Teka-teki Anwar Ibrahim Sudah Terjawab
Oleh: Pak Ya Hamzah - Laman M@RHAEN

 
 

Pada jam 4.00 petang Khamis lalu, terjawablah teka-teki yang begitu lama diputar oleh Anwar Ibrahim dan PKR berhubung tindakan beliau mahu bertanding dalam satu pilihan raya kecil pada bulan ini.

Ia bermula dengan tindakan Datuk Seri  Dr. Wan Azizah (DSWA) menyerahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai ahli Parlimen kepada Speaker Parlimen pada pagi hari Khamis 31 Julai, 2008. Dengan tindakan beliau membolehkan Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Tentu ada rahsia besar kenapa Anwar membuat tindakan begitu sedangkan seminggu sebelum itu beliau sudah membuat pengumuman untuk bertanding di Parlimen Bandar Baru Kulim sambil menunggukan keputusan mahkamah dalam kes melibatkan YB Zulkifli Nordin.

Namun demikian masih banyak tandatanya kenapa perlunya DSWA melepaskan jawatan HANYA untuk membolehkan Anwar Ibrahim bertanding? Kalau Anwar sudah begitu yakin bahawa Pakatan Rakyat mampu menarik penyertaan ramai lagi ahli Parlimen dalam Barisan Nasional, apa perlunya DSWA melepaskan jawatannya?

Saya sendiri hingga kini kehairanan kenapa Anwar perlu bersusah-payah bertanding dalam pilihan raya kecil. Kenapa tidak atur satu strategi agar semua wakil rakyat Parlimen yang sudah sedia melompat parti membuat pengumuman secara en bloc yang mereka keluar daripada pakatan barisan nasional. Kalau pengumuman keluar BN dibuat di waktu rehat, tidak ada sebab mereka tidak boleh kemukakan satu undi tidak percaya dilaksanakan di Parlimen pada sesi petang.

Kalau sah mereka keluar daripada Barisan Nasional, tentulah secara automatis BN kehilangan majoriti dalam Parlimen dan sekali gus Pakatan Rakyat menjadi gagasan yang memerintah kerajaan pusat.

Apabila ini berlaku, maka bolehlah Pakatan Rakyat melantik Anwar Ibrahim naik menjadi senator dan daripada jawatan senator itu dia dilantik untuk menjadi Perdana Menteri. Kenapakah strategi ini tidak diambil oleh Anwar?. Ini bukan strategi baru kerana inilah caranya seorang Perdana Menteri naik di Turkey.

Apabila Anwar naik menjadi Perdana Menteri barulah dia dapat menubuhkan sebuah kabinet pilihannya dan laksanakan segala tawaran yang dibuatnya kepada rakyat marhaen, seperti menurunkan kadar tol di lebuhraya, menurunkan harga minyak seperti yang telah dijanjikannya.
Soalnya kenapakah strategi ini bukan menjadi pilihan Anwar Ibrahim? Tentu ada muslihatnya. Apakah gerangan muslihat itu?

Mengikut seorang veteran politik yang berpangkalan di Teluk Intan, Anwar nampaknya tidak ada banyak pilihan selain daripada membuat tindakan yang dilakukannya itu melibatkan isterinya. Pada dia memanglah satu pengorbanan besar DSWA untuk memberi ruang kepada suaminya Anwar Ibrahim naik menjadi Perdana Menteri. Ini bedasarkan beberapa faktor seperti berikut:

1. Perlembagaan Persekutuan bukanlah seperti Perlembagaan Turki di mana seseorang yang dilantik sebagai seorang senator boleh naik menjadi Perdana Menteri

Di Malaysia seseorang itu boleh dilantik menjadi Senator dan terus menjadi seorang Menteri Kabinet atas pelantikan Perdana Menteri. Tetapi untuk menjadi seorang Perdana Menteri seseorang itu mestilah merupakan pemimpin sebuah parti yang memiliki kerusi yang paling besar dalam sesuatu pilihan raya. Ini yang berlaku kepada UMNO bila memimpin gagasan Barisan Nasional.

Ini bermakna kalau Anwar tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil, dia tidak dapat satu kerusi menganggotai Dewan Parlimen. Tindakan bertanding di Permatang Pauh memungkinkan Anwar menang dan masuk Parlimen melalui pintu hadapan dan terus menjadi pemimpin gagasan pembangkang.
 
2. Kemasukan Anwar melalui pintu hadapan memberikan keyakinan penuh kepada rakan-rakannya di dalam gagasan Barisan Nasional yang mahu melompat parti. Buat setakat ini pemimpin parti SAPP - Yong Teik Li merupakan satu-satunya pemimpin politik yang bersuara lantang mengisytiharkan mahu menganggotai Pakatan Rakyat. Yang lain hanya berani menikus dan menunggu dan lihat.

Apabila Anwar sudah berada di Parlimen, beliau hanya perlu menghidupkan suis yang lama dirancang untuk membolehkan rakan-rakan dalam BN melompat parti. Semua yang menikus akan menjadi berang dan melompat secara automatis. Kita tidak perlu SMS lagi untuk mengira dan meneka siapakah malaun dalam UMNO yang akan melompat parti dan menjadi alim semula.

3. Kenapakah susah sangat orang-orang ini melompat parti menunggu Anwar menjadi ahli Parlimen sedangkan mereka boleh melompat parti semasa DSWA menjadi Ketua Pembangkang? Lagi pun, ramai pemimpin politik di Sabah diketahui amat setia kepada Anwar. Menurut Encik Yusuf Karim penganalis politik Teluk Intan itu, para pemimpin Sabah dan Sarawak yang mahu melompat parti masih mahukan Anwar menjadi pemimpin dalam Parlimen untuk betul-betul yakin mereka dapat melompat apabila batang tubuh Anwar sudah betul-betul hadir di Parlimen.

4. Ada pihak tertanya-tanya kenapakah Anwar sanggup mengorbankan kerusi DSWA untuk masuk bertanding dalam pilihan raya kecil? Sedangkan seminggu yang lalu, beliau telah membuat satu pengumuman umum mahu bertanding di Kulim Bandar Baru. Semasa beliau membuat pengumuman itu, lebih sepuluh ribu orang telah berkerumun di Kulim untuk mendengar pengumuman itu.

Nampaknya tindakan Anwar untuk bertanding di Permatang Pauh memenuhi beberapa janji. Satu, adalah menjadi janji DSWA bahawa beliau bertanding lagi di Permatang Pauh dahulu adalah dengan niat bila tiba masanya beliau akan lepaskan kerusi itu untuk memberi laluan kepada suaminya menjadi ahli Parlimen. Inilah janjinya ketika ditentang Imam Duit Firdaus Sepak Peti Undi dahulu.

Sebagai pemimpin gagasan pembangkang, DSWA mempunyai sedikit hambatan untuk bergerak cergas seperti yang diharap dan dijangka oleh rakyat terutama sekali golongan Anwaris. Setakat ini peranan DSWA memang patut dikagumi kerana beliau adalah seorang ahli politik secara bidan terjun. Tetapi apabila Anwar muncul nanti sebagai Ketua pihak pembangkang, suasana Dewan Parlimen akan berbeza.

Aura dan karisma Anwar Ibrahim akan menggerhanakan ketokohan orang-orang BN seperti Paklah Kuat Tidur, Najib Kapal Selam, dan Khairy Jamaluddin Menantu kesayangan Perdana Menteri. Siapa lagi yang berani menonjolkan ketokohan mereka menyaingi Anwar? Sudah tentu bukan Ahmad Shaberri Chik. Tidak mungkin Bung Mokhtar ataupun Hamid Albar.

5.  Walaupun DSWA merupakan seorang pakar mata, belia berjaya menonjolkan dirinya sebagai seorang ahli politik yang bertaraf pemimpin. Kerana ketokohan itulah makanya beliau disanjung sebagai seorang pemimpin sebuah pakatan parti politik sedangkan peranan itu boleh diproksikan kepada orang lain seandainya difikirkan beliau tidak layak memegang watak itu.

Secara lahiriahnya DSWA boleh teruskan perjuangannya di Parlimen dan Anwar boleh teruskan perjuangannya sebagai Ketua Umum PKR. Tetapi setakat perjuangan begitu tidak akan ada nokhtahnya kerana gagasan BN akan terus mencuba melumpuhkan gagasan pembangkang itu agar dapat terus mencengkam kuasa. Hanya kerana mahu memperkukuhkan kekuatan gagasan Pakatan Rakyat di Parlimen dan negara ini makanya Anwar terpaksa bertindak untuk mengepalai PKR secara rasmi dan menjadi Ketua pihak Pembangkang secara sah dan rasmi.

Mengikut cerita orang dalam PKR, Anwar dan para pemikirnya telah membuat analisis di mana tempat yang paling selamat untuk belia bertanding. Setelah diambil kira segala faktor yang ada, maka keputusan dibuat untuk memilih Permatang Pauh sebagai tempatnya. Jadi, pengumuman Kulim Bandar Baru seperti yang telah dibuatnya adalah satu pelencung ataupun ‘deception’ untuk menyedapkan pihak tertentu.

Sememangnya Permatang Pauh merupakan satu tempat yang istimewa. Pertama, itu adalah lubuk kubang Anwar dan ahli keluarganya sejak dahulu lagi. Satu ketika dahulu Permatang Pauh merupakan kubu kuat PAS, tetapi apabila Anwar mahu bertanding di sana, orang-orang PAS sanggup memberi laluan kepada beliau tanpa banyak masalah. Anwar telah disepak keluar daripada persada politik semasa menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh. Kembalinya ke Permatang Pauh adalah laksana Sirih Pulang ke Gagangnya. DSWA telah menang di Permatang Pauh menguis keluar Imam yang menendang peti undi dengan majoriti 13,000 undi. Ini adalah satu kemenangan besar yang bukan mudah dimanipulasi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setiap kali dilakukan pilihan raya.

Seperti yang berlaku di mana-mana, SPR memainkan peranan besar untuk memenangkan calon BN, terutamanya UMNO. Pertandingan di Permatang Pauh nanti tentu memerlukan peranan luar biasa SPR. Kerana faktor pengundi hantu sahaja tidak mencukupi. Siapa yang akan bertanding melawan Anwar belum diketahui. Apakah Imam Duit Sepak Peti Undi akan diberikan satu lagi kepercayaan itu? Ataupun Ezam Kotak Mohd Nor yang akan diberikan tempat untuk membuktikan kebolehannya?

Apa pun, setakat ini teka-teki Anwar sudah terjawab. Yang seterusnya dinantikan siapakah nanti yang menjadi calon menentang Anwar? Apakah peranan SPR untuk menggagalkan kemenangan Anwar? Kerana SPR boleh gunakan kuasa melengahkan pilihan raya kecil itu selama enam bulan lamanya. Dalam politik, enam bulan bukan satu masa yang pendek. Apa pula peranan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara? Mereka ini adalah musuh ketat Anwar. Inilah satu teka-teki baru yang perlu difikirkan jawapannya.

Pak Ya - Hamzah
Petaling Perdana. Kulim
 

02.08.2008

Miliki dan alamilah teknologi internet terbaru, web 2.0 dengan PERCUMA.
Selamat tinggal web 1.0! (suka atau tidak, semua orang akan menggunakannya satu hari nanti)

Ditaja oleh:
Site Meter


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Emel