![]()
STRATEGI PENYESATAN GERAKAN ISLAM (SIRI 1)
Oleh SriBunian - Laman M@RHAEN
Assalamu’alaikum wm.wrt.,Peperangan dan pertelingkahan antara yang haq dan yang bathil telah berlangsung sejak sekian lama iaitu semenjak dari masa Nabi Adam a.s. sehinggalah ke masa Nabi Muhammad s.a.w. dan akan terus berlaku sehingga ke hari kiamat. Pelbagai kaedah dan cara digunakan untuk mengekang dan memadamkan semangat para pembela kebenaran. Seiring dengan itu godaan, rayuan, tipuan, pesta-pesta hiburan dilonggokan ke dalam masyarakat Islam sampai tindakan agresif dilancarkan oleh musuh-musuh Islam, pihak yang membenci Islam sebagai sebuah ideologi. Menghadapi kenyataan seperti ini, Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya tetap bersemangat memperjuangkan Islam, meskipun mereka harus mengorbankan segala-galanya, harta-benda, anak-isteri hatta darah dan nyawa.
Ke saat ini pun tindakan kekerasan fizikal dan mental terus dihadapi dan diterima oleh para pejuang dan pendakwah dalam berbagai bentuk seperti penangkapan, tahanan tanpa perbicaraan [ISA] seperti yang berlaku di Malaysia yang hanya memerlukan perasaan syak wasangka sahaja atas alasan mudah ‘mengancam keselamatan negara’, maka mereka yang terlibat boleh ditahan ikut suka hati pemimpin tanpa perlu dibuktikannya kesalahannya di mahkamah, berlaku penyiksaan, pengusiran, pemaksaan sehingga sampai pemutusan hubungan kerja, keluarga dan sebagainya.
Namun demikian, bentuk-bentuk tribulasi seperti itu relatifnya lebih ringan bahayanya dibandingkan dengan kaedah-kaedah penyesatan yang dilakukan pada hari ini. Hal itu terjadi kerana cara-cara kekerasan fizikal dan mental yang digunapakai untuk menentang pejuang dan pendakwah terbukti tidak efektif.
Keteguhan iman dan semangat yang tebal pejuang dan pendakwah dalam menghadapi serangan-serangan seperti ini semakin menambah kepercayaan umat kepada mereka serta memperkuatkan keyakinan umat terhadap pemikiran mereka. Selain daripada itu kekerasan dan tindakan seperti ini akan hanya akan mempertebalkan simpati umat kepada mereka, terutamanya kerana pemikiran mereka merupakan inti kepada keyakinan umat.
Hal seumpama ini pun pernah dialami sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya di Makkah. Ketika orang-orang Quraisy memboikot, menyakiti, dan menyiksa mereka, Rasulullah dan para sahabatnya berterusan menghadapi semua itu dengan penuh kesabaran dan keteguhan. Sikap seperti ini memberikan pengaruh positif bagi beberapa peribadi atau tokoh-tokoh terkenal dari kalangan kaum Quraisy ketika itu yang kemudiannya golongan ini turut beriman kepada Allah dan RasulNya.
Bukan hanya setakat itu sahaja, kesabaran dan keteguhan iman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya mampu membatalkan pemboikotan dan mengurangi penyiksaan terhadap mereka yang teguh dalam mengembangkan dakwah dan berjuang menegakkan agama Allah di bumi ini.
Ketidakberkesanan pelaksanaan kaedah ini disedari oleh musuh-musuh Islam yang terdiri dari pada orang-orang kafir dan juga orang-orang Islam sendiri. Oleh itu kaedah terbaik untuk menyekat pengembangan Islam ialah melalui kaedah ‘penyesatan’.
Kaedah penyesatan ini jika tidak disedari oleh umat Islam, maka ia sesungguhnya akan menciptakan bahaya dalam bentuk keretakan hubungan antara umat dan agamanya dan juga di antara umat dengan para pejuang dan pendakwah yang telah menetapkan dan memperjuangkan kemaslahatan umat.
Sekian akan disambung dalam siri ke dua, membincangkan bentuk-bentuk kaedah penyesatan yang telah dan sedang digunakan untuk menyesatkan umat.Wassalam.
- Sri Bunian - 29.04.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)