TAG 1880:
Mengimbau Fadilat Ramadan

Oleh: Bakri Musa - Laman M@RHAEN


(Pertama kali disiarkan oleh The Sun, 6 November, 2004)

Kepada kebanyakan umat Islam dan juga orang-orang bukan beragama Islam, Ramadan membawa makna berpuasa, dan hanya berpuasa. Kepercayaan yang sempit ini menyerlahkan peraturan yang sempit dan menyepit seperti menutup restoran di siang hari dan memenjarakan sesiapa yang tidak berpuasa. Baru-baru ini pegawai agama (Islam) di Malaysia mencadangkan agar orang beragama Islam yang ditangkap makan pada siang hari diheret merata jalan dengan kereta jenazah di pekan. Contoh hukuman yang zalim ini memang terlalu lumrah difikirkan oleh pihak berkuasa tentang agama, dan merupakan sesuatu yang amat bertentangan dengan semangat Ramadan.

Saya menganggap Ramadan membawa erti yang lebih besar, bukan sahaja berpuasa daripada awal pagi sehingga Maghrib. Bulan yang suci ini adalah ketikanya kita bermenung untuk sejenak, bermaaf-maafan, dan bermurah hati bukan sahaja pada pihak lain tetapi yang lebih penting lagi, kepada diri sendiri. Inilah juga masanya untuk kita berdisiplin diri dan bermuhasabah.

Berbeza dengan tiang agama yang lain, (shahadah, bersolat, membayar zakat dan mengerjakan haji ke Makkah) berpuasa adalah satu pergerakan diri yang amat tersendiri. Tidak ada sesiapa kecuali Allah yang tahu apakah kita berpuasa. Seseorang itu mungkin tidak makan dan minum tetapi ini tidak bererti dia sedang berpuasa. Peraturan yang remeh-temeh itu tidak memberikan manfaat selain menghalang niat seseorang yang beragama Islam daripada makan secara terbuka di siang hari.

Saya tinggal di sebuah negara yang begitu sekular dan didominasi oleh orang bukan beragama Islam - di Amerika. Saya bersyukur kerana dijauhkan Allah daripada cengkaman pegawai agama yang terlalu ghairah itu. Tidak siapa memaksa saya agar berpuasa, kerana tidak ada polis (Penguatkuasa Jabatan Agama Islam) agama berkeliaran mencari orang yang berdosa. Saya berpuas kerana saya mahu berbuat begitu, dan kerana itu ia membawa lebih besar makna.

Hidup dalam dunia yang sentiasa bercelaru dan bergerak maju, adalah mudah untuk kita terjebak dalam kecelaruan itu. Ramadan memaksa seseorang berhenti sejenak dan berfikir, dengan kata lain ia merupakan satu perhentian sementara.

Perubahan mendadak dalam tugas harian saya yang sungguh rutin di bulan Ramadan, memaksa saya merenung sesuatu secara yang berbeza. Ketenangan awal pagi, di mana banyak masa kini terluang sedangkan sebelum itu ia diisi dengan persiapan menyediakan sarapan, adalah satu peluang untuk bermenung. Suasana semacam itu memang amat jarang dapat dinikmati pada hari yang biasa.

Waktu makan tengah hari kini merupakan waktu saya begitu produktif kerana dapat bersendirian dan tidak ada sesiapa yang mengganggu. Memang menakjubkan betapa kita membuang banyak masa ketika kita makan tengah hari. Saya juga dapat menyandarkan harapan untuk mengecutkan berat badan antara lima hingga sepuluh paun ketika bulan Ramadan. Memang seronok mendengar pujian betapa saya kelihatan lebih segar pada akhir bulan Ramadan.

Kini, berpuasa sudah dimodenkan di mana setiap petang dihabiskan dengan santapan yang tidak ada hentinya. Saya pernah menghadiri majlis berbuka puasa (iftar) di Malaysia yang dihoskan oleh seorang ternama. Saya tidak dapat menikmatinya kerana terlalu tersinggung melihatkan pembaziran yang amat nyata. Majlis berbuka diadakan di sebuah hotel, tentunya tidak sesuai untuk satu majlis agama, dan pembaziran juadah yang disediakan telah diwajarkan oleh kerakusan nafsu para tetamu. Patutlah, ramai manusia Islam menjadi lebih berat badannya semasa Ramadan. Mereka hanya mengubah waktu melahap daripada siang hari kepada waktu malam. Ke manakah perginya semangat hidup sederhana semasa Ramadan?

Secara tradisi kita telah diajar bahawa berpuasa dapat mengingatkan kita kepada penderitaan golongan yang kurang bernasib baik. Adalah sukar memahami penderitaan golongan miskin itu apabila kita sudah tahu kelaparan yang kita tanggungi itu akan terubat dengan kenikmatan sebaik muncul lembayung senja.

Tentu kita dapat memahami penderitaan golongan miskin itu kalau kita berhenti sejenak dan bayangkan nasib mereka. Ketika itu barulah kita sedar betapa kita dapat membantu seandainya kita berjimat dalam memenuhi keinginan nafsu kita. Bayangkan berapa ramai kumpulan miskin dapat disuap dengan makanan lebihan daripada majlis makan yang penuh pembaziran.

Segala gembar-gembur mengenai berpuasa melencungkan minda umat Islam daripada elemen yang lebih penting lagi tersirat pada Ramadan. Ambil sedekah sebagai contohnya. Umat Islam memang biasa dengan pemberian zakat, yang lebih penting ialah semangat kemurahan hati. Saya masih belum melihat adanya program pengampunan untuk para banduan sepanjang bulan yang suci ini. Tidak ada contoh semangat keinsanan yang lebih besar daripada kerajaan selain pembebasan dan pengampunan banduan, terutama sekali mereka yang ditahan di bawah ISA. Tindakan ini akan membawa makna yang lebih besar daripada retorik mengenai Islam Hadhari.

Allahuakbar, pada bulan Ramadan ini saya dikurniakanNya kesihatan, ketenangan dan kesenangan. Saya juga sedar masih wujud berjuta-juta orang lain yang kurang bernasib baik, dan inilah yang membuatkan saya lebih bersyukur kepada Ilahi.

-Bakri Musa-

Tamat

Terjemahan MT-SPAR  - 14.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.