TAG 1829-17:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 17
Patahnya Dahan Bergantung
(The comforting branch breaks)
Laporan Khas Malaysia Today  - Laman M@RHAEN
Di sebalik segala keyakinan yang berputik dengan kembalinya Datin Paduka Seri Endon Mahmood daripada Amerika Syarikat baru-baru ini, rakan-rakan politik mereka yang paling rapat sudah lama menyedari bahawa masanya memang sudah tidak lama lagi. Sidang pengarang akhbar dan mereka yang mengepalai media elektronik sudah pun diberikan ingatan itu pada hari pertama beliau pulang ke tanah air. Penulis kanan telah diberikan tugas menulis belasungkawa untuk Endon kira-kira sepuluh hari yang lalu. Memang sudah dijangkakan bahawa keadaan kesihatan Endon tidak akan pulih sehinggakan menteri paling kanan dalam kerajaan Abdullah Ahmad Badawi tidak dibenarkan menziarahi beliau di Hospital Putrajaya.

Dua hari sebelum kematiannya, para sahabat akrab Abdullah telah berkumpul setiap hari di rumah kediaman Perdana Menteri untuk membacakan surah Yassin. Orang ramai telah diberikan gambaran keadaan isteri Perdana Menteri yang semakin murung melalui satu kenyataan meminta mereka bersabar dengan Abdullah kerana beliau perlu memberikan masa untuk meladeni Endon. Satu lagi pertanda betapa keluarga Abdullah semakin berduka dengan keadaan kesihatan Endon ialah berlakunya banyak pembatalan dalam majlis-majlis yang patut dihadiri oleh Khairy Jamaluddin dan Nori Abdullah beberapa hari sebelum Endon menghembuskan nafas terakhir.

Memang tidak dinafikan bahawa Endon Mahmood adalah merupakan seorang isteri orang politik yang lebih popular berbanding orang lain seangkatan dengannya. Sudah tentu dia boleh dibandingkan dengan Tun Siti Hasmah dalam keupayaan menyejukkan kehangatan di sanubari mereka yang terguris oleh tindakan suaminya. Mereka berdua (Endon-Hasmah) adalah daripada latar belakang yang sama, pernah mempunyai kerjaya sendiri yang mereka tinggalkan untuk memberi sokongan kepada suami masing-masing bergelumang dalam politik. Hasmah dan Endon lahir di Selangor kepada bapa yang memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan pa a bahagian pertama abad yang ke dua puluh. Perangai dan tingkah laku Hasmah dan Endon ternyata tinggi budi pekertinya kalau dibandingkan dengan isteri orang politik yang lain. Mereka berjaya memaparkan sopan santun yang dapat mengimbangi stail suami masing-masing yang kadangkala ternyata tidak selembut itu.

Sebagai contoh tidak ada sesiapa yang mengkritik Endon sebagai menjadi sumber pengaruh yang tidak sihat kepada Abdullah seperti mana Rosmah Mansor kerap disindir berbuat begitu ke atas suaminya Najib Tun Razak. Yang lebih penting lagi, sama ada kerana pilihan ataupun disebabkan penyakit yang lama ditanggungnya, Endon tidak pernah memainkan peranan tukang jaga pintu kepada Abdullah, seperti yang dilakukan oleh Rosmah kepada Najib. Memang menjadi pengetahuan umum bahawa Najib mudah dipengaruhi melalui Rosmah yang merayu bagi pihak pelbagai orang politik yang berminat dan orang niaga yang mengharap. Endon memang tidak memainkan peranan itu – walaupun dalam satu tempoh yang singkat naiknya Abdullah di persada teratas; adik beradiknya, anak-anak saudara (daripada keluarga Mahmood Ambak) telah menerima banyak habuan. Anak dan cucu Mahmood Ambak telah menerima dan berjaya menguasai beberapa projek kerajaan daripada pembekalan perisian komputer ke sekolah di bawah program Kementerian Pelajaran yang bernilai RM100 juta hinggalah kepada pembekalan barangan di kalangan negara anggota OIC yang dirancang oleh pucuk kepimpinan Malaysia yang menyandang jawatan Presiden pertubuhan itu.

Namun demikian adalah diragui bahawa Endon sendiri pernah memainkan peranan dalam mendapatkan kontrak itu untuk keluarganya. Lagi pun dia bukannya terlibat sangat dengan kesibukan Abdullah di tahap awal dia menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya Endon banyak menghabiskan masa di hospital luar negara dan berehat di klinik dalam negara. Kalaulah keluarga Mahmood Ambak berjaya menang banyak kontrak disebabkan pengaruh seseorang, besar kemungkinannya ia datang daripada jasabaik Khairy Jamaluddin yang mendapatkannya bagi pihak isteri beliau, Nori. Lagi pun, harus diingat bahawa kebanyakan pemberian ‘kontrak itu telah disumbang oleh beberapa menteri yang gila pangkat dan mahu cuba membodek Abdullah Badawi. Di kalangan tahap teratas politik, memang diketahui betapa keluarga Abdullah Badawi sendiri tidak menerima banyak kemudahan daripada Abdullah. Sebaliknya mereka menerima habuan itu daripada Mahathir pada saat terakhir kegemilangannya sebagai seorang Perdana Menteri. Sesungguhnya keluarga Mahmood Ambak yang begitu ghairah mendapatkan kontrak kerajaan dan diberikan kemudahan itu kerana kesungguhan mereka.

Jadi, peranan Endon tidaklah banyak berbeza dengan peranan Siti Hasmah yang mempunyai ramai ahli keluarga meraih habuan yang amat banyak berbanding keluarga Mahathir sendiri. Namun, dengan pemergian Endon kini, adalah tidak mungkin adik beradik dan saudara mara beliau yang sebaya dengannya akan terus menerima habuan seperti yang pernah mereka nikmati selama satu setengah tahun yang lalu. Besar kemungkinan habuan semacam itu akan beralih kepada mereka yang satu (sama) generasi dengan anak-anak Endon sendiri.

Peranan Endon dalam kehidupan Khairy Jamaluddin tidaklah berapa menonjol. Beliau tidak pernah menahan keghairahan Nori terhadap Khairy dan kelakuan ganjilnya, kadangkala terhadap Khairy semasa percintaan mereka. Endon pernah mentertawakan kisah Nori yang menggunakan salah satu potret Khairy sebagai ‘wallpaper’ kepada skrin komputernya di ISIS Namun demikian, salah satu sebab Khairy disenangi oleh Endon ialah kerana keakrabannya dengan ibu Khairy, Datin Rahmah Abdul Hamid. Mereka telah lama saling bersefahaman sejak zaman dulu ketika mengahwini dua orang lelaki yang akhirnya bertugas sama sebagai pegawai tinggi kerajaan di kementerian yang sama kira-kira di pertengahan 1970-an.

Semasa Khairy mula-mula naik sebagai seorang politikus muda, dan baru sangat ditugaskan sebagai pengiring istimewa kepada Nori Abdullah, Endon telah melantik Rahmah menduduki satu jawatan penting dalam PERTIWI. Peranannya ialah menentukan PERTIWI memberikan peranan mendapatkan golongan Mak Datin dan wanita yang separuh umur di kalangan isteri dan janda pegawai tinggi kerajaan, agar mereka menyokong Khairy. Ketika Khairy selalu dikritik kerana tidak ada pengalaman tetapi mampu naik mencanak di puncak kuasa, PERTIWI telah melancarkan satu kempen dalam New Straits Times, The Star dan Utusan Melayu yang memberi gambaran betapa Khairy sebenarnya adalah seorang yang matang dan begitu terdidik.

PERTIWI dan pertubuhan lain sekandang dengannya telah diperguna oleh Khairy untuk melancarkan gelombang sokongan agar rakyat menyukainya. Sanjungan itu selalunya dimulakan dengan satu artikel yang disediakan oleh Setiausaha Akhbar tidak rasmi Khairy yang bernama Kalimullah Hasan Masheerul Hassan serta beberapa wartawan yang diupahnya. PERTIWI kemudian merancang beberapa surat menyokong artikel itu; semua memberikan pujian kepada Khairy juga. Di waktu yang sama memang banyak surat lain yang negatif dan tidak memihak kepada Khairy. Semua surat itu tidak akan disiarkan. Usaha berpadu itu sudah tentu tidak diperlukan lagi kerana Khairy sudah naik mencanak di puncak. Akan tetapi di tahap awal kerjayanya dulu PERTIWI telah banyak membantu memberikan gambaran yang dia mempunyai sokongan akar umbi yang padu. Yang sebenarnya makcik yang tua-tua itu menulis surat kerana bosan dan terdesak sebagai suri-rumah yang mengharapkan habuan daripada Endon dan Datin Rahmah.

Endon sendiri pun menyandarkan harapan kepada Khairy sebagai tiang seri yang menyokong Abdullah. Beliau memang merasa bersyukur kerana Khairy mampu membantu Abdullah dan tidak banyak meminta-minta perhatian Nori, yang turut memainkan peranan yang tidak dapat disempurnakan oleh ibunya. Endon sendiri tidak pernah mendesak agar Khairy dan Nori cepat berkahwin tetapi ada kalanya dia mengeluh juga kenapa pasangan itu tidak mendapat cahaya mata lagi Namun, dia tetap merasa lega kerana sudah ada cucu daripada hasil perkahwinan anak lelakinya Kamaluddin, dan terus memahami hakikat bahawa Khairy mempunyai peranan yang lebih penting membantu kerjaya politik suaminya.

Sebaliknya Endon menyimpan sebarang rasa tidak senang untuk mereka yang dia fikirkan menggugat kedudukan suaminya Abdullah dan status dirinya sebagai wanita utama di kalangan pegawai kerajaan. Salah seorang yang dimaksudkannya ialah Rosmah Mansor yang kerap tidak disenangi oleh Endon. Mengikut seorang penasihat rapat Timbalan Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah kerap merasa tertekan setiap kali terpaksa bersama dengan Endon. Selalunya Rosmah mudah menonjol ketrampilannya. Dia pernah menganggotai kem Mahani Daim, seorang wanita yang kuat mendesak, angkuh dan bongkak. Rosmah kerap mengeluarkan kenyataan yang merendahkan Najib di depan orang lain, menyerlahkan kepincangan untuk menyimpan perasaan semacam itu diluahkan di bilik tidur mereka sahaja.

Namun, kalau berdepan dengan Endon, Rosmah perlu menikus. Endon merupakan seorang wanita yang lemah lembut dan merendah diri dalam perbualannya. Akan tetapi kalau tercabar Endon boleh naik angin dan setiap kali Rosmah meninggikan suaranya Endon mudah mematahkannya dengan sindiran atau kata-kata yang memperlinya. Inilah yang tidak disenangi oleh Rosmah. Rosmah berperasaan sebagai seorang yang lebih tinggi pengajiannya, dia sepatutnya diberikan keutamaan daripada Endon. Namun Endon adalah seorang isteri seorang politikus yang lebih berpengalaman berbanding Rosmah dan Endon berjaya menerima sokongan di mana Rosmah tidak mendapatnya.

Akan tetapi keadaan sebenar tidaklah serupa itu.

Dengan pemergian Endon, seorang lagi wanita bernama Nori akan memainkan peranan yang lebih penting sebagai penasihat politik kepada Abdullah. Menantu Abdullah, Azrene akan menjadi hos kepada majlis yang dianjurkan oleh bapa mertuanya. Nori yang banyak mewarisi lemah lembut ibunya akan menjadi tempat mengadu yang menenangkan Abdullah. Dalam situasi ini kedudukan Khairy akan lebih mantap selagi dia pandai memainkan peranan berjalan lurus tanpa merewang daripada peranan sebagai seorang suami yang setia dan menumpukan kepada peranan sebagai anggota angkat keluarga Abdullah. Dia harus dilindungi daripada sebarang serangan pihak yang terlalu ghairah mempengaruhi Abdullah terhadap beliau.

Beberapa hari sebelum Endon meninggal, beberapa orang sahabat akrab Abdullah yang pernah berjuang bersamanya sejak zaman dulu-dulu sehingga beliau menceburi politik mengeluh kerana banyak perkara yang tidak menepati ramalan mereka dulu. Satu ketika dulu mereka berfikir kalau Endon sudah tiada, Abdullah akan merujuk kepada sahabat lamanya yang sudah begitu setia dengannya. Sebaliknya mereka dapati di saat Endon nazak Abdullah telah mula berpaut kepada Nori dan Khairy serta kumpulan penasihat yang muda-muda belaka.

Kedudukan Yang Tidak Tercabar

Tidak ada orang lain yang dapat menggantikan tempat Endon dalam kehidupan Abdullah. Usahasama mereka dulu adalah lebih intim daripada keakraban seorang politikus dan isterinya. Ini merupakan perkara biasa dalam dunia politik Malaysia. Perdana Menteri Malaysia kerap berpaut kepada isteri masing-masing, seperti yang terbukti dalam kes perkahwinan Razak-Rahah dan Mahathir –Hasmah. Abdullah tidak bernasib baik kerana kehilangan keintiman semacam itu begitu awal dalam tempoh jawatannya ini. Namun dia masih dapat keselesaan yang berbeza daripada, sebagai contohnya, hubungan Najib-Rosmah. Keintimannya dengan Endon adalah satu pakatan cinta abadi dan bukannya satu pakatan yang disadur dengan impian dan kerakusan. Pakatan yang berasaskan kasih sayang itu tidak mudah ditiru walaupun muncul nanti seseorang yang cuba mengisi kekosongan hati Abdullah. Buat sementara waktu pemergian Endon Mahmood sudah mewujudkan satu kelompongan dalam kehidupan harian Abdullah yang diisi oleh Nori dan suaminya. Mereka inilah cabang yang baru bercambah untuk menggantikan dahan yang baru sahaja patah dengan kematian pada pagi Khamis dulu.

(Bahagian 17 ini adalah satu artikel khas sempena kembalinya ke Rahmatullah, Datin Paduka Seri Endon Mahmood.)

Bersambung ke Bahagian 18:   Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi

- MalaysiaToday

Hikayat Khairy Jamaludin:  Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 2122 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan

Terjemahan MT-SPAR  - 24.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)

Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN