![]()
KUARTERS POLIS:
KRONI UMNOPUTRA KAYA LAGI
Oleh SriBunian - Laman M@RHAEN
Assalamu’alaikum wm.wrt.,Pada hari Isnin, 16.5.2005, Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM telah dijualkan kepada orang ramai. Laporan setebal 634 muka surat dengan 125 cadangan untuk memperbaiki dan meningkatkan kembali imej pasukan polis yang terjatuh menjunam paling teruk dalam sejarah kepolisan di negara ini dan juga di peringkat dunia antarabangsa. Pasukan polis kita kelihatan hebat sebelum peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan dan dari parti UMNO.
Kejadian-kejadian yang berlaku selepas itu menambahkan calar-calar luka di muka pasukan polis kita. Rakyat yang prihatin yang kerap kali mengambil tahu keadaan sekeliling terutamanya dalam hal ehwal politik negara, sudah tentu mereka berpandangan bahawa kebolehpercayaan pasukan polis terhadap menjaga keamanan negara tergugat akibat pasukan polis ini kelihatan memberatkan tugas mereka menjaga survival UMNO, di samping masalah dalaman pasukan itu sendiri seperti gejala rasuah dan ketiadaan disiplin anggotanya sendiri.
Segala aktiviti pembangkang disekat dan diharamkan dan membiarkan serta meningkatkan kerjasama menjaga serta mengawal segala aktiviti UMNO dengan harapan supaya rakyat keturunan Melayu-Islam kembali yakin dan menyokong UMNO yang terhakis teruk dalam pilihan raya pada tahun 1999.
Bagi mencapai maksud tersebut, selepas persaraan Mahathir Mohamad sebagai PM dan Abdullah Ahmad Badawi mengambilalih tugas, maka dibentuk sebuah Suruhanjaya yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaididin Abdullah dan dianggotai oleh ahli-ahli yang dilantik dari pelbagai lapangan kerjaya termasuk bekas Ketua Hakim Negara yang dipecat oleh Mahathir pada tahun 1988 iaitu Tun Salleh Abas sebagai strategi politik yang bijak untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa pasukan polis kita bebas, adil dan tidak memihak. Bertugas secara professional. Kita kembalikan kepada rakyat untuk membuat penilaiannya.
Di antara 125 cadangan tersebut, salah satu daripadanya ialah Projek membina kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menelan belanja RM2.5 bilion.
KENAPA PROJEK INI DISEGERAKAN?
Projek ini adalah “Satu Lagi Projek Barisan Nasional” untuk memperkayakan kroni-kroni UMNOPUTRA. Kalau kita perhatikan secara teliti setiap projek yang telah dan sedang dilaksanakan semuanya dinikmati oleh pemimpin UMNOPUTRA. Sebagai contoh yang saya kenalpasti berlaku ialah Program Latihan Khidmat Negara, semua aktiviti dalam program ini diperolehi oleh pemimpin-pemimpin UMNOPUTRA atau yang berkaitan dengannya dari bekalan makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal [kem] dan sebagainya. Semuanya berlegar-legar di kalangan mereka sahaja, orang luar dari kelompok ini usah harap untuk menikmatinya.
ADUN Kuala Nerang misalnya memperolehi dua projek ini. Satu bertempat di Kulim, Kedah dan satu lagi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Di Kem Perik, Kedah diperolehi oleh kroni-kroni bekas Pengerusi PLKN yang baru meninggal dunia baru-baru ini. Berapakah jumlah kem-kem dan program-program ini sedang dan akan dilaksanakan di seluruh negara dan siapakah yang bertuah mendapat tender untuk melaksanakan program ini? Saya kira saudara pembaca pun dapat menekanya dengan tepat berdasarkan senario yang saya sebutkan secara ringkas seperti di atas.
Kita imbas kembali kepada projek-projek menaiktaraf dan pengindahan sekolah serta pembinaan makmal komputer yang dilaksanakan di seluruh negara pada tahun 2001. Siapakah yang memperolehi projek-projek ini? 5 syarikat utama telah dianugerahkan untuk melaksanakan projek-projek ini yang kemudiannya menghadapi pelbagai masalah. Pelaksanaannya adalah secara sistem payung bagi membantu kontraktor-kontraktor UMNOPUTRA yang tidak ada kerja ketika itu seperti sekarang ini di mana mereka [kontraktor UMNOPUTRA] tidak ada kerja. Syarikat-syarikat terbabit ialah Sri Kembara Corporation, Yayasan Gerak Bakti [Pengerusinya ialah Mohkzani Mahathir], World Worth Sdn. Bhd [wilayah Pantai Timur], Kinta Samudra Sdn. Bhd [wilayah Tengah] dan QSC [Syarikat Ideal Appraisal Sdn. Bhd.- wilayah Utara].
Keseluruhan projek-projek yang dilaksanakan ini menghadapi masalah dan menelan belanja berganda-ganda misalnya harga sebenar projek seribu juta tetapi akan menjadi dua ribu juta Ringgit.
Kini projek seumpama itu juga dilaksanakan, sebanyak 160 projek pembinaan balai dan kediaman PDRM bernilai RM2.5 bilion bagi menampung segera kekurangan kemudahan itu di seluruh negara dengan menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) untuk projek rumah polis sedangkan itu adalah duit rakyat. Projek perumahan itu akan melibatkan 25,000 unit kuarters mengikut konsep bina, sewa dan serah.
SIAPAKAH PEMIMPIN-PEMIMPIN DARI KALANGAN UMNOPUTRA YANG BERTUAH MENDAPAT KONTRAK INI?
Wassalam.
- Sri Bunian - 17.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN