BERKENALAN DENGAN POLITIK
Susunan: PAS FriendsterClub  - Laman M@RHAEN


 
 
 
 

PRAKATA

Perspektif yang diletakkan terhadap istilah politik selalu mengundang bahan perbincangan. Kebanyakannya cuba melihat persoalan politik merupakan satu bahagian yang terasing daripada persoalan agama. Orang-orang yang baik dan tawadu’ dikatakan akan memisahkan diri daripada terlibat dalam politik. Malah, politik juga sering ditanggapi sebagai bukan sebahagian daripada tugas-tugas dakwah. Walaupun pada hakikatnya, pemahaman terhadap asas politik seharusnya dibaca dan dipelajari bersudutkan konsep siasah yang di ajar oleh agama..

PENDAHULUAN

Siasah menurut bahasa ditakrifkan sebagai “Sasa- yasusu- siyasatan wa riasah” yang membawa maksud tadbir, perintah ataupun mengetuai. Di dalam Al-Quran sendiri, banyak yang telah diperjelaskan mengenai konsep siasah. Antaranya dalam Surah Al-Baqarah (30) yang bermaksud:

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi".
Berdasarkan ayat tersebut, Imam Al-Mawardi telah menafsirkan peranan khalifah sebagai pentadbir bumi bagi mengelakkan berlakunya kerosakan. Dalam Kitab Al-Ahkam Sultaniyyah, Al-Mawardi menggariskan peranan khalifah sebagai mentadbir urusan manusia dan urusan dunia  (siasah) dengan syariat Deen.

Manakala, sirah sendiri juga menjelaskan siasah yang ditunjukkan melalui Nabi Muhammad yang menjadi ketua negara dan melakukan pelbagai urusan pentadbiran. Malah, urusan perlantikan khalifah pengganti Nabi yang telah dilakukan oleh para sahabat juga dinamakan sebagai proses siasah. Imam Al-Ghazali juga telah menulis tentang soal pemerintahan dalam kitab Al-iktisad fil iktikad. Antara lainnya tulisan Imam Al-Ghazali menjelaskan konsep “ad-dinul usul wa sultanun harisun” yang bermaksud agama itu pokok dan pemerintahan itu penjaganya.

Maka boleh kita simpulkan siasah sebagai tindakan-tindakan yang dibuat oleh Imam (Pemerintah) berdasarkan sumber-sumber, bertujuan untuk  menghalang kerosakan dan mencegah kerosakan yang belum melanda  atau suatu langkah pemulihan. Siasah mempunyai kaitan dengan persoalan akidah kerana ia melibatkan keputusan untuk memilih dasar-dasar pentadbiran, hukum dan perlaksanaan, kaedah membuat keputusan, maslahah umat, persoalan ekonomi dan rupabentuk sosial.

SIASAH DAN MANUSIA

Daripada konteks masyarakat, istilah siasah selalu diterjemahkan sebagai politik yang membawa terjemahan yang sangat sempit. Tambahan lagi dengan konotasi politik yang seringkali gagal dikaitkan dengan perkara-perkara kebaikan. Sedangkan perbezaan antara siasah dengan manusia yang bersiasah dan perbezaan politik dengan mereka yang terlibat dengan politik perlu diperjelaskan. Jangan sampai kita menyalahkan dasarnya, sedangkan punca segala keburukan adalah berpunca daripada sikap manusia.

Sebagai mereka yang bergerak sebagai seorang amilin Islam, kita perlu memaham bahawasanya dasar siasah adalah berdasarkan ayat Al-Quran yang bermaksud:

 “Sesungguhnya Solatku, Hidupku, dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekalian alam"
Di dalam siasah dan politik juga, terdapat banyak tuntutan-tuntuan adab yang perlu difahami. Contohnya dalam persoalan muamalah dan pehubungan sesama manusia yang memerlukan kita memahami hadis berikut:
“Tidak beriman seorang mukmin itu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri”
Siasah dan politik Rasulullah SAW yang menjadi rujukan adalah berasaskan kepada wahyu  ilahi. Dengan demikian, bagi menjadikan politik ini seperti politik Rasulullah SAW, sewajibnya dilihat kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Pandangan Al-Quran dan sunnah wajib dihadami kerana situasi semasa memerlukan bacaan dan tindakan politik yang tepat,

PAS SEBAGAI GERAKAN SIASAH

Umat Islam perlu berusaha mendapatkan kuasa politik bagi membolehkan undang-undang mengikut kaedah Islam dilaksana untuk melahirkan kesejahteraan hidup manusia. Oleh itu, menjadi pemimpin negara merupakan tugas yang penting. Ini  kerana, dengannya banyak hukum-hukum islam dapat dilaksanakan disamping menjaga kemaslahatan umat yang  merupakan sesuatu yang wajib ditunaikan.

Bila menyentuh mengenai negara, maka sudah semestinya akan melibatkan persoalan politik. Tambahan pula perlaksanaan hukum-hukum dan undang-undang Islam adalah sesuatu yang telah sabit dengan nas dan telah diijmakkan oleh ulama, maka berusaha kearah perlaksanaannya adalah sesuatu yang wajib.

Di negara kita, berusaha kearah perlaksanaan tersebut tidak dapat direalitikan melainkan dengan menubuh parti dan masuk bertanding dalam pilihanraya, maka PAS telah mengambil cara menubuhkan parti dan menyertai pilihanraya bagi merealisasikan tujuan tersebut. Dalam sistem pilihanraya demokrasi pula, mendapat kerusi yang banyak menjanjikan kuasa memerintah, maka PAS berusaha hendak mendapat kerusi agar kuasa memerintah berasaskan kepada Al-Quran dan Hadis dapat dilaksanakan.

Namun begitu, PAS tidaklah mengajak manusia menuju kepada ketaksuban kepartiannya, tetapi PAS mengajak manusia kepada penghayatan dan perlaksanaan Islam secara menyeluruh, sama ada daripada sudut ibadatnya, muamalahnya, ekonomi, sosial dan lain-lain.  Pendirian PAS adalah jelas, PAS bukanlah sebuah parti politik semata-mata, bahkan PAS adalah sebuah gerakan Islam yang menjadikan parti sebagai wasilah untuk melaksanakan tugas dakwah. Dakwah PAS tidak dibataskan kepada dakwah lisan, tetapi dakwah PAS sampai kepada tahap dakwah dengan perbuatan. Malah kaedah pilihanraya yang disertai bukan sesatunya jalan pendekatan yang dirintis, tetapi jalan dakwah itulah adalah pendekatan utama PAS. PAS sebagai harakah Islam telah berusaha untuk memastikan kehendak siasah tidak boleh dipisah dengan agama.

PAS sentiasa mengutamakan tindakan yang berprinsip disamping mempunyai kekuatan siasahnya dalam menghadapi situasi yang berlaku kini. Ramai yang cuba untuk memburukkan imej PAS dengan mengatakan PAS telah menggadaikan prinsipnya dalam banyak perkara. Contohnya PAS dikatakan tidak berprinsip kerana kini telah menyokong beberapa perkara berkenaan Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir. Walhal, sekiranya PAS tidak menyokong Anwar apabila Anwar dizalimi dan PAS tidak menyokong Tun Mahathir apabila beliau membangkitkan pelbagai isu keselamatan negara, barulah boleh dikatakan PAS tidak berprinsip. Ini kerana, selama ini antara prinsip yang diperjuangkan oleh PAS adalah menentang kezaliman dan menentang campurtangan negara asing di negara Malaysia.

Sebagai penutup akhirnya, penegasan perlu diberikan bahawa PAS bergerak bukan hanya sekadar berslogan dan berkata, bahkan PAS telah berada di peringkat perlaksanaan sepertimana ditunjukkan melalui pemerintahan kerajaan negeri Kelantan.

Sila sertai Kelab Penaja Friendster PAS di pasfriendsterclub@yahoo.com atau http://profiles.friendster.com/kelabpas
Artikel terdahulu: http://marhaen.ngepeng.com/mar_a_pas_friendsterclub01.html
 

pasfriendsterclub@yahoo.com
 

02.12.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.


Hantar artikel ini kpd sahabat:
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.