![]()
TAG 1835:
Keganasan Yang Diada-adakan: Jalan Ke Arah Kediktatoran
(Fake Terrorism: The Road to Dictatorship)
Oleh: Michael Rivero - Laman M@RHAEN
Ianya adalah helah tertua dalam sejarah, dikesan sejak zaman Roman lagi; dengan cara mencipta musuh yang kamu perlukan.Dalam 70 BC, seorang politikus picisan yang bercita-cita tinggi serta amat kaya, Marcus Licineus Crassus mahu memerintah Rom. Hanya untuk memberi anda ide apa jenis opportunisnya manusia Crassus ini, ia telah dikagumi dengan penciptaan bomba. Namun dalam versi Crassus, hamba abdi anggota bombanya akan menyerbu ke tapak kebakaran di mana Crassus akan menawar untuk membeli hartanah itu dengan nilai jauh kecil dari harga pasarannya. Sekiranya pemilik itu menjualnya, hamba abdi Crassus akan segera memadamkan api. Sebaliknya jika pemilik enggan menjualkannya, Crassus akan membiarkan sahaja bangunan itu rentung dijilat api. Melalui helah licik yang kejinya itu, Crassus akhirnya menjadi pemilik hartanah tunggal yang terbesar di Rom, dan menggunakan sebahagian dari kekayaannya itu untuk membantu Julius Caesar menentang Cicero.
Dalam tahun 70 BC Rom masih sebuah negara Republik yang menghadkan kuasa Pemerintah, dan yang teramat pentingnya apa yang TIDAK BOLEH dibuat mereka. Namun Crassus tidak berniat langsung untuk diikat oleh had tertentu kepada kuasa peribadinya, lalu membuat perancangan.
Crassus mempergunakan kebangkitan hamba yang diketuai Spartacus bagi menanam ketakutan di Rom, yang mana beberapa kedudukan tentera sudah pun kalah kepada Spartacus. Pun begitu Spartacus tidak langsung berniat untuk mara ke Rom, satu langkah yang ia tahu akan memakan dirinya. Spartacus dan pengikutnya tidak mahu bermasalah dengan empayar Rom dan telah merancang sejak mula hanya untuk merampok wang secukupnya dari bekas tuan-tuan mereka di kawasan perkampungan Itali untuk menyewa armada laut upahan untuk belayar keluar sebagai manusia bebas.
Membiarkan Spartacus pergi adalah perkara yang tidak diizinkan Crassus terjadi. Ia perlukan musuh selesa bagi menghuru-harakan Rom demi keuntungan politik peribadinya. Lalu Crassus merasuah angkatan kapal upahan supaya belayar tanpa Spartacus, kemudiannya meletakkan dua pasukan tentera upahan Rom sehinggakan Spartacus tiada pilihan melainkan terpaksa mara ke Rom.
Dek bimbang akan kedatangan tentera gladiator yang ditakuti itu, Rom mengisytiharkan Crassus sebagai Praetor. Crassus kemudiannya menghenyak tentera Spartacus walaupun Pompeii yang mendapat pujian, Crassus telah dipilih sebagai Konsul Rom pada tahun berikutnya.
Dengan pendekatan begitu, rakyat Rom telah menyerahkan kerajaan demokrasi berbentuk Republik. Tidak lama kemudian Triumvirate yang pertama yang dianggotai Crassus, Pompeii serta Julius Caesar terbentuk yang kemudiannya diikuti pula oleh Empayar Roman.
Penduduk Rom telah diperdaya sehingga menyerahkan corak negara Republik dan menerima pemerintahan Empayar bercorak diktator.
Penentang politik Julius Caesar, Cicero dengan keunggulan pencapaiannya juga memainkan kaedah sama dalam kempennya menentang Julius Caesar dengan mendakwa yang Rom telah menjadi mangsa kepada konspirasi “sayap kanan” dalaman yang mana sebarang keinginan yang diluahkan bagi menghadkan kuasa kerajaan telah dianggap sebagai gelagat yang mencurigakan. Dalam usaha menunjukkan betapa rakyat Rom sudah tidak selamat lagi ia telah mengupah samseng bagi mewujudkan kekacauan seraya berkempen bagi menamatkan perbalahan dalaman sekiranya terpilih dan diberi kuasa yang luas.
Apa yang pernah diimpikan Cicero, Adolf Hitler berjaya memperolehinya. Setelah dipilih sebagai Chancellor Jerman, Hitler seperti mana juga Crassus, tidak berniat untuk hidup dengan kuasa yang terhad yang diizinkan oleh Undang-undang Jerman. Tidak seperti mana Ciocero, para samseng Hitler mudah untuk dikenali, kesemua mereka memakai seragam coklat yang sama. Namun tindakan mereka sama sahaja dengan samseng zaman Rom. Mereka memukul orang, menyebabkan kebakaran, mewujudkan huru-hara (Malaysia kita…. Darurat di Kelantan, 13 Mei, Sauk Saga dll), sementara Hitler membuat ucapan berjanji yang beliau boleh menghentikan gelombang jenayah subversif dan keganasan itu jika beliau diberi kuasa yang meluas.
Rakyat Jerman telah dikelentung sehingga menyerahkan Republik mereka dan menerima pemerintahan Der Fuhrer. Sekolah yang ditaja kerajaan tidak akan menceritakan perihal ini, namun kerajaan berterusan bergantung kepada acara kelentungan bagi menjual agenda mereka kepada rakyat awam yang enggan dipengaruhi. Rakyat Rom menerima Empayar dan rakyat Jerman menerima Hitler bukan kerana mereka dambakan bedebah itu akan tetapi kerana ilusi ancaman yang telah dianyam dengan cermat sehingga tidak memberi mereka sebarang pilihan lain.
Kerajaan kita juga menggunakan kelentungan bagi mewujudkan ilusi yang Kita Rakyat tidak mempunyai pilihan lain selain dari apa yang kerajaan mahukan kita terjebak dalamnya.
Dalam tahun 1898, New York World milik Joseph Pulitzer serta New York Journal milik William Randolph telah berdebat bagi campur tangan Amerika di Cuba. Hearst dilaporkan telah menghantar seorang jurugambar ke Cuba untuk mengambil gambar untuk peperangan yang bakal terjadi dengan Sepanyol. Tatkala jurugambar bertanya apakah perang yang mungkin dengan Sepanyol, Hearst dilaporkan menjawab, “Anda ambil gambar dan aku akan sediakan peperangan”. Hearst mengotakan janjinya apabila akhbar miliknya menyiarkan kisah kekejaman dahsyat yang sedang dilakukan terhadap rakyat Cuba, yang kebanyakannya telah terbukti sebagai fabrikasi (rekayasa) sepenuhnya.
Pada malam 15 Februari 1898, kapal USS Maine yang berlabuh di Pelabuhan Havana dalam bayangan untuk melindungi kepentingannya telah meletup dengan dahsyatnya. Kapten Sigsbee, komander kapal Maine, mendesak agar tidak dibuat andaian yang ia disebabkan serangan musuh sehingga penyiasatan penuh mencari penyebab letupan itu dibuat. Untuk itu, Kapten Sigsbee telah dicerca oleh akhbar kerana “enggan melihat bukti nyata”. Atlantic Monthly mengisytiharkan dengan berani mengatakan untuk menganggap letupan itu lain dari tindakan sengaja oleh Sepanyol adalah “penolakan sepenuhnya Hukum Kebarangkalian.”
Di bawah slogan “Ingatlah Maine”, rakyat Amerika telah berperang dengan Sepanyol, yang akhirnya memenangi Filipina (serta menakluk Hawaii kemudiannya).
Dalam tahun 1975, satu penyiasatan yang dilakukan Admiral Hyman Rickover telah memeriksa data yang diperolehi dari pemeriksaan bangkai kapal tahun 1911 telah membuat kesimpulan yang tidak ada bukti menunjukkan berlaku letupan dari luar. Penyebab yang mungkin bagi tenggelamnya kapal itu ialah kerana letupan serbuk arang dalam bilik arang yang berada berhampiran dengan tempat penyimpanan senjata kapal tersebut. Amaran yang dikeluarkan Kapten Sigsbee memang amat berasas.
Presiden Franklin Delano Roosevelt memang terdesak memerlukan satu peperangan. Beliau memerlukan demam peperangan besar bagi menutupi petanda kemuraman ekonomi yang terkial-kial bangkit dari Kemelesetan Besar ‘Great Depression’ (serta kecenderungan ke arah Sosialisme ketika itu). Roosevelt amat memerlukan perang dengan Jerman bagi menghentikan Hitler, namun walau setelah beberapa kali provokasi di Atlantik, rakyat Amerika yang masih bergelut dengan masalah ekonomi menentang sebarang perancangan perang. Roosevelt melanggar sikap berkecuali dengan penyewaan tanah dan malah mengarahkan penenggelaman beberapa kapal perang Jerman di Atlantik, namun Hitler enggan melayan provokasi AS itu.
Roosevelt amat memerlukan musuh dan sekiranya Amerika tidak sanggup menyerang musuh itu, satu musuh lain perlu didorong untuk menyerang Amerika seperti mana yang telah dilakukan oleh Marcus Licineus Crassus sehingga mendorong Spartacus menyerang Rom.
Jalan untuk menyertai perang itu terbuka luas tatkala Jepun menandatangani perjanjian tiga pihak dengan Itali dan Jerman, dengan kesemua mereka menjanjikan pertahanan bersama. Manakala Hitler tidak akan mengisytiharkan perang ke atas Amerika walau telah digodam, cara untuk memaksa Jepun melanggar Amerika sudah pun berada dalam genggaman.
Langkah pertama ialah dengan mengenakan sekatan minyak serta keluli ke atas Jepun, dengan menggunakan peperangan Jepun ke atas tanah besar Asia sebagai alasannya. Ini memaksa Jepun mempertimbangkan rampasan wilayah yang kaya dengan minyak dan mineral di Indonesia. Dengan kuasa-kuasa tentera Eropah yang keletihan oleh perang di Eropah, Amerika Syarikat menjadi satu-satunya kuasa di Pasifik yang mampu menghentikan Jepun dari menceroboh India Timur milik Belanda, dengan menggerakkan armada Pasifik dari San Diego ke Pearl Harbor, Hawaii, Roosevelt telah menjadikan serangan pre-emptif ke atas armada itu sebagai langkah pertama mandatori dalam sebarang perancangan Jepun untuk memperluaskan empayarnya ke “kawasan sumber Selatan”.
Roosevelt memerangkap Jepun sebagaimana sempurnanya Crassus telah memerangkap Sparticus. Jepun memerlukan minyak. Mereka perlu menjajah Indonesia untuk memperolehinya, dan demi untuk tujuan itu pertamanya mereka perlu membuang ancaman armada Amerika di Pearl Harbor. Memang tiada peluang lain yang terbuka buat mereka.
Bagi menimbulkan kemarahan tinggi di kalangan rakyat Amerika, Roosevelt memerlukan satu serangan sulit oleh Jepun dengan kesan yang dahsyat, seolah-olah serang hendap seperti mana yang telah dilakukan Jepun ke atas Russia. Dari saat itu sehinggalah kepada serangan ke atas Pearl Harbor, Roosevelt dan sekongkolnya telah memastikan para komander di Hawaii, Jeneral Short dan Admiral Kimmel berada dalam kegelapan tidak tahu menahu akan kedudukan serta niat armada Jepun yang kemudiannya dikambing-hitamkan bagi serangan itu. (Kongres baru-baru ini mencungkil semula kes Jeneral Short dan Kimmel, mengembalikan semula kedudukan mereka sebelum ini).
Akan tetapi sebagaimana yang disimpulkan oleh Lembaga Tentera ketika itu serta dokumen yang dinyah-rahsia mengesahkan, Washington memang tahu akan serangan yang mahu dilakukan Jepun, mereka juga tahu di mana armada Jepun berada serta ke mana ia menghala.Pada 29 November, Setiausaha Negara Hull menunjukkan kepada wartawan United Press Joe Leib satu mesej dengan masa dan juga tempat serangan, lalu New York Times dalam edisi khas Pearl Harbor pada 12/8/1941 dalam muka surat 13, melaporkan yang masa serta tempat serangan sudah pun diketahui lebih awal lagi!
Dakwaan berulangkali yang terlalu banyak mengatakan armada Jepun telah mematikan radio semasa dalam perjalanan ke Hawaii adalah suatu pembohongan. Antara pintasan yang masih disimpan dalam Arkib NSA ialah mesej yang tidak dikodkan yang dihantar oleh kapal penangki Jepun Shirya yang menyatakan “mara ke kedudukan 30.00 U, 154.20 T. Dijangka tiba di situ pada 3 Disember.” (berhampiran Hawaii Island)
Presiden Lyndon Johnson mahukan peperangan di Vietnam. Ketika itu ia mahu membantu kawan-kawannya yang memiliki syarikat pertahanan. Beliau mahu Pentagon serta CIA berundur dari cubaan menceroboh Cuba. Yang terpentingnya, dia memerlukan satu provokasi bagi meyakinkan rakyat Amerika bahawa memang “tidak ada pilihan lain”.
Pada 5 Ogos 1964, akhbar seluruh Amerika melaporkan “serangan terbaru” terhadap kapal pemusnah Amerika yang beroperasi di perairan Vietnam, khususnya di Teluk Tonkin. Cerita rasmi mengatakan yang bot torpedo Vietnam Utara melancarkan ‘serangan tanpa provokasi’ ke atas kapal USS Maddox ketika ia melakukan “rondaan rutin.”
Yang sebenarnya kapal USS Maddox telah terlibat dalam pengumpulan perisikan yang agresif dengan serangan sebenar oleh tentera Udara Vietnam Selatan dan Laos terhadap sasaran di Vietnam Utara. Adalah juga satu kebenaran yang tidak berlaku pun serangan oleh bot torpedo terhadap USS Maddox. Kapten John J. Herrick, pemerintah pasukan di Teluk, telah menghantar kabel ke Washington DC mengatakan yang laporan tersebut adalah akibat telatah “terlebih uja” seorang pegawai Sonar yang tersalah tafsir bunyi kipas kapalnya sendiri serta panik. Namun walaupun dengan pengetahuan tepat akan laporan palsu itu, Johnson terus muncul di TV kebangsaan bagi mengumumkan kerahan serangan udara terhadap Vietnam Utara, sebagai “membalas” atas serangan yang tidak pun terjadi.
Presiden George Bush kepinginkan peperangan di Iraq, George Bush didorong oleh wang. Khususnya wang minyak. Namun dengan kegagalan sekutu OPEC dalam menghadkan pengeluaran minyak di Timur Tengah, pasaran telah dilimpahi dengan minyak yang disedut dari bumi Iraq, yang memiliki sekitar 1/3 simpanan minyak seluruh wilayah itu.
George mahukan satu peperangan bagi menghentikan aliran minyak, bagi mempertahankan harganya (dan keuntungan) dari menjunam. Akan tetapi seperti mana Roosevelt, dia juga memerlukan ‘pihak satu lagi’ untuk memulakan langkah pertama.
Iraq sudah lama cuba untuk mendapatkan kemudahan yang lebih besar ke Teluk Parsi, dan merasakan amat terhad dengan hanya semenanjung sempit sepanjang sempadan Utara Kuwait yang meletakkan kepentingan Iraq begitu hampir dengan Iran. George Bush yang secara sulit telah mempersenjatai Iraq ketika berperang dengan Iran, telah menghantar mesej melalui Duta April Glaspie yang AS tidak akan mencelah sekiranya Saddam Hussein merampas sebahagian Kuwait. Saddam telah terjatuh ke dalam perangkap lantas menceroboh Kuwait.
Sudah tentulah rakyat Amerika tidak mungkin menghantar anak lelaki dan perempuan mereka bagi memperjudikan nyawa semata-mata kerana barangan petroleum. Jadi George Bush telah mengatur satu penipuan dengan menggunakan firma Hill & Knowlton yang semakin bertambah kaya dengan menyauk wang pembayar cukai dengan menjadi kaki kelentung yang kreatif dan berjaya! Hill & Knowlton terlibat dalam satu penipuan yang unggul di mana anak perempuan Duta Kuwait ke AS, muncul di kaca TV menyamar sebagai jururawat serta menyampaikan kisah ngeri kununnya tentera Iraq telah merompak inkubator dari hospital Kuwait dengan membiarkan bayi pramatang terbaring di atas lantai menunggu maut. Media yang merupakan sebahagian dari kerja penipuan sejak mula, tak ambil pusing untuk bertanya “jururawat” terbabit kenapa ia tidak mengangkat bayi-bayi itu dan membalut badan mereka dengan selimut atau sebagainya.
Ekoran marah dek kisah inkubator itu, rakyat Amerika menyokong operasi Desert Storm yang tidak pun menghumban keluar Saddam Hussein dari tampuk kuasa akan tetapi berjaya menghentikan minyak Kuwait dari pasaran selama 2 tahun dan menghadkan eksport minyak Iraq sehingga ke hari ini. Hakikat betapa anak-anak kita yang pulang dari perang dengan segala penyakit jelas bukan harga yang tinggi perlu dibayar bagi kenaikan keuntungan minyak.
Berikutan kejayaan di Iraq, satu lagi perang terjadi di wilayah kaya mineral Bosnia. Sekali lagi, kelentungan telah dicipta bagi menyokong tindakan ketenteraan.
Fikret Alic, seorang Muslim yang merenung melalui tembok wayar berduri telah digunakan sebagai ‘bukti’ betapa Bosnia telah mewujudkan “Kem Tahanan” zaman moden. Sebagaimana tajuk utama “Belsen 92” tunjukkan, kesemua perkaitan dengan kengerian Nazi telah ditrumpetkan bagi membolehkan lebih banyak tentera AS dihantar ke negara orang asing.
Akan tetapi tatkala Wartawan Jerman pergi ke Trnopolje, tapak yang dikatakan sebagai kem tahanan Bosnia untuk penggambaran dokumentari, mereka mendapati gambar foto yang didakwa itu adalah palsu! Kem di Trnopolje bukanlah kem tahanan sebaliknya adalah pusat pelarian. Malah ia juga tidak dikelilingi wayar berduri. Pemeriksaan teliti akan foto asal mendedahkan yang jurugambar telah merakamkan gambar di bahagian tembok yang rosak. Sebenarnya jurugambar itu yang berada dalam kawasan pusat pelarian sambil mengambil gambar pelarian di luarnya.
Sekali lagi, rakyat Amerika diperdaya untuk menyokong tindakan pemimpin yang mungkin akan mereka bantah jika mengetahui perihal sebenar.
Sementara beberapa Presiden Amerika secara sengaja memulakan peperangan untuk tujuan peribadi, mungkin tidak pernah mana-mana Presiden yang melakukannya secara dahsyat seperti mana yang dilakukan Bill Clinton.
Kebetulan dengan kenyataan awam Monica Lewinsky yang dijangkakan berlaku berikutan pengakuannya, Bill Clinton telah mengarahkan serangan misil kruis ke atas Sudan dan Afghanistan, dengan mendakwa yang ia mempunyai bukti yang tidak dapat disangkal betapa penjahat luar biasa (dan bekas sekutunya di Afghanistan) Osama Bin Laden sedang membina senjata kimia di situ.
Pemeriksaan ke atas gambar foto serpihan mendedahkan tidak ada langsung struktur yang dijangka ditemui dalam sebuah makmal yang mengendalikan bahan berbahaya pembinaan senjata. Jaminan dari CIA betapa mereka mempunyai ujian tanah yang positif akan senjata biologi telah menempelak mereka tatkala didedahkan yang memang tiada tanah terbuka di kawasan kemudahan yang sebelum dibom itu. Sudan telah meminta pemerhati antarabangsa untuk datang menguji sisa serpihan kilang bagi sebarang petanda gas saraf seperti yang Clinton berkeras mengatakan kewujudannya itu. Tiada satu hampeh pun yang ditemui. Kilang Sudan itu ialah kilang aspirin yang tidak pun berbahaya dan tuan punya kilang telah menyaman bagi gantirugi yang dialaminya. Pemeriksaan kemudiannya tapak yang telah dibom di Afghanistan mendedahkan yang ianya adalah sebuah masjid.
Sementara itu di Kosovo, kisah genosid serta kekejaman yang membanjiri media (ketika itu untuk melencungkan dari malu akan kesilapan di Sudan) begitu meliurkan serta sensasi dan akhirnya terbukti sebagai fiksyen sebagaimana cerita kekejaman yang dikarang William Randolph Hearst terhadap Cuba.
Sekali lagi kerajaan serta media memperdaya rakyat Amerika. Foto di atas telah disiarkan dalam kesemua rangkaian media Amerika, yang mendakwa kununnya sebuah dari pesawat Mig Slobodan Milosovic, yang telah ditembak jatuh semasa menyerang orang awam. Pemeriksaan teliti menunjukkan yang ia telah disalin dalam Bahasa Inggeris!
Seperti mana Jerman di bawah Hitler, terdapat beberapa peristiwa yang menimbulkan ketakutan yang mendalam dalam hati penduduknya, seperti pengeboman WTC New York, Bangunan Persekutuan Oklahoma City serta bom di Taman Olimpik (yang dipesongkan dari media menyaksikan penembakan jatuh pesawat TWA 800). Media begitu pantas melatah untuk menuding “radikal”, “Subversif”, “konspirasi sayap kanan” dan lain-lain “musuh terkini”, tidak ada bezanya dengan kelentungan yang digunakan oleh Cicero dan Hitler.
Namun dengan pemeriksaan teliti, peristiwa “keganasan domestik” sebegitu tidaklah seperti apa yang cuba ditonjolkan. FBI mempunyai pemberi maklumat di kalangan pengebom World Trade Tower, Emad Salam yang menawarkan diri untuk mensabotaj bom terbabit. FBI memberitahunya “jangan”. Apa yang dikatakan sebagai “sarang” pemisah kulit putih di Elohim City, yang kadangkala Tim Mc Veigh tinggal di sana pada minggu-minggu sebelum pengeboman Bangunan Persekutuan Bandar Oklahoma diasas serta ditadbir oleh pemberi maklumat FBI sendiri!
Dan tiada seorang pun yang benar-benar menerangkan apakah yang dibuat oleh terak Ryder kedua dalam kem rahsia pertengahan jalan dari Bandar Elohim ke Oklahoma City dua minggu sebelum pengeboman.Jadi. Di sinilah kita hari ini. Seperti mana masa Rom dengan Crassus dan Cicero, atau rakyat Jerman di bawah pemimpin yang baru terpilih Hitler, kita sudah pun diberi amaran betapa musuh yang bahaya sedang mengancam kita yang sukar ditangkap, kebal, tersebar luas dan gagah selagi kerajaan kita terikat dengan Perlembagaan lama yang ketinggalan zaman ‘Bill of Right’. Kini sudah pun muncul artikel yang membahaskan apakah “pendekatan luar biasa” (yakni penderaan) tidak diizinkan sepenuhnya di bawah keadaan tertentu seperti yang kita hadapi hari ini.
Seperti mana dalam kes Rom dan Jerman, kerajaan berterusan meminta dari rakyat perluasan kuasa dan haknya, untuk “menangani krisis”.Namun, apabila perandik jam Casio dibariskan di hadapan kamera, nada amaran berterusan oleh pemimpin, adalah sah untuk menyoal apakah krisis itu benar-benar berlaku, dan juga bagaimana hasil dari penjenteraan politik oleh pemimpin kita.
Apakah keganasan itu benar-benar satu ancaman, atau hanyalah pelakon yang diupah menggunakan bom dan jam tangan Casio, yang dibayar oleh Cicero dan diberi baju berwarna coklat oleh Hitler?Apakah keganasan dalam Amerika Syarikat benar-benar berasal dari luar, atau ianya hanya hasil pementasan khianat yang direka bagi menyebabkan rakyat Amerika percaya yang mereka tiada pilihan lain melainkan menyerahkan Republik dan menerima pemerintahan diktator emperor baru, atau Fuhrer yang baru?
Sekali hilang, rakyat Rom tidak memperolehi kembali negara Republik mereka. Sekali terlepas, rakyat Jerman tidak dapat Republiknya kembali. Dalam kedua-dua kes, negara itu perlu jatuh tersepuk sebelum kebebasan dapat dikembalikan kepada rakyatnya. Ingatlah tatkala Crassus memberitahu anda yang Spartacus semakin mendekati. Ingatlah tatkala para samseng jalanan upahan Cicero dan Hitler bertindak dengan jelas untuk menimbulkan ketakutan khalayak. Ingat juga tatkala Reichtag telah dibakar hangus. Ehsan rense.com
(1) Lihat Prolog menjelang krisis: satu transkrip pertemuan antara Saddam Hussein dan Duta AS Glaspie tidak lama sebelum pencerobohan Iraq ke atas Kuwait: http://www.thetruthseeker.co.uk/article.asp?ID=51(2) See Tears of the Mighty by Jared Israel.
Terjemahan N-SPAR - 17.07.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN