TAG 1886:
Minoriti India-Malaysia Yang Hanyut
(Malaysia’s minority Indians drift)
Oleh: Baradan Kupusamy - Asiatimes Online 19/10/05 - Laman M@RHAEN

Lebih 150 tahun sejak mendarat untuk bekerja sebagai buruh di ladang getah kepunyaan British, masyarakat minoriti India di Malaysia sedang hanyut tanpa keruan dan tanpa sesuatu yang dapat mereka banggakan di negara baru mereka.

Sekali lagi nasib masyarakat minoriti ini sedang didebatkan dengan hangatnya, dan sekali lagi lahir satu jurang pemisah yang dalam mengenai apa yang menjadi penyebab dan apakah ubatnya.

Iklan Malaysia bagi bidang pelancongan ialah “Truly Asia” memang kena pada usaha menonjolkan imej masyarakat majmuk yang puas, dan hidup penuh kemewahan sedangkan hakikat yang sebenar wujud keresahan yang membara terutama di kalangan masyarakat India daripada kabilah Tamil

Selepas 150 tahun bertungkus lumus di ladang getah dan sawit dan juga di Jabatan Kerja Raya, membina setiap bentuk infrastruktur, kaum India Malaysia memiliki kurang daripada 2% kekayaan nasional, demikian yang dibentangkan oleh para ekonomis  dalam satu forum mengenai masa depan masyarakat India, minggu lalu.

Masyarakat India masih belum terjumpa bakat terpendam mereka, ataupun menjumpai identiti budaya walaupun mereka mengisi 8% daripada sejumlah 25 juta penduduk Malaysia. Mereka merupakan kumpulan yang ketiga terbesar selepas kaum Melayu yang menjadi majoriti dan pendatang Cina.

Pada 2004, India minoriti menyumbang 15% kepada pesalah juvena, melakukan 40% jenayah ganas dan merupakan 50% banduan di penjara. Ini menyerlahkan profil yang biasa dalam satu kelas masyarakat yang daif.

Jumlah Melayu ialah 60% penduduk negara, sedangkan orang Cina yang menguasai ekonomi negara menyumbang seramai 25% daripada jumlah penduduk. Yang lain adalah kumpulan asli yang kecil-kecil.

“Kami tiba di sini dengan sedikit periuk dan kuali, dan tiga hingga empat generasi kemudiannya kami masih di takuk lama,“ kata A.V Kathiah seorang bekas penggiat kesatuan sekerja. “Ada segelintir orang India yang tidak mempunyai apa-apa dan mereka sudah menjadi peminta sedekah. Kami telah dipinggirkan dan dilupakan bukan sahaja oleh negara tetapi oleh pemimpin kaum kami. Kami tidak punya suara dalam membuat dasar dan masa depan kami memang kelam.”

“Pandangan begini memang amat lumrah dan kerap kedengaran, dibincangkan dan ditulis selama beberapa dekad.

Di sebalik keresahan itu ada segelintir orang India yang berjaya dan atas daya sendiri berjaya dalam pengajian mereka dan tidak miskin lagi sehingga ramai yang menjadi doktor, jurutera dan akauntan – begitu juga orang perniagaan.

Akan tetapi ada pakar yang berkata majoriti India Malaysia sudah terjebak dalam satu cara hidup yang menekan.

Minggu lalu, ada seorang perancang unggulan kerajaan telah memberi taklimat kepada 600 cerdik-pandai India. Beliau menyarankan betapa kerajaan mengambil kira masyarakat India apabila menggubal dasar. Beliau meminta para hadirin mengangkat tangan seandainya puas hati dengan tindakan kerajaan itu. “Tidak ada seorang pun yang hadir mengangkat tangannya.” Kata seorang pensyarah universiti yang menghadiri taklimat itu.

Mustapha Mohamed, yang mengepalai Unit Perancang ekonomi kerajaan telah bertanya siapa yang tidak puas hati. “Kami semua mengangkat tangan,” kata pensyarah itu kepada IPS. “dengan lantang kami beritahu beliau betapa kerajaan tidak banyak menyumbang ataupun berbuat apa-apa.”

“Masalahnya bukan semata-mata keabaian kerajaan, kata pakar. Kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu memberi keutamaan kepada orang Melayu secara terbuka dan aktif membantu mereka mendapat kemudahan dalam pelbagai cara – biasiswa, pinjaman perniagaan, pekerjaan, latihan industri – kerajaan yang sama telah menolak permintaan masyarakat India agar diwujudkan hak keistimewaan yang mampu membantu mereka..

“Kami bukannya meminta sedekah,” kata Dennison Jayasooria, pengarah eksekutif Social Strategic Foundation, satu badan pemikir yang membantu masyarakat India.”

Tetapi dasar kerajaan untuk membantu kaum India, perlaksanaannya yang lemah,” kata Jayasooria. “Seandainya ini tidak diperbetulkan, akan banyak lagi pihak yang tidak puas hati.”

Kerajaan harus mengambil lebih ramai orang India dalam sektor awam, tentukan lebih banyak tempat di universiti dan tambahkan pinjaman perniagaan untuk orang India, katanya.

Di sebalik dasar hak keistimewaan, kerajaan telah membantu melalui satu sistem kuota di mana kaum India mendapat 5% hingga 10% tempat di universiti, biasiswa dan peluang pekerjaan yang minima dalam perkhidmatan awam. Ada segelintir anggota masyarakat India yang telah menggunakan sumber ini untuk keluar daripada jurang kemiskinan, tetapi masih ramai lagi yang tidak ada peluang untuk terlepas dari kancah itu.

Ada pakar yang berpendapat bahawa wujudnya jurang dalam yang memisahkan masyarakat India adalah disebabkan fahaman berkasta, kelas dan etnik. Semua itu adalah faktor sejarah yang digalakkan oleh kolonial British sehingga lahir satu struktur masyarakat India yang mengandungi puak yang berada, kaum Malayalee berkasta tinggi (daripada Kerala) dan Tamil Jaffna (daripada Sri Lanka) di bahagian tangga atas dan kaum Tamil yang dianggap semacam pariah. Kelas ini merupakan 80% masyarakat yang berada di kelas bawahan.

Kaum Malayalee dan Tamil Jaffna dapat meraih banyak keuntungan disebabkan keakraban mereka dengan tetuan British dulu dan mereka berjaya memerah ekonomi moden untuk mengumpul harta dan maju jaya. Tetapi kaum Tamil yang merupakan tenaga buruh di ladang-ladang terpaksa meringkuk dalam ladang getah, hidup merempat dikelilingi hutan menghijau yang tidak mudah dipengaruhi oleh kemajuan moden.

Seperti orang Cina yang berjaya mengekalkan jaringan dengan tanah besar mereka, kaum Malayalee dan Tamil Jaffna mempunyai jaringan dengan negara asal mereka yang membolehkan mereka pulang ke sana ataupun berpindah ke negara lain.

Sebaliknya kaum pekerja Tamil telah melupakan perkampungan tumpah darah mereka di India, disebabkan kurang ilmu dan apati yang lahir daripada kemiskinan di ladang-ladang ramai di kalangan mereka tidak pun mendapat kerakyatan Malaysia. Inilah yang menyulitkan usaha mendapatkan pekerjaan ataupun kemudahan lain.

Kaum Tamil di ladang-ladang menanggung keazaban apabila ladang getah dan kelapa sawit telah ditebang dan ditukarkan menjadi padang golf, perumahan dan bandar baru semasa negara menikmati ekonomi rancak pada 1990-an.

Ramai kaum Tamil yang terhumban daripada ladang dan menjadi pekerja yang tidak terlatih dan menetap di kawasan setinggan di bandar. Inilah kawasan yang menjadi sarang pembiakan jenayah, dadah dan samseng.

“Akan tetapi penghijrahan ke kawasan bandar mempunyai keburukannya. Mereka hidup merempat, di perkampungan yang penuh jenayah dan bekerja sebagai buruh kasar kerana tiada pendidikan dan kemahiran,” kata S. Arulchelvam, seorang aktivis sosial.

Kedatangan beberapa juta pekerja asing menjadikan buruh Tamil tidak relevan lagi pada ekonomi negara. Masyarakat Tamil menjadi semakin terpinggir dan menggalakkan segelintir golongan mudanya ke arah hidup bergelumang dengan jenayah.

Berbeza dengan kumpulan etnik India yang lain, kaum Tamil tidak mampu menimba pelajaran sebagai alat eskapisme. Sekolah Tamil telah terabai bukan sahaja oleh negara tetapi oleh masyarakatnya sendiri Sehingga kebelakangan ini pelajaran tidak menjadi matlamat tinggi masyarakat buruh Tamil. .

Malaysian Indian Congress adalah parti politik India yang didominasi oleh Tamil. Parti itu telah mencuba beberapa skim untuk memajukan masyarakat Tamil dalam ekonomi - bermula dengan penubuhan koperasi sehingga menubuhkan syarikat korporat. Skim ini semua telah gagal bukan sahaja disebabkan pengurusan yang tidak cekap tetapi disebabkan kecurian yang dilakukan oleh orang-orang yang diamanahkan dengan wang tunai yang sukar diperolehi.

Kepimpinan politik MIC dan wawasannya sentiasa beku, bersifat feudal dan tidak berwibawa. Walaupun merupakan sebagai rakan dalam pemerintahan, MIC yang diketuai oleh Samy Vellu sejak 1979, tidak mampu mengenakan tekanan ke atas kerajaan supaya memperbaiki nasib masyarakat Tamil.

“Beliau (Samy Vellu) memimpin parti seolah-olah dia itu adalah seorang “ZAMINDAR (tukang kutip cukai) dan membuat segala keputusan sambil bergayut pada kuasa dan berkemungkinan mati dalam tugasnya,” kata seorang ahli akademik.

“Masalah hidup masyarakat Tamil berpunca daripada apati sendiri, dan oleh kesan sistem manipulasi oleh penjajah dan kini kerana diabaikan oleh Malaysia Merdeka.

Walaupun sudah banyak seminar dan macam-macam kertas kajian, para pemimpin masyarakat ataupun pemimpin MIC belum lagi mampu mengemukakan satu pelan bersistem yang dapat digunakan oleh kerajaan untuk membantu masyarakat Tamil. Inilah yang menyebabkan mereka tidak keruan dan hanyut.

Keabaian ini telah menghasilkan satu arus-bawah ketidakpuasan dan amarah masyarakat Tamil – dan inilah amarah yang perlu diberikan tumpuan dengan segera.

Inter Press Service.

Terjemahan MT-SPAR  - 19.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.