UMNO:
DULU, KINI DAN SELAMA-LAMANYA TEMBERANG - BAHAGIAN 2
Oleh SriBunian - Laman M@RHAEN

Assalamu’alaikum wm.wrt.,

Jika sesiapa hendak mengenali bagaimana sebuah parti politik sangat dipengaruhi oleh politik wang, jawapannya ialah UMNO. UMNO jelas merupakan parti yang tidak lagi boleh dipisahkan dengan politik wang malah wang menjadi faktor paling utama untuk membina tapak kuasa politik (political power base) bagi seseorang yang mahu naik dalam hierarki kedudukan UMNO.

Dengan membarahnya politik wang, retak dan pecah dalam UMNO kepada beberapa fraksi sudah menjadi darah daging UMNO sehingga hampir mustahil dapat dipulih lagi. Puncanya amat jelas. Sejak tumpuan kuasa berpusat kepada Presiden parti sejak awal 1980-an, politik wang membarah dan berkembang dengan pesat.

Pada ketika itu juga UMNO dijangkiti dengan politik wang bila semakin ramai golongan kelas menengah Melayu menyertai UMNO. Golongan ini menyertai UMNO dalam alam lingkungan UMNO yang sarat dengan politik wang. Apabila wang menjadi faktor untuk mendapat peluang untuk naik, persaingan antara kumpulan tidak dapat dielakkan lagi.

Ditambah dengan cita-cita politik yang semakin bernafsu di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang sedang rancak, maka segala nilai budaya Melayu terus disingkir. Paling-paling isu nilai Melayu hanya sekadar menjadi ungkapan bibir dan pemanis kata semata-mata di kalangan pemimpin UMNO.

Kepimpinan UMNO yang semuanya menjalinkan hubungan rapat dengan ahli korporat yang mempunyai sumber wang yang kukuh telah melahirkan fenomena budaya menyandar kepada orang atasan (patronage) dalam kegiatan mengukuhkan kedudukan diri dalam UMNO.

Apa yang penting dijaga dalam perebutan kuasa dalam UMNO bukan sangat hubungan horizontal dengan rakyat dan ahli, tetapi yang paling genting ialah hubungan vertikal dengan golongan penyalur sumber kewangan.
 
Setiap kelompok yang bersaing dalam UMNO mempunyai saluran penyumbang kewangan masing-masing bukan sekadar untuk menyara kegiatan politik peribadinya malah untuk menyara calon politik proksinya untuk memastikan sokongan yang merata dalam parti untuk dirinya.

Bagi mereka yang tidak mempunyai sandaran politik yang kuat terpaksa akhirnya menyertai kumpulan yang lebih kuat. Walhasil ia menambahkan lagi kekuatan kumpulan yang mantap kedudukan sumber wangnya. Dengan yang demikian terbentuklah jaringan yang bersilang saing antara pemimpin-pemimpin UMNO sehingga wujud “budaya politik rimba” amat ketara dalam UMNO iaitu siapa kuat [mempunyai sumber wang yang jenuh] akan dapat, siapa lemah pasti punah.

Hakikat ini ditunjukkan dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO pada bulan September tahun lepas. Kekalutan dan ribut dalam Perhimpunan Agung UMNO itu dengan kekotoran politik wang dalam semua peringkat pemilihan sama ada pemilihan Naib-Naib Presiden, ahli Majlis Tertinggi dan lain-lain jawatan dalam UMNO. Fenomena haru-biru ini adalah manifestasi dan bukti yang kukuh lagi jelas bahawa rasuah politik ini sudah berakar umbi yang sudah tidak dapat dibersihkan lagi. Kewujudan Jawatankuasa disiplin dan agen-agen perisik UMNO yang konon ditubuhkan untuk memantau politik wang dalam pemilihan tersebut tidak mampu untuk meratakan walaupun sedikit hamparan sebuah gunung politik wang yang semakin kukuh dan semakin sarat dalam badan, gerak dan nafas UMNO. UMNO tidak boleh diharap lagi untuk membela bangsa, agama dan negara konon untuk gemilang, cemerlang dan terbilang. Rakyat tidak lagi boleh ditemberangkan.
 
Pada 31.8.2004, Setiausaha Eksekutif Umno sendiri, Brig. Jen. (B) Husainy Hashim mengakui yang rasuah berleluasa di dalam Umno, malah kata beliau amalan itu telah bertukar menjadi seperti sebuah sindiket. Sindiket ini menawarkan sebanyak 80 undi untuk calon yang bertanding di dalam pemilihan tersebut dan sebagai balasannya calon hendaklah membayar sebanyak RM 50,000 secara tunai. Kata Husainy lagi memandangkan terdapat 2,500 delegasi pada perhimpunan tersebut, maka untuk mendapat undian terbanyak bermakna seorang calon terpaksa membelanjakan lebih dari RM1.5 juta. Untuk sekadar mendapat tempat dengan undian yang paling minimum sekali pun mereka terpaksa mengeluarkan sekurang-kurangnya RM 1 juta.
 
Husainy [Berita Harian, 22.2.2005] juga turut mendedahkan terdapat perbuatan 'kreatif' segelintir ahli dan pemimpin UMNO yang bertindak memindahkan nama ahli di cawangan atau bahagian ke cawangan atau bahagian yang lain tanpa pengetahuan ahli terbabit, dibuang dari senarai ahli, enggan menerima yuran tahunan ahli yang bertujuan tidak melayakkan seseorang ahli itu menghadiri mesyuarat dan mengundi dan pelbagai taktik lagi untuk mempertahankan kedudukan masing-masing. Taktik inilah diaplikasikan dalam pilihan raya umum ke-11 yang lalu yang menyebabkan pilihan raya tersebut menjadi kelam-kabut, caca-marba dan penuh penipuan serta penyelewengan yang dibantu oleh SPR, JPN, Pasukan Polis dan lain-lain instrument kerajaan yang tidak pernah berlaku [berlaku juga tetapi tidak begitu ketara sangat] dalam 10 pilihan raya umum terdahulu. Masih ingat lagikah isu Puteri UMNO yang menyeludup masuk ke dalam SPR bekerja sebagai kerani sambilan. Mereka inilah ditugaskan menjalankan tugas UMNO memadam, memindah, menghilang dan mewujudkan pengundi hantu seperti mana yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk mengekalkan kuasa seperti yang didedahkan oleh Husainy itu.

Berdasarkan laporan akhbar-akhbar harian antara 3 hingga 5 November 2004 mendapati telah berlaku apa yang dinamakan politik wang sepanjang pemilihan UMNO. Keputusan Lembaga Disiplin Umno yang mendapati 50 orang pemimpin Umno bahagian bersalah melakukan politik wang adalah satu bukti yang kukuh bahawa wujudnya rasuah dan salah guna kedudukan oleh pemimpin-pemimpin Umno.

AMALAN RASUAH DI KALANGAN PEMIMPIN UMNO YANG BERJAWATAN DALAM KERAJAAN:

Sepanjang pemilihan UMNO tahun 2004 yang lalu, terdapat beberapa individu yang mempunyai jawatan dalam pentadbiran awam telah didapati mengamalkan rasuah oleh Lembaga Disiplin Umno. Ada di antara pemimpin UMNO yang terlibat ini merupakan Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Antara mereka yang terbabit ialah:

i. Datuk Wira Amid Nordin [Exco Kerajaan Melaka]
ii. Datuk Astaman Abdul Aziz [Ahli Parlimen Titiwangsa]
iii. Sulaiman Taha [ADUN Tenang, Johor]
iv. Datuk Dr. Mahadzir Mohd. Khir [Ahli Parlimen Sungai Petani]
 
AMALAN RASUAH DI KALANGAN PEMIMPIN UMNO YANG BERGELAR DATUK:

Selain pemimpin-pemimpin UMNO yang berjawatan dalam pentadbiran awam, sebahagian daripada mereka yang didapati bersalah mengamalkan rasuah ini adalah di kalangan mereka yang pernah dianugerahkan pingat kebesaran kerajaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang DiPertua Negeri. Sebahagian daripada mereka telah bergelar ‘Datuk’. Antara mereka yang terlibat ialah:

i. Datuk Wira Amid Nordin [Melaka]
ii. Datuk Astaman Abdul Aziz [Wilayah Persekutuan]
iii. Datuk Abdul Rashid Ismail [Pulau Pinang]
iv. Datuk Ismail Mamat [Kelantan]
v. Datuk Tengku Zainuddin Tengku Zahid [Terengganu]
vi. Datuk Zaid Ibrahim [Ahli Parlimen Kota Bharu, Kelantan]
vii. Datuk Syed Ali Alhabshee [Setiausaha badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan]
viii. Datuk Zahidi Zainul Abidin [ Ketua Bahagian Padang Besar, Perlis]
ix. Datuk Amir Salleh [Ketua Bahagian Bandar Tun Razak]

KES-KES RASUAH MELIBATKAN PEMIMPIN UMNO:

i. Skandal pembalakan di Pahang yang melibatkan Khalil Yaakob yang kini sebagai Yang DiPertua Negeri Melaka dan MB Pahang sendiri, Adnan Yaakob.

ii. Hutang UMNO/BN berjumlah RM100 juta daripada Syarikat Elegant Advisory membekalkan peralatan kempen pilihan raya ke-11.

iii. Dollah Badawi didakwa oleh United States-formed Iraq Survey Group mengambil peluang dalam program OIL-FOR-FOOD SCAM yang bernilai US$1.7 juta. Dalam transaction itu Dollah untung sebanyak US$1.3 juta, tetapi Dollah menafikannya, tidak ada penyiasatan dilakukan seterusnya. Kes senyap begitu sahaja. Bagaimana pula kes SCOMI yang melibatkan anaknya Kamaludin.

iv. Bagaimana pula dengan kedudukan kes Rafidah Aziz, Rahim Tamby Chik, Eric Chia, Kasitah Gaddam, S. Samy Vellu, Dr. Ling Liong Sik dan Khir Toyo dan kes rasuah yang melibatkan 18 orang yang berprofil tinggi seperti yang diperkatakan oleh Rais Yatim itu.

APAKAH INI LAMBANG BAHAWA UMNO TETAP MENJADI KEKUATAN BANGSA MELAYU SEPERTI YANG DIHUJAHKAN OLEH YB DR. MOHD AZAM RAUZAN, ADUN PENAWAR ITU?
 
Akan bersambung Bahagian ke-3. InsyaAllah.

Wassalam.

- Sri Bunian - 22.05.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: