TAG 1884:
Dari Suharto Hingga Ke Iraq – Tidak Ada Perubahannya
(Suharto to Iraq – Nothing has changed)
Oleh: John Pilger – 15/10/2005 - Laman M@RHAEN

Aldous Huxley pernah menulis: “Tujuan orang propaganda ialah melalaikan satu kumpulan manusia agar mereka lupa bahawa beberapa kumpulan orang lain itu adalah manusia biasa.” British yang telah mencipta propaganda perang yang begitu dikagumi oleh Joseph Goebbles (menteri propaganda Jerman zaman Hitler - penterjemah) memang pakar dalam bidang ini. Ketika kemuncak penyembelihan manusia yang disebut sebagai Perang Dunia Pertama dulu, Perdana Menteri David Lloyd George, pernah berkongsi rahsia dengan C.P Scott, seorang editor akhbar Manchester Guardian: “Seandainya orang ramai tahu kebenarannya, perang ini akan dihentikan esok hari. Tetapi mereka tidak tahu, dan tidak akan tahu.”

Apakah ada perubahan selepas itu?

“Kalaulah kita tahu apa yang kita ketahui hari ini,” demikian pertanyaan New York Times pada 24 Ogos, “penaklukan Iraq tentu telah dihentikan oleh kebangkitan rakyat marhaen.” Ini merupakan satu pengakuan, oleh akhbar-akhbar yang berpengaruh, seperti syarikat siaran yang berpengaruh, betapa mereka telah mengecewakan para pembaca dan penonton serta para pendengar dengan cara mendapat tahu – dengan membesar-besarkan segala pembohongan Bush dan Blair dan bukannya mencabar serta mendedahkan mereka. Kesannya ialah penaklukan berbentuk jenayah yang mereka sebut “Shock and Awe” dan menghaiwankan keseluruhan negara yang dijajah itu.

Ini masih lagi merupakan satu pengaiban yang disuarakan lagi di Britain, terutama sekali oleh BBC, yang masih lagi melalakkan keangkuhannya sambil melaungkan kemegahan satu kerajaan yang pembohong dan korup, seperti yang dilakukannya sebelum menyerang Iraq. Sebagai buktinya terdapat dua kajian akademi yang sedia ada - walaupun dinyatakan betapa bidang kewartawanan itu telah merupakan laporan wartawan yang bersekongkol mewajarkan serangan membunuh ke atas pekan dan bandar Iraq sebagai usaha menyingkir musuh ganas. Inilah wartawan penjilat yang sanggup menelan propaganda tentera British yang bertujuan melencungkan tumpuan daripada musibah, sambil mereka merancang untuk menyerang Iran dan Syria. Seperti juga New York Times dan media Amerika yang lain, kalaulah BBC menjalankan tugas dengan betul, ribuan orang yang tidak berdosa sudah tentu masih hidup lagi hari ini.

Bilakah agaknya wartawan yang penting-penting menghentikan kerja-kerja sebagai pengurus  pihak yang berkuasa dan menganalisis serta mempersoal secara kritisnya peranan mereka dalam keganasan yang dibuat oleh kerajaan? Satu ulangtahun kini memberikan kita peluang itu. Empat puluh tahun yang lalu Major General Suharto telah merampas kuasa di Indonesia dengan melancarkan satu gelombang pembunuhan yang dirakamkan oleh CIA sebagai “pembunuhan ramai manusia yang paling dahsyat pada bahagian kedua abad ke-dua puluh.” Sebahagian besar episod ini tidak pernah dilaporkan dan masih lagi dianggap rahsia. Tidak ada laporan mengenai pengeboman terhadap pelancong di Bali baru-baru ini ada menyatakan bahawa kebanyakan hotel besar dan ternama telah dibina berdekatan tanah perkuburan yang luas di mana sekitar 80,000 manusia telah dibunuh oleh satu gerombolan manusia yang ditaja oleh Suharto dan direstui oleh kerajaan Amerika dan British.

Malahan, persekongkolan kerajaan Barat, termasuk peranan pedagang barat, sedang melakar satu polar jenayah Anglo-Amerikan di merata dunia: seperti yang terjadi di Chile pada 1973. Ketika itu Augustoa Pinochet telah melancarkan rampasan kuasa dengan sokongan Washington dan London. Begitu juga dengan program melengkapkan Shah Iran dengan segala kelengkapan perang yang canggih-manggih. Mereka juga telah menyokong Saddam Hussein di Iraq. Malahan Pejabat Luar British telah berusaha menggunakan propaganda menafikan laporan akhbar bahawa Saddam telah menggunakan gas beracun ke arah perkampungan Kurdis di Halabja.

Pada 1965 di Indonesia, Kedutaan Amerika di Indonesia telah memberikan satu senarai yang mengandungi 5,000 nama kepada Suharto. Inilah nama manusia yang mesti dibunuh dan ada seorang pegawai kanan Amerika yang memotong nama yang telah dibunuh ataupun ditangkap. Kebanyakan nama itu adalah anggota PKI, Parti Komunis Indonesia. Kerana Amerika sudahpun melengkapkan tentera Suharto, Washington telah membawa masuk alat komunikasi yang paling canggih di waktu itu. Frekuensi tinggi alat itu hanya dapat dikesan oleh CIA dan Majlis Keselamatan Negara yang memberikan nasihat kepada Presiden Lyndon B. Johnson. Alat komunikasi itu memudahkan para general kerajaan Suharto melancarkan pembunuhan beramai-ramai. Di waktu yang sama pucuk kepimpinan kerajaan AS turut dapat mendengar apa yang sedang berlaku..

Pegawai Amerika telah bertugas dengan kerjasama British. Duta British di Jakarta, Sir Andrew Gilchrist, telah menghantar mesej kepada Pejabat Luar: “Saya tidak pernah merahsiakan kepercayaan saya bahawa kalau ada sedikit tembak-menembak di Indonesia ia amat diperlukan untuk melaksanakan satu perubahan yang berkesan.” Apa yang disebut sebagai “sedikit tembak-menembak” itu membabitkan nyawa antara setengah juta hingga satu juta. Namun, gara-gara propaganda di mana media telah “diuruskan” membolehkan ingatan orang Barat dilalaikan daripada penderitaan mangsa, merupakan puncak kepakaran British. Pegawai risikan British telah membentangkan cara memanipulasi suratkhabar British dan BBC. “Caranya mesti bersahaja,” kata mereka. “Sebagai contoh a) segala aktiviti mesti cukup rahsia; (b) Pembabitan kerajaan British ataupun kerjasamanya mesti dirahsiakan. Untuk memudahkan kerja ini Pejabat Luar telah membuka satu cawangan Jabatan Kajian Maklumat – Information Research Department (IRD) di Singapura..

IRD merupakan satu unit propaganda yang sungguh dirahsiakan dan diketuai oleh Norman Reddaway, salah seorang pembohong besar Kerajaan Britain. Reddaway dan rakan-rakannya telah memanipulasi akhbar dan BBC yang dapat dijinakkan. Dengan bangganya dia telah menghantar mesej kepada Gilchrist menyatakan bahawa pembohongan yang dianjurkannya bahawa “Kemungkinan Komunis Merampas kuasa di Indonesia, telah dipercayai oleh seluruh dunia” Dia menceritakan bagaimana seorang wartawan akhbar mingguan yang berpengalaman sanggup “menyusun berita yang dikehendaki” kerana yakin bahawa ini adalah rampasan kuasa yang paling mudah tanpa pertumpahan darah.” Dengan angkuhnya Reddaway mengatakan...”semua pembohong besar ini boleh dihantar semula ke Indonesia untuk bertugas dengan BBC.

Ketika itu wartawan BBC untuk Asia Tenggara ialah Roland Challis. Dia telah dilarang memasuki Indonesia, kerana itu tidak dapat menyelidik keadaan yang sebenarnya. “Sumber British saya di Indonesia, tiba-tiba tidak tahu menahu akan apa yang terjadi,” kata Challis. “Tetapi mereka tahu rencana Amerika. Terlalu banyak bangkai manusia yang bergelimpangan di halaman kedutaan British di Surabaya dan kapal perang British telah mengiringi satu kapal yang penuh dengan tentera Indonesia di Selat Melaka supaya mereka boleh turut sera dalam pembunuhan beramai-ramai itu. Hanya beberapa lama kemudian barulah kita sedar betapa kedutaan Amerika menyediakan senarai nama orang yang patut dibunuh. Rupanya ada satu perjanjian, dengan membolehkan Suharto menegakkan kerajaannya, pembabitan IMF dan Bank Dunia adalah sebahagian perjanjian itu...Suharto dapat membenarkan mereka kembali. Itulah perjanjiannya.”

Pertumpahan darah itu sengaja tidak dihiraukan oleh BBC dan media barat yang lain. Tajuk berita ialah Komunisme telah dikalahkan di Indonesia. Seperti yang dilaporkan oleh Time “Inilah berita yang paling baik untuk Barat di Asia”. Pada November 1967, semasa satu persidangan di Geneva yang dinaungi oleh David Rockefeller (tuan punya bank) hadiah telah dikeluarkan. Semua syarikat gergasi dunia telah turut serta. . Daripada General Motors, Chase Manhattan Bank dan US Steel dan ICI serta British American Tobacco. Mereka telah melapah kekayaan Indonesia dengan persekongkolan Suharto.

Habuan Suharto memang lumayan sekali. Semasa dia digulingkan pada 1998, ada Anggaran yang mengatakan dia menyimpan $10 billion dollar di bank luar negara. Ini adalah bersamaan lebih 10 peratus daripada hutang luar Indonesia. Kali terakhir saya berada  di Jakarta, saya pernah berjalan kaki ke hujung jalan berdekatan istana beliau dan dapat melihat anjung istana itu di mana si pembunuh kejam itu masih menginap. Apabnla Saddam Hussein menuju perbicaraan pada 19 Oktober ini, tentu dia terpaksa menyoal diri sendiri di mana silapnya. Kalau dibandingkan jenayah Suharto, dosa Saddam Husin hanya merpakan dosa kelas kedua sahaja. Dengan bantuan British yang membekalkan jet pejuang Hawk dan mesingan, Askar Suharto telah memusnahkan suku penduduk Timor Timur. Yakni 200,000 orang telah terkorban.

Sekarang ini jet pejuang yang sama dan mesingan yang serupa, tentera upahan sedang berusaha menghancurkan pergerakan penentang di Papua Barat dan melindungi Freeport Company, Inilah syarikat yang melombong gangsa di wilayah itu. (Henry Kissinger ialah pengarah emeritus syarikat itu). Sekitar 100,000 rakyat Papua yakni 18% penduduk negara itu telah terbunuh tetapi projek yang dilindungi oleh British seperti yang dilaporkan oleh New Labour, tidak pun ada sebarang berita mengenainya.

Apa yang berlaku di Indonesia dan terus berlaku lagi, adalah merupakan cerminan serangan di Iraq. Kedua-dua negara memiliki kekayaan yang dikehendaki oleh Barat. Kedua-dua negara mempunyai pengarah yang dilantik oleh Barat untuk memudahkan mereka membalun sumber asli. Dalam kedua-dua negara ini tindakan Anglo-American telah dirahsiakan melalui propaganda yang sedia dilakar oleh para wartawan yang membuat perbandingan antara regim Saddam (dahsyat) dan regim Suharto (yang dikatakan sederhana dan stabil).

Sejak Iraq dijajah, saya telah bercakap dengan segelintir wartawan yang berprinsip dan bertugas di media yang pro-peperangan termasuk BBC. Mereka berkata bahawa mereka dan ramai yang lain lagi: kerap tidak boleh tidur malam” kerana itu mereka mahu bercakap secara lantang dan memulakan tugas sebagai wartawan yang tulen. Saya cadangkan inilah masanya.

Terjemahan MT-SPAR  - 18.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.