yang dikepalai oleh Peranchis yang bersuara lantang memihak padanya.
Saddam sedang menikmati apa yang pernah dinafikan kepada mangsanya. Dia dibicarakan dengan peguam bela yang dipilihnya sendiri dan segala undang-undang pembuktian yang mengambil kira prinsip keraguan yang wajar. Di sinilah Iraq yang sudah pun mempunyai hukum undang-undangnya, dan akan membicarakan seorang diktator yang zalim dan korup. Dunia Arab akan menyaksikan dan membuat keputusan apakah pilihan hidup mereka. Dunia yang lain harus juga melihat dan membuat keputusan pihak mana yang perlu disokong dalam perhitungan menentukan masa depan Iraq.
Terjemahan MT-SPAR - 21.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.