TAG 1829-24:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 24
Menyorot Hikayat Khairy
(Khairy Chronicles in review)
Oleh: Raja Petra Kamarudin - Laporan Khas Malaysia Today - Laman M@RHAENAnda mungkin sedar betapa episod terakhir Hikayat Khairy Jamaluddin bahagian 23, telah muncul kira-kira tiga minggu lalu pada 2 Januari 2006. Lamanya ruangan itu senyap-sunyi adalah satu perkara yang tidak boleh dielakkan lagi gara-gara tindakan saya main sorok-sorok dengan pihak tertentu. Sekitar 10 hari dulu, ada pihak tertentu yang berbincang cara terbaik mereka menutup Malaysia-Today dan menamatkan Hikayat Khairy Jamaluddin untuk selama-lamanya.
Rupanya Khairy Jamaluddin tidak berapa ceria dengan Hikayat Kisah hidupnya. Kalau Khairy tidak ceria dia mesti dihiburkan agar sentiasa bergembira. Kumpulan tertentu ini bukannya buat kerja untuk Khairy. Malahan mereka bertanggungjawab kepada kerajaan. Dengan secara tidak langsung mereka bertuankan rakyat jelata. Tugas mereka ialah menjaga keluhuran undang-undang dan menghukum sesiapa yang melanggar undang-undang. Bukan semata-mata berkhidmat kepada kepentingan politik tertentu. Tugas mereka ialah mempertahankan hak Perlembagaan kita termasuk kebebasan bersuara dan kebebasan pihak media. Akan tetapi itu hanya satu impian semata-mata. Pada hakikatnya mereka tunduk kepada karenah pihak yang berkuasa. Dalam hal ini mereka akur kepada Khairy.
Pada hari ini Khairy tidak pun mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan. Secara rasminya beliau adalah seorang ‘penasihat korporat’. Memanglah beliau mempunyai tugas sebagai Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Umno tetapi peranan itu bukan semestinya memberikan beliau kuasa mentadbir negara seperti yang dilakukannya. Tetapi itulah yang dilagakkannya. Untuk sekian lama hingga kini, ada puak tertentu yang memberikan beliau laporan (termasuklah bapa mertuanya) akan hasil pemantauan mereka ke atas ahli politik parti pembangkang dan kegiatan mereka. Khairy sebenarnya tidak berhak menerima laporan ini tetapi menerima juga – kerana para menteri dan timbalan menteri yang menguasai laporan itu terlalu takut untuk membantah.
Yang membuatkan Khairy begitu tidak senang duduk dengan “Hikayat Khairy Jamaluddin” (HKJ) ialah hakikat bahawa ia telah memintas banyak tindakannya sejak pertengahan tahun lalu lagi – hingga kini setiap kali dia bertindak kita mampu berkata bahawa “kita pernah menyebutnya.”
Masalah yang menghantui puak tertentu ini ialah bagaimana mengaitkan HKJ kepada saya. Memang tidak dinafikan bahawa nama saya muncul di ‘Malaysia-Today’, akan tetapi kalau mereka dakwa saya di mahkamah mereka perlu membuktikan bahawa saya yang menulis HKJ itu (yakni pembuat dokumen itu mengikut istilah undang-undang). Pendekatan mereka untuk menghimpit saya ialah menunggu kemunculan episod yang akan datang yakni Bahagian 24, dan pada hari itu mereka akan menggeledah rumah saya, rampas komputer saya dan tangkap saya. Dengan menggunakan komputer saya mereka akan buktikan yang saya menulis ‘HKJ’ dan inilah bahan bukti yang mahu mereka gunakan di mahkamah, untuk mengenakan tuduhan terhadap saya.
Akan tetapi mereka tidak pula sedar betapa seseorang itu masih boleh menulis secara onlain (online). Jika demikian bagaimana mahu membuktikan dalam PC anda? Mereka juga mungkin belum pernah mendengar adanya perisian yang berharga beberapa ratus Ringgit sahaja; yang lebih canggih daripada tentera AS dan agensi risikannya yang boleh melupuskan apa juga simpanan komputer anda tanpa kesan. Memang kita tidak syak lagi bahawa pegawai-pegawai Bukit Aman dan juga MIMOS telah dilatih selama enam bulan di Langley beberapa tahun dulu, tetapi kecanggihan teknologi berubah begitu pantas setiap hari hinggakan ada sahaja benda baru di pasaran. (Memanglah ada yang lebih hebat yang saya lakukan, tetapi saya tidak akan menceritakannya di sini).
Memandangkan perubahan terkini, -- kematian Dr. Liew Boon Hong, pengarah urusan Ethos Consulting, pembelian saham ECM Libra oleh Khairy, penggabungan ECM Libra dan Avenue Capital Resources, kemungkinan rombakan kabinet, desas-desus mengenai penangkapan Ketua Putera Umno dalam serbuan maksiat, dan banyak lagi – tentu sekali banyak bahan yang boleh didedahkan oleh ‘HKJ’ dalam beberapa minggu yang mendatang kalaulah ada peluang berbuat demikian.
Apa pun mari kita ulang tayang 23 episod yang telah lalu dan mengimbau apa yang pernah kita bincangkan semasa itu.
Bahagian 1 – SYNOPSIS: Orang Yang paling Perkasa di Malaysia
Secara hakikatnya Abdullah Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kelima, apabila naik memegang mercu kepimpinan negara pada November 2003. Namun, sebelum memulakan tugas baru itu, Abdullah Badawi bukannya bersendirian – kerana segala bentuk pemikiran, tindakan dan baik budinya banyak dipengaruhi, kalau bukan pun diarah oleh anak menantunya yang baru berusia 28 tahun yang bernama Khairy Jamaluddin, dan beberapa orang kawan-kawannya. Ada sesetengah pihak yang menyebut akronim Tiga ‘K’ sebagai kuasa di sebalik Paklah – Khairy, Kalimullah (Ketua Pengarang kumpulan The New Straits Times) dan Kak Endon (Datin Paduka Seri Endon Mahmood Ambak, isteri Perdana Menteri). Memang tidak syak lagi K yang pertama sekali itulah yang paling berpengaruh, kerana beliau yang melantik K yang kedua di jawatannya itu dan mengahwini pula anak perempuan ‘K’ yang ketiga. Perkahwinannya itu berlangsung ketika K ketiga sedang bertarung menghadapi serangan barah payudara. Inilah penyakit yang mengorbankan kakak kembar beliau.
Bahagian 2 – Keluar Dari Dalam Tong Taik
Hari in Khairy Jamaluddin sudah menjadi orang yang paling perkasa di negara ini. Beliau amat berbeza dengan ahli politik yang lain yang sudah dikesan akan asal usulnya kerana perjalanan hidup mereka memang sudah ada dalam pengetahuan umum. Tetapi Khairy adalah laksana ‘dewa kayangan’ yang tiba-tiba muncul dalam arus perdana politik Malaysia. Ramai yang mula terpinga-pinga apakah dia ini sengaja dihantar khas oleh kuasa tertentu seperti CIA ataupun mungkin juga perkhidmatan risikan Singapura. Bukan mudah seseorang itu mendapat kuasa besar semacam dia kecuali mereka menerima bantuan khusus daripada sumber tertentu. Mungkinkah begitu?
Bahagian 3 - Musuh Dalam Selimut
Lagi pun Hishamuddin sudah naik tidak senang hati melihatkan Khairy mewujudkan satu rangkaian jaringan sendiri dalam jentera Pemuda Umno. Contohnya beliau telah mencadangkan Norza Zakaria menganggotai Majlis Tertinggi dengan mengetepikan calon pilihan Hishamuddin sendiri. Khairy juga telah menubuhkan secara tidak formal satu jaringan di kalangan Naib Ketua Bahagian Pemuda Umno di merata negara, kerana perkara semacam itu tidak pernah diwujudkan semasa Hishamuddin menjadi Naib Ketua Pemuda Umno. Kini, Hishamuddin sedar betapa jawatan yang dipegangnya sekarang ini adalah dengan jasa dan ikhsan Khairy juga. Apabila Khairy sudah bersedia memegang tampuk kepimpinan Ketua Pemuda Umno, tibalah masanya Hishamuddin mengangkat punggung dan berundur pula.
Bahagian 4 -Saling Cekik Mencekik
Abdul Azeez mempunyai banyak persamaan dengan perwatakan Reezal. Sebagai seorang mamak dia juga mempunyai citarasa yang menyerupai citarasa yang dimiliki oleh Reezal Merican dan mereka berdua pernah berkahwin sebanyak dua kali. Yang lebih penting lagi, Abdul Azeez ialah seorang peniaga yang naik ke atas dengan daya usaha sendiri dan sudah tentu menumpulkan sebarang usaha Reezal untuk mempengaruhi ahli politik muda yang lulus di universiti tempatan. Khairy telah mencadangkan agar dicipta satu sayap baru bernama Umno Putera dan melantik Abdul Azeez sebagai peneraju utama untuk menjangkau pengaruh di universiti tempatan dan pusat pengajian tinggi. Khairy sedar bahawa beliau memang amat kekurangan sokongan masyarakat ini dan amat memerlukannya. Abdul Azeez diberikan peranan mencari pengaruh ini sambil melumpuhkan pengaruh Reezal.
Bahagian 5 – Antara Bakal Pengganti dan Penyamar Bermimpi
Khairy dan Najib mempunyai banyak persamaan dalam usaha mereka naik ke mercu kuasa. Cuma mereka berdua tidak saling bersesuaian. Khairy sedar betapa Najib akan ‘menindas’ beliau sebaik sahaja Abdullah Ahmad Badawi melepaskan persada politik. Begitu juga Najib yang begitu tidak selesa dengan pengaruh Khairy ke atas Abdullah sehinggakan beliau sedar bahawa peluang beliau menjadi Perdana Menteri akan menjadi lebih cerah seandainya Khairy dapat dipinggirkan. Persinggitan antara Khairy dan Najib berpunca daripada sikap Khairy yang tidak sabar dan mempunyai ambisi secara lantang mahu menjadi Presiden Umno sebelum dia mencapai usia 40 tahun. Ini amat bertentangan dengan sikap Najib. Beliau ternyata bersabar dan mudah dilihat sebagai lembab dan kurang bertenaga. Akan tetapi Najib sesungguhnya mempertontonkan satu mainan politik yang sungguh berhati-hati berbanding Khairy yang suka bersikap begitu menonjol sekali. Mereka memang amat faham betapa Umno merupakan satu parti yang kecil untuk mereka berdua. Pada usia 52 tahun, Najib memang mudah menyekat kemaraan Khairy untuk 25 tahun kalau tidak lebih dari itu. Dalam politik tempoh masa satu minggu adalah dianggap satu tempoh yang panjang. Makanya dua puluh lima tahun sudah tentu laksana satu penantian yang abadi. Yang lebih menyenakkan lagi, Khairy beranggapan bahawa Najib akan bertindak membasmi segala tindakan reformasi Abdullah (bererti mengnyahkan sumbangan Khairy) dan mengembalikan Umno kepada cara lama semasa ia diterajui oleh Tun Kepala Taik Mahathir Mohamad.
Bahagian 6 – Taman Permainan Khairy Jamaluddin
Pelantikan Khairy yang paling menonjol ialah Kalimullah Hassan Masheerul Hassan, seorang bekas wartawan Singapura yang berkawan rapat dengan beberapa peniaga Cina tertentu di mana orang Cina itu memikirkan perkara yang menguntungkan perniagaan mereka sedangkan Kalimullah perlu menyediakan cangkuk taliannya. “Kalli” begitulah nama timangan beliau, mempunyai satu wawasan yang penuh gahnya. Walaupun dia tidak pandai menulis apa lagi sebagai seorang editor, Kali sedar betapa dia boleh membeli orang yang berbakat. Sudah menjadi rahsia ramai bahawa editorial (lidah pengarang) NST yang menggunakan nama ‘Kalli’ sebenarnya ditulis oleh penulis upahan yang cergas di internet. Orang semacam ini yang sebulu dengan Khairy kerana beliau juga pandai memahami bahawa tidak sukar menjadi seorang tokoh yang mampu memilih dan mengupah sesiapa sahaja untuk membuat kerja sebenarnya.
Bahagian 7 – Berputiknya Satu Persahabatan Yang Akrab
Barulah TKT Mahathir sedar ketika itu betapa anak muda yang pernah dianggapnya sebagai budak hingusan, kini sudah menjadi satu alat utama yang mencabar warisan peninggalannya. Mahathir telah berkata kepada Setiausaha beliau, Dato’ Badariah, betapa Abdullah telah sengaja menggali kuburnya sendiri dengan membebaskan Anwar. Mahathir menjelaskan betapa beliau sendiri merasa sukar menangani Anwar dan kerana itu dia tidak yakin bahawa Abdullah mampu melakukannya. Pada pandangan Mahathir, Abdullah adalah seorang yang bengap dan salah congak dalam membebaskan Anwar.
Apa yang tidak disedari oleh Mahathir, sebenarnya Abdullah sendiri tidak faham sepenuhnya kesan pembebasan Anwar. Malahan, Khairy adalah orangnya yang beranggapan bahawa pembebasan Anwar akan melonjakkan kerjaya politiknya. Pertama, Khairy beranggapan bahawa Anwar adalah sentiasa berguna sebagai alat terhadap sesiapa sahaja di kalangan orang-orang politik dalam Umno yang mungkin mencabar takhta yang sedang menjadi milik Abdullah. Mereka itu adalah orang seperti Tengku Razaleigh dan Najib Tun Razak. Kedua, Khairy berpendapat dengan membebaskan Anwar dan bersua muka dengannya akan menaikkan lagi populariti beliau dan juga Abdullah.
Bahagian 8 – Antara Fajar Baru dan Lembayung Senja
Apa pun, di sebalik tabir pula Abdullah dan Khairy masih lagi mengekalkan satu bentuk perhubungan dengan Anwar. Abdullah sendiri pun diam membisu mengenai perbualan telefon dengan Anwar. Akan tetapi, Khairy mengambil sikap yang terbuka kepada rakan-rakan yang rapat dengannya, mengenai pertemuan beliau dengan orang kuat Anwar seperti pemimpin Pergerakan Pemuda PKR, Ezam Mohd. Nor. Mereka yang tahu akan kisah ini termasuklah orang yang rapat dengan Khairy yang semestinya penyokong Anwar juga seperti Zambry Abdul Kadir dan juga beberapa nama lain seperti Norza Zakaria.
Bahagian 9 - Lahirnya Seorang Jurujual
Laluan permulaan Khairy Jamaluddin bukanlah dengan kekayaan walaupun latar belakang keluarganya sendiri merupakan golongan senang lenang hasil jasa seorang bapa yang pernah menganggotai masyarakat diplomatik negara. Namun, keluarga Khairy tidak dapat menandingi beberapa tokoh Pemuda Umno seperti kelompok Hishamuddin Hussein – Najib Tun Razak yang merupakan zuriat seorang bilioner Melayu pertama - Tan Sri Noah. Ataupun keluarga Sikh Fadzir yang dianggotai oleh Kadir, Aziz, Musa dan Haidar yang mempunyai istana tersergam di Kulim yang dapat mengkerdilkan Istana Negara di Kuala Lumpur. Inilah yang membuatkan Khairy sedar betapa dia juga perlu mengumpul harta karun. Lebih-lebih lagi setelah mengambil kira bahawa kalau mengikut piawaian Malaysia, bapa mertuanya Abdullah Badawi bukanlah orang yang berharta sangat.
Bahagian 10 - Jurulelong Negara
Sebagai contohnya ialah kemasukan Temasek memiliki saham TM ataupun dahulunya dikenali sebagai Telekom Malaysia. Temasek telah membeli saham TM sebanyak 5% dengan harga RM1.6 bilion di tahap awal pentadbiran Abdullah. Ini merupakan satu isyarat urusan yang menyegarkan hubungan niaga antara dua negara yang dipisahkan oleh Tambak Johor. Seperti yang diketahui umum. Temasek adalah pemegang saham SingTel yang dinaungi oleh Lee Hsien Yang, anak bongsu Lee Kuan Yew. Ini merupakan satu urusan niaga besar yang sungguh penting. Apa yang tidak diketahui umum ialah perihal Temasek membayar komisen kepada Khairy melalui satu syarikat yang berdaftar di Singapura yang rapat dengan proksi Khairy bernama Norza Zakaria. Alamat syarikat ini ialah di Singapore Land Tower; 50, Raffles Place. Bayaran yang dibuat kepada syarikat ini ialah untuk khidmat perundingan. Yang sebetulnya itulah komisen yang dianggap rasuah juga.
Bahagian 11 – Khairy dan Kilang Duitnya
Ada satu rencana besar yang sedang di meja perancangan membabitkan penjualan beberapa aset simpanan Danaharta yang kini sedang diusahakan oleh Khairy melalui proksi beliau Norza Zakaria dan sekutunya di Singapura. Norza mempunyai sebuah syarikat di Singapura yang berusaha sama dengan seorang bernama Mr. S. Si Mr. S ialah rakan sekolah Khairy di United World College (UWC) Singapura. Kini, Mr. S adalah seorang pakar kewangan korporat yang minat dalam Danaharta dan multimedia. Mr. S pernah bertemu Khairy dan kroni beliau di Khazanah membincangkan beberapa aset milik Malaysian GLC (Government Linked Companies) dan membincangkan bagaimana boleh meraih komisen dalam penjualan aset itu. Salah seorang penasihat Khairy ialah pemegang saham Ethos Consulting yang kini bertugas di Deutsche Bank di Kuala Lumpur.
Bahagian 12 - Menggoncang Laci Duit
Sejak bulan Mac, satu congakan kasar terhadap pendapatan Khairy menunjukkan angka-angka berikut:
1. Komisen daripada penjualan 5% saham TM kepada Temasek Holdings, Singapura - RM16 juta.Jumlah yang terlibat ialah RM189 juta. Itu pun yang dapat diteliti oleh umum
2. Komisen daripada pembelian saham M1 oleh Khazanah dan TM – RM 6 juta.
3. Komisen yang dijangka daripada penjualan 5% saham TM kepada Temasek Holdings Singapore – RM17 juta.
4. Komisen yang dijangka daripada penjualan aset Danaharta – RM85 juta
5. Komisen yang dijangka daripada penjualan aset sampingan FELDA kepada Temasek Holdings dan DBS Bank - RM30 juta.
6. Komisen yang dijangka daripada peruntukan saham Bumiputera dalam syarikat milik asing – Syarikat 1 - RM15 juta
7. Komisen seperti (6) daripada Syarikat 2 - RM20 juta.Bahagian 13 – Cinta Yang Berbelah Bagi
Tanpa disedari oleh Aziz Shamsuddin dan juga Mahathir, kisah Khairy kononnya cenderung ke arah homoseksual itu adalah kerja fitnah yang dilakukan oleh orang-orang Anwar Ibrahim. Ada seorang bekas timbalan menteri yang merupakan penyokong kuat Anwar (dan tentunya digugurkan oleh Mahathir semasa Pilihan Raya Umum 1999 dulu) kerap menggunakan sahabatnya dalam perkhidmatan awam untuk menyebarkan berita semacam itu hingga sampai ke telinga Aziz Shamsuddin. Desas-desus itu sebenarnya berpunca daripada Ezam Mohd Nor yang kononnya mendengar berita angin daripada seorang pegawai kanan dalam perkhidmatan awam yang bersimpati dengan pergerakan reformasi. Pegawai itu kononnya mempunyai seorang anak yang menuntut di institusi yang sama dengan Khairy. Itu merupakan cerita karut. Idea bahawa Khairy seorang ‘gay’ adalah merupakan cebisan imaginasi para pemimpin PKR yang begitu ghairah mahu mencemar nama baik Abdullah Badawi yang mereka anggap ketika itu tidak berapa bersimpati terhadap penderitaan ketua mereka. Lagi pun mereka ini sudah lama bermusuhan dalam Umno, lebih satu setengah dekad.
Bahagian 14 – Menabalkan Seorang Raja
Dalam hal ehwal yang bersangkutan dengan Anwar Ibrahim, Khairy diberikan tugas khas untuk menilai maklumat SB itu semua dan merancang satu strategi khas untuk bapa mertuanya. Abdullah sedar betapa Anwar adalah lebih penting kepada Khairy kalau dibandingkan kepada keperluannya sendiri. Lagi pun kalau ada usaha membawa Anwar semula memasuki Umno, ia akan mengilaukan masa depan Khairy sebagai seorang tokoh politik yang berwibawa di hari
muka. Anwar pula dijangka dapat memberikan sokongan kepada Khairy kalau diasak oleh Najib. Akan tetapi, di waktu yang sama Abdullah sedar segala usaha membawa Anwar semula akan mencetuskan satu keadaan di mana dia sendiri akan berdepan dengan gerakan bersepadu yang datang daripada Mahathir dan Najib. Kerana itu, helah membawa masuk Anwar adalah usaha untuk Khairy menonjolkan dirinya sebagai calon tengku mahkota yang mahu naik menjadi raja yang berdaulat dan berkuasa.Bahagian 15 - Permainan Berisiko Tinggi
Di sebalik cakap-cakap besar Anwar menafikan kesediaannya menganggotai Umno semula, yang sebetulnya Anwar dan Khairy sedang menguji keadaan sebelum mereka betul-betul mencuba nasib. Khairy perlu mencuba reaksi anggota Umno terhadap kemasukan Anwar semula tanpa menafikan betapa mudahnya Anwar menyandarkan harapan untuk rujuk semula. Sebaliknya, Anwar perlu menguji persepsi para pengikutnya terhadap kepimpinan beliau sebelum memberitahu mereka akan pilihan yang terbuka untuknya. Anwar tidak mampu meminggirkan terlampau ramai bekas penyokongnya dalam gerakan reformasi. Walaupun Anwar tahu ada yang akan berundur kerana mual dengan sikap opportunisnya, masih ramai nanti yang akan mengikutinya kerana tujuh tahun merewang-rewang adalah satu tempoh yang terlalu lama untuk mereka hidup tanpa sebarang pengaruh politik.
Bahagian 16 - Dinding yang Boleh Bersuara
Sama ada Khairy sedar ataupun tidak, kebanyakan cerita yang berlegar merata tempat mengenai usaha beliau memberi laluan mudah kepada Anwar memasuki Umno semula datangnya daripada sumber yang selalu berhubungan rapat dengan dirinya. Walaupun secara rasminya dia menafikan kemungkinan Anwar menganggotai Umno semula, hakikatnya adalah amat berbeza. Ezam dan Azmin kerap menyebut nama Khairy sebagai sumber maklumat dalaman Umno. Malahan mereka berani bersuara tegas betapa Khairy adalah saluran utama dalam perbincangan antara Abdullah dan Anwar. Mereka berani berkata betapa Khairy begitu membantu; berbeza dengan pegawai lain seperti Thajudeen Abdul Wahab.
Bahagian 17 – Patahnya Dahan Bergantung
Beberapa hari sebelum Endon meninggal, beberapa orang sahabat akrab Abdullah yang pernah berjuang bersamanya sejak zaman dulu-dulu sehingga beliau menceburi politik mengeluh kerana banyak perkara yang tidak menepati ramalan mereka dulu. Satu ketika dulu mereka berfikir kalau Endon sudah tiada, Abdullah akan merujuk kepada sahabat lamanya yang sudah begitu setia dengannya. Sebaliknya mereka dapati di saat Endon nazak Abdullah telah mula berpaut kepada Nori dan Khairy serta kumpulan penasihat yang muda-muda belaka.
Bahagian 18 – Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi
Khairy tidak faham bahawa dia dikelilingi oleh orang-orang yang mulut celupar. Akan tetapi mereka yang semacam itu bukan cakap sembarangan. Sebaliknya mereka suka bercakap mengenai dirinya. Lambat-laun cakap itu akan mengenanya juga. Musuh Khairy yang paling dahsyat adalah kawan-kawan yang rapat dengannya. Dia sudah sampai ke satu tahap politik yang selalu dirasakan oleh politikus di peringkat tinggi, keseorangan di atas sana. Kawan-kawan pun sudah tidak boleh dipercayai lagi.
Bahagian 19 - Sebuah Republik Yang Menakutkan
Peranan Khairy yang utama dalam pentadbiran Abdullah Badawi ialah sebagai tukang karut. Dia menonjolkan imej Abdullah. Akan tetapi segala kelentungannya itu bukannya membawa makna. Kini, sudah kelihatan rekahan pada segala usaha kelentungan itu dan semua itu sudah terlambat untuk diperbetulkan. Khairy telah meminta para penganalis di bank-bank asing (di mana ramai yang begitu berbangga kerana dapat menghadiri jamuan teh dengan beliau) agar menulis yang muluk-muluk dan menyebut betapa usaha reformasi Abdullah perlu masa untuk menonjolkan kejayaannya. Ini adalah temberang semata-mata. Ramai anggota ‘kumpulan apologis’ Khairy seperti Kalimullah Hassan Masheerul Hassan, Brendan Pereira dan Phar Kim Beng memang pakar kelentungan yang berhutang budi kepada Khairy. Tentulah tidak ada yang boleh diharapkan daripada mereka kerana tugas mereka hanyalah sebagai hamba kepada Tukang Propaganda dan tidak lebih dari itu.
Bahagian 20 – Apakah Umno Betul-Betul Mahu Menang?
Baju khas yang dipakainya mempunyai beberapa saku khas untuk menyimpan tiga buah fon bimbit yang memang dibawanya selalu. Fon bimbit yang pertama ialah menggunakan Kad Maxis (012). Nombor fon itu diketahui umum kerana ianya tercetak pada kad nama beliau selain dipamerkan di laman web Pemuda Umno. Itulah yang digunakan untuk mengirim SMS dan fon itu sentiasa dibisukan kerana ia kerap berdering setiap minit. Semua orang fikir bahawa Khairy terhutang budi kepada mereka, baik yang daripada peringkat rendah pergerakan pemuda Umno hinggalah pelayar sambilan internet yang terjumpa nombor itu dalam laman web pemuda Umno yang lama, hinggalah kepada seorang tauke Cina yang mencuba nasib mendekati Khairy gara-gara jolokan yang diberikan oleh peniaga Singapura sebagai “Mr. 20 persen”.
Bahagian 21: Kesannya: Kemenangan Kecil Siapa?
Di masa dulu, kawan-kawan Khairy yang rapat dengan Najib cuba merapatkan hubungan antara dua kem itu. Najib juga pernah cuba melayan karenah Khairy – seperti akur kepada pemilihan pegawai-pegawai di Pejabat Timbalan Perdana Menteri. Namun demikian, Pengkalan Pasir merupakan titik-tolak dalam hubungan mereka. Semakin jelas kepada Najib kini betapa Khairy mempunyai niat untuk menyondol benteng politik Umno dan tidak sabar menunggu gilirannya. Ini sudah tentu membahayakan peluang Najib sebagai bakal Perdana Menteri dan kedudukan para sekutunya, termasuk juga peluang sepupunya Hishamuddin Hussein. Publisiti murahan yang direncana oleh Khairy di Pengkalan Pasir menjadi satu kesedaran yang amat ketara kepada orang-orang Najib betapa budak muda hingusan ini memang terlalu gelojoh dan gopoh mahu menyondol sahaja untuk mencapai cita-citanya.
Bahagian 22 – Silap Congak Yang Membawa Maut
Sejak Khairy naik mencanak menduduki kerusi Naib Ketua Pergerakan Pemuda beliau telah mempamerkan satu perangai tidak lagi sanggup menerima kritikan. Yang pertama, dia tidak pun mempunyai satu kumpulan manusia yang boleh tergolong sebagai sahabatnya. Rakan-rakan yang rapat dengannya adalah orang asing, khususnya orang Singapura ataupun rakyat Malaysia yang tidak pernah menerima didikan di Malaysia. Seperti dia, mereka tergolong sebagai bestari yang tidak bergaul dengan rakyat biasa. Khairy pernah mencuba memperbetulkan kepincangan ini dengan mendekati kawan-kawan baru dalam Pergerakan Pemuda Umno yang dianggapnya rapat dengan akar umbi. Malangnya, kebanyakan anak-anak muda ini menggunakan persahabatan mereka dengan Khairy untuk mengugut saingan politik mereka ataupun untuk memperkayakan tembolok masing-masing dengan meminggirkan peniaga tulen.
Sesungguhnya Khairy tidak mempunyai sahabat yang akrab dalam Umno, dan kalau pun ada segelintir mereka itu di luar Umno mereka sudah pun difaraidkan jawatan yang molok-molok yang mereka amat takut kehilangannya. Kerana itu mereka juga turut menghentikan amalan menyatakan segala kebenaran kepada Khairy.
Bahagian 23 – Lebih Laju, Lebih Tinggi, Lebih Perkasa
Apa pun yang terjadi pada 2006, ia akan menjadi tahun matlamat Khairy yang mahu mencapai impiannya. Segala objektif jangka pendek yang dipaparkan di atas adalah awalan kepada usaha Khairy mahu mendapatkan satu kerusi Parlimen, dan ini berkemungkinan dilakukan melalui satu pilihan raya kecil pada 2007 membolehkan beliau menganggotai kabinet serta merta selepas Pilihan Raya Umum yang kedua belas.
Perhitungan masa untuk Khairy merangkul jawatan Perdana Menteri yang bermula hanya empat tahun yang lalu cuma tinggal kurang dari satu dekad sahaja lagi. Khairy memang tidak membuang masa. Begitu juga semua musuhnya. Buat masa ini, segala tumpuan adalah terhadap memudahkan impian Khairy, sedangkan semua penentang beliau nampaknya semacam menuju hala tempat sembelihan yang akan memusnahkan impian politik mereka.
Akan bersambung ke Bahagian 25: Pertaruhan Baru.
- MalaysiaToday
Hikayat Khairy Jamaludin: Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 21 - 22 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN