![]()
TAG 1829-6:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 6
Taman Permainan Media Khairy
(Khairy’s media playgrounds)
Laporan Khas Malaysia Today - Laman M@RHAEN
Taman Permainan Media KhairySejarah telah merakam pelbagai cara menghapuskan kerjaya seseorang ahli politik UMNO. Malahan, panglima perang yang perkasa pun mudah dapat dinyah untuk bersara, seandainya pelbagai kombinasi skandal dapat direkacipta serta dapat pula digembleng saluran yang baik untuk menyebarkannya. Pembunuhan (assasin) politik dapat dilaksanakan secara mudahnya dengan menggunakan pihak media. Yang diperlukan ialah mengupah segelintir manusia termasuk wartawan dan tukang komentar politik. Masakini, kita tidak lagi perlu mengupah seorang wartawan yang tulen, kerana seorang wartawan internet sudah mencukupi untuk tujuan itu.
Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj telah dimusnahkan dengan cara penyebaran surat layang yang sungguh berbisa kandungannya. Surat itu telah menuduh Tunku memperlekeh Bangsa Melayu kerana memanjakan orang Cina. Tunku juga difitnah sebagai seorang pemimpin yang gila perempuan, kuat minum arah dan kaki judi. Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak telah terselamat oleh kematian beliau yang mengejutkan, jika tidak beliau juga mungkin diaibkan oleh taktik kotor yang sama oleh Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Harun Idris. Harun pernah menuduh Tun Abdul Razak merelakan anasir-anasir komunis masuk meresap jabatannya. Tentu semua orang masih ingat betapa Anwar Ibrahim telah digulingkan. Satu campuran ‘pendedahan’ dan ‘pengakuan’ telah disiarkan melalui media rasmi termasuklah penerbitan buku “50 Dalil” yang ditulis oleh Khalid Jeffri yang baru sangat dikenakan hukuman memfitnah dan mengaibkan Anwar sebagai seorang yang korup dan kaki sodomi sambil berselindung di sebalik kewarakannya.
Semua itu adalah taktik lama dan Khairy Jamaluddin amat faham yang lebih baik lagi untuk bergantung kepada teknik seperti itu. Masa sudah berubah Pergerakan Reformasi telah berjaya membuktikan keberkesanan media siber dan juga akhbar asing dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat Malaysia yang tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap apa yang ditulis oleh media arus perdana.
Justeru, memang tidak menghairankan apabila serangan pertama yang dilakukan oleh Khairy terhadap Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak telah dilakukannya melalui internet dan juga dengan menggunakan media asing.
Untuk mengukuhkan kerja busuk ini, Najib telah digembar-gemburkan sebagai seorang ahli politik “yang tidak pernah bersih”. Najib telah dikaitkan kepada pelbagai bentuk skandal yang bermula daripada pembahagian kawasan balak kepada saudara rapatnya semasa menjadi Ketua Menteri Pahang pada awal 1980-an dahulu sehingga ditangkap basah di Port Dickson kerana dikatakan berkhalwat dengan seorang artis terkenal di sebuah motel. Namun, tidak satu pun skandal ini dapat menggulingkan Najib kerana umum sudah lali dengan cerita kerakusan orang politik UMNO yang memang difahami sentiasa rakus dan korup. Malahan semua pihak sudah mengakuinya, betapa kelemahan besar Najib ialah kaum hawa dan beliau bukan bersendirian dalam menghadapi kelemahan begini. Ini sudah merupakan kelemahan para pemimpin UMNO juga.
Lantas, seperti kes Anwar Ibrahim dahulu, segala skandal Najib perlu digembar-gemburkan ataupun direkacipta dari mula lagi.
Sudah wujud dua peristiwa di mana Khairy Jamaluddin pernah bersuara lantang mengatakan bukannya sukar sangat mengada-adakan perkara semacam itu. Yang pertama berlaku beberapa bulan dulu, dalam satu jamuan makan yang dihadiri oleh rakan sekutu perniagaan seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO bernama Datuk Norza Zakaria. Ketika itu Khairy telah berbisik kepada seorang peniaga yang berusia 35 tahun, betapa bukan sukar sangat mengada-adakan satu skandal yang dapat menggulingkan Najib. Khairy kata, “itu kacang sahaja”. Setelah mendengarnya, peniaga yang khusus itu cuba menunjuk-nunjuk pula kepada kawan-kawan beliau yang dia mempunyai maklumat dalaman betapa Najib akan ditendang daripada mercu jawatannya.
Peristiwa yang kedua berlaku pada bulan Jun 2004. Ketika itu Khairy dilihat sebagai calon untuk jawatan Chief Operating Officer (COO) bagi Khazanah Nasional. Beliau sudah terlalu yakin akan dilantik kepada jawatan itu oleh Pengarah Besar, Azman Mokhtar. Khairy telah mengajak kawan-kawan universiti dahulu dan menyerlahkan rencana beliau untuk menyusun semula Khazanah. Ada seorang kawan beliau bertanya apa pula pendapat Najib akan pelantikan beliau yang terbaru itu nanti. Khairy menjawab, seandainya Najib tidak suka dia akan “nyahkan Najib dalam penjara.” Khairy terus menyombong dan berkata bahawa Naib akan jatuh tersungkur dengan mudah sahaja, kalau dia benar-benar mahu menggulingkan Timbalan Perdana Menteri itu.
Keangkuhan dan kesombongan semacam itu memang ada asasnya. Semua itu boleh juga dianggap sebagai keceluparan seorang anak muda yang rakuskan kuasa. Tetapi, Najib memanglah merupakan seorang seteru politik yang lemah kalau dibandingkan dengan Anwar Ibrahim. Pertama, Najib bukan pun dilantik memegang jawatan itu melalui pemilihan undi yang terbuka, tetapi beliau naik kerana tidak ada orang lain yang menandingi beliau bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Lagi pun sepanjang kerjaya politik beliau, Najib tidak pernah menghadapi sebarang tandingan yang serius, dan kerana itu beliau tidak pernah kalah dalam mana-mana pertandingan. Sebagai seorang pemimpin yang mudah teragak-agak dengan keputusannya Najib memang merupakan seorang yang pengecut dan tidak akan terdaya bertentang sesiapa yang benar-benar tegas mahu menandinginya. Selama ini Najib telah naik mencanak ke jawatan tinggi gara-gara putar belit orang yang lebih berpangkat darinya.
Kalau wujud keadaan yang bersesuaian, adalah tidak sukar mengalahkan seseorang seperti Najib. Inilah percaturan yang telah dicongak oleh Khairy Jamaluddin dan kerana itu beliau mengalu-alukan pelantikan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri. Walaupun UMNO secara keseluruhannya memberi sokongan kuat terhadap Najib, beliau bukanlah seorang pemimpin yang benar-benar telah diuji. Khairy Jamaluddin menganggap Najib sebagai tandingan yang setanding dengannya kalau tidak ‘sedikit bawah’ darinya. Namun demikian, segala skandal yang mewarnai Najib telah menjadi pengetahuan umum selama 30 tahun sehinggakan umum sudah lali dengan rupa dan wajahnya. Memanglah Najib sudah lama bergelumang dengan skandal dan rasuah. Tetapi seandainya Khairy turut terlibat dengan rasuah, umum secara keseluruhannya masih belum mengetahuinya lagi.
Khairy mempunyai sebab kenapa beliau begitu yakin dapat menumpaskan Najib. Ini berpunca daripada satu ujian yang dilancarkannya sejurus selesainya Pilih raya Umum Yang kesebelas dahulu, di mana Najib telah menjadi mangsa kepada satu skandal yang direkayasa oleh Khairy.
Dalam episod ini, Khairy telah menggunakan satu portal berita yang bebas untuk melancarkan rencana busuknya. bermula dengan satu kisah betapa Barisan Nasional telah berhutang berjuta-juta Ringgit kepada beberapa pencetak dan pembekal poster Melayu. Skandal itu telah disebarkan melalui portal bebas itu. Mengikut ceritanya, para pembekal telah menerima pesanan untuk mencetak ratusan ribu bahan kempen daripada Ibu pejabat Barisan Nasional dengan arahan agar bahan-bahan itu diagihkan terus kepada calon yang bertanding. Tanpa disedari oleh wartawan yang menyiarkan skandal itu, kisah ini akhirnya menjurus kepada orang-orang Najib, termasuk seorang peniaga yang bergelar Datuk dan merupakan seorang Cina Muallaf. Datuk Muallaf ini memang rapat dengan Najib dan memang terkenal menyumbang kepada apa juga bentuk kutipan derma yang dipelopori oleh ibu Najib, Toh Puan Rahah dan isteri beliau, Rosnah Mansur.
Rencana busuk itu amat mudah dipelopori. Khairy telah mengatur agar Setiausaha Kerja BN, Yacob Muhammad, meminta Datuk Muallaf itu mengeluarkan beberapa order (pesanan) menyediakan bahan kempen pilihan raya melalui satu syarikat yang khusus diwujudkan untuk tujuan tersebut. Syarikat itu telah mengagihkan kerja-kerja tersebut kepada beberapa pengusaha percetakan Melayu. Akan tetapi bahan-bahan itu tidak dihantar kepada ibu pejabat BN kerana telah diarahkan dihantar terus kepada calon BN yang bertanding. Surat arahan itu menggunakan tandatangan ’Datuk Muallaf tadi dan menggunakan ‘letterhead’ yayasan tertentu yang ada kaitan dengan Najib.
Apabila para pencetak Melayu itu mengemukakan tuntutan bayaran mereka pada Ibu pejabat UMNO, mereka telah dibisikkan bahawa pesanan itu semua telah dikeluarkan oleh Najib melalui sahabat beliau Datuk Muallaf tadi. Nama Najib telah dijaja untuk mencemarkannya, Untuk menyelamatkan keadaan, Datuk Muallaf tadi telah cuba melangsaikan bayaran. Sudah tentu dia tidak mampu membayar semuanya. Namun setakat ini skandal itu masih dapat dikawal.
Inilah caranya Khairy mengugut. Beliau telah menggunakan skandal semacam ini sebagai ujian pertamanya untuk menentang Najib. Khairy telah mempelajari beberapa iktibar daripada episod ini. Pertama, Najib mempunyai kekuatan untuk menangkis serangan semacam ini. Dengan menggunakan rakan perniagaannya, Najib berjaya membayar pampasan kepada pihak yang terhutang. Akan tetapi, ini hanya satu ujian kecil dalam usaha menggegar Najib untuk menilai apakah implikasinya. Kisah itu sengaja disebarkan melalui portal berita internet dan tidak melalui media arus perdana yang berkemungkinan akan melantun balik dan menyebabkan keaiban kepada Abdullah Badawi pula.
Ujian yang kedua ialah percubaan mengaibkan Najib melalui media asing. Peluang terbuka semasa Malaysia dan Indonesia bertelagah mengenai kawasan minyak yang berada di pesisiran pantai Sabah dan Sulawesi. Selaku seorang Menteri Pertahanan, Najib telah diminta menjelaskan pendirian Malaysia. Ada satu majalah berita Indonesia yang telah menyiarkan laporan betapa Najib telah meminta maaf kerana tingkah laku kapal tentera laut DiRaja yang mengawal kawasan terbabit.
Sudah tentu Najib merasa malu, dan pantas menafikan yang dia pernah berbuat begitu. Akhbar Indonesia itu telah mengalah dan meminta maaf terhadap berita yang palsu. Sebabnya berpunca daripada sumber cerita itu. Beliau ialah seorang ketua Pemuda Nahdatul Ulama yang rapat dengan Khairy. Pemimpin itu telah memberitahu wartawan terbabit bahawa kemaafan itu telah diminta oleh Khairy. Tidak pula jelas apakah pemimpin NU tersebut merupakan orang suruhan Khairy dalam skandal begini. Soalnya kenapakah dia mesti ragu dengan Khairy? Bukankah Khairy merupakan anak menantu Perdana Menteri Malaysia yang pernah dihantar menemui pemimpin Indonesia Presiden Susilo Bambang Yudhoyono walaupun beliau tidak punya apa-apa jawatan dalam kerajaan? Najib tidak boleh berbuat apa-apa terhadap niat akhbar Indonesia itu apabila mengetahui sumber berita tersebut berpunca daripada Khairy. Lagi pun Najib tidak boleh menyaman malu akhbar itu kerana akan mendedahkan Khairy dan seterusnya menaikkan kemarahan Abdullah.
Ujian kecil Khairy itu hanya satu percubaan sahaja untuk tidak terus menghambatnya. Beliau sedar segala usaha untuk menjatuhkan Najib mesti dilakukan secara perlahan-lahan dan terus ligat mengikuti peredaran masa. Justeru, kini telah dipasang beberapa perangkap di merata tempat melalui hubungan baik Khairy dengan pihak media.
Semasa Abdullah Badawi diisytiharkan sebagai Perdana Menteri salah satu perkara yang dimintanya daripada Mahathir ialah kuasa ke atas media. Abdullah faham semasa Anwar berkuasa dahulu penguasaan terhadap media adalah penting dan ini adalah satu jaminan terhadap sebarang usaha untuk menggulingkannya. Dahulu pun Anwar telah meletakkan orang pilihannya untuk mempromosi namanya sebagai calon PM. Dengan cara menggulingkan orang pilihan Anwar inilah yang membolehkan Anwar ditumpaskan pada September 1998.
Abdullah mahu keyakinan bahawa tragedi semacam ini tidak akan menimpanya dan Mahathir pula sedar bahawa dengan menyerahkan kuasa media kepada Abdullah dia dapat meyakinkan beliau betapa dia memang serius menyerahkan kuasa kepada Abdullah. Kerana itu Mahathir mengalah dan akur dengan permintaan Abdullah. Dengan pantas Abdullah meminta Khairy memberikan nama calon yang sesuai.
Pelantikan Khairy yang paling menonjol ialah Kalimullah Hassan Masheerul Hassan, seorang bekas wartawan Singapura yang berkawan rapat dengan beberapa peniaga Cina tertentu di mana orang Cina itu memikirkan perkara yang menguntungkan perniagaan mereka sedangkan Kalimullah perlu menyediakan cangkuk taliannya. “Kalli” begitulah nama timangan beliau, mempunyai satu wawasan yang penuh gahnya. Walaupun dia tidak pandai menulis apa lagi sebagai seorang editor, Kali sedar betapa dia boleh membeli orang yang berbakat. Sudah menjadi rahsia ramai bahawa editorial (lidah pengarang) NST yang menggunakan nama Kali sebenarnya ditulis oleh penulis upahan yang cergas di internet. Orang semacam ini yang sebulu dengan Khairy kerana beliau juga pandai memahami bahawa tidak sukar menjadi seorang tokoh yang mampu memilih dan mengupah sesiapa sahaja untuk membuat kerja sebenarnya.
Akan tetapi, nama Kalimullah memang ada tercemar sedikit. Beliau memang dikenali sebagai terlalu rapat dengan kerajaan Singapura, khususnya dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Wong Kan Seng. Menteri Wong memang ditugaskan menguasai operasi risikan. Ada seorang rakan rapat Kalimullah yang pernah membisikkan satu rahsia kepada bekas Setiausaha politik TKT Mahathir yang bernama Mathias Chang. Mengikut Mathias Chang, Kalimullah adalah seorang agen risikan ataupun tali barut kerajaan Singapura. Beberapa bulan sebelum menyerahkan kuasa, TKT Mahathir telah meminta Pengarah Risikan Tentera ketika itu menyediakan satu laporan mengenai Kali. Laporan itu telah disalinkan kepada Najib dan merumuskan betapa Kali tidak terbukti sebagai seorang tali barut. Akan tetapi, laporan itu tidak pula membebaskan beliau terhadap sangkaan begitu. Laporan itu merumuskan betapa memang ada keraguan yang mencukupi untuk mempersoalkan pelantikan Kali sebagai Ketua Editor Kumpulan NST.
Pelantikan itu telah disahkan juga, akhirnya kerana calon yang lagi satu yang rapat dengan Abdullah ialah Anuar Zain. Dia sudah pun dicalonkan mengisi kekosongan di Bernama untuk menggantikan Kadir Jasin, orang kuat TKT Mahathir. Sejurus Kalimullah mengambil tempatnya di NST, dia telah melantik beberapa orang penulis yang ada kaitan dengan Singapura untuk memulakan tugas mengikut arahan Abdullah dan Khairy.
Salah seorang penulis itu ialah Brendan Pereira. Beliau adalah bekas wartawan Singapore Straits Time dan kawan lama Khairy. Pereira telah diperkenalkan kepada Khairy oleh kawan lama beliau yang belajar di United World College di Singapore. Brendan telah menulis beberapa artikel yang memuji-muja Khairy dalam Singapore Straits Times, sehinggakan orang mencemuh beliau sebagai Setiausaha Akhbar Khairy. Setiap tulisan Brendan akan menyebut kata-kata ungkapan Khairy dan kawannya, Norza Zakaria, sedangkan mereka hanya orang kecil dalam pergerakan Exco Pemuda UMNO dan belum dikenali ramai. Malahan nama Khairy telah mula meletup di Singapore sebelum ia muncul besar di akhbar Malaysia.
Niat sebenar Brendan ialah mahu menumpang tuah bintang Khairy yang bergemerlapan. Beliau mengimpikan satu jawatan tinggi dalam New Straits Times. Dengan kesetiaan Brendan Preira serta beberapa penulis upahan yang pernah bertugas di Singapore Straits Times, Khairy sudah yakin akan kesetiaan New Straits Times.
Akan tetapi Khairy tidak akan menggunakan NST untuk menjatuhkan Najib. Khairy bercadang menggunakan orang-orang yang berkait rapat dengan Kali dan Brendan di seberang Tambak Johor untuk menyiarkan cerita mengenai skandal Najib. Rencana itu belum matang lagi tetapi bila tiba masanya nanti, anda akan dapat membacanya juga.
Jangan pula lupa hubungan Khairy dengan media internet, khususnya akhbar internet bernama AgendaDaily. Akhbar itu kini disunting oleh Rosli Ismail dan biaya akhbar itu ditentukan oleh Khairy dan Norza Zakaria.
Pada asalnya, AgendaDaily telah dimulakan oleh seorang bernama Rozaid Abdul Rahman. Beliau ialah abang kepada Rozabil Abdul Rahman (rakan niaga ibu Khairy yang pernah disebut dalam Bahagian 4 Hikayat ini). Rozaid ialah seorang penulis upahan yang menonjol pada September 1998 menulis mengenai Anwar Ibrahim dan pergerakan Reformasi. Beliau mencetak penulisan itu dan memujuk aktivis Reformasi membelinya secara pukal untuk dijual semasa majlis ceramah dan kumpulan mereka. Apabila beliau kekeringan sumber dana itu, Rozaid telah berpaling kepada bekas Naib Presiden UMNO, Muhamad Muhammad Taib, untuk membiayai AgendaDaily, sebagai akhbar internet alternatif kepada MalaysiaKini. Muhammad telah membelanjakan RM200,000 tetapi wang itu menjadi kontang selepas beberapa bulan sahaja kerana AgendaDaily gagal mendapatkan pembaca yang sanggup membayarnya.
Untuk menutup kerugian, Rozaid mula menjual cerita kepada ahli politik UMNO yang selesa dengan berita molok-molok mengenai diri mereka. Rozabil yang sudah menjadi rakan niaga ibu Khairy, telah memperkenalkan Rozaid kepada Khairy dan Norza Zakaria. Apabila Muhammad enggan mengeluarkan belanja lagi, Norza pula masuk campur, Dalam satu minggu sahaja Norza telah menghantar RM100,000 ke dalam akaun AgendaDaily. Sejurus kemudian muncul satu artikel yang memuji-muja Khairy Jamaluddin.
Hubungan baik itu berterusan walaupun Rozaid telah melepaskan AgendaDaily secara rasminya untuk menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Khaled Nordin. Editor yang baru, Rosli Ismail, terus menyiarkan laporan yang baik-baik mengenai Khairy yang selalunya menyelitkan beberapa penafian Khairy terhadap beberapa desas-desus yang ada kaitan dengan dirinya.
Tidak sesiapa yang dapat nafikan betapa Khairy Jamaluddin telah menggunakan pendekatan yang betul dalam mempengaruhi minda generasi muda di kalangan anak muda yang berpendidikan tinggi. Dengan cara menggunakan media asing dan internet dia seolah-olah menggunakan semua itu laksana padang permainan untuk menaikkan namanya. Khairy telah melangkah jauh menggunakan taktik baru yang masih malu digunakan oleh Hishamuddin Hussein (yang pernah takut muncul di MalaysiaKini) dan juga Najib.
Akan tetapi, penggunaan media hanyalah untuk membantu kepada satu tahap tertentu sahaja. Serangan yang benar-benar jitu terhadap Najib memerlukan senjata yang lebih perkasa dan rahsia. Khairy sudah mempunyai senjata itu yang bernama “Anwar”
Bersambung ke Bahagian 7: Berputiknya Satu Persahabatan Yang Akrab
- MalaysiaToday
Hikayat Khairy Jamaludin: Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 21 - 22 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan
Terjemahan MT-SPAR - 12.08.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan: bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.