UMNO: 
DULU, KINI DAN SELAMA-LAMANYA TEMBERANG - BAHAGIAN 1

Oleh SriBunian - Laman M@RHAEN

Assalamu’alaikum wm.wrt.,

Minggu kedua bulan Mei 2005, mencetuskan dua peristiwa penting yang mengundang perbincangan awam. Peristiwa pertama ialah mengenai seorang remaja, Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, menjadi remaja pertama di negara ini yang dihukum oleh mahkamah kerana gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Julai 2004. Beliau yang tinggal di Kampung Titi Serong, Jalan Kuala Perlis dijatuhi hukuman denda RM600 atau 14 hari penjara oleh Mahkamah Majistret, Kangar, Perlis pada 10 Mei 2005. Ahmad Hafizal, yang tidak diwakili peguam dan tanpa ditemani keluarga, dituduh mengikut Seksyen 18(1) Akta Khidmat Negara 2003 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali. Dia didakwa dengan sengaja mengingkari notis bertarikh 9 Julai 2004 yang memintanya melaporkan diri di Kem Dusun Resort, Kuala Nerang, Kedah, pada 25 Julai 2004, tetapi beliau tidak berbuat demikian.
 
Paling menarik dalam kes ini ialah kenyataan penghukuman yang dibuat oleh Majistret Wan Norazuar Wan Ahmad dengan penuh bangga beliau berkata:

“Walaupun datang daripada keluarga miskin, kamu tidak seharusnya membelakangkan arahan kerajaan yang mewajibkan setiap remaja lepasan sekolah menjalani PLKN. Kerajaan membelanjakan wang yang besar untuk menyediakan PLKN bertujuan membentuk sahsiah dan menanam semangat patriotik di kalangan generasi muda. Saya berharap hukuman ini menjadi pengajaran kepada remaja lain supaya tidak memandang ringan arahan kerajaan apabila diminta menghadiri PLKN".
Saya tidak berhajat untuk mengulas panjang berkaitan peristiwa ini kerana ia sudah puas diperbincangkan oleh masyarakat awam, media dan sehingga sampai ke peringkat para menteri. Rata-rata masyarakat Malaysia tidak bersetuju dengan hukuman ini sehinggakan Peguam Negara bertindak membuat rayuan di Mahkamah Tinggi untuk mengurangkan hukuman tersebut. Apa yang kita harapkan dan berdoa kepada Allah s.w.t. semoga majistret ini dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan dinaikkan pangkat sehingga berjaya menjawat jawatan Ketua Hakim Negara di suatu masa nanti dan kita berharap juga nanti system kehakiman negara ini mendapat pengiktirafan dan kehormatan dunia serta menjadi rujukan masyarakat antarabangsa.

Apa yang hendak saya bincangkan di sini ialah peristiwa kedua yang berlaku iaitu peristiwa sambutan ulang tahun kelahiran UMNO yang ke 59 pada 11 Mei 2005. Sebagaimana biasa, dua akhbar utama berbahasa Melayu, Berita Harian dan Utusan Melayu telah menyiarkan rencana-rencana berkaitan dengan perjuangan UMNO. Saya tertarik dengan dua rencana yang ditulis oleh seorang YB Dr. Mohd Azam Rauzan, ADUN Penawar, Johor yang bertajuk: “UMNO KEKAL LAMBANG KEKUATAN BANGSA MELAYU“ yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 11.5.2005. Dan satu lagi rencana yang ditulis oleh Zin Mahmud seorang wartawan Utusan yang bertajuk “ERTI PENUBUHAN UMNO” yang disiarkan dalam akhbar yang sama yang memuja dan memuji peranan yang dimainkan oleh UMNO dan menafikan terus peranan pihak lain yang sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan dari British.

UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 selepas 8 bulan Sir Harold Mac Michael yang membawa gagasan Malayan Union bertujuan menghapuskan kuasa-kuasa Raja dan menjadikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan British. Zin Mahmod menafikan peranan yang dimainkan parti-parti dan pertubuhan yang lain yang ditubuhkan lebih awal dari UMNO yang ditubuhkan dengan restu kerajaan British.

Kita ambil contoh bukan sedikit sumbangan yang diberikan oleh Kesatuan Melayu Singapura [ditubuhkan pada 1926 oleh Eunos Abdullah], Kesatuan Melayu Selangor [ditubuhkan pada 1938 oleh Tengku Ismail Tengku Mohd. Yassin], Persatuan Melayu Perak [ditubuhkan pada 1937 oleh Wan Mohd. Noor Wan Nasir], Kesatuan Melayu Muda [ditubuhkan 1938 dipimpin oleh Ibrahim Yaakob], Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang diketuai oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy bersama-sama dengan Ishak Hj. Mohamad, Angkatan Pemuda Insaf yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam, PUTERA, Parti Malaya Merdeka dan lain-lain lagi yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan tulen. Kenapa peranan pertubuhan-pertubuhan ini dan mereka yang terlibat tidak diberi pengiktirafan. Dasar penulis “upahan” yang sanggup membohongi dan temberangkan fakta-fakta yang benar demi kepentingan peribadi.

Untuk penulisan ini, saya akan hanya mengulas tulisan YB Dr. Mohd. Azam Rauzan sahaja. Adakah benar UMNO kekal sebagai lambang kekuatan bangsa Melayu? Untuk lebih jelas kepada para pembaca, saya perturunkan kata-katanya seperti berikut:

1. Sejak 1946 hingga kini, kau adalah lambang kekuatan politik Melayu dan kekuasaan Melayu. Sejarah perjuanganmu adalah sesuatu yang harus dibanggakan oleh setiap orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya [hanya UMNOPUTRA sahaja terpilih]
2.Kau berjaya mengubah wajah orang Melayu daripada menjadi petani dan nelayan kepada usahawan, peguam, pakar perubatan; daripada hidup beratapkan rumbia kepada atap genting, daripada mendiami teratak kayu kepada banglo konkrit, daripada berniaga gerai pisang goreng kepada gedung besar.

3. Umno mematangkan mereka, perjuangan parti telah membentuk jiwa dan raga mereka, lantas diterjemahkan dalam pembangunan bangsa dan negara. Daripada berbasikal suatu ketika dulu, kini ahli Umno memandu kereta mewah membawa obor perjuanganmu di merata pelosok kampung dan daerah.

4. Kerana Umno jugalah, lebuh raya terbentang luas, pelabuhan dan lapangan terbang tersergam gagah, sekolah dan universiti, hospital dan klinik melata ke segenap ceruk rantau, masjid dan surau menjadi mercu lambang keagungan Islam dan keranamu Malaysia berada di persada negara Islam yang dihormati seantero dunia [dunia barat dan timur?].

ULASAN:

Memang benar, tidak seluruhnya benar dan tidak benar mengatakan seluruh taraf hidup rakyat telah meningkat dan tidak ada lagi rakyat yang bertaraf miskin. Semuanya hidup kaya raya, berumah batu dan berkereta besar dan beristeri besar juga. Masih ramai lagi rakyat di bawah garis kemiskinan yang berpendapatan di bawah RM500.00 sebulan. Taraf hidup rakyat tidak benar diukur melalui pendapatan perkapita yang berpendapatan RM12,000.00 sebulan kerana ia mengambil kira semua pendapatan rakyat [kecil dan besar] dibahagi dengan jumlah penduduk di negara ini yang menyamai dengan Keluaran Kasar Negara [KNK].

Masih ramai lagi rakyat marhaen yang miskin yang mendiami di rumah-rumah panjang, di rumah-rumah setinggan di seluruh negara, di rumah-rumah yang didirikan di bawah PPRT [yang mana peruntukannya banyak dilarikan oleh Annuar Musa yang ketika itu sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk projek memperkayakan diri sendiri, keluarga dan kroni], yang dibina oleh KEDA dan lain-lain agensi yang terlibat dalam usaha ini. Sila turun lihat perkembangan dan cara hidup rakyat yang menikmati program-program ini. Jawapan amat menyedihkan. Mereka masih lagi mengharapkan bantuan dan subsidi dari kerajaan, tidak boleh berdikari seperti mana anak-anak menteri dan tokoh-tokoh korporat terkenal yang masih bergantung dan meraih pertolongan bapa dan kerajaan.

Rumah-rumah mereka kecil dan sempit dengan ahli keluarga yang ramai. Tidur berhimpit-himpit. Tidak ada ruang rehat, tidak ada ruang makan yang khas dan membinanya tidak mengikut ciri-ciri ketetapan Islam yang mana setiap rumah yang dibina mesti sekurang-kurangnya mengandungi tiga bilik. Anak-anak yang berlainan jantina wajib diasingkan, tidur di bilik berasingan. Masih ramai anak-anak di kalangan keluarga yang tinggal di bawah program ini tercicir dalam pelajaran, menganggur, penagih dadah dan menghadapi pelbagai penyakit social masa kini.

Era Abdullah Ahmad Badawi mengganti Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang kelima membuka lembaran dengan “cakap tidak serupa bikin”.

Bermula dengan pembentukan sebuah kerajaan yang “haram” hasil daripada pilihan raya umum ke 11 yang penuh dengan tipu-muslihat, menyeleweng, rasuah dan pelbagai aneka kekotoran yang dilakukan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya tersebut [tidak berlaku seperti mana di pilihan raya di Britain baru-baru ini-adil, saksama dan bebas], maka kesannya, rakyat pada keseluruhannya mulai merasainya sekarang. Kenaikan harga tol, kenaikan harga petrol dalam setahun 3 kali, kenaikan harga minyak diesel, kenaikan tambang pengangkutan awam, kenaikan kos perkhidmatan, perubatan, pendidikan dan sebagainya mengundang kenaikan harga barangan keperluan di pasaran membuka ruang wujudnya inflasi dan seterusnya meningkatkan kos sara hidup rakyat. Kesan ini tidak akan dirasai oleh orang-orang yang berpendapatan tinggi contohnya seperti menteri-menteri dan tokoh-tokoh politik yang kaya raya hasil daripada rompakan khazanah negara, amalan rasuah dan hak-hak keistimewaan mereka untuk mendapatkan projek-projek mencipta kekayaan anugerah kerajaan UMNO.

Kita tidak menafikan bahawa banyak perubahan yang berlaku semenjak negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Perubahan tetap akan berlaku mengikut peredaran zaman dan teknologi semasa, bukan semata-matanya disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh UMNO. UMNO hanya bertindak sebagai perantaraan sahaja atau pemangkin. Kalau tidak ada UMNO pun negara ini akan tetap berubah. Mungkin lebih baik daripada UMNO lakukan. UMNO banyak menghabiskan dan membazirkan khazanah negara seperti dalam kes BMF, berapa billion Ringgit yang hangus, begitu juga dalam kes perjudian Bank Negara dalam pasaran mata wang asing, berapa billion yang hilang dan bermacam-macam lagi skandal kewangan yang berlaku sepanjang UMNO memerintah.

Kalau semua ini diambil kira untuk kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan anak-beranak dan kroni-kroni, maka seluruh rakyat akan turut merasainya, tidaklah seperti sekarang ini masih ramai lagi rakyat yang tidak berumah. Kerajaan akan menjadi lebih prihatin terhadap kebajikan rakyat. Kerajaan tidak akan tergamak keperluan asas [basic needs] rakyat diperdagangkan untuk mencari keuntungan semaksimum mungkin. Nasib UMNO beruntung memerintah Malaysia dari dahulu sehingga sekarang, Tampuk pemerintahan negara tidak pernah bertukar tangan, jadi rakyat tidak dapat membuat perbandingan. Rakyat tidak ada pilihan. Makan saja apa yang dihidangkan.

Penghujung pemerintahan Mahathir selama 22 tahun, UMNO mengalami hakisan sokongan orang-orang Melayu-Islam seperti mana yang ditunjukkan dalam pilihan raya ke 10 tahun 1999, tanpa sokongan orang bukan Melayu, UMNO sudah tentu terlucut kuasa memerintah Malaysia. Nasib UMNO masih lagi menyebelahinya. Atas kesedaran orang-orang Melayu-Islam mahukan Islam itu dinobatkan di dalam negara ini dalam semua aspek kehidupan, maka Dollah Badawi membuka langkah memperkenalkan konsep Islam Hadhari bagi menentang PAS yang membawa mesej dan imej Islamnya yang mahukan Islam itu memerintah, bukan Islam diperintah.

Islam Hadhari yang diperkenalkan itu dalam Negara Islam yang diisytiharkan oleh Mahathir pada 29.9.2001 dalam Kongres Parti Gerakan di Kuala Lumpur tidak membantu perkembangan Islam sebenar, sebaliknya ia menghancurkan Islam bersama-sama dengan umatnya sekali. Pelbagai masalah social kita hadapi semakin hari semakin kronik.
 
Perkara ini didedahkan sendiri oleh Dollah Badawi melalui Berita Minggu pada 30.1.2005 yang lalu. Perdana Menteri berkata:

"Saya nampak kes jenayah semakin menjadi-jadi sekarang... semua nak undang-undang yang lebih keras, nak hukuman yang berat. Apa nak jadi pada negara kita. Ini menunjukkan penjenayah seolah-olah `tidak takut' kepada undang-undang sedia ada. Banyak sangat kes kegiatan jenayah sehingga kita akan menjadi sebuah negara yang dikenali sebagai negara yang ada hukuman yang cukup berat. Tapi apa boleh buat. Kalau tak ada hukuman berat, mereka masih lakukan dan tidak ada sesuatu yang boleh menghalang mereka,"
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Bandar Siber Pulau Pinang 1 (PCC1) dan My Malaysia, MyMSC @ Penang di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

Oleh kerana orang Melayu-Islam masih menjadi majority 60% daripada keseluruhan jumlah penduduk di negara ini, maka UMNO terpaksa memperalatkan agama demi untuk menarik sokongan orang Melayu-Islam kepada UMNO. Disebabkan mereka mengetahui Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. Inilah yang disebut dan dikritik oleh Mahathir dalam bukunya ‘The Malay Dilemma’. Katanya:

"Kerajaan masih lagi melaksanakan projek-projek seperti mendirikan masjid dan balai raya. Pelaksanaan projek ini dijalankan bukan kerana segala kemudahan tersebut difikirkan perlu, tetapi kerana anggapannya yang salah kononnya langkah-langkah ini dapat memancing undi di dalam pilihan raya yang akan datang."
Justeru itu, diperkenalkan program Islam, tetapi bukan hendak melaksanakan Islam sepenuhnya. Mengikut pengkaji Sains Politik di negara ini, mahu tidak mahu UMNO mesti menunjukkan lambang Islam dan imej Islam dan mencipta berbagai jenama dan program untuk menarik sokongan rakyat. Ekoran itu dalam catatan sejarah kita melihat zaman Tuanku Abdul Rahman diperkenalkan musabaqah al-Quran, Tun Razak memperkenalkan azan dalam radio dan televisyen, Tun Hussein Onn memperkenalkan bulan dakwah, zaman Mahathir memperkenalkan Penerapan Nilai-nilai Islam dan zaman Abdullah Ahmad Badwi memperkenalkan Islam Hadhari. Islam Hadhari ini hanya untuk menunjukkan UMNO sebagai sebuah parti politik yang hendak kepada agama. Walaupun asas penubuhan UMNO bukan bertitik tolak daripada mempertahankan agama, tidak seperti mana tertubuhnya PAS yang bertujuan untuk menjadikan Islam itu sebagai asas pemerintahan negara.

Islam Hadhari yang dilagukan oleh Dollah ini belum lagi nampak arah tujunya, tidak seperti mana Konsep Penerapan Nilai-nilai Islam yang diperkenalkan oleh Mahathir di awal pemerintahannya dahulu. Ketika itu, kita dapat melihat majlis-majlis ilmu berkembang pesat wujud di mana-mana, di masjid-masjid, di surau-surah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di pejabat-pejabat kerajaan dan malah pihak swasta juga turut sama menjayakannya. Macam-macam badan-badan, pertubuhan, persatuan, agensi, institusi, sector kewangan dan sebagainya ditubuhkan berteraskan kepada Islam. Maka wujudlah Bank Islam, Takaful Islam, Pajak Gadai Islam, Hospital Islam dan pelbagai jenama lagi semuanya berteraskan kepada ajaran Islam.

Apabila orang ramai sudah sedar tentang kehebatan Islam dalam perkembangan tamadunnya semenjak dari zaman dahulu lagi, mereka yakin bahawa “Islam Itu Boleh”, maka kesedaran ini memberi ancaman kepada UMNO yang berteraskan secular. Jadi, mahu tidak mahu selagi kesedaran ini belum lagi meluas merebak yang boleh mengubah suasana, maka kesedaran keIslaman ini wajib dimatikan. Dari saat itu, perkembangan Islam di negara ini mulai ditekan daripada pelbagai sudut yang kita boleh saksikan dengan mata kepala kita sendiri. Pelbagai langkah diambil untuk menyekat pengaruh Islam di tengah-tengah masyarakat seperti menutup SAR, tidak ada lagi majlis-majlis ilmu yang membincangkan pelbagai cabang ilmu, pertubuhan-pertubuhan bercorak Islam disekat dari menjalankan aktivitinya terutama di IPTA-IPTA. Aktiviti-aktiviti keagamaan tidak digalakkan lagi terutama aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan [baca: UMNO]. Sebagai gantinya dibawa masuk unsur-unsur hedonisme, hiburan berlebih-lebihan, pesta-pestaan dan perjudian.

Ubat mujarab bagi melawan pengaruh Islam di kalangan orang-orang Islam khususnya golongan muda-muda ialah menggalakkan perkembangan industri hiburan. Maka lahirlah konsert-konsert hiburan nyanyian dan tarian yang melalaikan lagi mengasyikkan. UMNO zaman Islam Hadhari Dollah Badawi nampaknya semakin galak artis, hampir setiap malam ada konsert, ada anugerah bermacam anugerah, menjadi imam pun boleh, menyanyi dan menghadiri pesta maksiat pun boleh, menganjur konsert pun boleh, menyampaikan anugerah pun boleh.

Akan bersambung ke bahagian kedua. InsyaAllah.

Wassalam.

- Sri Bunian - 21.05.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: