TAG 1883:
Rasuah Yang Membuatkan Malaysia Gelisah
(Corruption makes Malaysia go around)
Oleh: MGG Pillai - 16-10-2005 11:41 am  - Laman M@RHAEN

Anak lelaki Ketua Polis Negara telah ditangkap dan dibebaskan kini atas jaminan. Ini bererti Ketua Polis Negara mesti melepaskan jawatannya. Tidak kiralah apakah anak lelakinya nanti akan dibebaskan. Si anak telah ditangkap kerana meminta bayaran RM11,000 untuk mendapatkan satu lesen (berniaga) yang bernilai RM2,500 sahaja. Akhbar ‘The Malay Mail’ telah melaporkan semalam betapa ada tuntutan sebanyak RM39,000 daripada seorang calon penjaja. Sistem begini memang amat lumrah. Anak KPN itu melakukan apa yang lumrah dilakukan oleh pihak yang berkuasa: yakni menjadi orang tengah dalam pertukaran wang tunai untuk mereka di peringkat bawah dengan mereka yang berkuasa di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. DBKL tidak membenarkan orang awam terutamanya para penjaja memohon terus kerana mesti melalui orang tengah. Ada seorang juruelektrik yang membuat sebanyak RM2.4 juta dan mewajarkannya dengan alasan yang dia perlu membahagi sebahagian besar wang itu kepada orang-orang di DBKL. Perkara ini akan berterusan kerana tujuannya bukanlah lesen itu tetapi sogokan wang yang mengekorinya. Kenapakah kita disuruh menukar kad pengenalan? Kerana ada duit di belakangnya. Saya sudah diminta menukar kad pengenalan saya sekali lagi dan akan diminta menukar lagi kepada satu sistem lagi. Selain dari wang yang bertukar tangan dalam perkhidmatan awam, tentunya ia akan membebankan seseorang menukarnya kerana wang yang terlibat adalah bersamaan dengan gajinya untuk beberapa hari. Kenapakah tidak dijadikan balai polis sebagai tempat menukar kad pengenalan?

Pengunduran KPN memang amat penting. Dia adalah seorang insan yang baik tetapi dia adalah sebahagian sistem yang korup. Penangkapan anaknya adalah disebabkan berlakunya ‘sedikit kerosakan teknikal’ dalam sistem itu yang membiakkan korupsi. Tidak kiralah  kalau anaknya itu telah ‘dikenakan’ oleh musuhnya. Oleh kerana si anak sudah tertangkap, si bapa walaupun baik orangnya terpaksa bersara. Jika tidak, pembebasan anaknya nanti tidak akan masuk akal lagi. Beliau sudah pun melepasi usia persaraan dan diberikan lanjutan perkhidmatan. Beliau dijadualkan diberi lanjutan lagi bulan depan. Ini akan memberi satu isyarat kepada pegawai kerajaan dan perkhidmatan awam bahawa padah korupsi bererti persaraan ataupun pemecatan mereka. Ini akan merupakan awalan kepada penamatan masalah yang membarah. Akan tetapi, korupsi dalam perkhidmatan awam dan juga sektor swasta sudah sukar untuk dibasmi, tetapi boleh dikurangkan. Adalah tugas kerajaan untuk mengurangkannya, tetapi kerajaan UMNO, di negeri-negeri dan di peringkat pusat tidak berbuat begitu. Sedangkan itu sepatutnya tugas mereka. Tindakan ini boleh dimulakan dengan KPN dan meneliti segala hukum-hakam yang boleh memperkayakan mereka yang memegang kuasa. Ini boleh mengecutkan korupsi yang membolehkan Barisan Nasional bergantung harap kepada kerajaan.
 
Apakah kerajaan bersedia merungkai sistem itu untuk membolehkan rakyat tidak menghadapi kesulitan mengeluarkan wang poket mereka? Jika demikian tentulah kita tidak membaca kisah anak seorang KPN yang ditangkap? Kenapakah DBKL tidak berada dalam keadaan yang tulus, seperti yang disebut-sebut oleh para menteri? Apa sebabnya lesen Ramadan diberikan kepada pertubuhan yang ada pengaruh (politik)? Kenapakah para peniaga tidak boleh memohon lesen itu di DBKL? Inilah tandanya bahawa pegawai kerajaan dan perkhidmatan awam adalah begitu korup. Kenapa mereka korup? Kerana orang politik lagi korup. Yang satu menyogok yang lagi satu, dan kalau yang satu korup, tentulah juga yang lagi satu. Ini bermula daripada peringkat yang paling rendah dalam perkhidmatan awam. Kecuali anda ada ‘bernama’ tentu sahaja ada seseorang yang berkuasa yang akan mengenakan kamu. Dalam perkhidmatan awam dan perkhidmatan kerajaan, inilah ceritanya. Mereka sudah menjadi begitu angkuh sehinggakan  ketua kerajaan tempatan, yang merupakan pegawai perkhidmatan awam, berani mengugut  seorang Timbalan Menteri. Tidak kiralah apa isu yang berbangkit, tetapi pegawai perkhidmatan awam itu tidak ada hak melakukannya secara terbuka. Dia telah berbuat begitu dengan anggapan sebagai seorang pegawai Melayu dia boleh melakukannya. Bukannya satu perkara biasa untuk seorang menteri bukan-Melayu yang terpaksa bersabar menunggu ketibaan seorang pegawai kerajaan berjumpa dengannya. Menteri-menteri bukan-Melayu dan ahli politik bukan-Melayu berkata mereka terpaksa berbuat demikian untuk membolehkan kaum mereka mendapatkan ruang bertolak ansur.

Soalnya sekarang isu itu telah dipengapkan oleh media arus perdana. Sebagai contoh ialah isu skandal AP. Sepatutnya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah memecat Rafidah Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, daripada menganggotai kabinetnya sebaik sahaja skandal AP meledak. Dia masih tidak berbuat demikian dan akhbar perdana yang satu ketika dulu mendesak persaraan Rafidah kini mencari alasan baru untuk memuji-muja dia pula. Rakyat marhaen, tidak kiralah Melayu, Cina ataupun India sudah naik muak. Sudah ada kesedaran kini bahawa orang politik yang berkuasa terlalu rasuah, perkhidmatan kerajaan pun rasuah . Segala hukum-hakam adalah bertujuan untuk membisukan rakyat marhaen itu. Tidak menghairankan apabila seorang kolumnis (Dr. Bakri Musa) menyebut betapa bajet tahun ini adalah bertujuan membawa kemudahan kepada perkhidmatan awam. Kebanyakan perundangan kerajaan yang dihadapi oleh orang awam adalah dirangka supaya ketua jabatan menjadi kuasa yang muktamad. Kerana itu anda perlu menyogok rasuah kepada pegawai bawahan untuk menolak fail anda naik ke atas. Ada seorang doktor yang pulang ke tanah-airnya setelah ditawarkan kerakyatan Australia oleh seorang pegawai rendah kerajaan. Dia menolak tawaran itu dan pulang ke Malaysia. Dia beranggapan kalaulah kerakyatan boleh ditawarkan oleh seorang pegawai bawahan, tentulah tidak ada korupsi di situ dan tentulah tidak menjadi perhatian rakyat. Di Malaysia kerakyatan ditentukan oleh menteri dan di sinilah letaknya peluang untuk rasuah membiak

Untuk memburukkan keadaan, wang ringgit merupakan asas maksiat ini. Di dunia moden, wang merupakan segala-galanya. Seorang tukang masak membuka sebuah restoran bukan kerana dia memang ahli masak tetapi kerana dia “boleh buat banyak duit” Seorang jurujual komputer bertukar kerjaya menjadi seorang Pengetua maktab kerana mahu membuat duit. Tetapi setidak-tidaknya dia memiliki sekeping ijazah. Ramai yang lain membuka kolej hanya selepas mendapat sijil persekolahannya. Seorang profesional membuka satu perniagaan bukan untuk mengukuhkan profesionnya tetapi untuk buat duit. Inilah yang jelas terpampang. Terlalu banyak penekanan terhadap pengkomputeran dan ada orang professional yang menerajuinya. Tetapi dia tidak menggunakan pengetahuan untuk membetulkan segala kesilapan. Projek MRR2 di Kepong berjalan tempang kerana pengkomputeran dan korupsi. Projek kerja raya boleh runtuh sebaik sahaja ia dibuka untuk digunakan. Tetapi pihak yang berkuasa tidak mahu membinanya semula dengan segera dan dokumen tender masih belum disediakan. Apakah ia akan dibina semula? Tentu sekali, tetapi selepas pilihan raya nanti. Kalau dibuat sebelum itu, pembikinannya tidak dapat dibuat secara senyap-senyap. Kerajaan mahu membinanya dengan senyap untuk mengelakkan unsur-unsur korupsi dapat diketahui.

Kabinet mempunyai kuasa menentukan bidang kuasa seorang pegawai rendah. Ini menjadi amalan di Malaysia kerana parti yang terlibat boleh jadi UMNO ataupun apa jua parti komponen dalam Barisan Nasional. Pegawai kerajaan tidak mahu membuat sesuatu keputusan terhadap sesuatu syarikat kerana mahu mengelak masalah yang menyusahkan dirinya satu hari nanti. Jadi, dia terus naikkan kes itu ke atas sehinggalah ia sampai kepada kabinet. Perdana Menteri menangani terlalu banyak portfolio dan tanggungjawab dalam UMNO. Beliau selalu tertidur sahaja waktu mesyuarat, kerap lambat datang dan tidak menyudahkan kertas kerjanya, dan tidak mampu menangani perkara yang dirujukkan kepadanya. Dia kuat tidur selalu. Ada satu ketika Mahathir Mohammad mahu menemuinya dan tiba setengah jam sebelum waktu temujanji itu. Beberapa jam telah berlalu. Apabila dia bertanya kenapa, barulah dia diberitahu betapa Paklah sedang tidur berdengkur di rumahnya. Bayangkan apabila Perdana Menteri mengambil tanggungjawab yang baru. Mahathir kerap menyudahkan kerjanya selepas waktu rasmi pejabat kerana waktu pejabat selalunya dihabiskan untuk bermesyuarat. Dia melepaskan kuasa kepada Paklah dengan keadaan tugasan yang beres, tetapi mampukah Paklah melakukan semacam itu kepada penggantinya?

Paklah diberikan imej unggulan sebagai yang terbaik sejak azali. Jolokan semacam itu pernah ditujukan kepada Mahathir, Hussein, Razak dan dalam beberapa hal kepada Tunku Abdul Rahman. Para pegawai Paklah tidak pernah memberitahu berita yang buruk kepadanya. Dia diberikan nasihat oleh pegawai dalam lingkungan tiga puluhan. Tetapi semua pegawai ini masih bertaraf hingusan, dan berurusan tanpa memikirkan orang bawah. Paklah tersedak sikit kerana keadaan kesihatan isterinya, tetapi ini tidak sepatutnya menjadikan beliau lembik dan tidak cekap. Dia tidak merombak kabinet sebaik mengambil alih kuasa pada November 2003, ataupun selepas pilihan raya umum tahun berikutnya. Akhbar-akhbar membuat laporan akan berlakunya rombakan kabinet hanya baru-baru ini. Tetapi apa gunanya rombakan kabinet kalau tidak ada niat mahu membanteras korupsi? Sudah ada soalan apakah skandal korupsi yang tercungkil kini dan kebanyakannya melibatkan suku-sakat Mahathir dan mereka yang menentangnya adalah bertujuan untuk menyelamatkan air muka Paklah dan suku-sakatnya juga? Oleh kerana pejabat kerajaan berada di Putra Jaya, para menteri sudah hilang hubungan dengan rakyat yang mengundi mereka naik berkuasa. Putra Jaya telah dibina seperti kebanyakan projek kerja raya yang lainnya; bukan bertujuan untuk kepentingan rakyat jelata, tetapi untuk memuaskan nafsu serakah seorang manusia sahaja. Inilah yang tidak boleh membantu rakyat.

- MGG Pillai
pillai@streamyx.com

http://www.mggpillai.com/article.php3?sid=2135

Terjemahan MT-SPAR  - 17.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.