![]()
UMNO KEHILANGAN ARAH
Oleh SriBunian - Laman M@RHAEN
Assalamu’alaikum wm.wrt.,Tindakan UMNO [HarakahDaily.net 19.4.2005] melalui Pegawai-pegawai Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak merampas buku 'Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari' karangan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Terengganu dan di lain-lain negeri bolehlah dianggap sebagai ‘tidak bertamadun’, samseng, biadab dan paling kurang ajar dalam sebuah negara yang kononnya melaksanakan amalan demokrasi dalam system pemerintahannya.
Pegawai-pegawai KDN itu berkata bahawa buku Presiden PAS itu telah ‘diharamkan’ kerana bertentangan dengan usaha kerajaan memperkenalkan Islam Hadhari dan boleh mengancam keselamatan negara. Pegawai-pegawai berkenaan juga telah meminta pihak peniaga kedai buku menyerahkan buku-buku 'Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari' kerana ‘telah diharamkan’ oleh kerajaan dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur.
Terdahulu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 11 April 2005 lalu, beberapa orang wakil rakyat BN semasa membahaskan Titah Ucapan Sultan dengan lantang mendesak kerajaan Terengganu ‘mengharamkan’ pengedaran buku-buku tersebut. Mereka mendesak buku yang menjelaskan berhubung buku 'Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari' itu supaya bukan sahaja diharamkan di negeri ini malah di seluruh dunia.
Begitulah betapa dangkal dan bercelarunya pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO. Pada hakikat sebenarnya UMNO merupakan sebuah parti politik yang paling lemah di dunia. UMNO kelihatan kuat kerana ia berkuasa, menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk mengekalkan kuasa. UMNO tidak mampu berdiri di atas kakinya sendiri. Tanpa kerajaan, UMNO akan rebah menyembah bumi.
UMNO terpaksa menumpang dan menagih simpati serta pertolongan dari pihak lain seperti SPR membantu persempadanan semula, pemindahan pengundi, meminda dan menggubal undang-undang yang gila-gila agar pembangkang terasa tertekan dengan segala peraturan yang karut-marut merosakkan amalan demokrasi yang sihat, pihak polis pula digunakan untuk menggempur ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti pembangkang, menyekat rakyat dari mendekati atau menghadirkan diri dalam majlis-majlis pembangkang dengan mengadakan sekatan jalan raya, membuat tangkapan, pendakwaan, ugutan dan ancaman supaya orang ramai merasa takut untuk menghadirinya.
Mahkamah pula menjadi proksi kepada UMNO, mana-mana kes yang berkaitan dengan UMNO akan diberi kemenangan mudah kepada UMNO [ seperti kes di Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang bersamaan dengan kes DUN Subang Jaya] dan mana-mana kes yang kelabu akan ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak tahu bila hendak diselesaikan [seperti kes Mohamad Sabu], kecualilah kes-kes yang mendapat persetujuan bersama seperti kes petisyen pilihan raya di Kelantan dan di Terengganu dan di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Jabatan Pendaftaran Negara pula membantu UMNO dengan cara menguruskan mempercepatkan pertukaran alamat supaya pengundi-pengundi boleh mengundi di kawasan-kawasan yang dirancangkan untuk menang.
Media massa dimonopoli dan dikawal ketat, pembangkang dinafikan hak ini. Jentera-jentera kerajaan tidak usah dibincangkan di sini kerana dulu, kini dan selama-lamanya UMNO menggunakan sepenuhnya jentera-jentera kerajaan tanpa terasa segan-silu, malu dan bermaruah seolah-olah jentera-jentera kerajaan itu milik UMNO, bukan dimiliki oleh semua rakyat yang membayar cukai untuk jentera-jentera tersebut dapat berfungsi seperti yang dikehendaki.
Dalam paradigma UMNO ialah segala institusi dan kegiatan rakyat akan digemblengkan untuk hanya satu tujuan iaitu melanjutkan kuasanya. UMNO tidak melatih ahli-ahlinya untuk mengendalikan parti, tetapi UMNO dikendalikan oleh agensi-agensi yang saya sebutkan di atas untuk survivalnya di bumi Malaysia ini untuk terus berkuasa.
Kerajaan yang wujud pada hari ini adalah HARAM. Haram dari segi amalan demokrasi dan haram dari segi hukum agama. Haram dari segi amalan demokrasi kerana UMNO mengadakan pilihan raya secara tidak demokratik, bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi biasa yang diamalkan oleh kebanyakan negara bertamadun. Kebebasan bersuara, kebebasan berkumpul, kebebasan memiliki media massa sendiri dan kebebasan berorganisasi. Bermain secara ‘fair play’ di padang yang sama rata. Demokrasi di Malaysia masih bertaraf ‘dunia ketiga’ atau masih lagi bertaraf ‘jakun’.
Haram dari segi hukum agama tidak perlu dibincangkan di sini kerana semua orang Islam tahu natijahnya apabila kita bercakap bohong, memfitnah, penipu, menyeleweng fakta yang benar, menyembunyikan fakta-fakta bahawa UMNO itu dipenuhi pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli yang sanggup amalkan rasuah dan menyalahgunakan kedudukan untuk mencari kedudukan, pangkat dan kekayaan bagi menaikkan imejnya di mata rakyat dengan harapan untuk mendapat sokongan, tidak amanah, politik wang dan lain-lain sifat tidak berakhlak dan bermoral yang merendahkan martabat manusia yang berakal. Tentu hukumnya berdosa dan akan menerima pembalasan yang pedih di akhirat kelak.
Berdasarkan pendapat Samuel Huntington [The Third Wave: Democratization In The Late Twentieth Century, 1991: 69] mengatakan bahawa negara yang mengamalkan demokrasi ialah negara yang mengadakan pilihan raya secara adil dan saksama di antara parti [sebenarnya pada ketika pilihan raya berlangsung tidak ada parti yang memerintah yang ada hanya ‘kerajaan sementara’-hal ini tidak pernah berlaku di Malaysia, kecuali di zaman Tunku Abdul Rahman Putra].
Katanya lagi adanya perbezaan pendapat perlu diberi galakan dan sokongan bagi membolehkan rakyat membuat penilaian secara matang kerana adanya pengaliran maklumat yang bebas dari kedua-dua belah pihak seperti apa yang berlaku pada pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat dan di Indonesia pada tahun lepas.
Di Malaysia perbezaan pendapat diberi tafsiran sebagai suatu bentuk pengkhianatan dan ancaman kepada negara dan akan dikenakan dengan pelbagai tuduhan, ancaman dan tindakan. Perbezaan pendapat dianggap penderhaka dan penjenayah yang mesti dihapuskan dengan apa cara sekali pun, sekurang-kurangnya diISAkan bertahun-tahun selagi tidak berubah pendirian menyokong UMNO seperti yang berlaku pada diri Kassim Ahmad dan Ashaari Mohamad.
Dalam pada itu, Samuel juga berkata lagi kadar celik huruf mesti tinggi, tetapi UMNO tidak mahu perkara ini terjadi. Kalau boleh UMNO mahu seluruh rakyat buta maklumat dan kadar celik huruf rendah [maksudnya malas membaca] bagi membolehkan UMNO terus mengongkong kehidupan rakyatnya. Ramai orang cerdik menyusahkan UMNO untuk terus memerintah Ikut Sukahati Aku [ISA].
UMNO perlu belajar lebih banyak lagi pengertian demokrasi [bukan demo kasi-UMNO itu kerajaan, kerajaan itu UMNO] yang sebenarnya, apa itu kerajaan dan apa itu parti. Parti dan kerajaan tidak sama. Sama juga dengan kaedah perakaunan yang membezakan perniagaan dengan tuan punya perniagaan. Apa yang dianggap negative sebenarnya adalah positif untuk membina negara, hanya pendekatannya sahaja yang berbeza.
Bagi mencapai matlamat tersebut, UMNO terus mengawal pengaliran maklumat, mengawal media massa walaupun kini kita ada internet untuk mendapatkan maklumat alternatif, tetapi berapa peratus yang memiliki komputer yang boleh mengakses ke internet kerana kosnya terlalu tinggi, tidak mampu dimiliki oleh orang ramai terutama di luar bandar yang menjadi pangkalan kepada UMNO, tidak seperti akhbar cetak yang murah, senang didapati dan TV dan radio menonton dan mendengar secara relaks-relaks sahaja sambil makan-makan, maklumatnya tidak perlu mengeluarkan wang. Percuma.Untuk itu, UMNO terus menghapuskan penerbitan-penerbitan yang tidak secocok atau yang tidak sealiran dengan pemikirannya. KDN berterusan menjalankan operasi menyerbu dan merampas penerbitan-penerbitan, bahan-bahan bercetak, majalah [seperti Detik dan Wasilah-Ahmad Lutfi Othman], akhbar-akhbar tabloid [seperti Eksekutif dan Cabaran] yang pro kepada pembangkang dan juga menyerbu ke kilang percetakan seperti yang berlaku di Shah Alam pada 3.4.2005 yang lalu yang mana buku yang ditulis oleh Mohamad Rafi Awang yang masih dalam proses percetakan berjudul ‘Khir Toyo Di Antara Amanah dan Khianat’ dirampas oleh empat orang pegawai polis yang diketuai oleh seorang ASP.
Rampasan seperti ini juga berlaku terhadap Ahmad Lutfi Othman yang berlaku pada tahun 2001 yang mana akhbar tidak berkala Lutfi dalam memproses percetakan memuatkan skandal rasuah Khir Toyo, MB Selangor turut dirampas pada hari cuti umum oleh pegawai polis berjawatan tinggi dan kini buku Haji Hadi, Presiden PAS pula menjadi mangsanya.
Adakah menceritakan skandal rasuah Khir dan pendapat yang berbeza dengan UMNO juga dianggap sebagai menggugat keselamatan negara? Kelayakan seseorang pemimpin mestilah cekap berhujah, maka muncullah kebenaran. Kalau sekadar kata tidak betul, tetapi tidak kemukakan sebarang hujah mengenai apa yang tidak betulnya itu, maka yang menuduh tidak betul itulah yang sebenarnya lebih tidak betul dari orang yang dituduh tidak betul.
KDN terus bertindak mengongkong kebebasan media dengan bertindak mendakwa pengedar dan penjual seperti yang berlaku di Pulau Pinang yang menjual Harakah kepada orang awam dan di Selangor menjual penerbitan yang tidak ada permit penerbitan. KDN bertindak mengugut dan mengancam penerbit, pencetak, pengedar, penjual dan malah pembeli juga turut dibabitkan sama.
Akhbar-akhbar parti politik dibenarkan diterbitkan secara berkala dua kali dalam sebulan, itu pun mesti dijualkan kepada ahli sahaja bukan untuk orang awam. Tidak boleh dijual di kedai-kedai biasa. Mesti dijual di markaz-markaz parti.
Dalam keadaan begini, macam mana pihak pembangkang hendak menjawab balik sebarang isu negative yang ditimbulkan oleh UMNO melalui rangkaian media massa yang dikuasainya yang berputar 24 jam sehari semalam yang boleh mengelirukan orang ramai tanpa mendapat penjelasan rasmi dari pihak terbabit.
Said Zahari seorang bekas wartawan tersohor dan bekas tahanan ISA berkata peranan akhbar yang sebenar ialah yang mampu menyiarkan teguran, kritikan dan cadangan terhadap semua pihak [pemerintah dan pembangkang] untuk kebaikan semua pihak.
Awang Sulung dalam Mingguan Malaysia 11.3.2001 pula berkata sekiranya kebebasan orang ramai untuk bersuara melalui media tersekat kerana penerbitnya terlalu berhati-hati dengan pelbagai akta yang bersedia digunakan bila-bila masa sahaja, maka sudah tentu berlaku satu halangan ke atas kebebasan akhbar bagi faedah orang ramai.
Amat malang dasar media di Malaysia ialah menulis rencana-rencana yang menggambarkan seolah-olah tidak wujud lagi parti-parti pembangkang, anti demokrasi yang tidak mahu melihat wujudnya parti-parti pembangkang, mahukan UMNO/BN berkuasa selama-lamanya, kalau boleh pemimpin-pemimpin pembangkang ditangkap dan ditahan di bawah ISA atau diambil tindakan melalui tindakan undang-undang draconian, hanya menyiarkan berita-berita propaganda UMNO dan diputarbelitkan bagi menjaga kepentingan UMNO dan yang lebih teruk lagi bersikap lebih UMNO dari UMNO. Kemungkinan pemimpin-pemimpin UMNO berfikir bahawa dunia ini mereka punya dan boleh jadi juga mereka berfikir dunia ini mereka yang buat.
UMNO perlu sedar bahawa di antara fitrah manusia ialah ingin mendapatkan berita dan maklumat. Perangai manusia ingin tahu. Sekarang media seperti akhbar, TV dan radio mengambil tempat untuk orang ramai mendapatkan berita dan maklumat. Media ini timbul bagi memenuhi fitrah manusia yang inginkan maklumat dan berita bagi memenuhi ruang fikirnya.
Kebenaran sebagaimana lidah kita yang hendakkan kepada yang manis. Lidah tidak boleh terima benda-benda yang pahit. Jadi, UMNO jangan paksa orang ramai menerimanya [konsep Islam Hadharinya] dengan bergantung kepada pihak polis dan undang-undang [pegawai Penguatkuasa KDN].
Jangan jadikan rakyat bodoh tidak mampu berfikir dan tidak bebas memilih. Jangan jadikan Malaysia ini sebuah estet yang mempunyai tuan punya yang menghalang sebarang aktiviti yang dilakukan oleh parti-parti yang sah.
Jangan sekat lorong air yang sedang turun deras dari gunung. Air yang turun dari gunung itu bila disekat kita akan lemas. Lama kelamaan air akan terkumpul dan akan mengorek halangan sama ada melalui bawah, kiri, kanan atau naik ke atas. Lama kelamaan akhirnya batas itu sendiri akan hanyut.
UMNO perlu ingat bahawa zaman sudah berubah. Zaman ini memerlukan proses bertukar-tukar fikiran, memujuk dan bukan proses memukul dan merotan. Kalau ada saluran untuk meluahkan pendapat, tetapi undang-undang digunakan untuk menyekat saluran tersebut, maka orang akan mencari saluran lain untuk meluahkan perasaan.
UMNO perlu sedar dan insaf bahawa berdasarkan kepada teori politik apabila aktiviti-aktiviti ahli-ahli sesebuah pertubuhan itu disekat dan dikawal terlalu ketat sehingga mereka terasa kebebasan mereka untuk bersuara pun sudah dirampas akan lahir di kalangan mereka nanti orang yang akan memberontak.
Ini satu fenomena yang biasa terjadi dalam sejarah ketamadunan manusia. Kita amat bimbang perkara akan berlaku di negara ini. Ia akan mencetuskan ketidak stabilan politik yang merugikan semua pihak seperti mana yang berlaku di Iraq, Afghanistan dan lain-lain negara tercetusnya perang saudara kerana sikap pemerintah yang menindas dan menekan pihak pembangkang secara keterlaluan.
Kita di Malaysia setakat ini Alhamdulillah. Ahli-ahli PAS masih boleh tahan sabar melihat pemimpin-pemimpin utamanya dibuat macam-macam oleh UMNO, seolah-olah pemimpin-pemimpin kami ini tidak mempunyai maruah dan harga diri.
Nik Aziz seorang MB pernah dikepung dan dilarikan di tengah malam buta akibat perbuatan polis di Kampung Kubang Bok, Kuala Ketil Kedah pada 10.2.2002 dulu. Presiden PAS, Haji Hadi tidak dibenarkan berucap di hadapan rakyat di kebanyakan negeri berlaku sehingga ke hari ini. Seorang pemimpin PAS, Dr. Hatta Ramli digari tangannya dan diperlakukan sebagai seorang penjenayah berat. Kita sedang perhatikan kes ini bila akan dibicarakan di mahkamah. Kita nasihatkan kepada UMNO jangan keterlaluan.
PAS merupakan parti yang dianggotai oleh keseluruhannya orang Islam, parti kedua terbesar di Malaysia selepas UMNO yang mempunyai ahli dari pelbagai bangsa, keturunan dan agama. PAS mempunyai ahli lebih dari satu juta orang yang komited terhadap perjuangannya.
Seandainya, UMNO setiap kali pilihan raya tidak menerima undi dari kalangan orang bukan Islam, maka sudah lama UMNO berkubur tanpa batu nisan seperti mana yang berlaku terhadap parti SM46 pimpinan Ku Li.
Kesabaran ahli-ahli PAS juga mempunyai hadnya. UMNO juga perlu menginsafkan diri, pusingan alam ada turun-naik seperti roda. Sekejap di atas dan sekejap di bawah. Turun-naik ini berlaku sepanjang sejarah manusia. Di zaman dahulu, ada kerajaan yang amat kuat dan gagah perkasa serta kaya-raya, tetapi kemusnahan tetap berlaku kepada kerajaan tersebut.
Ada masa kita kuat. Ada masa kita lemah. Ada masa kita sihat. Ada masa kita sakit. Oleh itu, awasilah hari tua mu yang sudah merangkak tiba, senja sudah menghampiri diri mu, hanya menanti matahari barat akan tenggelam bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Sekian, dahulu buat kali ini. Kita akan bertemu lagi di lain masa dan di lain isu pula. InsyaAllah.Terima kasih. Wassalam.
- Sri Bunian - 24.04.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)