TAG 1829-22:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 22
Silap Congak Yang Membawa Maut
(A fatal miscalculation)
Laporan Khas Malaysia Today - Laman M@RHAENSemua ahli politik amat tertekan dengan peninggalan legasinya. Mereka begitu taksub dengan perkara di mana mereka perlu dikenang. Sebagai permulaannya, seseorang ahli politik itu selalu mempunyai satu ego yang menyempitkan tanggapannya terhadap dunia ini. Seseorang ahli politik itu mempunyai tanggapan bahawa setiap sesuatu perkara dan peristiwa harus berkisar melibatkannya. Ramai pihak menganggap golongan ahli politik ini sebagai pemilik satu bentuk genetik yang kurang sempurna gara-gara tanggapan mereka mampu melakukan apa sahaja di dunia ini. Memang amat jarang untuk kita dapat menemui ahli politik yang mampu menepis kepincangan fahaman itu dan lebih memikirkan perihal orang lain berbanding membuat sesuatu untuk membesarkan temboloknya sendiri. Kebanyakan ahli politik itu mempunyai legasi yang berbentuk satu penamat kepada apa sahaja yang telah mereka lakukan.
Sebagai seorang anak muda yang terlalu rakus mahukan segala-galanya, Khairy Jamaluddin telah bertindak terlalu cepat di luar norma kehidupan biasa untuk memacak legasinya. Beberapa hari yang lalu, Khairy telah menyertai satu forum yang ditaja oleh Pemuda UMNO dengan kerjasama para penyokongnya di kampus Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang. Forum itu memang melanggar amalan sesuatu universiti kerana menyerlahkan sokongan terbuka kepada UMNO, dan Khairy tidak pun berselindung menyerlahkan hasrat memahat pengaruh UMNO di pemikiran jemala para peserta. Memang Khairy mahu mulakan usaha itu pada otak orang-orang muda dan tidaklah menghairankan apabila hampir semua peserta forum itu adalah golongan belia juga. Apa yang mungkin menghairankan ialah para peserta itu masih lagi di bangku Tingkatan Satu dan Dua di sekolah-sekolah menengah dan merupakan anak-anak sekolah semata-mata.
Di sinilah Khairy membuat satu kesilapan yang bersifat congakan mautnya. Pada mulanya dia bersuara lantang mahukan perubahan. Malahan dia menonjolkan diri sebagai calon perubahan menongkah arus amalan regim yang lama. Khairy merupakan orang perubahan yang ingin mengajar rakyat Malaysia bagaimana menikmati karya Shakespeare dan cuba mengheret masyarakat bangsanya memasuki gerbang abad ke-21 ini. Akan tetapi seperti semua politikus UMNO (dan juga seperti ramai di kalangan pihak pembangkang) Khairy telah tersilap mengenal yang mana satu permata dan yang mana satu kaca.
Semasa beliau bertarung untuk menonjolkan satu imej sebagai seorang pembawa perubahan yang unggulan, Khairy tidak pernah lepas daripada kerja-kerja melanggar peraturan dan undang-undang. Dia tidak nampak salahnya usaha beliau membabitkan politik menerjah kampus universiti sedangkan itulah yang menyalahi undang-undang Malaysia khususnya Akta Universiti dan Kolej Universiti ataupun AUKU yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dengan pembabitan ayah mertuanya (ketika itu merupakan seorang pegawai kanan kerajaan). Khairy tidak nampak salahnya membabitkan kanak-kanak sekolah untuk mempengaruhi minda mereka dengan ajaran sesat UMNO, sedangkan pada masa yang sama beliau mengkritik PAS kerana mewujudkan sekolah dan taman asuhan kanak-kanaknya. Malahan, Khairy tidak pernah merasa bersalah dengan apa juga yang dilakukannya kerana begitu angkuh dengan jolokan bahawa dialah satu-satunya yang terpintar di kalangan golongan muda yang cerdik di negara ini. Apa juga bentuk undang-undang yang patut dikenakan ke atas rakyat biasa di negara ini termasuk orang-orang politik, tidak boleh menyentuhnya. Orang lain adalah golongan bengong, bodoh dan terencat akalnya, dan tidak mampu menyaingi keintelektualan lulusan Oxford yang ada pada dirinya. Kerana menganggap dirinya sebagai bijak bestari yang lebih pintar daripada yang lain, apa juga hukum-hakam itu tidak boleh dikaitkan padanya.
Apa yang menceriakan Khairy daripada majlis-majlis seperti itu ialah kemampuan untuk menunjuk-nunjuk kepada golongan yang jauh kurang keintelektualannya bahawa dialah si bestari yang patut mereka kagumi. Namun, sedikit demi sedikit sudah muncul segelintir manusia yang perasaan dan sedar betapa Khairy tidak berani mendekati orang-orang lain yang sama pintar dengannya, ataupun lebih bijaksana darinya. Khairy suka menunjuk-nunjuk kepada para hadirin yang merupakan golongan yang begitu takut untuk bersuara lantang ataupun memang tidak mampu berbuat demikian, kerana mereka mudah tercengang dengan segala istilah-kata yang Khairy gunakan. Khairy mampu mengekalkan imej palsu itu dalam politiknya dengan cara mengelak dirinya dari diperlekeh oleh orang lain yang sama berkemampuan sepertinya. Dalam kehidupan Abdullah Badawi yang begitu terkongkong, beliau beranggapan bahawa Khairy merupakan satu-satunya insan yang paling baik kerana dia tidak pernah menemui seseorang lain yang mempunyai ketokohan seperti Khairy. Akan tetapi Khairy memang bijak menghalang orang lain yang bijak bestari daripada bertemu dengan Abdullah.
Memang Abdullah Badawi tidak seperti Mahathir. Abdullah tidak mempunyai satu kumpulan manusia yang bijak pandai yang boleh diharapkannya. Kebanyakan orang-orang yang rapat dengan Abdullah adalah manusia yang sama-sama berkecimpung dengannya dalam BTN (Biro Tatanegara) Selain mereka, adalah beberapa kerat golongan akademik yang telah mencari makan dengan menonjolkan kefahaman ultra Melayu dalam pemikiran mereka. Abdullah memang ketandusan sahabat yang intelek. Kalaulah anda tidak ambil-kira beberapa wartawan yang menulis artikel memuji-muja pencapaian politiknya, dan ambil kira pula segelintir pegawai kerajaan yang amat gemar mendekatinya, Abdullah memang ternyata tidak bermaya menonjolkan diri sebagai paling bestari di kalangan mereka. Malahan, kerana Abdullah tidak berapa pintar makanya Mahathir tertarik padanya, kerana si tua itu beranggapan bahawa seseorang yang kurang cerdik adalah lebih berkemungkinan sanggup jadi pak turut mengikuti segala dasar yang diarahkan tanpa berkemampuan untuk mempersoalkannya.
Sejak Khairy naik mencanak menduduki kerusi Naib Ketua Pergerakan Pemuda beliau telah mempamerkan satu perangai tidak lagi sanggup menerima kritikan. Yang pertama, dia tidak pun mempunyai satu kumpulan manusia yang boleh tergolong sebagai sahabatnya. Rakan-rakan yang rapat dengannya adalah orang asing, khususnya orang Singapura ataupun rakyat Malaysia yang tidak pernah menerima didikan di Malaysia. Seperti dia, mereka tergolong sebagai bestari yang tidak bergaul dengan rakyat biasa. Khairy pernah mencuba memperbetulkan kepincangan ini dengan mendekati kawan-kawan baru dalam Pergerakan Pemuda UMNO yang dianggapnya rapat dengan akar umbi. Malangnya, kebanyakan anak-anak muda ini menggunakan persahabatan mereka dengan Khairy untuk mengugut saingan politik mereka ataupun untuk memperkayakan tembolok masing-masing dengan meminggirkan peniaga tulen. Sesungguhnya Khairy tidak mempunyai sahabat yang akrab dalam UMNO, dan kalau pun ada segelintir mereka itu di luar UMNO mereka sudah pun difaraidkan jawatan yang molok-molok yang mereka amat takut kehilangannya. Kerana itu mereka juga turut menghentikan amalan menyatakan segala kebenaran kepada Khairy.
Semua pemimpin menghadapi masalah semacam ini. Memang mereka kesunyian berada di tempat tinggi. Akan tetapi Khairy telah mencapai tahap ini terlalu awal sekali. Belum pun beliau berjaya menggapai idamannya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sebelum mencapai umur 40 tahun, Khairy sudah pun dicanai pemikiran berkumpulan (groupie mentality). Sememangnya segala kumpulan rakan Khairy adalah berbentuk kumpulan. Sesiapa sahaja yang berani menyanggah Khairy akan ditentang dan diboikot oleh kumpulan yang lain. Sedikit demi sedikit mereka berundur dan menghilang apabila ada pihak yang menjerut kumpulan sahabat yang mengelilingi Khairy.
Fenomena semacam ini pernah disedari oleh Mahathir Mohamad pada tahun 1998, tetapi dia telah terlambat menyedarinya. Ketika itu tidak ada lagi manusia yang bersuara lantang tanpa takut-takut. Fenomena semacam ini merupakan fenomena yang paling terkini menghimpit Khairy apabila diambil-kira pengalaman pemimpin UMNO yang lain. Tunku Abdul Rahman pernah dihantui masalah yang sama ketika menghadapi masalah pada tahun 1969 dulu kerana enggan mendengar kritikan golongan pelapis (termasuk Mahathir Mohamad dan Musa Hitam). Tunku terlalu bergantung dan percaya kepada penasihat rapat beliau seperti Khir Johari, Sardon Jubir dan Senu Abdul Rahman. Tun Razak nyaris-nyaris musnah oleh bisa nasihat Abdullah Ahmad, kalaulah dia tidak mati terlalu awal daripada jangkaan umum. Hussein Onn juga gagal meneka pergolakan semasa gara-gara terlalu bergantung kepada Ghazali Shafie. Abdullah Badawi juga akan gugur dan gagal dengan cara yang sama. Kini pun dia sudah mula menggelongsor daripada puncak kuasanya. Kegagalan Abdullah menilai orang lain dengan tepat dan ketaksuban bergantung kepada Khairy akan menyebabkan beliau menjadi sasaran amarah para pemimpin UMNO yang sepatutnya menjadi sandaran beliau untuk meraih sokongan padu.
Abdullah akan terhumban daripada puncak kuasanya mengikut cara yang sama pemimpin lain yang mendahuluinya merasakan keaiban yang serupa. Selalunya para penasihat mereka yang membunuh pemimpin sendiri.
Kesilapan maut Khairy kerana tidak mampu menilai antara musuh dan pengkritik yang tulen telah disulitkan lagi oleh keupayaannya terus mengumpul musuh yang perkasa. Musuh-musuh Khairy itu bolehlah dikategorikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan yang paling perkasa adalah orang–orang yang menyokong mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Kumpulan ini beranggapan bahawa Khairy merupakan budak hingusan yang terlalu disanjung sedangkan dia hanya merupakan seorang teoris yang tidak berpijak di bumi nyata. Mereka beranggapan bahawa Khairy akan terus melibatkan negara ini untuk terus berkhayal sehingga tersedar betapa sudah wujud satu kediktatoran yang tidak menyenangi tentangan yang dipimpinnya dan disokong oleh lulusan Oxbridge yang muda-muda. Masa terus beredar dan anggota kumpulan ini yang termasuk bekas menteri-menteri dan menteri-menteri yang masih berkhidmat, sudah mencuba satu pakatan dengan veteran UMNO dan kepimpinan yang ada untuk menghalang kenaikan Khairy ke puncak kuasa. Mereka amat mengidamkan agar Abdullah Badawi dapat digulingkan daripada puncak kuasa sama ada dengan paksa ataupun tekanan yang bersahaja dan munculkan seorang pemimpin baru, kemungkinannya Najib Tun Razak yang akan menumpaskan Khairy kemudiannya.
Apakah Mahathir menyokong kumpulan ini? Setakat ini Mahathir telah memberikan mereka sokongan yang terbaik dengan cara meremehkan dasar-dasar baru Abdullah. Sebagai seorang ahli politik Melayu yang konservatif, Mahathir memang pintar membuatkan orang ramai mempertikai keupayaan Abdullah hanya dengan cara menyuarakan sedikit komen secara tidak langsung seolah-olah beliau mengkritik orang lain, sedangkan sasaran beliau sebenarnya adalah Abdullah sahaja. Tidak siapa pun yang menjangka Mahathir akan bertindak lebih melulu dari itu, tetapi dengan demikian, Mahathir sudah pun mencipta ruang di mana mereka yang tidak senang hati dengan Abdullah dan Khairy dapat berkumpul untuk merancang satu pembelotan.
Musuh-musuh Khairy yang lain adalah mereka yang bergelar pemimpin muda UMNO yang takutkan hubungan beliau dengan Anwar Ibrahim. Khairy memang menaruh simpati terhadap Anwar, tetapi adalah wajar untuk kita berkata bahawa Anwar lebih sayangkan Khairy berbanding Khairy yang sayangkan Anwar. Malahan Anwar semakin tertarik kepada Khairy kerana menganggap Khairy adalah satu gambaran imejnya dalam perjalanan hidup beliau meniti puncak kuasa. Anwar beranggapan bahawa Khairy telah menjadikan beliau sebagai contoh dan kerana itu beliau cuba memainkan peranan watak seorang bapa dengan memberikan nasihat yang tidak pun amat diperlukan oleh Khairy bagaimana mahu menangani Pergerakan Pemuda UMNO. Anwar beranggapan bahawa Khairy memang betul-betul tulen yang muncul dengan acuan seorang pemimpin yang berkarisma dan merupakan tokoh asli yang Anwar hormati.
Dengan mendekati Anwar, Khairy telah dapat mewujudkan satu pertalian yang dianggap oleh ramai anggota UMNO sebagai satu pakatan jahat. Memanglah orang-orang lama UMNO amat takutkan Anwar, tetapi pemimpin pelapis pun amat gusar bahawa Anwar akan masuk UMNO semula bersama dengan barisan penyokongnya untuk menggantikan tempat mereka yang khususnya muncul selepas 1998 dengan cara membodek Mahathir. Pemergian Khairy pada 2 September 2004 ke rumah Anwar adalah satu peristiwa yang sentiasa dikenangi oleh pemimpin UMNO dan inilah yang akan mengcop beliau seperti Brutus (dalam Hikayat Julius Caesar -penterjemah) untuk beberapa tahun yang mendatang.
Bukan semua musuh Khairy datang daripada dunia politik. Ada antara mereka adalah para peniaga yang merasakan dipinggir oleh ECM Libra dan beberapa ‘kenderaan pelaburan’ Khairy yang lain. Ada seorang Tan Sri tertentu daripada Pulau Pinang yang merintih kepada seorang kawannya betapa semakin sulit untuk beliau berdagang dengan kerajaan Pulau Pinang kerana semua kontrak telah dikaut oleh kroni-kroni muda yang rapat dengan Khairy. Beliau telah menyebut beberapa projek pembinaan yang melibatkan nomini Khairy. Bukan semua dakwaan itu adalah benar. Sesetengah nomini itu tidak ada kena mengena dengan Khairy tetapi mereka adalah rapat dengan keluarga Almarhumah Endon Mahmud dan Kamaluddin Abdullah Badawi. Oleh kerana Khairy merupakan anggota keluarga yang paling menonjol, di kalangan keluarga Perdana Menteri, dia pun secara automatis dianggap sebagai tukang atur.
Tidak kiralah kalau separuh tuduhan itu adalah palsu. Yang pasti, Khairy kelihatan seperti seorang anak muda yang begitu rakus untuk membalun ratusan juta Ringgit dengan meminggirkan para peniaga yang lebih berniaga. Persepsi yang timbul seolah-olah mengandaikan bahawa pengaruh Khairy telah merobah keputusan perniagaan pihak kerajaan. Sebagai contoh ialah saham-saham DRB yang membuatkan ramai pemilik saham itu beranggapan bahawa Khairy telah mengarahkan Kalimullah Hassan Masheerul Hassan serta kawan-kawan beliau dalam Pasukan cawangan khas (Special Branch) Singapura, untuk memandai-mandai mendahului pengumuman kerajaan dengan menyatakan bahawa Tan Sri S.M. Nasimuddin sudah pun berjaya membeli semua saham milik Tan Sri Yahya Ahmad. Ada sumber yang membocorkan rahsia bahawa Khairy telah membocorkan maklumat itu kepada NST, sedangkan beliau sedar betapa wujud pihak lain dalam kerajaan yang sebenarnya memihak kepada bida yang dikemukakan oleh Tan Sri Syed Mokhtar. Akan tetapi Khairy mahu menonjolkan tindakannya memihak kepada Nasimuddin dengan cara beliau menggunakan pihak media sebagai satu kaedah untuk mempengaruhi keputusan beliau itu.
Antara mereka yang memang tidak sukakan Khairy adalah kumpulan kaya-raya di kalangan peniaga Melayu dan Cina. Kumpulan Melayu yang kaya itu membenci Khairy kerana mewujudkan satu kumpulan peniaga Melayu baru yang bersekongkol dengannya; seperti Rosabil Abdul Rahman, Ketua Pemuda UMNO Perlis, dan lain yang lain sekandang dengannya. Kumpulan Cina yang kaya itu membenci beliau kerana menjual banyak peluang perniagaan kepada kawan-kawannya di Singapura. Hakikat bahawa Khazanah masa kini berurusan hanya dengan peniaga besar daripada Singapura dan Indonesia bererti orang tempatan sudah diketepikan. Semua ini dilihat sebagai kepincangan Khairy dan semua itu menjurus kepada andaian yang sama bahawa dunia perniagaan sudah menjadi sukar kerana perbuatan Khairy.
Persepsi adalah tunjang berpolitik. Kerana itu apakah segala tuduhan terhadap Khairy itu benar ataupun tidak adalah dianggap mustahak. Orang politik dan perniagaan akan menunjukkan minat memihak kepada sesuatu kisah dan cerita yang membawa keuntungan kepada minatnya dan memihak kepada pemikirannya yang tersendiri. Di sinilah letaknya masalah Khairy. Kerana terlalu ghairah mahu menonjolkan dirinya dia sudah menjadi sasaran utama golongan ningrat ataupun elit. Rakyat tidak tahu banyak hal mengenai Khairy buat masa kini, untuk mereka meminggirkan beliau. Akan tetapi golongan yang giat menjelajahi negara ini sambil mencari makan sebagai orang tengah, dan amat dahagakan peranan sebagai tukang atur, dan menganggap mereka mempunyai hak istimewa untuk meraih jawatan tertinggi dalam politik negara, dan menghabiskan banyak masa berfikir apakah cara terbaik untuk mentadbir negara sudah pun mempunyai persepsi tersendiri terhadap Khairy, yang amat sukar untuk diubah kembali. Sudah tiba masanya untuk dimulakan pertempuran mereka.
Dalam sesi monolog Khairy di USM, dia ternyata memang bergaya sakan. Beliau telah mengadakan satu sidang akhbar di mana dia menggembar-gemburkan segala usaha beliau untuk mewujudkan satu masyarakat muda yang tulus dan bersih. Namun, tidak jauh daripada tempat sidang akhbar itu telah berkumpul beberapa pemimpin pemuda UMNO yang mempunyai perasaan yang sama. Mereka sudah naik mual dengan Khairy. Ada seseorang yang mencadangkan sudah tiba masanya untuk mewujudkan seorang saingan yang sama hebat pengaruhnya untuk menandingi keintelektualan Khairy. Ada seorang pemimpin pemuda negeri telah mencadangkan beberapa nama dan kumpulan kecil itu telah bersurai setelah menyetujui satu senarai pendek mengandungi beberapa nama calon yang disebut tadi. Khairy tidak akan mempunyai laluan yang mudah di masa depan.
Akan bersambung ke Bahagian 23.
- MalaysiaToday
Terjemahan MT-SPAR - 21.12.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Hikayat Khairy Jamaludin: Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 21 - 22 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN