![]()
Mana dia Young Turks Dewan Pemuda PAS
Kita mengucapkan syabas kepada Sdr Salehuddin Ayub di atas kejayaan beliau mempertahankan jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS untuk penggal yang kedua. Beliau juga telah memainkan peranan penting untuk menggerakkan perubahan dalam jawatankuasa agung PAS sehingga membuahkan hasil. Itulah perubahan yang dinantikan oleh penyokong PAS yang marhaen ini.Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Itulah mungkin dikatakan sesetengah pihak, tetapi kita rasa wajar untuk diberikan pandangan untuk masa depan PAS.
Kita tidak melihat perubahan yang ketara dalam organisasi Dewan Pemuda. Ketua Pemuda kelihatan gagal mengemukakan Young Turks untuk membawa perubahan dan suntikan baru kepada Dewan Pemuda. Beliau kelihatan lebih mengekalkan status-quonya.
Dewan Pemuda telah kerap dikritik sebelum ini kerana gagal berperanan sewajarnya. Lajnah yang bekerjasama dengan muslimat kelihatan aktif contohnya PASTI tetapi lajnah lain yang hanya golongan pemuda terlibat kelihatan lesu. Dewan Pemuda juga kelihatan gagal untuk mengemukakan seorang pendebat berkaliber sehinggakan Dewan Pemuda mahukan SIS dan seangkatan dengannya ditahan di bawah ISA; dan SIS dihapuskan.
Tanpa alasan yang rasional sudah pasti tidak ada sesiapa yang bersama dengan Dewan Pemuda dalam hal ini. Dewan Muslimat kelihatan lebih terkedepan dalam hal ini. Keberanian Dr Mariah bersemuka dengan kumpulan sekular seharusnya dijadikan contoh oleh Pemuda. Dewan pemuda sepatutnya mengkaderkan tokoh-tokohnya sebagai pendebat. Lihatlah idea Haji Husam Musa bila berhadapan dengan Johan Jaffar dalam forum perdana pada hari itu. Sudah tentu dia dapat membawa mesej Islam lebih baik dari Sdr. Ketua Pemuda sendiri. Muktamar kali ini dengan jelas menunjukkan Dewan Muslimat lebih berperanan dari Dewan Pemuda dalam meningkatkan imej jamaah.
Sdr Ketua Pemuda kelihatan tidak gemar menaikkan tokoh yang berkaliber contohnya bekas pemimpin pelajar atau pemimpin NGO dalam Dewan Pemuda. Yang dinaikkan adalah menantu bekas pemimpin PAS. Kita tidak menafikan sesetengah kerabat terdekat pemimpin jamaah kita sememangnya berkaliber untuk menjadi pemimpin masa depan. Kita mengambil contoh Ustaz Mujahid Yusof Rawa, Ustaz Nik Amar Abdullah, Ustaz Nik Abduh Abdul Aziz. Tetapi kesemua mereka adalah berkelayakan di atas kapasiti individu mereka bukannya bapa atau mertua mereka. Mereka sememangnya mendapat tarbiah jamaah daripada universiti dan seorang pimpinan pelajar. Mereka naik bukannya kerana bapa-bapa mereka, tetapi kerana kemampuan diri mereka sendiri.
Sdr Ketua Pemuda menaikkan beberapa orang kerabat bekas pemimpin untuk dijadikan tokoh baru dalam Dewan Pemuda. Ahli patut tahu apakah rasional perlantikan mereka ini. Siapa mereka selain dari kerabat pemimpin PAS? Adakah mereka benar-benar layak? Kita tidak pernah mengenali mereka sebagai pemimpin mahasiswa atau tokoh tarbiah pelajar di Universiti. Jawatan setiausaha dan jawatan ahli jawatankuasa lantikan seharusnya diberikan kepada bakal pemimpin masa depan Dewan Pemuda yang belum dikenali ahli. Adakah mereka yang dilantik itu layak untuk menjadi pemimpin masa depan Pemuda? Kita sangkakan perlantikan setiausaha sesi lepas adalah secara kebetulan sahaja, tetapi dengan trend yang berterusan ini, kita berhak bertanyakan kepada Sdr. Ketua Pemuda.
Kenapa tidak ditonjolkan bekas-bekas pemimpin mahasiswa kita yang sangat komited dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam jamaah. Mereka sudah teruji. Mereka adalah hasil tarbiah kita di universiti. Kita mempunyai ramai bekas pemimpin pelajar yang sangat cekap bekerja di bawah tekanan HEP dan akta universiti. Mereka sangat terbuka dan berkemampuan berdialog dan bekerjasama dengan orang berlainan fikrah. Pengalaman mereka ini tidak digunakan oleh Dewan Pemuda. Ada bekas pemimpin mahasiswa yang menjadi perancang kepada GAMIS. Ada yang bekerja dengan parti sepenuh masa. Ada yang teruji dengan suasana perpecahan jamaah di UIA satu ketika dahulu. Ada yang pernah ditahan oleh HEP kerana berdemonstrasi dan sebagainya. Kenapa tidak dinaikkan mereka ini.
Saya agak keliru dengan pemilihan pemimpin lantikan Ketua Pemuda ini. Kita tidak mempersoalkan sekiranya yang dilantik itu adalah Fariz Irwan Mustapha atau Ustaz Khalil Hadi. Kerana kita sudah mengetahui tahap tarbiah dan kepimpinan mereka. Sebagai peguam, Fariz Irwan juga banyak membawa kes melibatkan ahli jamaah di dalam dan luar negara. Ustaz Khalil pula berupaya untuk menggantikan bapanya di Masjid Rusila. Kenapa tidak dilantik yang ini sebagai pemimpin pemuda?
Kita cukup bimbang dengan trend perlantikan ini. Kita masih lagi lemah di menara gading tetapi pemimpin kita kurang mengambil tahu. Sesekali terfikir juga untuk membantu jamaah apabila telah graduate sahaja atau dengan mengambil anak pemimpin sebagai isteri. Risiko agak kurang berbanding dengan berhadapan dengan HEP serta seribu macam bebanan belajar.
Apa yang boleh kita perhatikan adalah, Young Turk berjaya diwujudkan dalam kabinet Pusat tetapi Dewan Pemuda sendiri belum bersedia menerima Young Turks.
Namun begitu dari satu sudut yang lain, kita masih bersangka baik dan mengharapkan mereka yang diamanahkan sebagai jawatankuasa yang baru ini bekerja untuk Islam dengan bersungguh-sungguh. Mungkin untuk membuktikan kerungsingan ini adalah salah, maka ahli jawatankuasa yang dilantik itu mesti membuktikan dengan tindakan, kepimpinan dan peranannya adalah bersesuaian dengan kepercayaan yang diberikan oleh Sdr Ketua Pemuda. Buktikan dengan tindakan anda bahawa anda sememangnya layak untuk menjadi AJK Pemuda Pusat dan Young Turks yang ditunggu-tunggu oleh penyokong yang Marhaen ini.
Sekian.
Penyokong Yang Marhaen - 13.06.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)