TAG 1819:
Ajaran Islam Yang Menjadi Antidot Kepada Kepincangan Politik
(Islamic policies as an antidote to political failures)
Oleh: MGG Pillai - 24-05-2005 04:05 pm   - Laman M@RHAEN
Setiap kali tiba waktu orang Islam bersolat, semua bentuk hiburan yang berkumandang ketika itu, baik di radio, TV, di atas pentas, di kelab malam, restoran dan di mana juga – mesti dihentikan. Di tempat itu, lelaki dan perempuan ditempatkan di ruang yang berasingan, pada bila-bila masa. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Abdullah Mohamed Zin, berkata bahawa peraturan itu adalah kehendak Jabatan Pembangunan Islam yang baru (ditubuhkan). Ini merupakan satu peraturan yang dikuatkuasakan secara mutlak dan mesti dipatuhi oleh semua pihak kalau tidak mahu menerima padahnya. Semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) tidak pula membantah walaupun Ketua-ketua agama bukan-Islam tidak pernah dirujukkan perkara itu terlebih dahulu. Sekali gus tindakan ini membuatkan kebebasan beragama melangkah ke belakang. Yang peliknya semua parti bukan-Melayu dalam BN dan Ketua agama bukan-Islam serta badan-badan lain diam membisu sahaja.

Tidak ada pemberitaan akan perkara itu di akhbar milik BN mahupun radio, dan TV sejurus disiarkan sedikit berita awal mengenainya. Tidak ada sesiapa yang bercakap mengenainya lagi, sedangkan parti-parti BN dan pihak lain memang gemar bercakap celupar setiap kali Islam disebut dalam apa bentuk pun. Para pemimpin pertubuhan in tidak berani mengangkat muka kerana takut dilabel sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan apa lagi yang lebih buruk daripada itu. Sudah menjadi dasar UMNO tidak membincangkan apa juga perancangannya mengenai Islam dengan rakan parti gabungannya apa lagi dengan Ketua-ketua agama lain. Yang menakutkan kita, tidak seorang pun Ketua agama itu yang berani bangkit menyoal apa yang patut mereka ketahui dan kenapa perlunya diwujudkan peraturan begini. MCA, MIC dan Gerakan, yang memang kuat melenting terhadap isu yang tidak relevan dan penting, tiba-tiba kehilangan suara seperti biasa dan diam membisu seperti yang diharapkan setiap kali munculnya isu penting seperti ini. Alasan mereka yang lumrah ialah perihal pemilihan pucuk kepimpinan UMNO peringkat bahagian yang sudah hampir menjelang tiba. Kerana itu kenyataan yang seperti ini perlu diabaikan sahaja.

Mungkin benar alasan itu kerana tidak ada seorang pun pemimpin kanan BN yang menyebut perkara ini secara terbuka. Akan tetapi ini tidak bermakna itulah niatnya. Pada 1983 telah ada usaha untuk mengecutkan kuasa Majlis Raja-raja, tetapi usaha itu tidak berjaya kerana Majlis Raja-raja enggan memperkenankannya. Ini tidak menghalang kerajaan BN meneruskan niatnya. Undang-undang itu telah diluluskan dan diwartakan, tetapi ia melanggar etika Perlembagaan. Majlis Raja-raja terpaksa menerimanya. Kalaulah betul BN mengabaikan keluhuran Perlembagaan untuk membendung pergerakan Majlis Raja-raja, kenapa pula ia tidak bertegas agar keluhuran Islam diperketatkan secara rasmi? Sesungguhnya Islam sudah dianggap unggul dalam kehidupan orang Malaysia. Tetapi disebabkan BN sudah kehilangan bisanya, baik daripada segi budaya dan politiknya, Islam digunakan untuk BN terus mencengkam kuasa dan mengekalkannya seperti mana UMNO mula diasaskan pada 1946 dahulu.

Segala usaha menulis semula hukum-hakam Islam secara rasminya dan pentakrifan semula tarafnya di kalangan masyarakat Malaysia, tidak ada kaitan dengan Islam. Ia hanya dilakukan oleh kerajaan BN yang kini terkacip dalam kegagalannya menunjukkan kecemerlangan memerintah oleh akar umbi Melayu yang sudah mula sedar betapa statusnya dalam negara kelahiran sendiri sudah menjunam teruk sedangkan segala perlindungan Perlembagaan dan dasar keistimewaan yang disalurkan kerajaan bertujuan untuk faedah mereka sahaja. Pada 1970 kerajaan telah melancarkan Dasar Ekonomi Baru, tetapi tiga puluh lima tahun kemudiannya, orang Melayu masih lagi mundur dan berada di takluk lama. Pihak kerajaan telah menodai DEB itu terutama sekali selama dua dekad yang lalu, ketika Tun Kepala Taik Mahathir menjadi Perdana Menteri. Beliau telah merobah agenda asal DEB untuk menyalurkan kekayaan hanya kepada segelintir manusia pilihan hati yang merasa angkuh bahawa faraid yang diberikan itu memberi kuasa untuk merompak dan membalun harta sesuka hati mereka. Yang membalun keuntungan hanyalah segelintir bedebah yang dilabel sebagai UMNOputra. Mereka inilah kroni pihak pemerintah yang menikmati habuan itu bersama para penyangak dan suku-sakat yang turut melabur untuk membalun.

Untuk melegakan hati pihak yang tidak menikmati semua itu, kerajaan BN telah mencanai dasar kerajaan untuk menyekat sebarang gerakan pemberontakan. Agenda ini termasuklah pendidikan yang tidak tentu hala tujunya, penubuhan universiti secara melambak, pendidikan luar negara, dan biasiswa serta dermasiswa, berserta janji-janji manis di akhir nanti. Maka diwujudkan satu dasar politik yang menampan kebangkitan aristokrat UMNO yang berpendidikan tinggi sebagai alat untuk membendung kebangkitan rakyat Melayu kelas marhaen. Parti komponen dalam BN yang lain dari UMNO diam membisu, sejak kemunculan DEB lagi, apatah lagi untuk bersuara akan bahaya dasar ini di masa depannya. Lagi pun, UMNO tidak ingin mendengar cakap mereka. Kalau ada pun pemimpin bukan-UMNO yang berani bersuara lantang, dia akan menerima satu nasihat secara senyap perihal pemimpin UMNO yang kecundang, walaupun sudah berada di tahap tertinggi pucuk kepimpinan. Maka disebut nama Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan Dato’ Harun Idris yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor dengan kiasan, kalau mereka masih berdegil mereka juga akan menerima nasib yang sama. Sudah tentu amaran semacam itu membuatkan mereka layu dan terkayu serta terus diam membisu.

Walaupun marhaen Melayu menerima pemberian bertaraf kerak roti sahaja daripada dasar pemerintahan negara, kebanyakan habuan itu berbentuk pelajar lulusan universiti yang berpendidikan daripada kampung terpencil. Pada keseluruhannya orang Melayu terpinggir daripada proses pembangunan. Pada 1999 BN kalah dalam pilihan raya umum di Terengganu kepada PAS kerana negeri it mempunyai kira-kira 2,000 graduan yang menganggur. Inilah golongan yang digunakan oleh PAS dan Semangat ’46 untuk berkempen dalam pilihan raya. Universiti di negara ini baik yang dimiliki oleh kerajaan mahupun oleh pihak swasta, mengeluarkan graduan yang tidak berguna dan hanya berakhir dengan pengangguran sahaja. Hari ini, kerajaan mengakui wujudnya angka rasmi graduan yang menganggur di seluruh negara sudah mencapai 80,000 orang. Sudah tentu angka yang sebenar adalah lebih besar lagi. Kalau sekurang-kurangnya 10,000 graduan dikeluarkan setiap tahun, sistem pendidikan yang haprak dan tidak berguna ini sudah tentu menambahkan lagi golongan yang menganggur merata negara.

Akan tetapi kerajaan masih tidak fikir ini adalah satu masalah yang serius. Kerana itu sudah ada ura-ura mahu menubuhkan Universiti UMNO hanya dengan alasan MCA dan MIC sudah mempunyai universiti mereka sendiri. Alasan rasmi kenapa sektor awam tidak mahu menerima graduan mereka ialah kerana mereka enggan bertutur dalam bahasa Inggeris. Apa pun, itu bukan alasan sebenarnya. Secara umumnya, graduan Melayu sudah beranggapan bahawa dunia ini berhutang kepada mereka dan sesiapa sahaja yang menggaji mereka harus sedar akan ‘budi’ yang mesti ditunaikan. Sebenarnya BN pimpinan UMNO mesti bertanggungjawab dengan kekalutan dalam bidang pendidikan yang mereka cipta. Para pemimpin ini sengaja menghantar anak-anak sendiri untuk belajar di luar negara kerana mereka sendiri tidak percaya sangat akan segala perancangan yang mereka cipta dan laksana.

Cuba buat perbandingan dengan pengalaman yang dilalui oleh orang Cina dan India. Mereka terpinggir daripada kemudahan pendidikan utama dan dapat terus hidup atas usaha sendiri. Anak-anak mereka belajar dengan pembiayaan sendiri dan apabila lulus mereka sedar akan pengorbanan itu semua. Majikan terbesar di Malaysia – perkhidmatan awam, angkatan tentera, polis, badan-badan berkanun dan syarikat milik kerajaan – hanya mengambil orang Melayu. Kalau ada pun bukan-Melayu yang diambil, semua itu adalah sebagai penghias dan tangkal sahaja. Kerana itu orang Cina berusaha sendiri dan berjaya mencari jawapannya, untuk mendapat ruang kerja di sektor swasta. Masyarakat India tidak mempunyai nasib yang baik berbanding Melayu kerana nasib mereka ditentukan oleh pemimpin MIC, Dato’ S. Samy Vellu. Beliau hanya berminat membantu mereka kalau mereka sanggup menyerahkan tengkuk untuk taat setia kepada beliau terlebih dahulu dan MIC selepas itu.

Apa yang menakutkan kerajaan BN ialah kebangkitan marhaen di kalangan muda mudi Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak dan lain-lain. Inilah cucu-cicit generasi yang berjaya terus hidup atas usaha sendiri. Gayung emas yang pernah dinikmati oleh datuk moyang mereka dahulu tidak pun sampai ke tangan mereka. Mereka sedar betapa tetuan politik yang ada telah menghampakan kepercayaan mereka dan kerana itu mereka mencari tempat ketenangan dalam ajaran agama. Kecenderungan kepada sifat fundamentalisme dalam keagamaan di Malaysia tidak semestinya tertumpu kepada orang Islam sahaja.

Kecenderungan ini juga wujud dalam agama Buddha, Hindu dan Kristian. Apabila janji-janji politik tidak tertunai, mereka mencari jawapannya daripada agama mereka. Setelah terpaut kepada agama, mereka mendesak jawapan daripada pemimpin BN yang celupar menuduh mereka kerana tidak tahu bersyukur dan mengenang jasa. Para pemimpin ini cuba mewajarkan setiap desakan itu dengan mengeluarkan pelbagai angka statistik yang menunjuk-nunjuk bahawa segalanya dalam keadaan baik belaka, konon. Sebagai contoh, apabila muncul dakwaan wujudnya pengangguran yang tinggi, kerajaan keluarkan angka statistik yang menunjukkan bahawa kadar pengangguran hanyalah setakat 2.5 peratus. Tetapi ini adalah angka daftar kerajaan yang sengaja disisihkan oleh majikan setiap kali mahu mencari pekerja.

Sekarang ini semakin ramai orang Melayu dan umat Islam yang menganggotai PAS. Mereka ini adlaha bekas ahli UMNO ataupun anggota baru. Inilah yang menakutkan UMNO dan BN. Kerana itu UMNO berpaling kepada Islam sebagai wacana politiknya dengan tujuan tunggal untuk menafikan peluang PAS mengambil ahli baru dengan bebas ataupun menggunakan Islam sebagai landasan perjuangannnya. UMNO kecundang dalam usaha baru itu. Untuk menyuntik warna-warna keislaman secara rasminya ke dalam parti, maka dicipta Islam Hadhari. Ini adalah merupakan konsep tamadun Islam zaman dulu, yang kini digembar-gembur sebagai Islam yang tulen. Sedangkan tujuan sebenarnya ialah untuk menonjolkan Abdullah Ahmad Badawi sebagai penyumbang utama dan pemimpin unggulan kebangkitan ajaran ini. Falsafah haprak ini pun terkangkang di tepi longkang atas sebab yang tidak ramai menyedarinya. Sudah diwujudkan kursus khas dengan perbelanjaan yang besar yang memakan masa dua hari untuk semua pihak menyedarinya, tetapi masih belum ada orang yang betul-betul memahaminya. Sekarang ia sudah menjadi satu alat mudah untuk memerangi perjuangan PAS. Apabila UMNO dan PAS menghadapi laluan sukar, ia cuba menyaingi PAS dengan mewujudkan peraturan baru seperti yang dicipta oleh Dr. Abdullah Mohamamd Zin dan diumumkan pada 17 Mei 2005.

Apa pun terjadi, kerajaan terpaksa mempertahankan dasar-dasar keMelayuan dan keagamaan Islam. Ada seorang pensyarah di Universiti Malaya yang ditawarkan jawatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau terpaksa meletakkan jawatan universiti kerana kerajaan enggan memberikan cuti padanya. Apabila timbul kekecohan dalam hal ini, pihak kerajaan dengan lesunya membuat alasan haprak bahawa pensyarah itu tidak diberikan izin kerana universiti masih memerlukan khidmatnya. Inilah padahnya apabila kerajaan dicaci dan dicerca gara-gara wujudnya pegawai yang mudah cemburu buta. Gara-gara dasar rasmi kerajaan yang tidak menentu ini, akhirnya kerajaan BN pimpinan UMNO telah cuba mencipta dasar Islam yang tidak masak pencernaannya. Tidak ada alasan yang munasabah bagaimana kerajaan dapat menerajui satu iklim kehidupan yang disenangi oleh semua lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Semua itu menyorot kepada satu hasil kerja BN yang diciptanya tiga puluh lima tahun dahulu dan bernama Dasar Ekonomi Baru. Orang Melayu sudah menjadi satu bangsa yang tercicir ke belakang, tanpa pengetahuan untuk memahami dunia luas. Inilah persoalan yang tidak ada jawapannya pada BN, selain mewujudkan slogan keIslaman yang tidak mengandungi banyak makna dan mengugut untuk menggunakan kekerasan ke atas rakyatnya.

- MGG Pillai
pillai@streamyx.com
Terjemahan MT-SPAR  - 27.05.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: