![]()
TAG 1817:
Apabila Belia 18 Tahun Membedal BN,
Yang Meraung Ialah Pihak Pembangkang
(An 18-year-old shoots the BN in the foot; the opposition screams in pain)
Oleh: MGG Pillai - 12-05-2005 07:32 am - Laman M@RHAEN
Ada seorang belia bernama Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi. Beliau baru sahaja berusia 18 tahun. Namun dia telah dimangsakan oleh kerajaan BN yang mahu mencuci otak golongan belia negara ini agar terus menyokong kerajaan Barisan Nasional. Pada 10 Mei, mahkamah Majistret Kangar telah menjatuhkan hukuman denda RM600 ataupun dikenakan dua bulan penjara kerana mengelak latihan PKLN, Timbalan Pendakwa Raya telah mendesak agar dia dikenakan hukuman berat sebagai amaran kepada belia lain yang berani memperlekeh arahan mengikuti latihan khidmat negara itu. Pendapatan bulanan keluarga Ahmad Hafizal tidak pun sampai RM600 dan dia menyumbang satu pertiga kepada jumlah itu. Sudah tentu dia tidak mampu membayar denda dan terpaksa dipenjarakan. Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim yang memang terkenal sebagai opportunis yang gemar publisiti murahan serta ghairah mahu memperlekeh PAS di negerinya dan di merata negara, telah membayar denda tersebut. Peguam Negara yang mengizinkan pendakwaan itu, kini membuat janji haprak mahu menyemak hukuman yang dijatuhkan seandainya “kata-kata belia itu memang benar.” Jadi, apa yang dianggap sebagai satu hukuman mithali sudah bertukar menjadi satu hukuman keji.Memang jelas betapa hapraknya kerja-kerja siasatan. Memanglah belia itu sepatutnya menghadirkan dirinya untuk latihan negara. Gara-gara tidak berbuat begitu dia dikira sudah bersalah dan dianggap sebagai seorang penjenayah. Dia telah dipilih untuk dihukum sebagai satu teladan kepada belia lain yang seusia dengannya. Kemiskinan beliau tidak dijadikan rujukan untuk dikecualikan daripada latihan itu. Kalaulah benar apa yang disebut oleh Ghani Patail, si Peguam Negara, bahawa terdapat 4,269 orang lain yang engkar dan mesti dibawa ke medan pengadilan – tentunya secepat mungkin.
Akan tetapi, Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak masih bertegas bahawa si belia itu masih bersalah. Katanya, si belia tadi sepatutnya membuat permohonan dikecualikan daripada menjalani latihan, dan dia sepatutnya menjelaskan masalah peribadinya kepada pihak polis, jika tidak pun kepada si majistret. Kerana tidak berbuat demikian dia terpaksa menanggung bahananya. Undang-undang negara mesti dihormati kata beliau lagi. “Saya ingin maklumkan bahawa undang-undang negara ini tidak memilih bulu. Latihan PKLN adalah satu kemestian dan sesiapa yang dipilih mesti menghadirinya.” Lagi pun, tambah beliau: “Saya yakin kalaulah beliau menceritakan masalah keluarga beliau, sudah tentu Jabatan Perkhidmatan Negara ataupun pihak pendakwa bersimpati terhadapnya.” Si haprak ini mengharapkan seorang belia berusia 18 tahun yang sedang ketakutan mendebatkan kesnya di depan pegawai polis yang tidak menyebelahinya dan para pendakwa yang tidak berhati-perut. Dengan kata lain, setiap belia yang berusia 18 tahun, apabila ditahan harus berlagak laksana para pedagang dan ahli politik yang korup dan berupaya menggunakan satu barisan peguam, ketika dikenakan tuduhan. Kisah ini mengejutkan rakyat marhaen kerana kerajaan sengaja mahu melencungkan perhatian rakyat daripada kisah politik gara-gara undi tipu 2004 dahulu, penyingkiran pendatang tanpa izin Indonesia, kemelut Anwar Ibrahim, perkara urusan bilateral (dua-hala) dengan Singapura, perpecahan dalam UMNO dan gelombang anti-korupsi. Kerajaan berjaya dalam agenda pelencungannya, tetapi kini terhenyak pula gara-gara tipu muslihatnya. Kesan yang lebih berat akan menimpa kerajaan seandainya belia lain yang ponteng tidak dibawa ke mahkamah. Kalau pendirian Najib bahawa undang-undang mesti dibenarkan berkuasa, dan rakyat Malaysia pula mahu mempercayainya, bererti Peguam Negara mesti membawa semua yang ponteng untuk diadili oleh mahkamah. Kerajaan BN yang selama ini berpura-pura mahu menegakkan undang-undang harus bertegas mengenainya. Seandainya kerajaan BN berdolak-dalik dalam perkara ini bererti ia juga yang akan rugi.
Program Latihan Khidmat Negara sebenarnya adalah satu keuntungan besar bagi kerajaan BN. Ia merupakan satu ilham daripada Lee Lam Thye, yang satu ketika dahulu merupakan seorang Ahli Parlimen DAP. Beliau telah berundur daripada politik pembangkang untuk menjadi penjilat kerajaan BN dan menjadi kaya-raya. Beliau telah mencadangkan program latihan khidmat negara termasuk latihan bersenjata. Rakan baik beliau si Timbalan Perdana Menteri bersama-sama isterinya Rosmah Mansur, turut bersetuju. Mereka telah bergegas mahu melaksanakannya. Namun ada satu rahsia besar betapa si isteri tadi dan tentunya Tan Sri Lee mempunyai saham besar dalam pengendalian kerja mendobi pakaian dan apa juga perkhidmatan lain yang disediakan. Para kroni bergabung tenaga untuk menyedut peruntukan sekitar RM800 juta setiap tahun. Kalau diteliti akan nama-nama pembekalnya, sudah tentu akan muncul nama para pemimpin UMNO dan para pembodek mereka. Peruntukan kewangan PKLN sengaja dirahsiakan. Dalam Belanjawan (bajet) terakhir negara, tidak pun disebut peruntukan RM800 juta. Apabila dipersoal dalam Parlimen maka muncul satu jawapan bahawa peruntukan itu ada terselit di satu tempat. Kalaulah ia merupakan belanjawan tahunan negara, kenapakah tidak diperjelaskan kedudukannya. Ia sengaja dirahsiakan kerana kosnya yang sentiasa meningkat tinggi.
Rencana asal adalah mengambil kira latihan bersenjata. Tetapi ini telah diketepikan bukannya kerana ada pihak yang tidak mahu belia kita terlatih menggunakan senjata. Alasan sebenarnya ialah kerana tidak ada tempat yang selamat untuk menyimpan senjata itu. Kalau satu tempat simpanan senjata yang terkawal dalam kem tentera, berdekatan sempadan Thai, boleh dirompak, bagaimanakah nasib tempat simpanan yang tidak ketat kawalannya? Latihan selama tiga bulan memang tidak munasabah. Sepatutnya ia harus memakan masa satu tahun. Sepatutnya latihan itu dikendalikan oleh angkatan tentera kita. Tetapi kalau semacam itu, tentu sekali para penyangak UMNO tidak akan dapat membalun harta karun. Kerana itu para pengajar adalah golongan yang tidak terlatih sangat, dan mereka diberi gaji ala kadar sahaja. Para pelatih diajar untuk mengikut arahan kerajaan BN secara membabi-buta. Sasaran utama ialah belia Melayu, yang kini memang berani menunjukkan kebencian mereka terhadap UMNO. Akan tetapi para pemimpin parti lain pun sedang menghadapi kutukan yang sama daripada golongan ini. Kerana itu program yang dirancang adalah untuk pelbagai kaum. Sasaran yang terselindung, latihan ini ialah untuk mencuci minda para belia agar terus menyokong kerajaan BN secara bulat-bulat. Kesan yang songsang telah berlaku. Kalau benarlah pihak berkuasa betul-betul tegas mahu mewujudkan satu institusi yang tegas, belia yang patut dihukum dulu ialah anak-anak Tan Sri, Dato-dato, dan golongan aristokrat dan ningrat yang sengaja ponteng daripada menghadiri latihan perkhidmatan negara mereka, dan bukannya golongan yang miskin dan papa kedana. Kalaulah anak-anak golongan papa kedana ini menghadiri latihan, bererti keluarga mereka akan mati kebuluran. Inilah yang tidak berani dilakukan oleh kerajaan BN dan Peguam Negara. Ini bererti hukum undang-undang tidak dapat dikuatkuasakan, tidak kiralah apa pendirian Najib dalam hal ini. Rencana PKLN memang sudah bercelaru. Ia akan pupus begitu sahaja seperti banyak lagi rencana kerajaan yang mahu menyuntik semangat nasionalisme di kalangan belia Malaysia.
Sebenarnya Perkhidmatan Negara telah diperkenalkan pada pertama kali dalam tahun 1962. Ketika itu Malaysia menghadapi ancaman konfrontasi daripada Indonesia. Anak-anak muda daripada usia 18 hingga 25 tahun perlu mendaftar. Saya pun berbuat begitu. Tiga puluh tahun kemudiannya, saya telah secara tidak sengaja menjumpai pejabat Perkhidmatan Negara yang dikendalikan oleh segelintir kakitangan yang sibuk menepuk lalat. Baru saya tahu pada usia enam puluhan ini rupanya saya perlu melaporkan diri setiap kali saya perlu pergi ke luar negara! Satu dekad kemudiannya telah diadakan pula Skim Rukun Tetangga yang diilhamkan oleh seorang ahli politik. Skim ini memerlukan penghuni setiap perkampungan meronda kawasan mereka. Ini memang bagus tetapi tidak dapat bertahan lama mengikut peredaran masa.
Akan tetapi sistem itu telah diberikan nafas baru pula. Sudah ada pondok untuk orang ramai berkumpul dan berborak sebelum memulakan rondaan mereka. Kini pejabat Rukun Tetangga di Brickfields, di mana saya tinggal, merupakan satu bangunan yang bernilai ratusan ribu Ringgit untuk menjadi tapak satu sistem yang sudah pupus satu suku abad yang lalu. Sistem itu sudah tidak berguna lagi tetapi kita tahu ada seorang menteri yang dipertanggungjawabkan dengan sistem yang sudah usang ini. Inilah juga nasib PKLN tidak lama lagi. Skim ini sudah menjadi senjata sulit Paklah untuk menghenyak kumpulan Najib. Satu ketika dahulu sesuatu program negara dapat bertahan kerana ketegasan birokrasi tetapi hari ini skim semacam ini dapat bertahan kerana wang semata-mata. Ia ada kaitan dengan cara menyonglap wang rakyat masuk kantung kumpulan pelahap. Memang mudah amalan songlapan ini. BN amat arif dalam hal ini tetapi amat mudah ditimpa kemalangan dalam melaksanakannya.
Pihak pembangkang semacam tidak tahu-menahu dan tidak berupaya untuk menggasak BN. Inilah satu isu politik yang difaraidkan oleh BN kepada kumpulan pembangkang, yang tidak tahu bagaimana menggunakan peluangnya. Mana perginya PAS dan Keadilan semasa kekecohan ini meletup? Bilakah mereka menziarahi keluarga Ahmad Hafizal dan membantah akan penderitaan yang ditanggungnya? BN telah bertindak cepat. Pada malam kelmarin Bernama telah menyiarkan kenyataan ibu Ahmad Hafizal yang mengaku sudah faham kini kenapa anaknya dipenjarakan. Beliau merayu kepada semua belia Malaysia untuk mengambil iktibar akan hukuman yang dijalani oleh anaknya dan tidak ponteng menghadiri panggilan latihan mereka. Inilah satu lagi contoh betapa pihak pembangkang terlepas peluang meraih kemenangan. Kenapakah PAS yang begitu sensitif dalam perkara ini gagal dalam perjuangannya? Tidak ada satu pun isyarat pertolongan daripada Keadilan. Kenapa agaknya? DAP telah membangkitkan kisah perkhidmatan negara secara umum di Parlimen dan tidak ada yang lain lagi disentuhnya. Rakyat Malaysia yang mengharapkan berlaku perubahan yang dapat menggantikan kerajaan BN terasa kecewa dengan gelagat pembangkang yang turut rapuh. Sesungguhnya, kes Ahmad Hafizal telah menghenyak BN dan pembangkang. Tetapi BN ternyata kelihatan unggul dalam hal ini. Pembangkang masih lagi bertahan di satu sudut yang selama ini menjadi tempat seronok mereka dengan penuh kehampaan dan mengecewakan kita semua.
- MGG Pillai
pillai@streamyx.comALAHAI PLKN: Anda ingin berikan pendapat atau komen? Sila klik di sini.
Terjemahan MT-SPAR - 18.05.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)