TAG 1829-23:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 23
Lebih Laju, Lebih Tinggi, Lebih Perkasa
(Faster, Higher, Stronger)
Laporan Khas Malaysia Today - Laman M@RHAENKhairy Jamaluddin hanya terlibat dengan satu pertubuhan sukan - FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Sultan Pahang yang bijak mahu mendekati anak muda yang kononnya akan menjadi Perdana Menteri satu hari nanti, telah menawarkan satu jawatan Exco kepada Khairy. Tidak kiralah kalau si Khairy ini jenis kaki bangku dan tidak pernah menendang bola dalam hidupnya. Seorang lagi pencadang kemasukan beliau ialah Redzuan Sheikh Ahmad, adik kepada Setiausaha Agung Umno Radzi Sheikh Ahmad, yang lebih berminat dengan wang Khairy dan cara bagaimana dia boleh mengaitkannya dengan usaha yang ada kaitan dengan bolasepak di Malaysia. Khairy tidak pun kisah sangat akan perkara ini. Sifat sama-sama bantu membantu tentu membawa faedahnya. Lebih-lebih lagi setelah melihat sokongan rakyat terhadap Abdullah Ahmad Badawi sudah semakin tipis dan kesabaran anggota Umno dengan kerakusan ahli keluarga Abdullah sudah semakin membara.
Khairy hanya taksub dengan lumba lari pecut 100 meter. Sejak pada mula dia berpolitik Khairy memang tidak minat menjadi pelari jarak jauh ataupun marathon, yakni bersabar mencampuri golongan tua dan menunggu tiba gilirannya. Khairy amat ghairah mahu menyingkir pihak pembangkang dan mahu melonjakkan dirinya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling muda. Memang dia sedang melalui lorong itu. Cuma wujud beberapa hambatan dan Khairy mahu menghumbannya semua. Dalam tahun yang mendatang dia akan cuba yang terbaik untuk mengetepikan hambatan itu semuanya dan melicinkan laluannya ke puncak kuasa.
Kini dia perlu bertindak lebih pantas daripada yang dirancangnnya dulu. Serangan betubi-tubi yang dibuat melalui surat layang oleh tandingannya dalam Umno, seperti Khir Toyo dan Hishamuddin Hussein, menyebabkan Khiary kehilangan hubungan baik dengan akar umbi. Kisah pilihanraya kecil Pengkalan Pasir telah mencelikkan anggota pergerakan Pemuda Umno bahawa Khairy bukanlah jagoan seperti yang disangka mampu menarik sokongan padu. Dakwaan Khairy yang dia adalah umpama obor kepada generasi baru yang menarik sokongan golongan muda di negara ini ternyata satu gembar-gembur sahaja. Undi golongan muda sebanyak 2,000 yang dijanjikannya dulu tidak pun menjadi kerana mereka yang menyokong beliau adalah golongan yang lebih tertarik kepada wang yang dihulurkannya dan bukan kerana karismanya
Dalam impian besarnya, Khairy mahukan 2006 ini sebagai tahun di mana dia memainkan peranan besar. Kerana itu dia telah melakukan rencana untuk beberapa perubahan. Berikut adalah senarai impian Khairy bagi 2006:
1. Mempengaruhi rombakan kabinet
Satu rombakan kabinet memang sudah patut dilakukan. Kabinet saiz XXL pimpinan Abdullah Badawi yang diwujudkannya selepas pilihan raya umum yang lalu memang ternyata lemah dan tidak bermaya. Pilihan Abdullah ketika itu telah dipengaruhi bayangan Mahathir dan keperluan memberi habuan kepada beberapa malaun yang telah membantu beliau meniti laluan ke puncak jawatan Perdana Menteri. Namun demikian dia gagal mengotakan janjinya dan sejak itu kabinet ini sudah menggelongsor menjadi Kabinet Dunia Ketiga dengan pemikiran Dunia Ketiga juga.
Khairy memang ghairah mahu menunjuk bagak. Dia mahu menghumban ataupun sekurang-kurangnya mengecutkan kuasa beberapa orang menteri kanan yang telah memperlekeh kuasanya – Samy Vellu, Lim Kheng Yaik dan Rafidah Aziz telah lama mengetap gigi dan tidak pernah akur kepada Khairy sebagai menepati jangkaannya. Menteri-menteri ini akan berada di pusingan akhir larian mereka ditempatkan di kementerian yang tidak bermakna ataupun dibayangi menteri muda yang mengkaji dari mereka untuk memainkan peranan utama.
Khairy tentu mahu menaikkan pangkat para pembodeknya. Beliau mahukan jawatan yang lebih tinggi untuk Noh Omar, Shaziman Abu Mansor, Adham Baba dan menarik masuk anggota kabinet orang-orang seperti Ahmad Shabery Cheek. Untuk berbuat demikian beberapa pemimpin lama mesti ditendang keluar dan semua pemimpin pelapis ini dianugerahkan jawatan yang bertanggungjawab.
Rombakan kabinet yang dijangka dilaksanakan antara sekarang hingga pilihan raya umum di Sarawak adalah satu alat yang berguna untuk menakutkan saingan tertentu. Sebagai contoh, Khairy kerap memberitahu orang bahawa Hishamuddin Hussein. Tidak menunjukkan ‘keupayaan’ sebagai seorang Menteri Pendidikan. Khairy telah menabur bibit keraguan ini dengan menuduh Hishamuddin terlalu sibuk dengan melantik terlalu ramai Pegawai Khas di kementeriannya. Malahan, Hishamuddin mempunyai 15 orang pegawai semacam itu, yakni dua kali ganda bilangan pegawai yang dimiliki oleh Perdana Menteri sendiri. Khairy mahu Hishamuddin sedar kalaulah dia dikekalkan menerajui portfolio yang perkasa, ia terjadi hanya dengan ihsan anak menentu yang serba perkasa.
2. Menyingkirkan Khir Toyo
Khairy rapat dengan Dato’ Kamarulzaman Zainal, Pengarah Bahagian Berita dan Berita semasa di TV3. Mereka mempunyai urusan untuk menyerang Khir Toyo pada apa juga kesempatannya. Setakat ini mereka sudah mencapai sedikit kejayaan. Akan tetapi Khir tidaklah sedungu yang mereka fikirkan. Dia berselindung di sebalik Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak dan menggunakan hubungan baik melalui anak Mahathir, Mokhzani untuk menjaga kedudukannya. Setakat ini Khir berjaya menepis ancaman daripada kumpulan setiakawan Abdullah di Selangor dengan memberikan mereka tugas khas yang sukar mereka laksanakan dan memberikan portfolio yang cukup bermasalah.
Dengan munculnya 2006, Khairy akan cuba sedaya upayanya melalui media untuk mencemarkan nama Khir Toyo agar dia jatuh terduduk. Buat masa ini Khairy sedang merancang satu pendedahan melalui satu akhbar berbahasa Inggeris mengenai peranan Khir dalam meluluskan beberapa projek dalam kawasan tanah tertentu kepada sanak-saudara isteri beliau, Zaharah Kecik dan beberapa kroni yang lain. Kisah itu akan dimulakan dengan menyerlahkan satu skandal pencemaran alam dan berakhir dengan persoalan mempertikaikan wibawa Menteri Besar itu sendiri. Dengan cara itu, dan dengan bantuan TV3 Khairy mengharapkan Khir akan tunduk untuk berundur setelah namanya tercemar dan tidak mampu bertanding lagi.
Khir Toyo memang berkemungkinan terus menjadi pencabar Khairy yang paling menyerlah. Baik sebagai bakal Ketua Pemuda Umno ataupun sebagai penanding jawatan Naib Ketua pergerakan itu. Khir Toyo memang menerima sokongan baik daripada peringkat akar umbi walaupun dia kerap dicemuh oleh orang lain yang bukan menjadi ahli Umno. Keunikan Khir Toyo terletak kepada sikap beliau mengagihkan apa yang dibalunnya dengan pemimpin lain. Sebagai contoh, Khir Toyo tidak pernah lupa memberikan wang tunai kepada ratusan ribu anggota Umno di peringkat bahagian Selangor untuk mereka memanjangkan pula sogokan itu kepada ahli-ahli biasa. Khairy tidak berbuat begitu dan dia hanya memberikan hadiah dan imbuhan kepada kawan rapat dan mereka yang menjilatnya. Kesannya, walaupun kedua-dua tokoh ini memang korup, Khir menjadi seorang ahli politik yang sungguh popular.
3. Menaikkan Wan Farid ke jawatan yang lebih tinggi
Wan Farid Saleh ialah seorang sekutu Khairy yang terbaru di jabatan Perdana Menteri. Sebagai seorang Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Wan Farid telah memainkan peranan sebagai tukang buka pintu kepada Khairy secara tidak rasmi di pejabat itu. Satu ketika dulu, Khairy sendiri telah memainkan peranan begitu juga, kini kerana kesibukan dia menyandarkan harapan kepada Wan Farid seorang ahli politik berusia 42 tahun daripada Terengganu. Lantas, Wan Farid pun menjadi seorang pengutip tol daripada para peniaga yang cuba bertemu Perdana Menteri dan mendapatkan mohor kelulusan untuk projek mereka. Begitulah berjayanya Wan Farid dengan tugas itu, tidak lama lagi dia akan dilantik sebagai seorang senator. Kalau apa yang didesas-desuskan ada intinya, tidak lama lagi Wan Farid akan disungkit ke atas lagi menjadi seorang menteri. Sudah tentu dia tidak akan terlupa budi yang ditaburkan oleh Khairy.
Setakat ini Wan Farid Telah berjaya mendapatkan satu peruntukan besar daripada royalti minyak Terengganu untuk satu projek salah seorang kawan kesayangan Khairy yang bernama Patrick Lim. Peniaga yang menerbangkan Khairy ke sana ke mari dengan jet peribadinya baru sahaja mendapat peruntukan bernilai RM89 juta daripada Dana Khas Terengganu, tanpa perlu merujukkan perkara itu kepada Menteri Besar, Idris Jusoh ataupun Exco Negeri. Itulah urusan yang dilaksanakan oleh Wan Farid dengan kepastian yang Khairy menerima habuannya juga. Sepatutnya dana itu disalurkan kepada projek pembangunan masyarakat termiskin tetapi sebaliknya telah dilencongkan kepada pembinaan kompleks pelancongan, bangunan beli-belah (shopping mall) dan kondominium. Projek yang sengaja disungkit tinggi nilainya melebihi 40% untuk membolehkan peniaga Cina itu menyediakan keuntungan yang selesa kepada Wan Farid dan Khairy.
Pada tahun 2006 ini, salah seorang tokoh yang akan menonjol ialah Wan Farid. Kini, Khairy sedang merancang apakah Wan Farid mesti ditonjolkan ke tengah lagi untuk dijadikan seorang menteri, ataupun dibiarkan memainkan peranan sebalik tabir dengan tujuan memeram pengetahuan umum mengenai rahsia yang berlegar di pejabat Abdullah. Apa pun, mereka berdua akan menjadi lebih kaya-raya berjuta-juta menjelang Tahun Baru ini.
4. Melanyak Reezal Merican
Ada segelintir puak yang begitu dungu memikirkan bahawa disebabkan Reezal Merican dan Khairy pernah sama-sama bekerja di satu pejabat dan mereka sama-sama menganggotai barisan Exco Pemuda Umno, mereka harus menjadi sahabat karib. Sebenarnya jauh panggang dari api. Reezal Merican amat membenci Khairy sebaik sahaja si hingusan mula melangkah masuk koridor kuasa. Mereka mempunyai perasaan yang sama –Khairy turut merasakan bahawa Reezal Merican yang merupakan lulusan UIA adalah memang dungu juga, lembab dan tidak berguna selain mampu membaca doa sedikit. Apabila Khairy menjadi semakin berpengaruh, Reezal cuba mencuri peluang untuk berbaik semula, tetapi Khairy terus menganggap Reezal dengan kebenciannya. Kesilapan besar Reezal dalam kemelut GPMS dan mencabar anak didik Anwar Ibrahim yang menjadi Presiden Persatuan pelajar itu, Suhaimi Ibrahim telah digunakan sebaik mungkin oleh Khairy untuk mencemar nama Reezal seterusnya Sekarang pun sudah ada salinan tuntutan Reezal yang sumbang (tidak munasabah) ke atas Kementerian Kewangan. Sebagai Setiausaha kepada Menteri Kewangan Pertama, Reezal mendapat sedikit peruntukan yang dikira elaun khas (out of pocket allowance) untuk tugas rasminya. Akan tetapi Reezal juga membuat tuntutan lain kepada akaun ini, termasuk jamuan yang ada kaitan dengan politik, makan malam alumni UIA, dan mesyuarat GPMS. Satu lagi sebab kenapa Khairy marahkan Reezal ialah kerana usaha Reezal mencari sokongan dalam usahanya mahu menandingi Khairy bagai jawatan Ketua Pemuda Umno yang akan datang. Reezal telah menggunakan satu jaringan alumni UIA, yang kini bertugas sebagai pegawai khas kepada menteri tertentu untuk menyokongnya. Kerana itu Khairy bertindak bahawa bila muncul 2006 Reezal akan menerima padahnya.
5. Memangkas Sayap Najib (Clip Najib’s wings)
Selama ini Khairy telah mengharapkan agar Najib akan terus lalai kepada usaha beliau mencabarnya. Lagi pun Najib mempunyai banyak masa menunggu dan puak-puak Khairy telah bersedia menghayalkan Najib akan berfikir bahawa Khairy memang mahu berbaik dengannya. Sudah banyak kali Khairy menyebut betapa Najib adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan menteri yang paling setia dalam kabinet masa kini.
Itulah ungkapan Khairy yang paling terkenal! Tetapi, Khairy tidak pernah alpa dalam usahanya menjatuhkan Najib. Hanya satu alasan kenapa Khairy tidak bertindak tegas setakat ini, kerana dia belum begitu perkasa untuk menepis sokongan yang diberikan kepada Najib oleh bekas penyokong kuat Mahathir dan pemimpin Umno lain yang amat ragu ura-ura Khairy mahu membawa masuk semula Anwar Ibrahim menganggotai Umno. Satu lagi alasan kenapa Khairy setakat ini masih gagal bertindak ialah kerana Najib mampu meraih sokongan para pemimpin akar umbi lebih berkesan berbanding kemampuan sepadu Abdullah Badawi dan Khairy. Lagi pun sudah ada perasaan tidak puas hati di kalangan akar umbi Umno terhadap kepimpinan Abdullah yang dianggap begitu lembik dan lemah sehingga tidak mampu mencegah kerakusan anak menantunya. Faktor ini tidak boleh diperlekeh begitu sahaja. Sejak berakhirnya pemilihan Umno yang lalu, tumpuan tidak senang hati itu telah tertumpu pada bahu Khairy dan dalam pertandingan antara Abdullah dan Najib. Abdullah akan kalah teruk. Itu sebabnya Khairy tidak boleh bertindak sekarang tanpa melakar satu rencana yang begitu jitu dan mantap bagaimana mahu menumpaskan Najib.
Untuk memangkas sayap Najib, Khairy bercadang berbuat perkara ini:
I. Nyahkan penyokong Najib daripada menganggotai kabinet.
II. Kalahkan calon-calon pilihan Najib dalam pertandingan peringkat Bahagian dan cawangan
III. Hancurkan ketokohan Najib dengan menggunakan media
Di samping itu kekuatan ekonomi Najib mesti dijerut. Kemunculan dan kemaraan CIMB yang dipimpin oleh adik Najib, Nazir Razak bukanlah satu sasaran utama kerana kekurangan peluang untuk mewujudkan satu skandal dalam syarikat awam seperti itu. Lagi pun Nazir ialah seorang peniaga yang begitu tulus. Namun demikian, adik-adik Najib yang lain telah terlibat dengan beberapa urusan di sebalik tabir dengan bakal musuh Khairy dalam dunia perniagaan, termasuk segelintir peniaga Melayu dan Cina. Adik-adiknya ini, khususnya Nizam dan Johari Razak adalah sasaran utama Khairy. Pada tahun mendatang, beberapa urusan rahsia mereka akan didedahkan kepada umum oleh sahabat-sahabat Khairy di media dan ini akan memberikan satu tamparan hebat kepada Najib sebagai seorang ahli politik yang bergelumang dengan kronisme, seperti yang pernah diamalkan oleh Mahathir Mohamad.
6. Memusnahkan Legasi Mahathir
Musuh ketat Khairy bukanlah ahli-ahli politik yang baru naik tetapi orang yang sudah lama naik, Dr. Mahathir Mohamed. TKT Mahathir terus menjadi sasaran utama kerajaan Abdullah Badawi. Rakyat umum memang sedar bahawa Mahathir tidak berapa suka dengan beberapa tindakan Abdullah, bukan kerana dia memikirkan segala dasar itu bercanggah dengan legasinya, tetapi kerana Mahathir sebenarnya percaya bahawa banyak dasar itu telah digubal oleh Khairy dan para penjilatnya di Ethos Consulting dan ECM Libra hanya untuk memperkayakan diri mereka.
Walaupun ada segelintir pihak yang berkata bahawa Mahathir melaksanakan perkara yang serupa kepada kroninya dulu. Mahathir percaya bahawa rencananya dulu telah melahirkan ramai Melayu yang kaya raya yang diharapkannya dapat membina satu kelas Melayu yang berjaya dan kaya dalam dunia niaga. Mahathir menganggap bahawa Khairy hanya melakukan kerja-kerja untuk memperkayakan diri dan mengisi tembolok sendiri sahaja. Mahathir sendiri yakin betapa Abdullah berbuat silap besar dan tidak berpijak di bumi nyata dalam pembangunan nasional. Mahathir menganggap kerajaan Abdullah sudah menjadi begitu berbahaya untuk dibiarkan terus berkuasa.
Untuk 20006 ini Mahathir telah memasang niat untuk mendedahkan apa yang dianggapnya sebagai kesilapan Abdullah dan menggunakan segala kritikan untuk menyerang Khairy secara berhelah. Khairy mungkin mampu menyerang balas a kritikan pemimpin Umno yang lain, untuk menyerang balas Mahathir bukanlah semudah yang disangkanya. Khairy tidak boleh bersuara lantang dan bersikap kurang ajar terhadap Mahathir seperti yang ditunjukkannya kepada Najib Ali Rustam, Muhiyuddin, Khir Toyo dan pihak lain yang sekandang dengannya. Sesungguhnya Mahathir sudah merupakan satu masalah besar Khairy di bidang seranta.
Mungkin pada 2006 ini Khairy akan berjaya ke atas Mahathir. Sementelahan pula, Mahathir sudah mencecah usia 81 tahun dan baru sahaja pulih daripada kejutan kecil serangan lemah jantung. Hak media telah berbohong dengan melaporkan bahawa itu adalah satu pemeriksaan biasa sahaja. Memang tidak boleh dijangka bahawa Mahathir akan terus bertenaga untuk melancarkan satu cabaran perkasa terhadap Khairy. Apabila Mahathir mengendurkan serangan disebabkan masalah kesihatannya, apakah tidak mungkin Najib turut berbuat demikian juga dengan kesedaran bahawa penyokong kuatnya tidak lagi bersama beliau untuk membantu menepis serangan yang bertubi-tubi itu?
7. Balun RM300 juta lagi.
Khairy memang faham bahawa hukum pertama dalam politik Umno ialah membalun banyak wang untuk membeli undi. Setakat ini Khairy sudah pun berjaya dalam penjualan saham syarikat yang ada sangkut-paut dengan kerajaan kepada pihak tertentu, termasuk syarikat pelaburan negara asing. Khairy sudah pun mewujudkan satu dana yang lebih besar daripada simpanan dana Hishamuddin Hussein dan beliau telah bernasib baik apabila pihak pembangkang tidak menyerang beliau sekerap mereka menyerang pemimpin Umno yang lain. PAS tidak faham kaedah Khairy yang begitu kompleks dalam menghasilkan dana rahsia melalui aktiviti korporat kerana pakar-pakar ekonomi terbaik PAS seperti dr. Rosli Yaakob, Husam Musa dan Dr. Dzulkifli Ahmad adalah pedagang kelas dua yang lebih selesa dengan penjualan pil susu kambing berbanding kewangan yang tinggi-tinggi. DAP pula tidak berapa faham akan dunia GLC untuk memahami putar belit urusan kewangan Khairy. Kumpulan Anwar Ibrahim pula tidak tahu menahu langsung apa yang sedang berlaku, kecuali sedikit perkara yang mereka sudah tahu dan perlu diperam dulu seandainya Khairy akan menjadi rakan sekutu yang diharap dapat membawa masuk Anwar menyertai Umno semula.
Sementara itu, ketika pembangkang terus tidur nyenyak, Khairy masih terus berurusan. Pembelian 3% saham ECM Libra yang dilaksanakan baru-baru ini adalah satu persiapan untuk syarikat itu membalun lebih banyak usaha dagang lagi dalam penjualan ‘non-core-assets’ kerajaan. Adalah menjadi kesulitan untuk mewajarkan pembayaran komisen kepada Khairy seandainya beliau terus menjadi seorang pekerja berbanding menjadi seorang pemegang saham di ECM Libra.
Yang amat pasti, pada 2006 nanti, akan bermulalah satu proses untuk mengnyahkan beberapa alat kewangan yang pernah digunakan oleh Khairy sebelum ini yang menggambarkan satu perubahan tetapi akan muncul sebagai satu hambatan kepada kejayaan beliau akhir nanti. Pada akhir 2006 nanti akan tamatlah kontrak pengasas Binafikir dan Pengarah Urusan Khazanah, Azman Mokhtar. Tidak lama lagi beliau tidak lagi diperlukan dan Khairy akan mampu memainkan peranan sendiri ataupun melantik orang lain yang kini berada di tahap pelapis pengurusan Khazanah untuk memanaskan kerusi pengurusan atasan sambil Khairy terus membogelkan setiap institusi kerajaan daripada segala intan permatanya
Begitu juga halnya dengan Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamed Yakcop yang sudah pun melepasi tarikh pelupusannya. Si Mamak Karai yang memang pandai bercakap dan berseloka lengkap dengan titisan air mata itu sudah pun melepasi tugasnya menonjolkan satu pentadbiran yang bersih dan tulus ikhlas dalam semua perniagaan yang ada sangkut-paut dengan kerajaan. Kini, Khairy yakin negara ini memerlukan tenaga muda pula yang sudah tentu akan turut taat dan setia untuk terus menjilat Khairy sahaja. Nor Mohamed akan digugurkan daripada menjadi Menteri Kewangan Kedua tidak lewat daripada akhir 2006.
Apa pun yang terjadi pada 2006, ia akan menjadi tahun matlamat Khairy yang mahu mencapai impiannya. Segala objektif jangka pendek yang dipaparkan di atas adalah awalan kepada usaha Khairy mahu mendapatkan satu kerusi Parlimen, dan ini berkemungkinan dilakukan melalui satu pilihan raya kecil pada 2007 membolehkan beliau menganggotai kabinet serta merta selepas Pilihan Raya Umum yang kedua belas.
Perhitungan masa untuk Khairy merangkul jawatan Perdana Menteri yang bermula hanya empat tahun yang lalu cuma tinggal kurang dari satu dekad sahaja lagi. Khairy memang tidak membuang masa. Begitu juga semua musuhnya. Buat masa ini, segala tumpuan adalah terhadap memudahkan impian Khairy, sedangkan semua penentang beliau nampaknya semacam menuju hala tempat sembelihan yang akan memusnahkan impian politik mereka.
Akan bersambung ke Bahagian 24: Pertaruhan Baru.
- MalaysiaToday
Terjemahan MT-SPAR - 04.01.2006 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Hikayat Khairy Jamaludin: Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 21 - 22 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN