BERJAYAKAH PAS MEMIMPIN GERAKAN
MEMULIHKAN DEMOKRASI DI MALAYSIA?    - SIRI 2
Oleh SriBunian - Laman M@RHAEN

Assalamu’alaikum wm.wrt.,

Dalam siri pertama saya memperlihatkan scenario politik semasa di negara kita dan siri kedua ini saya akan menjelaskan ‘apakah faktor-faktor yang akan memberi sumbangan dalam menjayakan Gerakan tersebut?

APA PENTINGNYA KEMBALIKAN DEMOKRASI

Amalan demokrasi bersih boleh membentuk konsep pentadbiran [governan] dan bukannya pemerintahan [government] yang boleh diterapkan oleh kerajaan dengan lebih mementingkan pengagihan kuasa dan bukannya pemusatan kuasa. Konsep pentadbiran sempurna pula mempunyai polisi yang berunsur keabsahan [legitimacy], ketelusan [transparency], kebertanggungjawaban [accountability] dan berprinsipkan undang-undang [rule of law]. Suasana undang-undang yang mesra dan toleransi, memberi ganjaran dan subsidi kepada pertubuhan sivil dan NGO dan membenarkan masyarakat sivil mengambil bahagian dalam penggubalan dasar.

UMNO dituntut bersikap telus dengan amalan demokrasi, keluhuran Perlembagaan dan semangat Federalisme. Adakah UMNO mahu kembali mengamalkan ketelusan demokrasi, keluhuran Perlembagaan negara dan semangat Federalisme. Selama ini, hajat rakyat dan parti-parti pembangkang untuk menikmati erti sebenar sebuah sistem demokrasi, melihat keluhuran Perlembagaan Negara atau Perlembagaan Negeri-negeri serta suburnya semangat Federalisme di bumi Malaysia tahun demi tahun semakin dikongkong dan terkongkong di bawah kawalan kuasa 'politik' UMNO terus mencengkam hak-hak rakyat itu.
 
Lihat saja bagaimana peruntukan-peruntukan wajib ke atas negeri-negeri yang dikuasai parti pembangkang di Kelantan, Terengganu [1999-2004] dan dulu di Sabah dilambat-lambatkan. Royalti minyak dipinda, tiba-tiba menjadi 'wang ehsan' apabila Terengganu jatuh ke tangan PAS.  UMNO seperti tukang masak memanaskan kuah basi. UMNO dan para pemimpinnya dituntut supaya berpolitik secara matang, telus dan berpijak pada amalan demokrasi sebenar. Sudahlah dan berhentilah dari amalan-amalan politik yang tidak bersandarkan kepada kematangan, tidak bijak dan lebih banyak berunsurkan sandiwara-sandiwara penglipur lara atau hikayat politik lama.
 
Zaman Malaysia dengan arus politik 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an sudah berlalu. Budaya politik lama yang hendak mereka [UMNO] panaskan semula ibarat 'memanaskan kuah yang basi' itu. Mereka seperti manusia berotak 'mandul', tidak produktif dan tidak aktif lagi untuk berfikir nilai-nilai telus dan kebaikan dalam berpolitik. Pada hal, mereka juga sedar betapa amalan 'lama' politik 60an dan 70an itu tidak lagi relevan dengan suasana budaya politik baru yang sudah mula diterima oleh rakyat Malaysia, budaya dan cara pemikiran politik baru.
 
Dalam abad ke-21 ini, UMNO hendaklah mengamalkan politik semasa yang turut mengubah sikap dan pemikiran rakyat Malaysia. Isu-isu kaum sempit, penyalahgunaan Akta ISA, OSA, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan pelbagai undang-undang berbentuk ‘draconian’, penangkapan dan penahanan para pemimpin pembangkang, menimbul-nimbulkan cerita-cerita lama yang sudah tidak relevan lagi dan mengapi-apikan sentimen kaum secara eksploitasi hendaklah dilupakan. Bukan saja boleh menjejaskan hubungan baik rakyat negara ini, malah UMNO dan cara pemikiran kepimpinan UMNO itu sendiri sudah ketinggalan zaman.
 
UMNO masih mahu dengan pemikiran politik tahun 60an, 70an dan 80an dengan mengapi-apikan isu kaum sempit, penjajah, agen asing, kehebatan UMNO di zaman Tuanku Abd Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn dan kerja-kerja politik adu-domba, fitnah, tuduh-menuduh atau tohmahan terhadap pembangkang secara melampau-lampau kerana memberi advantage kepadanya untuk mengekalkan kuasa, tetapi kesannya amat buruk bagi generasi masa depan. Sampai sekarang kita masih lagi bergelut dengan masalah perkauman dan perpaduan di antara kaum masih lagi diperbincangkan sehingga kini.
 
Cara UMNO dan para pemimpinnya berpolitik hari ini jauh lebih mundur ke belakang dan tidak memberi sumbangan terhadap  cara rakyat berfikir tentang politik Malaysia. Rakyat diasak kiri-kanan setiap detik supaya akur dan menerima apa saja para pemimpin UMNO kata. Saluran kedua ditutup. Rakyat tidak terbuka minda seperti ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO berfikiran jumud dan beku.
 
BERJAYAKAH KITA MENCAPAI HASRAT TERSEBUT?
 
Sebenarnya kita tidak ada banyak kaedah untuk mencapai hasrat mengembalikan demokrasi di dalam negara ini. Kesedaran majoriti rakyat masih rendah. Hanya golongan dari kita sahaja yang sedar akan kebobrokan system amalan demokrasi yang kita amalkan sekarang. Golongan lain hanya melihat dari jauh, mementingkan kehidupan peribadi dan tidak mahu terlibat dalam urusan politik. Bagi golongan ini apa yang menikmati sekarang, sudah memadai. Boleh makan, boleh pakai, boleh berteduh, boleh kahwin, boleh beranak-pinak, suasana aman dan politik stabil, tidak ada kacau-bilau seperti negara luar, ada pekerjaan, sudah cukup. Masa depan negara terletak di tangan orang-orang politik, biarkan mereka uruskan, buat  apa hendak peningkan kepala memikirkan perkara-perkara yang bukan urusan kita. Kalau di negara lain yang mana fikiran rakyatnya lebih bertamadun sudah tentu pilihan raya umum ke-11 yang lalu akan ditentang dan akan mengadakan demonstrasi secara besar-besaran memaksa UMNO mengadakan pilihan raya semula kerana pilihan raya tersebut penuh dengan penipuan dan penyelewengan yang belum pernah terjadi dalam sejarah pilihan raya di negara ini. Amat malang, rakyat Malaysia sungguh baik hati, membiarkan kerajaan ‘haram’ ini wujud memerintah untuk 5 tahun lagi. Itulah sebahagian besar pemikiran rakyat kita.
 
UMNO boleh berbuat apa saja yang mereka mahu. Naikkan tol, tidak ada bantahan, naikkan harga petrol dan diesel, tidak juga ada bantahan, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pun tidak ada bantahan, malah kalau UMNO mahu melelong Malaysia pun saya pasti tidak akan ada bantahan kerana seperti biasa UMNO akan kelentong atas nama demi negara dan bangsa. Rakyat akan patuh. Isu-isu yang melibatkan diri mereka secara langsung pun mereka tidak peduli dan mendapat respons yang sewajarnya, apa lagi untuk mengharapkan respons terhadap isu-isu di luar lingkungan kehidupan mereka. Jauh panggang dari api.
 
Hasrat ini akan tercapai apabila:
 
1. Keadaan ekonomi menjadi semakin buruk. Rakyat tidak ada pekerjaan. Tidak pekerjaan bermakna tidak ada wang. Wang penting untuk membeli keperluan hidup [needs basic], makan-minum, pakaian, perubatan dan sebagainya. Apabila rakyat berada dalam kelaparan dan tidak ada benda untuk dikerjakan untuk mendapat wang, maka ketika itu rakyat akan sedar sebab kena batang hidung sendiri dan sudah tentu mereka akan bangun memberontak menumbangkan kerajaan UMNO yang ada dan mengganti kerajaan yang lain. Hal seumpama ini terjadi di Indonesia pada tahun 1998. Keadaan ekonomi Indonesia yang teruk menyebabkan rakyat hilang pekerjaan dan berada dalam kelaparan sehingga berjaya memaksa Suharto meletakkan jawatan Presiden yang dipegangnya selama 32 tahun. Suasana ini tidak wujud di Malaysia, maka terlalu sukar untuk mengerakkan rakyat menumbangkan UMNO kerana mereka telah berada dalam kedudukan ‘zon selesa’.
 
2. Jurang kaya-miskin bertambah besar akibat daripada korupsi, kroni dan nepotism. Jurang besar akan menimbulkan rasa cemburu dan iri hati di kalangan rakyat yang miskin terhadap golongan kaya yang mendapat layanan istimewa daripada kerajaan. Pembahagian kekayaan negara yang tidak seimbang ini akan menimbulkan penentangan dari rakyat yang miskin secara menyeluruh dan akhirnya kerajaan akan ditumbangkan melalui kebangkitan rakyat.
 
3. Institusi-institusi dan agensi-agensi kerajaan yang menjadi penyokong kuat UMNO sekarang ini hendaklah dipecahkan. Pasukan polis dan angkatan tentera harus diletakkan dalam keadaan atau situasi curiga-mencurigai terhadap gaya UMNO memerintah negara ini. Jangan membiarkan mereka memberi ketaatan membabi buta terhadap sebarang arahan pemimpin UMNO tanpa melalui proses soal-selidik terlebih dahulu, jangan biarkan keadaan seperti apa yang berlaku sekarang pasukan polis mematuhi setiap arahan UMNO secara membabi-buta sehingga sanggup melanggar hak asasi manusia seperti yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang diterbitkan baru-baru ini. Mereka perlu berkhidmat secara professional terhadap rakyat bukan kepada UMNO. Mereka hendaklah lebih prihatin akan kehendak majoriti rakyat, bukan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang korup. Keadaan ini berlaku di Indonesia yang mana pasukan polis dan angkatan tentera berpecah dalam memberi sokongan terhadap kerajaan Suharto. Begitu juga dengan kakitangan awam, Suharto tidak mendapat sokongan solid daripada agensi-agensi terbabit, maka akhirnya beliau terpaksa meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada JB Habibie.
 
4. Wujudnya perpecahan dalaman UMNO sendiri. Perebutan jawatan dalam UMNO merupakan satu budaya yang tidak boleh dibendungkan lagi. Perebutan jawatan, amalan rasuah, mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat, mementingkan diri sendiri dan kelompok tertentu  akan menimbulkan bibit-bibit kebencian, cemburu, iri hati, dendam kesumat dan cubaan menjatuhkan di antara satu sama lain akhirnya membawa UMNO akan menjadi lemah dalamannya memudahkan kita memanipulasikan keadaan supaya UMNO jatuh tersungkur.
 
5. Perteguhkan tali persahabatan dan kerjasama erat di antara parti-parti pembangkang. Satukan matlamat untuk menjatuhkan UMNO dalam pilihan raya bukan melalui jalan raya yang mendatangkan kerugian kedua-dua belah pihak. Perkara kecil jangan dibesar-besarkan. Kerjasama, tolak ansur, permuafakatan, berhemah dan bermoral boleh mempengaruhi fikiran rakyat untuk menyokong kita. Jangan sekali-kali melakukan perkara-perkara negative yang boleh diambil kesempatan oleh UMNO. Selalu berwaspada dan berhati-hati dalam menghadapi politiking UMNO.
 
6. Bawa isu ini di arena antarabangsa. Banyak saluran di peringkat antarabangsa yang boleh digunakan. Dalam soal ini Anwar Ibrahim mempunyai kepakaran. Beliau mempunyai networking di seluruh dunia. Tekanan antarabangsa amat diperlukan bagi mengembalikan hak-hak demokrasi tulen kepada rakyat. Sekiranya kita lemah dari sudut hubungan antarabangsa dan gagal mempengaruhi masyarakat antarabangsa untuk menyokong gagasan kita, maka perjuangan kita untuk menuntut lebih amalan demokrasi dalam negara ini  akan gagal. Kita jangan harap rakyat tempatan akan menyokong gerakan ini. Mereka boleh menutup mata apabila demokrasi dalam pilihan raya ke 11 dilacurkan oleh UMNO.
 
7. Perkasakan segala aktiviti pembangkang, turun padang bertemu rakyat, jangan tinggikan diri, jadikan pemimpin hamba rakyat bukan pemimpin tuan rakyat, hiduplah secara sederhana walaupun duit berjuta, kongsikan pengalaman suka-duka bersama rakyat. Kenali rakyat lebih kita mengenali diri kita, kecuali Allah s.w.t. Bertarunglah dalam pilihan raya ke 12 ini secara anak jantan, jangan biarkan UMNO menipu kita sekali lagi. Membiarkan ular mematuk dua kali di lubang yang sama menggambarkan kita sebagai pemimpin pengecut, penakut dan dayus merelakan segala perbuatan mungkar UMNO terhadap perjuangan kita. Kita ubah UMNO, bukan ubah kerajaan. Kerajaan tetap wujud, walaupun UMNO sudah tiada lagi di dunia ini. Pendekatan kita ialah secara aman dan damai.
 
7 faktor ini pada pandangan saya akan membawa kepada kejayaan Gerakan Mengembalikan Amalan Sihat Demokrasi di Malaysia. Tanpa faktor-faktor yang saya sebutkan itu, Gerakan ini akan menghadapi kegagalan. Bukan kerja mudah untuk memujuk UMNO untuk memulihan amalan demokrasi di negara ini kerana ia dan rakyat sudah berabad lamanya berada dalam kedudukan selesa, mesti ada satu tekanan yang maha hebat untuk UMNO untuk merubahnya. Tekanan itu datang dari mana? Wallah hu alam.

Wassalam.

- Sri Bunian - 26.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)

Berjayakah PAS Memimpin Gerakan Memulihkan Demokrasi Di Malaysia? (Siri 1)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN