UMNO:
DULU, KINI DAN SELAMA-LAMANYA TEMBERANG - BAHAGIAN 3
Oleh SriBunian - Laman M@RHAEN

Assalamu’alaikum wm.wrt.,

Gambaran yang diberi oleh YB Dr. Mohd. Azam Rauzan, ADUN Penawar itu jauh terpesong dari hakikat yang sebenar. UMNO mengalami krisis dalaman dan dilemma yang paling teruk berbandingkan ketika ia ditubuhkan pada tahun 1946, ketika ia melalui zaman susah di permulaan tahun-tahun kemerdekaan yang serba kekurangan, era pemerintahan tiga Perdana Menteri yang berpandangan jauh untuk kepentingan bangsa Melayu bagi masa depan. Pada ketika itu para pemimpinnya berjuang untuk rakyat, amanah, jujur dan ikhlas, bukan untuk mengisi perut masing-masing. Tidak ada pemimpin yang rasuah, pecah amanah, menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa yang diberikan oleh rakyat seperti mana yang wujud sekarang ini. Tidak ada perebutan jawatan untuk kepentingan peribadi. 99 untuk rakyat, hanya 1 untuk pemimpin. Sekarang telah bertukar menjadi 99 untuk pemimpin dan 1 untuk rakyat. Terbalik kuang.

Rakyat menjadi hamba abdi kepada pemimpin, dulu pemimpin menjadi hamba kepada rakyat. Pemimpin-pemimpin UMNO kini hidup penuh dengan kemewahan wang Ringgit, pernah pada tahun 1993, Mohamad Mohd. Taib, ketika itu MB Selangor ditangkap di Australia membawa wang cash bernilai berjuta Ringgit dalam begnya. Rakyat dibiarkan terkial-kial mencari rezeki, dibiarkan terus berada dalam kemiskinan. Bukan tidak ada program membantu golongan ini, tetapi setiap program yang dilaksanakan menemui kegagalan. Sebab apa? Sebab pelaksanaannya tidak ikhlas dan jujur. Mereka yang terlibat dalam program ini mengambil peluang untuk membuat keuntungan peribadi, anak-beranak dan kroni-kroni masing-masing.

Contohnya program IKS untuk membantu peniaga-peniaga kecil, mereka juga mengambil kesempatan sehinggakan peniaga-peniaga ini terpaksa berhutang daripada ‘along’ atau ‘ceti’ yang menekan dengan kadar bunga yang tinggi, sedangkan mereka mendapat pinjaman dengan mudah tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan seperti apa yang berlaku terhadap Bank Bumiputra Berhad dan Sime Bank* sehingga bankrap dan kerajaan dengan murah hati mengambil alih hutang-hutang lapuk itu. Begitu juga dengan program PPRT, Menterinya sendiri Annuar Musa kebas peruntukan untuk dirinya. Program Amanah Ikhtiar juga mengalami nasib yang sama. Malah duit sumbangan mangsa tsunami pun mereka memfaraidkan di antara mereka juga. Macam mana nasib rakyat yang betul-betul miskin hendak berubah.

Isu ketuanan Melayu semakin menghilang di bawah pemerintahan 22 tahun Mahathir. Kuasa Raja-raja Melayu yang menjadi ‘payung’ kepada rakyat untuk berlindung telah dihapuskan melalui pindaan Perlembagaan pada tahun 1983 dan pada tahun 1993. Sekarang Raja-raja Melayu tidak ada kuasa lagi untuk mempertahankan kepentingan bangsa Melayu. Raja-raja kini hanya bergusi, taring sudah dicabut. Orang-orang politik khususnya PM yang menjadi Ketua Eksekutif di negara ini mempunyai kuasa mutlak yang tidak boleh dicabar di mana-mana institusi kerana institusi-institusi ini berada di bawah kawalannya secara langsung. Tidak makan saman. Raja-raja sendiri dan juga rakyat terpaksa akur terhadap apa sahaja yang hendak dilaksanakan oleh UMNO yang menjadi tulang belakang pemerintahan di negara ini. Tidak boleh dibangkang. Amat malang dalam situasi ini Sultan Pahang ketika di ambang pilihan raya umum yang lalu menyeru rakyat memberi sokongan kepada UMNO. Baginda telah menyakitkan hati sebahagian rakyat di negara ini, sepatutnya baginda tidak mencampuri urusan politik. UMNO telah memusnahkan institusi Raja-raja Melayu ini.

Isu Bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh pakar-pakar bahasa dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an semakin merosot penggunaannya dalam sistem pendidikan negara. Pengajaran Sains dan Matematik serta pelajaran yang bercorak teknologi di institusi-institusi pengajian tinggi diajar dalam Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris telah mengambil tempat menjadi bahasa pengantar dalam mana-mana majlis yang dianjurkan oleh kerajaan, apatah lagi bagi pihak swasta semakin galak menggunakan Bahasa Inggeris dalam urusan harian mereka. Bahasa Inggeris kembali menjadi bahasa komunikasi utama sekarang ini. Bahasa Melayu semakin dipinggirkan dalam mengejar kemajuan.

Kuota pengajian di IPTA-IPTA telah dimansuhkan dan digantikan dengan sistem meritokrasi. Ini menjadikan pelajar-pelajar Melayu akan berkurangan terutama dalam bidang Sains dan Teknologi. Asrama penuh dan MRSM yang mana sebelum ini dipenuhi dengan anak-anak orang Melayu yang cemerlang, telah diisi 10% dengan anak-anak orang bukan-Melayu. Pemberian biasiswa telah diberhentikan dan diganti dengan pinjaman yang akan menjadi satu bebanan kepada pelajar-pelajar yang terlibat apabila mereka tamat belajar nanti. Miskin terus miskin, bertambah pula peluang-peluang pekerjaan sekarang ini semakin tertutup.

Tanah-tanah milik orang Melayu telah dijual dan dimajukan oleh taikun-taikun bukan-Melayu yang rapat dengan pemerintah. Tanah rizab Melayu semakin terhakis, walaupun di dalam Perlembagaan ada menyebut bahawa tanah yang diambil tujuan pembangunan hendaklah diganti. Ini tidak dilakukan oleh UMNO yang menjadi kerajaan memerintah. UMNO masih lagi memimpin, tetapi sejauh mana harapan rakyat Melayu untuk terus bergantung kepada UMNO sebagai wadah memperjuangkan ketuanan Melayu belum dapat dipastikan. UMNO kini semakin jauh dari rakyat. Pemimpin elit tidak lagi dipotretkan sebagai kepimpinan yang memperjuangkan rakyat malah hanya dilihat sebagai tuan rakyat.

Kepimpinan UMNO sekarang ini melihat semua yang lain bersalah kecuali UMNO. Rakyat dipersalahkan kerana mudah lupa, PAS dipersalahkan kerana ideologi Islam yang tidak progresif, Keadilan dengan isu Reformasinya yang dikatakan ‘ganas’ dan DAP dengan sikap Malaysia Malaysiannya. Apa yang salah bagi UMNO adalah bangkangan. Apa sahaja yang membangkang terhadap usaha yang dikatakan murni oleh UMNO semuanya dikatakan salah. Pemimpin ini tidak mengerti bahawa cermin juga mampu menipu kita, yang kiri rupanya kanan.

Sekian akan disambung ke bahagian ke-4. InsyaAllah.

Wassalam.

- Sri Bunian - 23.05.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)

Ralat: (*) : Sime Bank (bukan Guthrie Bank seperti yang disiarkan sebelum ini. Terima kasih atas makluman pembaca.)


Hantar artikel ini kpd sahabat: