![]()
MENGANGKASAKAN ILMU UNTUK PERUBAHAN
Kiriman: PAS FriendsterClub - Laman M@RHAEN
![]()
Agak malang bagi masyarakat kita kerana mempunyai
Perdana Menteri yang telah ditanggapi umum sebagai kurang membaca. Malah, ketidakhadiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke majlis pelancaran buku 'Lilin membakar Diri' yang membabitkan perjuangan keluarga beliau pun boleh dikaitkan dengan jenaka ketiduran. Lagi-lagi apabila dibuat perbandingan secara kasar dengan mantan Perdana Menteri yang telah mula berjinak dengan dunia penulisan seawal peringkat Universiti melalui nama pena Che Det. Menjadi siulan ramai apabila Tun Mahathir menyentuh perubahan sikap bangsa melalui buku 'The Malay Dilemma' yang telah diterjemahkan oleh memanda mamak menteri penerangan melalui usaha pengampuan peringkat tertinggi pada ketika itu.
Perubahan Melalui Ilmu
Isu anjakan bangsa telah disusuli dengan penulisan buku 'Revolusi Mental' oleh Datuk Senu pada tahun berikutnya dan pengkajian Syed Hussein Al-Attas melalui buku ‘The Myth of the Lazy Native’. Menyelusuri sejarah awal, Abdullah Abdul Kadir ataupun Munshi Abdullah telahpun mengagaskan usaha perubahan melalui penulisan 'Hikayat Munshi Abdullah'. Terlalu banyak idea-idea perubahan telah mula dilontarkan melalui bentuk penulisan. Mana mungkin untuk kita melupakan garapan sarjana ulung Syed Naquib Al-Attas melalui pelbagai curahan ilmu dan gagasan yang telah berjaya dikumpulkan melalui terbitan buku 'Filsafat Pendidikan Islam'.
Bagi sesiapa yang menjalani sistem pelajaran MCE/LCE, satu-satunya buku Usman Awang bertajuk 'Tulang-Tulang Berserakan' pernah menjadi bahan perbahasan utama di dalam kelas pembelajaran. Tidaklah hairan jika buku tersebut telah dilancarkan kembali bermula tahun ini. Malah, pelajar zaman terdahulu telahpun didedahkan dengan penangan buku 'Keluarga Gerilya' tulisan Pramoedya ataupun 'Tenggelamnya Kapal Van Der Vijk' oleh Hamka. Begitu juga usaha-usaha mengenang jasa kepimpinan terdahulu untuk dijadikan model teladan telahpun dibukukan seperti penulisan 'The Reluctant Politican' dan 'The Unmaking of Malaysia'. Malah ada buku yang cuba mendedahkan sejarah yang gagal didendangkan seperti penulisan 'Memoir Shamsiah Fakeh' ataupun usaha pembaharuan sejarah seperti buku kontroversi 'May 13: Declasiffied Documents'. Tentu kita juga masih ingat perihal buku karangan Shanon Ahmad bertajuk 'Shit' yang mengubah seketika anjakan sosio-politik negara kita
Kepimpinan dan Pembudayaan Ilmu
Bagi pemimpin, mereka sentiasa diharapkan untuk melontarkan sedikit pencerahan bagi menunjukkan jalan terhadap pembudayaan ilmu kepada masyarakat. Bagi kepimpinan di pihak opposisi, mereka tiada kurang taranya. Rujuk sahajalah berapa banyak buku tulisan Presiden PAS melalui pelbagai genre; agama, sosio-politik dan budaya. Antaranya yang telah berjaya diarus-perdanakan dalam perjalanan sistem media tempang negara ialah 'Muqaddimah Aqidah Muslim, Hadharah Islamiah Bukan Islam Hadhari dan Islam dan Demokrasi'. Usaha pembukuan ucapan Mursyidul Am PAS juga telah berjaya dilaksanakan melalui terbitan pelbagai siri-siri pengumpulan. Mantan Timbalan Perdana menteri juga pernah menulis kupasan berkenaan 'The Asian Renaissance' sewaktu berada di tampuk pemerintahan negara.
Menariknya, entah gerangan manakah yang menggeletek hati Timbalan Presiden Umno untuk menyentuh kandungan buku 'Muqaddimah' oleh Ibnu Khaldun sewaktu ucapan PAU lepas. Tetapi sekurang-kurangnya, ia mampu menampung kekeringan pembudayaan ilmu yang biasa diterjemahkan oleh Perdana Menteri. Pada kebiasaannya, apabila jenama sesebuah buku telah mula disebut oleh pemimpin, berpusu-pusulah kita mencari-cari dan menyerbu ke toko buku untuk mendapatkannya. Seumpama dalam ucapan dasar muktamar pemuda PAS dua tahun yang lalu, YB Salahuddin telah menyebut berkenaan buku 'Road to Mecca' oleh Muhammad Asad, seraya buku tersebut terus dicapai oleh perwakilan untuk diteliti. Ataupun bilamana Ketua Pemuda PAS tersebut telah membuka sedikit kata berkenaan globalisasi dalam satu program debat RTM1 melalui rujukan buku ‘The World is Flat’ oleh Thomas Friedman yang telah berjaya disambut dengan gaya yang cukup kemas oleh panelis debat lain, YB Khir Toyo yang juga merujuk kepada buku yang sama. Dalam sesi lain, YB Salahuddin telah menggunakan rujukan buku ‘The Toyota Way’ dalam memperkenalkan model sistem pengurusan terbaik. Maaf, Ketua Pemuda UMNO hanya bisa menggoyangkan keris sahaja! Kini, antara buku yang dipromosikan dengan cukup hebat sempena demam pilihan raya negara adalah ‘The Power of Vote’ oleh Douglas Schoen.
Membaca: Antara Kemahuan dan Keperluan
Kita memerlukan satu justifikasi yang kukuh untuk membaca dan meminati sesebuah buku. Siapa yang mahu membaca 'How to Win Friends and Influence People' oleh Dale Carnegie kalau kita tidak menyebut buku ini wajib dipunyai oleh pendakwah, apatah lagi kepada pimpinan politik masyarakat! Siapa pula mahu membaca buku setebal 'The Age of Turbulence' oleh Alan Greenspan kalau buku tersebut tidak diletakkan di rak pilihan kinibooks.com. Tempias teknologi dan anjakan baru telah banyak membuka banyak jalan bagi memenuhi tuntutan dan keperluan penguasaan ilmu. Lihatlah sendiri pada kewujudan e-book, perkongsian ala remaja di shelfari.com mahupun percubaan menjalankan program book-crossing. Malah, pembudayaan blog dan wikipedia telah mula mendapat tempat sebagai bahan bacaan utama.
Gaya ilmu kita perlu diperhebatkan bagi memenuhi tuntutan tarbiyah tsaqafiyyah. Masyarakat kita perlu mempunyai kesedaran untuk membahaskan pelbagai jenis ilmu dalam inner-circle masing-masing. Seruan pembudayaan ilmu sudah dilakukan. Pilihannya ada di tangan kita untuk mengubah masyarakat dan negara melalui pembudayaan ilmu.
24.11.2007 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)
Laman M@RHAEN dihoskan di: http://marhaen.ngepeng.com / Kelatedaily.net.
CARA MUDAH melakukan sumbangan utk Tabung M@RHAEN.