BERJAYAKAH PAS MEMIMPIN GERAKAN 
MEMULIHKAN DEMOKRASI DI MALAYSIA?   
- SIRI 1

Oleh SriBunian - Laman M@RHAEN

Assalamu’alaikum wm.wrt.,

Muktamar PAS ke 51 telah selesai, tetapi hasil dari Muktamar tersebut terus diperbincangkan oleh kebanyakan orang politik dan masyarakat awam. Seingat saya PAS tidak pernah mendapat publisiti yang sebegitu meluas sebelum dan selepas Muktamar. PAS mendapat laporan, ulasan, komen dan cadangan dari pelbagai sudut daripada media-media arus perdana dalam negeri dan juga daripada media utama luar negara. Fokus utama perbincangan mereka ialah perubahan kepimpinan dari golongan tua kepada golongan muda [golongan pelapis] yang digelarkan sebagai ‘golongan ulama dan professional’ dan hala tuju PAS untuk menghadapi pilihan raya ke 12 nanti. Saya tidak perlu mengulang tayang ulasan-ulasan tersebut kerana kita sudah sedia maklum mengenainya.
 
Apa yang saya hendak bincangkan di sini ialah “Gerakan Mengembalikan Amalan Demokrasi” di negara ini yang menjadi salah satu elemen penting yang terdapat dalam ucapan dasar Presiden dan diperbincangkan dengan hangat dalam Muktamar itu. Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang selepas mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa selepas Muktamar di Taman Melewar menegaskan sekali lagi bahawa PAS akan mengetuai Gerakan ini bersama-sama dengan rakan dari masyarakat sivil terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan masyarakat umum yang bukan dimiliki kerajaan dan negara, umpamanya pertubuhan sukarelawan, organisasi komuniti, kumpulan berkepentingan, pertubuhan bukan berasaskan keuntungan [non-profit organization] dan pertubuhan bukan kerajaan dan parti-parti pembangkang khususnya Keadilan bagi tujuan yang sama.

Ada baik sekiranya saya menyebut di sini beberapa cadangan PAS untuk mengerakkan pemulihan demokrasi di dalam negara ini seperti berikut:

1. Menerima kehadiran pasukan pemerhati antarabangsa seperti amalan kebanyakan negara;
2. Menerima prosedur mengesan pengundi supaya tidak mengundi berulang kali;
3. Membersihkan daftar pemilih, yang sejak dahulu diragukan kesahihannya.
4. Membebaskan SPR daripada sebarang campur tangan UMNO-BN dengan menjadikan SPR bertanggungjawab langsung kepada Parlimen;
5. Memperuntukkan ‘air-time’ yang saksama antara UMNO-BN dengan parti pembangkang, di samping melarang menggunakan saluran-saluran media tersebut sebagai alat berkempen UMNO-BN;
6. Menentukan sebarang petisyen pilihan raya yang dibawa ke mahkamah diadili secara telus, amanah, bermartabat dan bermaruah; dan
7. Menentukan supaya UMNO-BN tidak menggunakan sewenang-wenangnya jentera kerajaan untuk tujuan menyokong UMNO-BN di saat-saat pilihan raya diadakan.
8. Mengusahakan supaya system pilihan raya diubah kepada system perwakilan berkadar [proportionate representation]

SENARIO POLITIK MASA KINI

Kerap kali saya menulis saya selalu menyebut bahawa kita bertarung atau berlawan dengan orang ‘gila’. Dalam kehidupan orang gila, apa sahaja yang terlintas di fikirannya, ia akan melakukannya hatta sanggup melakukan pembunuhan semata-mata untuk memuaskan kesewelannya itu. Segala tindak tanduknya, dari segi undang-undang, ia tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah kerana ia tidak siuman. Otak sewel. Ia bebas melakukannya tanpa ada halangan. Hanya yang boleh kita lakukan ialah mengelakkan diri dari bertembung dengannya dan melakukan perkara-perkara yang boleh menaikkan api kemarahannya yang boleh memberi kesan buruk kepada diri kita. Itu sahaja cara yang ada.

UMNO juga boleh diumpamakan sebagai sebuah parti yang ‘gila’ yang dipimpin oleh orang-orang ‘gila’. Gila kuasa, gila kedudukan, gila kemewahan berlebih-lebihan dan pelbagai gila-gila lagi. Sanggup melakukan rasuah politik dengan menaburkan wang berjuta-juta untuk memenangi jawatan, dengan jawatan itu, ia akan dapat apa yang ia menghendaki dalam kehidupan dalam dunia ini. Pembohongan, ugutan, ancaman, pilih kasih amalan rasuah, gunakan kuasa untuk kepentingan diri adalah merupakan sebahagian daripada budaya UMNO. Sekiranya UMNO tidak melakukan perkara-perkara negative ini, maka ia bukan UMNO namanya. Kalau UMNO dan para pemimpinnya tidak ‘gila’ dan berfikiran waras, masakan sanggup mereka melakukan pelbagai penyelewengan terhadap amanah yang diberikan. Ia merupakan satu pembohongan dan berdosa besar dalam Islam. Penipu dalam pilihan raya juga merupakan satu dosa juga dan kerajaan yang dibentuk melalui cara ini tidak sah atau haram dari segi hukum. Lebih dari itu mereka juga tidak merasa malu untuk memegang pelbagai jawatan tinggi dalam kerajaan, malah rela menebalkan muka menjadi Yang DiPertua Negeri, sedangakn rakyat tahu bahawa mereka yang terlibat itu sudah didakwa terlibat dengan pelbagai skandal rasuah.

Apa yang menjadi halangan kepada orang lain, UMNO boleh lakukan tanpa ada halangan. Umpamanya orang lain tidak boleh masuk ke IPTA-IPTA, tetapi UMNO boleh melalui kegiatan PUTRI [ sudah dilakukan] dan PUTRA UMNO [akan dilakukan] bagi mempengaruhi pelajar-pelajar supaya cenderung kepada politik UMNO untuk mencari sokongan. Mempengaruhi dan berusaha menguasai Majlis Pelajar seperti mana yang mereka telah laksanakan masa kini.

UMNO boleh dan telah menjalankan pelbagai aktiviti bercorak politik ke dalam kawasan sekolah yang mana pihak lain diharamkan pijak kaki dalam kawasan sekolah. Mesyuarat Agung PIBG di serata ceruk negara menjemput pemimpin-pemimpin UMNO untuk berucap dan melakukan perasmian. Logo UMNO dan pemimpin atau ketua bahagian UMNO akan terpampang besar di pintu masuk IPTA-IPTA, IPTS, sekolah menengah dan rendah, mereka boleh keluar-masuk untuk berpidato di mana-mana universiti dan sekolah . Mereka boleh menyindir, mengherdik, menghina dan kadang kala memfitnah pemimpin-pemimpin PAS dan Keadilan. Berjalanlah di mana-mana di Malaysia ini, bangunan-bangunan kerajaan hatta masjid sekali pun tidak akan terjumpa secalit pun warna hijau, melainkan kebanyakannya biru.

Peruntukan pembangunan yang diberi kepada setiap wakil rakyat untuk membangunkan kawasan masing-masing telah diberikan kepada ketua –ketua bahagian UMNO yang tidak dipilih sebagai wakil rakyat, UMNO menganggap bahawa duit itu, duit UMNO, bukan duit rakyat yang dikutip daripada rakyat yang dikenakan pelbagai cukai. UMNO sanggup memperbodohkan rakyat di mana setiap projek pembangunan akan tertulis perkataan “ Ini satu Lagi Projek Barisan Nasional” seolah-olah duit pembangunan itu datang dari poket UMNO sendiri.

UMNO mempergunakan sepenuhnya kuasa yang ada padanya dengan memperalatkan institusi-institusi kerajaan [pasukan polis, mahkamah, Jabatan Pendaftaran Negara, SPR, jentera-jentera kerajaan dan kakitangan awam] dan juga menguasai seluruh media utama dalam negara ini, sama ada media cetak atau elektronik. Tidak boleh disembunyikan lagi akan sandiwara atau lakonan mereka, bahawa UMNO-BN dan parti-parti yang bernaung di bawahnya, sejak dulu bermuka tebal, muka tembok dan tanpa segan silu telah menjadikan RTM, Kementerian Penerangan, TV3, NTV7 sebagai markas atau pusat kempen bagi UMNO dalam setiap kali ada sesuatu pilihan raya umum atau kecil. Dan begitu juga dengan sikap media cetak arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, News Strait Times dan akhbar-akhbar tempatan lainnya turut menjadi propaganda atau pelapor yang diarah oleh orang-orang politik yang berselindung di balik tabir untuk membantu dan menyokongnya mengekalkan kuasa. UMNO menyalahkan semua orang, dia seorang yang betul dan tidak pernah buat salah. Suci dan bersih bagaikan malaikat yang diturunkan dari langit.

Inilah maksud yang tersirat dalam ‘ konsep parti gila ‘ yang mana orang gila tidak akan mengaku akan dirinya itu gila, sebaliknya ia akan menuduh orang lain gila. Dalam suasana politik orang gila sebegini adalah mustahil UMNO akan meminda peraturan yang selama ini meletakkan mereka di puncak kuasa. Dalam suasana aman dan stabil seperti hari ini, saya yakin PM tidak akan menghadapi apa-apa asakan atau tekanan untuk membuat perubahan yang akhirnya akan memberi kelebihan kepada pembangkang. Kalau Dollah Badawi berdiam diri, "buat bodoh" saja, langsung tidak memberi reaksi kepada tuntutan PAS itu, ia sedikit pun tidak memberi kudis buatnya. UMNO tetap mempertahankan amalan demokrasi yang diamalkan selama ini adalah betul dan tidak perlu ada perubahan apa-apa. Itulah kelebihan yang ada pada orang ‘gila’. Dia yang berpolitik dan mempolitikkan isu, kemudian dia akan melontarkan tuduhan sebegini kepada parti-parti PAS dan Keadilan.

Akan bersambung dalam siri ke-2. InsyaAllah.

Wassalam.

- Sri Bunian - 21.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN