![]()
UMNO:
DULU, KINI DAN SELAMA-LAMANYA TEMBERANG - BAHAGIAN 4 / Akhir
Oleh SriBunian - Laman M@RHAEN
Assalamu’alaikum wm.wrt.,Kewujudan empayar perniagaan dalam UMNO berasaskan kekuatan wang tidak dapat dielakkan lagi. Pelaburan dalam politik dianggap penting untuk mendapat pulangan peribadi dalam persaingan dalam UMNO. Empire perniagaan dalam UMNO selain diguna untuk menyogok dan meraih kesetiaan juga dieksploitasi sepenuhnya untuk membina kekuatan menghadapi penentangan di antara ahli dalam UMNO itu sendiri.
Jalinan politik dan wang dalam UMNO mendarah daging. Bukan sahaja kesannya boleh menentukan survival UMNO di kaca mata rakyat malah survival pemimpin elit UMNO dalam UMNO itu sendiri amat bergantung kepada wang.
Peristiwa pertempuran merebut pucuk kuasa dalam UMNO pada tahun 1987 telah menggegarkan golongan perniagaan elit. Ketika itu siapa yang menang akan memberi kesan kepada kedudukan perniagaan seseorang korporat yang menjalin hubungan dengan pemimpin UMNO yang bertanding.
Oleh itu survival perniagaan bergantung kepada pemimpin mana yang naik atau jatuh, manakala survival politik pula bergantung kepada orang perniagaan mana yang rapat dengan pemimpin UMNO untuk menjamin dokongan kewangan.
UMNO kekal menggunakan pendekatan autokrasi dalam politiknya mengawal pengaruh pembangkang. Cara persempadanan pilihan raya dilakar sebegitu rupa untuk terus memastikan kemenangan BN, manakala kawalan UMNO ke atas media dilakukan melalui penguasaan ke atas organisasi media itu sendiri dengan memperketatkan penapisan maklumat dan undang-undang penerbitan.
Di samping itu, dominasi UMNO ke atas jentera birokrasi dan pentadbiran kerajaan diperkuatkan dan kebergantungan rakyat kepada kerajaan dipastikan berkekalan untuk menjamin kuasa pimpinan UMNO berterusan. Ditambah lagi kuasa kehakiman dan istana juga dibataskan di bawah kawalan UMNO. Dengan itulah semua ini langkah UMNO ini telah mengekalkan hegemoni UMNO untuk berkuasa penuh.
Sebab itu gugatan terhadap kuasa Mahathir pada tahun 1987 bukan berpunca daripada penolakan pengundi terhadap pentadbiran Mahathir, bukan kerana kemerosotan ekonomi atau ketidakpuasan hati rakyat terhadap berkembangnya rasuah dalam era pentadbiran Mahathir tetapi adalah bersumber dari penentangan dari dalam UMNO itu sendiri.
Mereka yang tidak puas hati dari kalangan kelompok kelas menengah yang cuba menjatuhkan Mahathir itulah yang menggerakkan penentangan kepada beliau. Namun akhirnya mereka mengalah kerana wujudnya situasi ekonomi kebergantungan yang terus dikekalkan yang membolehkan Mahathir kembali berkuasa penuh.
Selanjutnya Mahathir kemudian mengatur langkah untuk memastikan tidak berlaku lagi sebarang percubaan untuk mencabar kuasanya dengan menetapkan hanya kepimpinan di peringkat lapisan kedua sahaja yang boleh ditandingi. Dengan membiarkan agar wujud persaingan untuk jawatan lapisan kedua, kedudukan Mahathir terus kukuh dan dia dapat terus mengatur hegemoninya ke atas parti. Perkara seumpama ini diteruskan dalam pimpinan Dollah Badawi. Lihat pertandingan merebut jawatan dalam UMNO pada bulan September tahun 2004 dahulu. Kedudukan Dollah Kekal, walaupun Tengku Razaleigh mencuba menentang Dollah, tetapi beliau hanya mendapat satu pencalonan sahaja. Najib pula terus mendapat sokongan. Manakala lain-lain jawatan pertandingan berlaku sangat sengit sehingga menimbulkan pelbagai cemuhan dari rakyat.
Dengan cara ini pemimpin-pemimpin UMNO terpaksa menjalin hubungan mereka dengan golongan korporat untuk menjamin kecukupan dana jika mereka perlu mencabar kepimpinan tertinggi pada masa akan datang. Sebab itu bekas TPM, Ghafar Baba berkata bahawa UMNO patut dilelong sekarang dan pemilihan pemimpin akan datang hendaklah ditender. Sesiapa yang berjaya menawarkan tender tertinggi, maka dialah diangkat sebagai pemimpin masa depan UMNO dan negara ini.
Meningkatnya bilangan usahawan Melayu yang menjalin hubungan dengan UMNO adalah natijah dari keretakan UMNO menjadi pelbagai kumpulan. Mereka yang mendapat peluang perniagaan yang selesa semakin rapat dengan kepimpinan di barisan kedua dalam UMNO. Dengan yang demikian muncullah pelbagai proksi perniagaan di kalangan pemimpin UMNO atas nama untuk memegang amanah asset UMNO. Perkara inilah yang ditimbulkan oleh Anwar Ibrahim dalam rancangan Hardtalk BBC pada 20.5.05 yang lalu mendakwa Mahathir memegang saham terbesar TV3 bagi pihak UMNO.
Kini semakin sukar untuk menentukan hubungan antara individu korporat dengan perniagaan yang menaja kewangan pemimpin UMNO tertentu. Padahal sebelum ini dalam tahun 1970an dan 1980an agak jelas kedudukan perniagaan itu dengan parti tetapi kini sukar ditentukan kerana proksi-proksi itu tidak secara langsung duduk di bawah parti bila mereka memegang perniagaan tertentu tetapi atas kefahaman itu adalah untuk mendanai UMNO.
Maka nama-nama seperti Wan Azmi Wan Hamzah, Mohd Razali Mohd Rahman, Hassan Abas, Samsuddin Abu Hassan, Halim Saad, Ismail Rashid , Tajudin Ramli, Rashid Hussein, Azman Hashim dan ramai lagi adalah antara contoh orang-orang perniagaan korporat yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin UMNO tetapi mempunyai perniagaan yang dikatakan untuk mewakili UMNO. Adakah mereka ini lahir dari DEB atau proksi UMNO?Walaupun DEB dan dasar Penswastaan telah dapat melahirkan beberapa pengusaha Bumiputra kelas menengah namun ia telah juga mewujudkan suatu sindrom hubungan yang sangat rapat antara politik dan perniagaan. Ini sekali gus telah membudayakan penggunaan kuasa politik untuk mengumpul kekayaan.
DEB dikatakan bertujuan untuk menyusun dan mengagih kekayaan negara namun mereka yang dapat meraih manfaat besar dari DEB ialah mereka yang rapat dengan UMNO yang lebih dikenali sebagai UMNOPUTRA. Orang-orang Melayu di luar golongan ini khususnya di kalangan parti-parti pembangkang tidak akan mendapat sebarang kemudahan perniagaan daripada kerajaan pimpinan UMNO. Sementara kerajaan menggunakan kuasanya untuk mewujudkan keistimewaan khusus dalam DEB untuk membantu kaum bumiputera namun yang benar-benar untung dan mendapat manfaat maksimum ialah golongan elit yang sudah sedia kaya raya.
Hanya segelintir orang yang rapat dengan pimpinan UMNO sahaja yang akhirnya mengaut keuntungan dari DEB. Begitu pantasnya lahir golongan kapitalis bumiputera menunjukkan bagaimana eksploitasi dan salahguna kuasa oleh elit politik telah membuka ruang untuk mereka mengumpul kekayaan dengan mengguna aparatus kerajaan. Dengan yang demikianlah lahirnya jurang kaya-miskin yang luas di antara sesama orang Melayu itu sendiri. Akibat dari penyelewengan dari tujuan asal DEB telah menyebabkan ianya gagal mencapai matlamat yang ditetapkan. Pencapaian tidak sampai 17% ekuiti Bumiputra dalam kek ekonomi negara. Kegagalan DEB telah menjadi isu hangat di Parlimen sehingga menyebabkan Mahathir terpaksa menjawabnya di satu majlis makan malam sebagai meraikannya [sebenarnya majlis kesyukuran untuk Khalil yang diangkat menjadi Yang DiPertua Negeri] di Melaka anjuran Khalil Yaakob yang mana Mahathir melindunginya dari dakwaan rasuah. Mahathir kata kegagalan DEB disebabkan oleh sikap orang Melayu sendiri, bukan kerajaan.
Tahap kekayaan yang dikumpulkan dapat dilihat dengan nilai aset yang dihimpun oleh UMNO. Berbillion Ringgit dipunyai oleh UMNO dalam bentuk saham dalam syarikat yang disenarai dalam Bursa Saham KL. Ini belum dikira aset harta UMNO yang juga mencecah nilai berbillion Ringgit sekarang ini. Dengan mengguna kuota 30% dalam DEB, UMNO telah memastikan penguasaan syarikat dalam BSKL dengan mewajibkan penstrukturan syarikat berdasarkan kehendak DEB. UMNO mengguna peraturan ini untuk memperolehi pegangan dalam syarikat secara paksa dan dengan itu entiti korporat di bawah UMNO bertambah.Terdapat insiden pegangan ekuiti individu disalur semula kepada syarikat di bawah UMNO contohnya Nanyang Press. Ditambah lagi penswastaan yang bertujuan mengurangkan pembabitan kerajaan dalam perniagaan, telah mengakibatkan beberapa urusan kerajaan telah dipindahkan kepada orang perniagaan yang berkait dengan UMNO. Yang demikian penglibatan politik dalam sektor korporat bertambah melalui UMNO.
Begitu juga bagaimana pinjaman bank yang dipermudahkan kepada individu yang rapat dengan UMNO telah memungkinkan pengumpulan kekayaan oleh beberapa orang elit UMNO. Ini pernah dilakukan sehingga kekayaan aset UMNO dikuasai di bawah seorang Menteri, iaitu Daim Zainuddin.
Dengan cara itu pengambilan beberapa syarikat telah berlaku walaupun wujud beberapa masalah seperti yang berlaku kepada Fleet Holdings dan Fleet Group. Apabila berlaku kemerosotan ekonomi dan syarikat tersebut bergelut dengan hutang yang besar, strategi khas terpaksa diguna oleh UMNO. Saham baru dengan kuantiti yang besar diwujudkan ketika syarikat bermasalah diambil alih dan dengan itu dana yang besar juga dijana dari pemegang saham minoriti. Sementara itu UMNO tetap terus menguasai syarikat-syarikat yang mewah ini.
Melalui pewujudan saham secara rambang di bawah syarikat UMNO ini, ia telah memudahkan pengambilalihan syarikat dan dengan serta-merta meningkatkan nilai saham bagi syarikat korporat tertentu seperti Renong Bhd. yang menguasai pasaran yang besar dalam perniagaan negara.
Manakala syarikat seperti Tellic, Gallio, Mediacover, Jaguh Mutiara, Cantuman Bahagia, Sepakat Ganda, Fibroceili Manufacturing, Hanurai dan Pacific Fleet yang dikawal oleh ahli perniagaan yang berhubung rapat dengan politik UMNO telah menggunakan kemudahan pinjaman bank untuk memindah aset korporat antara sesama syarikat.
Maka tidak mengejutkan bila pewujudan unit saham secara besar-besaran dan manipulasi saham syarikat-syarikat yang berkait dengan UMNO dalam Bursa Saham tempatan telah menyebabkan dakwaan wujudnya amalan ‘dagangan dalam’ (insider trading). Antara syarikat yang disiasat ialah UEM, Kinta Kellas dan Time Engineering. Syarikat ini telah mengalami kenaikan nilai saham secara mendadak. Bukan sahaja jumlah dagangan saham syarikat ini meningkat dalam masa yang sangat, malah nilai saham setiap syarikat yang berkenaan juga melonjak di luar jangkaan.
Amalan ini bukan perkara terpencil sebab ianya sedang merebak dengan sangat meluas. Oleh itu pihak berkuasa tidak boleh berbuat banyak. Ia berlaku pada pertengahan dan akhir tahun 1989 dan sekali lagi pada tahun 1993. Pada tahun 1993, kenaikan nilai saham secara mendadak kepada syarikat-syarikat tertentu yang berkait dengan UMNO seperti Idris Hydraulic, Granite dan Renong dalam BSKL adalah berkait dengan pemilihan kepimpinan UMNO pada November 1993.
Begitu jugalah siasatan pernah dilakukan oleh Pendaftar Syarikat ke atas syarikat lain yang berkait dengan UMNO seperti TV3, NSTP, Renong dan MRCB. Peningkatan nilai saham mendadak syarikat-syarikat ini menunjukkan bahawa usaha telah dibuat untuk menjana dana bagi membiaya kempen politik dalam UMNO dan untuk pilihan raya umum.
Kegiatan ‘dagangan dalam’ yang berlaku dalam syarikat-syarikat yang berkait dengan dan di bawah kawalan UMNO ternyata dilakukan bukan untuk pelaburan tempatan yang produktif tetapi untuk mengembangkan kepentingan politik peribadi.
Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa cara perniagaan mengumpul kekayaan oleh golongan kapitalis UMNO ini adalah melibatkan saham spekulatif dan penipuan untuk mendapat keuntungan yang pantas.
UMNO telah mencampur-adukkan politik dan perniagaan. Kemudahan yang diperolehi dari kerajaan telah disalahguna oleh UMNO dan ia telah membawa kesan negatif kepada ekonomi tempatan. Dengan yang demikian perkembangan korporat di negara ini bukan sekadar untuk mengaut keuntungan maksimum tetapi juga untuk menjamin masa depan perniagaan berdasarkan arah dan bentuk perubahan politik semasa.
Ertinya masa depan perniagaan lebih berkait dengan jalinan hubungan dengan tokoh politik yang berpengaruh, bukan soal pengurusan yang cekap atau efisien kerana politik UMNO tidak mengambil endah persoalan professionalism dan efisiensi korporat. Yang diberi perhatian ialah segala kemajuan sektor korporat perlu bergantung kepada perkembangan politik semasa dalam UMNO.
Walaupun UMNO telah menjaminkan penguasaannya ke atas sektor korporat, namun dalam hal bagaimana parti itu dibiaya oleh korporat-korporat ini, ia masih kabur. Sementara terdapat insiden kehilangan saham seperti kes UEM dan pemimpin UMNO sendiri mengakui bahawa UMNO terlibat dengan perniagaan untuk membiayai kegiatan parti dan bertujuan untuk berdikari, akan tetapi tidak jelas apakah wang yang terkumpul benar-benar dipindahkan kepada tabung parti. Di sinilah proksi dan nomini perniagaan UMNO diguna sepenuhnya.
Dalam pilihan raya umum 1990, UMNO mempunyai sekurang-kurangnya RM 1 billion untuk dibelanja dalam kempen dan kira-kira antara RM300 juta hingga RM 1.5 billion untuk menang dalam pilihan raya (FEER 5/7/90). Sememangnya dalam penelitian yang dijalankan hampir semuanya merumuskan bahawa wang adalah faktor paling penting bagi BN untuk menang. Kemungkinan besar wang yang diperolehi bukan dari syarikat-syarikat milik penuh UMNO tetapi dari syarikat-syarikat besar yang lain. Kebanyakan entiti syarikat-syarikat ini berharap untuk mendapat manfaat dari peluang-peluang yang dikawal oleh syarikat-syarikat UMNO, terutama bila UMNO semakin memonopoli sektor tertentu dalam ekonomi negara.
Penglibatan UMNO dalam perniagaan dan berkembangnya Bumiputera kapitalis yang baru melalui bantuan polisi-polisi kerajaan dan wujudnya sistem bergantung kepada orang atasan (patronage), membawa banyak implikasi. Kelompok kapitalis Bumiputera baru ini yang telah berkembang dengan kekuatan dan pengaruh mereka sendiri kebelakangan ini mungkin boleh menjadi tapak kuasa yang besar. Trend ini mungkin juga dikhuatiri oleh pemimpin UMNO kerana ia boleh mencabar parti. Sebenarnya ini juga adalah strategi UMNO untuk terus menguasai kerajaan. Dengan cara UMNO mengawal perniagaan diharapkan pakatan menggunakan korporat untuk mencabar UMNO dapat dielakkan.
Jika disemak bagaimana aset korporat UMNO berkembang dan bagaimana segelintir kapitalis Bumiputera yang rapat dengan UMNO juga menonjol, menunjukkan bahawa ada kemungkinan besar ekonomi Malaysia akan dikuasai oleh sebilangan kecil perniagaan korporat.
Oleh itu, walaupun UMNO mungkin hilang kuasa, pengaruhnya ke atas polisi nasional akan terus besar kerana dalam sistem ekonomi kapitalis, ekonomi ditentukan oleh hanya segelintir pelabur-pelabur swasta. Dengan yang demikian peranan mereka sebagai pelabur dan korporat yang rapat dengan politik boleh menahan pelaburan mereka dan ini boleh menjejaskan politik negara. Strategi yang sama juga telah diguna oleh ahli perniagaan elit Cina untuk mengaut manfaat selepas pelaksanaan DEB.
Oleh kerana sebahagian aset penting UMNO adalah di luar parti, walaupun berlaku perubahan kepimpinan dalam UMNO, ia tetap berada di tangan satu faksi parti, apatah lagi faksi ini tidak lagi berada di bawah akauntabiliti ahli parti bila berkaitan dengan aset korporat UMNO.
Sementara ini menunjukkan wujudnya pemusatan kuasa dalam UMNO, ia boleh menimbulkan masalah dalam parti itu sendiri dalam hal pengendalian aset parti. Ini tidak secocok dengan sistem kapitalisme Malaysia, perjuangan untuk mengekalkan aset korporat UMNO yang besar mungkin tidak baik kerana ia akan menghilangkan keyakinan kepada kestabilan ekonomi Malaysia.
Kewujudan faksi-faksi dalam parti dengan perniagaan masing-masing juga tidak sihat untuk ekonomi kerana faksi-faksi tersebut bekerja dalam arena ekonomi dan politik untuk mengagih-agihkan pendapatan sesama mereka bukan untuk meningkatkan efisiensi dan pendapatan negara. Ini mungkin dengan terjejasnya saluran sumber secara efisien, membantutkan ekonomi, menghalang pembangunan teknologi yang produktif dan tidak memberi insentif kepada perkembangan keusahawanan. Penglibatan yang berterusan politik dalam bisnes yang menjadi darah-daging UMNO juga menambahkan lagi masalah yang sedia ada iaitu berkembangnya pelaburan spekulatif, rasuah yang berleluasa dan pengurusan yang menyeleweng dan tidak efisien.
Sebagai kesimpulannya, apa yang tulis oleh YB Dr. Mohd Azam Rauzan itu, ADUN Penawar itu adalah satu pembohongan semata-mata. Beliau cuba mengalih pandangan rakyat menggambarkan bahawa UMNO adalah lambang kekuatan Melayu. Apa yang sebenarnya terjadi adalah sebaliknya. UMNO mulai mereput. Tunggu masa untuk tumbang. Akar tunjangnya mulai dimakan anai-anai. Selama mana UMNO dapat bertahan, bergantung kepada kesedaran rakyat dan sepandai mana UMNO menyembunyikan wajahnya yang hodoh dan lagi busuk itu.
Sekian, terima kasih. Wassalam.
Wassalam.
- Sri Bunian - 25.05.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)