TAG 1829-15:
Hikayat Khairy Jamaludin - Bahagian 15
Permainan Berisiko Tinggi
(The game of high stakes)
Laporan Khas Malaysia Today - Laman M@RHAENPolitik merupakan satu permainan yang mempunyai risiko tinggi. Pasang-surut politik itu tidak boleh dicongak dengan mudah dan selalunya mereka yang bermain di gigi air, walaupun untuk satu masa yang lama, mendapati betapa mudahnya lautan samudera menelan mereka apabila mereka gunakan kapal yang paling kecil untuk mengharunginya. Ini bukannya satu permainan untuk mereka yang berhati kecil, kerana setiap kejatuhan boleh membawa bencana malahan menghapuskan sama-sekali kerjaya seseorang. Apabila seorang ahli politik jatuh, dia selalunya diaibkan pula. Nilai kejatuhan itu adalah terlalu tinggi untuk majoriti kita semua. Namun demikian masih ramai orang yang sanggup beratur menantikan kemunculan kuasa untuknya walaupun untuk hanya 15 minit semata-mata kerana nafsu serakah yang mahu merasakan apa yang selalunya digambarkan sebagai satu rasa yang paling nikmat yang perlu dialami oleh seseorang. Itulah kuasa untuk merajai manusia yang lain. Percaturan politik menghasilkan kuasa, seperti yang disebut oleh Henry Kissinger sebagai aphrodisiak (penaik syahwat / peransang nafsu) yang paling berkhasiat.
Khairy Jamaluddin sudah merasa kuasa dalam tempoh yang amat cepat. Dia telah naik mencanak dalam satu tempoh yang singkat ketika berusia masih muda sedangkan orang lain yang berusia demikian hanya masih memikirkan bagaimana mencari duit untuk membayar sewa ataupun ansuran kereta. Pengaruh kuasanya adalah lebih unggul daripada kebanyakan orang politik yang berusia tiga puluh lebih tua darinya, Khairy sudah pun menikmati kuasa itu sedangkan majoriti kita tidak akan merasainya sepanjang hayat kita. Dia berada sebaris dengan mereka yang mempunyai kuasa untuk bertindak menentukan perjalanan hidup kita kalau mereka suka.
Namun, Khairy telah mencapai tahap itu dengan memainkan peranan yang rendah risikonya. Dia bukanlah seorang yang suka bertarung dan naiknya di puncak kuasa adalah terlalu mudah jalinannya. Tanpa perlu melontar buah dadu untuk menentukan nasibnya, Khairy telah menggunakan peluang yang terbuka untuk menjalin laluan ke atas dengan meniti bahu orang lain. Sebagai contoh, dia naik menjadi timbalan ketua pemuda UMNO adalah hasil muslihat pilihan dan bukan kerana undian. Walaupun disanjung tinggi oleh anggota ahli pergerakan pemuda UMNO, Khairy tidak mungkin naik mencanak sebegini tanpa ikhsan bapa mertuanya.
Memanglah, Khairy ternyata lebih bijak berbanding kebanyakan pemimpin UMNO yang lain, termasuk mereka yang telah lama bermain politik semacam ini untuk beberapa dekad yang berlalu. Namun, terlalu ramai pemimpin UMNO yang mempunyai bakat yang lebih menyerlah, keupayaan dan karisma tetapi terpaksa tergolek akhirnya di tepi jalan perjuangan mereka hanya kerana majoriti pemimpin UMNO bukanlah terpilih disebabkan bakat mereka tetapi kerana hubungan dan kaitan. Sekarang ini diambil kira pula akan keupayaan mereka untuk taat setia kepada penaungnya.
Dalam kerjaya politiknya Khairy belum lagi teruji. Walaupun wujud satu barisan wartawan akhbar asing termasuk Brendan Pereira yang kini menyibuk di Jalan Riong, memukul canang selalu menonjolkan ketokohan Khairy dan apa juga kejayaan UMNO masa kini, segala kelentungan itu ternyata kosong semata-mata. Sebagai contoh, Khairy tidak boleh diberikan kepujian terhadap menyelesaikan kemelut Suqui kerana Suqui mengambil langkah ke belakang atas tekanan samseng-samseng Pemuda UMNO, yang diketuai oleh Aziz Sikh Fadzir. Sumbangan Khairy kepada kejayaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum yang lalu terhad kepada pemilihan moto ‘Cemerlang, Gemilang Terbilang (dengan usahasama tukang ciplak Kalimullah Masheerul Hassan); dan memilih calon (yang sudah pasti akan terpilih juga) dan menonjolkan satu imej yang lebih menyerlah untuk Abdullah Ahmad Badawi. Untuk memahkotakan Khairy dengan segala kepujian kerana menjamin kemenangan itu adalah sama dengan membohongi pertanda yang memang menyerlah beberapa bulan sebelum berlangsung pemilihan itu. Rakyat Malaysia yang begitu letih dengan kemelut Anwar dan begitu lama diasak oleh pemerintahan kuku besi Mahathir Mohamad sudah bersedia mengalu-alukan kerajaan baru yang dijanjikan lebih bersopan oleh Abdullah Ahmad, termasuk segala janjinya untuk membasmi korupsi yang sudah bernanah selama 22 tahun.
Brendan Pereira, Phar Kim Beng, Reme Ahmad, Zainuddin Affendi, Leslie Lau, Rosli Ismail dan wartawan yang lain sekandang dengan mereka memang amat sedar betapa setiap kali mereka memuji-muja Khairy, mereka sebenarnya menggembar-gemburkan keadaan. Melalui laporan berita semacam itu, memberikan ruang mudah untuk mereka merapati orang-orang Khairy dan lebih penting lagi dapat merapati langsung orang yang mereka puji. Secara tidak langsung, ini merupakan satu pembayaran awal kerana khidmat yang diberikan di masa hadapan. Mereka sedar bahawa Khairy masakini merupakan ‘rent-a-quote’ (tukang suara keramat) semasa. Kerana itu adalah penting mereka mempunyai hubungan baik dengannya kerana keghairahannya mahu menunjuk-nunjuk perkara baru yang menonjolkan kepintarannya berbanding kumpulan dungu yang menerajui UMNO di masa dulu-dulu.
Mampukah Khairy memainkan peranannya tanpa henti? Kini, sudah ligat berita angin mengenai betapa goyahnya pentadbiran kerajaan Abdullah disebabkan tekanan yang berat daripada serba penjuru. Abdullah sedang dihantui musuh politiknya dari dalam (UMNO) berpunca daripada sekutu bos lamanya dan juga bakal penggantinya Najib Tun Razak. Ekonomi negara memang sudah teruk dan kerajaan telah membentangkan satu penyata bajet (belanjawan) yang secara terperinci membuktikan bahawa sudah tidak ada jalan untuk Malaysia menangani defisit yang perlu diselesaikan sebelum berakhirnya kerajaan berparlimen yang sedia ada pada 2008 Kadar inflasi semakin meninggi - bermain antara 9% hingga 10% , walaupun sedikit rendah berbanding tempat lain. Kegagalan GLCs (Syarikat yang ada hubungan dengan Kerajaan) mengemukakan satu penyelesaian kepada masalah aliran tunai Malaysia sudah dibebankan oleh sikap terlalu bergantung kepada kumpulan Oxbridge, sambil tidak mengambil kira sikap mereka dalam isu pengurusan kerajaan. UMNO sudah begitu degil menentang sebarang usaha menukarnya daripada sebuah institusi yang begitu korup, penuh skandal dan terlalu menebal dengan ketamakan kumpulan yang berpuak-puak; kepada sebuah parti politik yang bertanggungjawab.
Khairy mempunyai rencana untuk menggunakan semangat keadaan semasa untuk membawa perubahan yang boleh membawa kebaikan kepada imej Abdullah dan masa depannya. Akan tetapi segala perubahan ini semakin dilihat sebagai usaha untuk menentukan keunggulan ketokohan Khairy. Beliau telah menolak tepi segala perhatian demikian dengan penuh risiko kerana keterbukaan selalunya membuka ruang kepada kritikan terbuka dan Khairy bukannya sudah diuji dalam perkara ini. Selama ini Khairy hanya dimanjakan oleh puji-pujian. Dia tidak pernah dicabar oleh seorang pemimpin pembangkang yang setara ketokohannya dengan dia. Yang terbaik dan mampu ditonjolkan oleh PAS ialah Husam Musa yang pada mulanya telah membuat urusan rahsia dengan Khairy untuk mendinginkan suasana perundangan yang sungguh mencabar melibatkan kerusi wakil rakyat di Kelantan dan Terengganu. Beberapa orang tokoh politik yang berkarisma dalam PKR telah ditekan atas arahan khas Anwar Ibrahim agar tidak mengkritik Abdullah dan anggota kerajaan sekarang seperti Khairy. Ezam Mohd Nor merupakan seorang pemimpin yang masih berkhayal, tanpa menyedari betapa dia Cuma dianggap sebagai seorang badut oleh orang-orang Khairy gara-gara kerakusan mahukan jawatan timbalan menteri kalau mereka mahu dia masuk semula menganggotai UMNO. DAP masih lagi dalam peralihan. Lim Guan Eng merupakan tokoh masa depan mereka, akan tetapi dalam banyak hal, dia merupakan tokoh yang lalu sahaja, kerana terlalu terikat dengan pengaruh politik ayahnya untuk mencetuskan kesan yang mendalam menyaingi karisma Khairy Jamaluddin.
Kerana itu Khairy mampu melakar kemunculannya naik mencanak tanpa banyak saingan. Kalau ada pun bahayanya ia adalah berpunca daripada kerakusan untuk membuat perkara yang besar risikonya sehingga tidak mampu membuktikannya. Sebagai contoh, baru-baru ini Khairy telah mengatur satu pertemuan di London antara Anwar dan Abdullah. Secara kebetulan, Abdullah berada di sana dalam satu usaha menjaja pelaburan di Malaysia. Dai segi ekonomi usaha itu tidak berhasil kerana Abdullah tidak pernah mempunyai wawasan baru bagi melonjakkan ekonomi Malaysia. Ada dua soalan yang tidak dapat dijawab oleh Abdullah dengan memuaskan. Pertama, kenapakah dasar kerajaannya diciplak secara keseluruhan daripada peraturan (buku panduan) yang dimiliki oleh Temasek Holding di Singapura. Kedua, kenapakah dia begitu menyibuk dengan pertanian dan bioteknologi sedangkan merata dunia sekarang ini menganggap dua sektor itu sebagai penyumbang kecil kepada keseluruhan enjin pertumbuhan ekonomi dunia.
Sudah tentu, Abdullah tidak dapat menjawab soalan mudah semacam itu kerana fikirannya terlencong kepada benda-benda lain. Lawatan yang memerlukan perbelanjaan sebanyak RM2.3 juta dianggap penting, tetapi tidaklah sebegitu penting seorang pelawat yang menanti di bilik sebelah di mana sudah diatur pertemuan untuknya. Alangkah malangnya kepada Abdullah kerana tidak dapat merahsiakan pertemuan. Secara tiba-tiba dan tidak disengaja muncul seorang Menteri Besar yang masuk ketika empat mata sedang bertemu secara rahsia. Akan tetapi, itu tidak berapa penting sangat kerana Anwar dan orang-orangnya pasti akan membocorkan juga apa yang dianggap rahsia.
Mengikut Zunar, seorang bekas kartunis yang kini menjadi editor Suara Rakyat, pertemuan antara Anwar dan Abdullah telah ditumpukan kepada kehampaan Abdullah terhadap usaha kekuatan kumpulan kaunter-reaksioner pimpinan Mahathir-Najib Razak. Mungkin juga Zunar sengaja membesar-besarkan kekeluhan Abdullah, tetapi mesej yang mahu disampaikannya adalah terlalu nyata. Abdullah merupakan seorang pemimpin yang terlalu tertekan dan dia amat memerlukan seorang sekutu seperti Anwar Ibrahim. Secara berahsia Khairy telah memberitahu kawan-kawannya bahawa kalau populariti Anwar di
kalangan akar umbi dapat dirangkumkan dengan pengaruh Abdullah sudah tentu dapat melonjakkan masa depan politiknya dan menjadikan peluangnya kurang berisiko.Memanglah, Zunar merupakan seorang kaki propaganda. Dia dibayar untuk melonjakkan Anwar agar popular laksana dewa. Periuk nasinya (kononnya) bergantung kepada Anwar, mempercayai beliau mampu menjalankan tugas dengan baik agar Anwar dilihat sebagai seorang bijaksana politik yang tidak ada tolok bandingnya. Tidak kiralah kalau ramai orang tahu itu bukan yang sebenarnya. Itu sebabnya Zunar kerap mengeluarkan pelbagai kisah kelentungan yang indah khabar dari rupa, tidak kiralah ramai yang tahu bahawa hanya 10% antara kisah mengandungi kebenarannya.
Orang semacam Zunar mahu dunia berfikir bahawa tanpa Anwar Ibrahim sejurus Abdullah tidak berkuasa lagi, pengaruh Khairy Jamaluddin akan pupus begitu sahaja. Sebagai seorang kartunis, politik Zunar berasaskan satira dan parodi yang selalunya memang merupakan kebenaran yang sengaja diperbesar-besarkan. Akan tetapi, kita tidak pula mahu menafikan betapa beberapa orang yang bersekutu dengan Khairy telah mengeluarkan kenyataan yang begitu melegakan mengenai kemungkinan Anwar rujuk semula menganggotai UMNO. Khairy mahu bertaruh nasib terhadap perkara ini tetapi dia sengaja lambat mengikut rentak, kerana mahu menilai dulu reaksi orang lain sebelum mula melontar dadunya.
Mengikut Zunar, kemasukan semula Anwar (dalam UMNO) kerap menjadi tajuk perbincangannya dalam mesyuarat dan pertemuan, bualan telefon, dan perbincangan dengan Abdullah. Akan tetapi sebagai menjaga maruah dua-dua tokoh, yang selalu disebut ialah Khairy dan anak-didik Anwar, Ezam Mohd Nor, yang membuat rancangan menyeluruh. Beberapa jadual pertemuan dalam beberapa bulan mendatang sudah pun diatur antara Abdullah dan Anwar.
Di sebalik cakap-cakap besar Anwar menafikan kesediaannya menganggotai UMNO semula, yang sebetulnya Anwar dan Khairy sedang menguji keadaan sebelum mereka betul-betul mencuba nasib. Khairy perlu mencuba reaksi anggota UMNO terhadap kemasukan Anwar semula tanpa menafikan betapa mudahnya Anwar menyandarkan harapan untuk rujuk semula. Sebaliknya, Anwar perlu menguji persepsi para pengikutnya terhadap kepimpinan beliau sebelum memberitahu mereka akan pilihan yang terbuka untuknya. Anwar tidak mampu meminggirkan terlampau ramai bekas penyokongnya dalam gerakan reformasi. Walaupun Anwar tahu ada yang akan berundur kerana mual dengan sikap opportunisnya, masih ramai nanti yang akan mengikutinya kerana tujuh tahun merewang-rewang adalah satu tempoh yang terlalu lama untuk mereka hidup tanpa sebarang pengaruh politik.
Risiko yang Anwar hadapi adalah kecil berbanding risiko yang mendepani Khairy. Anwar telah mengharungi satu kejatuhan yang paling besar pernah dialami oleh orang UMNO, dihenyak dan dilanyak sampai lumat dan dibiarkan terbaring kaku atas arahan seorang diktator yang sehingga saat akhir masih dianggap oleh Anwar sebagai seorang bapa. Tidak ada benda lain di dunia ini yang boleh dijadikan satu ujian seperti yang pernah dilaluinya bersama ahli keluarganya sekali. Sebaliknya, Khairy telah kerap mendapat perlindungan gara-gara keakrabannya dengan Abdullah Badawi. Kalaulah dia gagal dengan percaturan ini, bukan sahaja beliau yang menerima padahnya. Malahan Abdullah juga akan hanyut sama diganyang oleh ahli-ahli UMNO yang sudah begitu mabuk dengan kekayaan dan harta karun yang mereka balun selama ini. Khairy sedang menguji keadaan kerana pertaruhan yang tinggi risikonya. Ia mungkin menjamin kedudukannya untuk satu waktu yang lama. Tetapi ia mungkin gagal dan menjunamkan beliau dan juga Abdullah ke jurang dalam yang pernah diharungi oleh Anwar beberapa tahun yang lalu.
Bersambung ke Bahagian 16: Dinding Yang Boleh Bersuara
- MalaysiaToday
Hikayat Khairy Jamaludin: Bahagian: 1 - 2 - 3 - 4 - 5 - 6 - 7 - 8 - 9 - 10 - 11 - 12 - 13 - 14 - 15 - 16 - 17 - 18 - 19 - 20/1 - 20/2 - 20/3 - 21 - 22 - 23 - 24 - 25 - 26 - 27 - 28 - 29 - 30 - 31 - 32 - 33 - Ditamatkan
Terjemahan MT-SPAR - 10.10.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan oleh: Kelatedaily.net. Cerminan:bakongnet.com
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN