PKR Perlis Darul Sunnah
PKR Perlis alu-alukan kemasukan ahli baru    LamanM@RHAEN

PKR PERLIS
No. 1, Tingkat Atas, Lot 9844, Repoh, Jalan Kangar- Arau, 01000 Kangar,  Perlis.
No. Tel: 019-434 2244 / 017-511 0976 Email: adilperlis@gmail.com
 

KANGAR, 10 MEI: Parti Keadilan Rakyat Perlis mengalu-alukan kemasukan ahli baru secara besar-besaran ke dalam parti sejak pilihanraya umum 8 Mac yang lalu. Permintaan terhadap borang ahli amat menggalakkan sehinggakan pihak kakitangan dan sukarelawan di Pejabat Perhubungan Negeri terpaksa mencetak beratus-ratus keping borang pada setiap minggu.

Menurut Setiausaha Perhubungan Negeri PKR Perlis, Asrul Nizam Abd Jalil, kemasukan ahli baru tersebut menandakan bahawa rakyat sudah menerima agenda perubahan yang diketengahkan oleh PKR yang menjadi harapan baru untuk negara bagi semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum atau agama selaras dengan agenda ketuanan rakyat yang diperjuangkan oleh PKR.

“Sehingga kini PKR Perlis sedang dalam proses menubuhkan tiga cawangan di tiga Peti Undi di Dun Indera Kayangan, satu di Dun Bintong, satu di Dun Sena dan lima di Dun Kuala Perlis,” kata Asrul.

Keempat-empat Dun tersebut terletak dalam kawasan Parlimen Kangar yang ditandingi oleh PKR pada 8 Mac lepas. Kangar mempunyai lima kawasan Dun termasuk Dun Kayang.

PKR juga bertanding di Dun Indera Kayangan dalam pilihanraya umum yang lalu. Walaubagaimanapun, PKR kalah tetapi berjaya menurunkan majoriti undi kemenangan BN berbanding dengan pilihanraya umum 2004. Pada pilihanraya umum yang lalu, majoritinya ialah 1263 undi manakala pada pilihanraya 2004 sebanyak 3564 undi.

Perhubungan PKR Perlis juga telah distrukturkan semula dengan kemasukan beberapa muka baru dalam barisan ahli jawatankuasanya yang terdiri daripada golongan profesional termasuk peguam dan pensyarah universiti.

“Kita juga berjaya mewujudkan kumpulan pemikir PKR Perlis daripada pensyarah-pensyarah universiti dan aktivis politik veteran di bawah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pengarah Strategi Negeri,” jelas Asrul lagi.

Pada pilihanraya umum yang lalu, PKR Perlis bertanding di tiga kerusi Dun daripada lima belas kerusi Dun Perlis dan satu daripada tiga kerusi Parlimen. Manakala bakinya ditandingi oleh Pas. PKR juga turut menghadapi saingan tiga penjuru di Dun Titi Tinggi apabila pihak tertentu menaja calon bebas yang memberi kemenangan mudah kepada BN.

Walaupun gagal memenangi sebarang kerusi, namun PKR mencatatkan keputusan yang agak memberansangkan apabila berjaya menurunkan majoriti undi kemenangan BN bagi hampir kesemua kerusi yang ditandinginya.

Pas pula menang satu kerusi Dun di Simpang Empat manakala kerusi Dun Sanglang yang dimenanginya pada 2004 terlepas ke tangan BN.

Kemasukan ahli baru PKR di Perlis yang menjangkau seramai hampir seribu orang tersebut membayangkan bahawa tsunami politik yang melanda BN sehinggakan kehilangan penguasaan di empat negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta majoriti dua pertiga di Parlimen itu turut merebak ke Perlis walaupun selepas pilihanraya umum berlalu.

“Ianya adalah pencetus semangat untuk kami bekerja dengan lebih kuat lagi untuk menang dalam Pilihanraya Umum ke-13 sebagai pelan jangka panjang dan satu persediaan saikologi apabila Pakatan Rakyat berjaya menguasai Parlimen sebelum pertengahan September ini sebagai pelan jangka pendek.

“Justeru kami membuka pintu seluas-luasnya untuk kemasukan ahli baru sebelum kepimpinan negara berubah,” kata Asrul.


BIRO PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI PERLIS
Email: adilperlis@gmail.com
Angkatan Muda KeADILan Negeri Perlis melalui projek “Bakti Rakyat” merayu sumbangan pakaian terpakai dari pembaca untuk disumbangkan kepada mereka yang ditimpa malapetaka. Sumbangan saudara dan saudari bolehlah disalurkan dengan menghubungi Amran (017-511 0976). Keahlian baru PKR di Perlis juga boleh dibuat dengan menghubungi beliau atau mengahubungi talian 04-977 1235.
 

11.05.2008


Laman M@RHAEN dihoskan di: http://www.marhaen.org/v1      Tapak cerminan di: http://www.marhaendaily.net/v1
Tajaan: PerigiDuit


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Emel