TAG 1829-26:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 26
Muslihat Baru: Tukang Bimbit Beg
(A New Deal: The bag-carriers)
Laporan Khas Malaysia Today  - Laman M@RHAEN
Jumlah manusia yang datang tidaklah seberapa. Sekitar 50 dan 60 orang sahaja anggota pemuda UMNO yang memenuhi dewan kampung itu; menunggukan ketibaan Khairy Jamaluddin. Ini merupakan satu lagi majlis yang ditaja oleh Putera UMNO, satu sayap baru kepada Pergerakan Pemuda UMNO. Khairy muncul di situ untuk menjadi tetamu kehormat mereka. Pada kali ini mereka melancarkan satu program tuisyen bahasa Inggeris untuk kanak-kanak sekolah menengah rendah. Ironisnya inilah aktiviti yang memang lama ditaja oleh Pemuda UMNO. Inilah kegiatan Pemuda UMNO selama ini. Malahan ia mula sekali dianjurkan semasa Aziz Sheikh Fadzir menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO. Tetapi Khairy mahukan progam itu dilihat sebagai satu idea nukilan kepala otaknya; selari dengan hasrat membawa Bahasa Inggeris terutama yang berunsur ajaran Shakespeare.

Jadi, memasuki sebuah kampung kecil di Kedah, Khairy muncul dengan Volvo yang diiringi oleh dua buah Mercedes dan beberapa buah Waja di belakang, Khairy memakai baju putih berlengan pendek yang sinonim dengan pakaian UMNO, tetapi baju itu mempunyai beberapa poket yang dikatakan orang sebagai ‘poket ajaib Khairy’. Di situlah tersimpan kepingan duit kertas yang bernilai RM50, dan RM100 yang akan muncul keluar semacam satu silap mata. Tetapi pada kali ini keajaiban itu nampaknya tidak akan menjelma.

Khairy telah disambut oleh seorang pemimpin pemuda Kedah, Mohd. Zulfekri Awang. Dia menepuk bahu Zulfekri, persis stail biasa seolah-olah bermesra dengan pengikutnya. Soalannya sentiasa serupa juga: “Apa khabar? Bagaimana pergerakan kita? Bagaimana semua orang?”. Mata Khairy tidak pun berubah setiap kali ada jawapan yang diberikan, kerana semua jawapan itu adalah sama sahaja: “Semuanya beres Bos!”

Mereka berdua naik ke atas pentas. Sebaik majlis bermula dengan ucapan Pengerusi Pemuda UMNO tempatan, Khairy menoleh arah seorang pembimbit begnya yang duduk di barisan ketiga di dewan kampung yang kecil itu. Biarlah kita namakan pembawa beg ini dengan panggilan Wan Gemuk (bukan namanya yang sebenar, tetapi amat mirip kepada orang yang mengenalinya). Dengan pantas Wan Gemuk faham apa yang dimaksudkan oleh Khairy. Inilah masa beliau menjalankan tugas. Memang begitulah caranya sejak enam bulan yang lalu ketika Khairy mula merobah taktik untuk mempengaruhi Pergerakan Pemuda UMNO.

Sebelum ini Khairy telah beranggapan bahawa kemesraannya sudah cukup meraih sokongan di peringkat akar umbi. Tidak begitu keadaannya sekarang. Khairy telah merobah sikapnya setelah dia sedar betapa semua pemimpin UMNO yang lain menggunakan wang -- untuk meraih sokongan. Itulah yang dilakukan oleh Hishamuddin Hussein dan sedikit sebanyak itu juga oleh Khir Toyo untuk beberapa tahun yang lalu. Mereka merupakan tukang bayar yang besar kerana pada asasnya memang mereka mampu membayar. Memang ada beberapa tukang bayar yang besar lain seperti anak-anak Mahathir -- Mokhzani dan Mukhriz -- yang diketahui memang sudah lama memasang perangkap-pengaruh bukan sahaja di kalangan Pergerakan Pemuda UMNO malahan di beberapa pertubuhan lain seperti ANSARA (Persatuan Alumni Maktab Rendah Sains MARA) melalui sumbangan mereka.

Wan bangun dan pergi ke bahagian belakang dewan itu. Dia mengambil fon bimbit, jenis ‘Nokia 9300 communicator’ untuk mengutus satu pesanan SMS kepada seorang pemimpin Pemuda UMNO Kedah. Sebenarnya orang yang mahu dipanggilnya boleh disapa sahaja dengan menyentuh bahunya tadi semasa mereka sama-sama berada di bilik yang sama. Akan tetapi pesanan SMS itu ada tujuan yang tertentu. Wan mahu memberitahu pemimpin Pemuda UMNO itu (eloklah kita namakan beliau Razak – sebenarnya mereka panggil beliau dengan nama Razak Kuda), supaya datang untuk ‘mengutip habuannya’ seperti yang diarahkan oleh Khairy.

Razak telah menerima pesanan itu dengan serta merta. Ia tertulis ‘JOM SAT’. Dia tahu panggilan itu datang daripada Wan Gemuk. Dia menoleh dan nampak Wan sedang berjalan keluar meninggalkan dewan. Razak bingkas bangun dan mengekori Wan keluar dewan. Bila di luar, mereka memberi isyarat kepada pemandu Khairy yang dengan pantas membawa Volvo dan mereka berdua naik dan duduk di kerusi belakang..

Razak bertanya, “Bagaimana semuanya?”

“O.K.,” jawab Wan Gemuk. “Bos mahu kamu terima apa yang kamu minta minggu lalu.”

“Baguih tu,” kata Razak. “Aku dah kering ni. Bukan senang memancing sokongan Putera UMNO menyebelahi kita. Mukhriz sedang berusaha juga agar mereka menyokong dirinya. Lagi pun dia amat murah hati.”

Wan menekan nombor kunci beg dengan angka 010, itulah nombor kereta kesayangan Khairy dan mengambil keluar satu envelop berwarna coklat daripada beg kulit yang dibimbitnya. “Kalau Mukhriz bermurah hati pun, lambat laun dia akan kering juga. Khairy adalah orangnya, dan dia menimbun wang yang pantas. Dia akan mempunyai duit untuk beberapa tahun mendatang, sedangkan Mukhriz akan kering kontang tak lama lagi.”

“Aku harap pun begitu,” kata Razak. “Minggu lepas di Titi Gajah, dia beri saya RM100 dan kepada setiap budak-budak Putera UMNO. Ini merupakan jumlah yang besar kepada orang kampung.”

Issh, kita boleh bagi banyak lagi,” sampuk Wan Gemuk.

“Berapa banyak lagi?”

“RM5,000.”.

“RM5,000?” tanya Razak. “Tetapi Khairy sudah beri lebih banyak daripada itu di Balik Pulau minggu lalu. Shah Headan kata Khairy tabur RM10,000 di majlis Balik Pulau..”

“apa yang Sah Headan tahu? Saya yang bawa beg ini. Saya tahulah berapa saya bagi mereka. Cuma RM5,000 tidak lebih tidak kurang dari itu.”

“Mana cukup. Kedah bukan sama dengan Pulau Pinang. Di sana Khairy boleh bergantung harap pada Salim Bari dan Shah Hedan. Di Kedah pertandingan sengit. Azizi Sheikh Fadzir, Azimi Daim, dan Mukhriz adalah orang besar dan Khairy datang nak bertanding melawan mereka. Kedah bukannya sama dengan Pulau Pinang. Kedah adalah wilayah Mahathir. Pulau Pinang adalah wilayah Paklah. Pulau Pinang akan sokong Paklah kalaulah Paklah tidak melakukan kesilapan yang bodoh. Kedah boleh jatuh kepada Mahathir bila-bila masa. Dan Menteri Besar Kedah yang baru, Mahdzir Khalid bukan suka sangat pada Khairy.”

 “OK-lah,” kata Wan Gemuk. “RM8,000 OK?”

“RM15,000 lagi baik.”

“Mustahillah kalau RM15,000. Banyak sangat tu. Itulah jumlah yang diagihkan oleh Hishamuddin bagi seluruh Pemuda UMNO Kedah tahun lalu untuk bencana Tsunami. Kalau dia bagi sebanyak RM15,00 untuk mangsa Tsunami masakan Khairy akan bagi sebanyak itu untuk bahagian kamu.”

“Berapa banyak yang ada dalam sampul surat tu?”

“Adalah RM12,000, tapi Boss suruh saya simpan RM4,000,” kata Wan dengan tersenyum

Razak tahu Wan Gemuk sedang berbohong. Khairy memang mahu berikan semua RM12,00 itu sebagai habuan sogokan untuk melicinkan perjalanan jentera bahagiannya. Tetapi Wan Gemuk bukannya seorang pembawa beg yang dungu. Walaupun dia setia kepada Khairy dia tahu peranannya itu bukanlah dapat bertahan lama. Khairy boleh memilih orang lain dan menamatkan khidmatnya bila-bila masa. Apa salahnya dia kelepet sikit habuan yang ada? Memang Wan ‘cukai sedikit duit itu untuk dirinya, dan inilah yang dilakukannya pada hari itu.

Razak faham perkara itu. Dia sedar Wan Gemuk mahu mengambil sedikit habuan tetapi kali ini dia tidak akan memudahkan hasrat itu.

”OK.” kata Razak. “Tetapi kamu simpan sedikit beberapa ratus daripada simpanan kamu”

“No problem,” kata Wan Gemuk sambil mengira RM8,000 dalam bentuk kertas lima puluh ringgit dan seratus ringgit dan menghulurkannya kepada Razak. Sejurus selesai pengagihan wang itu, kereta yang sudah berlegar di merata kampung itu baru sahaja tiba semula di hadapan pintu dewan. Khairy baru sahaja selesai ucapannya. Dia memberitahu  anggota Putera Umno bagaimana dia menyukai drama sejarah bikinan Shakespeare yang mengajar beliau sepak terajang politik –walaupun mereka tidak begitu ganas semacam politik UMNO. Khairy telah menarik minat orang yang hadir bagaimana dia seronok dengan permainan bola dan tugasnya dengan FAM. Ucapannya memang singkat tetapi memadai untuk meyakinkan sesiapa yang hadir betapa desas-desus yang menyebut graduan Oxford itu tidak mampu bercakap dalam bahasa Melayu yang mudah ternyata adalah palsu sahaja

Khairy keluar dari dewan untuk memasuki Volvonya dan beredar ke majlis lain pula. Pada waktu yang sama pembawa begnya keluar daripada Volvo itu dan memasuki Waja yang mengekori di belakang. Senario ini berulang lagi merata Kedah dalam sehari itu. Ketika Khairy membuat lawatannya. Anggota Pemuda Umno menamakan hari semacam itu sebagai ‘Hari Salam Khairy’. Berjabat salam dengan Khairy bererti mereka mempunyai belanja sedikit untuk menikmatinya.

Gelagat di atas adalah majlis sebenar yang berulang kali dilakukan di Malaysia di mana sahaja UMNO berkuasa, kecuali di Sarawak. Politik wang memang masih segar bugar  dalam UMNO dan ramai yang sudah lupa sekarang ini betapa Abdullah Ahmad Badawi naik ke puncak kuasa atas dasar janji yang beliau akan membersihkan UMNO daripada penyakit yang membarah ini yang disebutnya sebagai ‘barah yang membunuh’.

Kini terbukti bahawa Abdullah Badawi adalah seorang pembohong hanya melalui perbuatan anak menantunya yang sedar bahawa cengkamannya ke atas UMNO hanya akan bertahan kalau ada sifat bermurah hati terhadap anggota biasa dalam parti. Timbunan dana yang dilonggokkan oleh Khairy bukanlah bertujuan untuk temboloknya sendiri, tetapi merupakan satu kemestian apabila berdepan dengan pesaingnya yang mempunyai saku yang dalam pada poketnya.

Selalunya orang yang diberikan status payung itu adalah timbalan Ketua pemuda UMNO di bahagian dan cawangan parti. Ada kalanya, ahli-ahli ini adalah anggota Kelab Naib Ketua Pemuda UMNO yang ditubuhkan oleh Khairy. Lazimnya mereka juga merupakan orang yang pernah berkhidmat bersama Khairy semasa beliau menjadi anggota Exco Pergerakan itu yang bertanggungjawab ke atas bidang pendidikan. Pada lazimnya juga inilah orang yang menjadi pengintip akan pergerakan Ketua Pemuda yang dilihat memberikan tumpuan khas terhadap bakal calon yang akan menentang Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti pada 2007 nanti..

Pembawa beg selalunya berada setakuk bawah kedudukan orang yang berstatus ‘payung’. Mereka ini adalah anggota pemuda UMNO yang memang diberikan kepercayaan khusus oleh Khairy untuk mengagihkan dana. Segelintir manusia seperti Wan Gemuk menjalankan tugas dalam lingkungan puluhan ribu ringgit. Yang lain seperti Rozabil Abdul Rahman diberikan tugas menguruskan ratusan ribu ringgit. Yang di atas lagi adalah yang mempunyai status ‘beg’ pula, Mereka ini seperti Wan Farid Wan Salleh daripada Terengganu, yang bertanggungjawab mengutip ‘tol’ bagi pihak Khairy dan mengarahkan dana itu kepada beberapa akaun khas untuk membolehkan pembawa beg mendapat sumber peruntukannya. Paling tinggi di atas ialah Khairy, yang begitu kebal daripada sebarang perniagaan yang kotor-kotor, namun memang sentiasa mengawasi perjalanan semua urusan itu. Hanya apabila Khairy mengenyitkan mata barulah pembawa beg pergi mendapatkan si payung. Mereka tidak berani bertindak sesuka hati.

Laksana orang istana, Khairy tidak pernah menyentuh dana itu. Dia biarkan orang lain menguruskannya sambil dia menentukan mempunyai tangan yang bersih selalu. Sikap begini memang bukan perkara baru dalam politik UMNO. Sejak zaman Tun Abdul Razak memang sudah menjadi satu kelaziman di kalangan Ketua pemuda UMNO sejak Syed Jaafar Albar kepada Harun Idris, kepada Suhaimi Kamaruddin kepada Anwar Ibrahim kepada Najib Tun Razak dan Zahid Hamidi. Mereka mempunyai membawa beg dan payung. Yang sudah berubah ialah jumlah dana. Pada masa dahulu, ketika anggota UMNO mudah rasa puas hati dengan menerima sekeping not RM10 sahaja setiap beberapa bulan sekali. Kini mereka hanya akan merasa gembira kalau wang itu muncul setiap bulan dan berwarna biru ataupun ungu.

Memang politik masih segar di Malaysia dan wang terus menjadi darah dagingnnya. Segala kelentungan yang disebut oleh Abdullah Ahmad Badawi semasa mencemuh Isa Samad dan orang lain semacam itu, sudah berulang kembali dengan kelakuan para penasihat sendiri dan amat dipercayainya. Mereka inilah yang mengulang perbuatan terkutuk itu berulang kali. Jawatankuasa Disiplin UMNO yang diketuai oleh Tengku Ahmad Rithauddeen yang sudah tua dan tidak bertaring lagi, hanya merupakan sesuatu yang memalukan sahaja.

Apabila berdepan dengan golongan pelapis yang begitu berani mengeluarkan ajarannya, Jawatankuasa disiplin itu tidak mampu berbuat apa-apa. Lagi pun sahabat baik Khairy, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Ahmad Zaki Zahid boleh terlepas begitu sahaja, walaupun segala perbuatan beliau mengeluarkan habuan secara terbuka boleh dibiarkan sahaja. Kenapa pula orang lain tidak boleh berlagak sama?

Inilah satu gambaran bagaimana politik UMNO bergerak dan wang akan terus datang mencurah melicinkan jentera Khairy sambil dia bertukar untuk menelan sokongan dalam putarannya.

Bersambung ke Bahagian 27:   Muslihat Baru: Terhempas dan Terbakar

- MalaysiaToday

Terjemahan MT-SPAR  - 16.02.2006 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)

Hikayat Khairy Jamaludin:  Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 2122 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan

Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN