UMPAMA TIKUS MEMBAIKI LABU
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Kemelut yang dipelopori oleh Pemuda UMNO Malaysia yang ini menjuruskan kepada kesimpulan rakyat Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan sejak 30 tahun lalu telah ternyata gagal. Begitulah sifatnya tikus yang suka membaiki labu.

Apa yang lebih membimbangkan Pak Ngah, kemelut ini akan dipergunakan pula oleh orang lain bagaikan menangguk di air keruh dan seperti mana telah terjadi sebelum ini. Mereka-mereka ini yang akan memperolehi keuntungan lebih besar apabila tolak ansur dicapai dan Melayu akan terus berharap dan penuh pengharapan. Tetapi Melayu mudah lupa yang HARAPKAN PAGAR , PAGAR MAKAN PADI. Perhatikan beberapa bulan akan dating ini akan faedah yang bakal diperolehi mereka dari kemelut yang sendiri ditimbulkan sebaliknya lebih menguntungkan orang lain.

Sungguh mengelirukan sekiranya dibaca dua petikan berikut:

DEB bukan perkauman -- Pemimpin Cina, India mahu turut serta bantu orang Melayu
Oleh NAZARUDIN SHAHARI, MERAN ABU BAKAR dan S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Para pemimpin kaum Cina dan India dalam Barisan Nasional (BN) bersetuju soal untuk menyempurnakan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan isu perkauman dan ia perlu diteruskan.

Malah mereka mahu turut serta membantu orang Melayu menyelesaikan agenda itu agar semua rakyat dapat menikmati taraf hidup saksama apabila Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik menegaskan parti itu tidak menganggap DEB sebagai isu orang Melayu semata-mata, tetapi sebagai isu nasional dan harus diselesaikan bersama.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chan Kong Choy yang mewakili presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, mesej yang disampaikan oleh Perdana Menteri adalah sangat jelas bagaimana menjadikan warga Malaysia lebih kompetitif dalam membawa kemajuan yang lebih kepada negara.

Sementara itu Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, MIC meminta semua pihak menerima dengan hati terbuka hasrat itu bagi membuktikan rakyat Malaysia dapat bersatu untuk mencapai status negara maju.

Hishammuddin bidas Presiden MCA

KUALA LUMPUR 22 Julai - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang cuba mempolitikkan isu pemilikan ekuiti 30 peratus yang dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-56, sedangkan ia adalah untuk membela nasib kaum Melayu menjelang tahun 2020.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menegaskan, semua pihak termasuk MCA sepatutnya sedar tentang kedudukan ekonomi kaum Melayu yang masih jauh ketinggalan berbanding kaum Cina.

"Saya nak ingatkan Ong Ka Ting bahawa 30 peratus yang kita minta sebenarnya ialah apa yang diusulkan oleh UMNO pada perhimpunan tahun lepas.

"Maka apa yang kita katakan bukan perkara baru dan yang kita katakan ini tidak bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh UMNO atau Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO,'' katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau mengulas kritikan Ka Ting terhadapnya yang dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina hari ini yang menyebut Presiden MCA itu tidak bersetuju dengan pendirian Pemuda UMNO yang mendesak supaya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan semula.

Ka Ting sebaliknya bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya bumiputera harus memperbaiki kelemahan sedia ada, bukan mendesak kerajaan melancarkan semula DEB.

Di akhirnya, kemelut yang ditimbulkan bertujuan memperlihatkan kewibawaan mereka mengakibatkan di sebaliknya keuntungan akan diperolehi oleh orang lain. Sampai bilakah lagi orang Melayu mahu didendangkan Agenda Melayu sejak 30 tahun dahulu? Kita perlulah memikirkan ungkapan mereka yang mengatakan terdapatnya 2 kumpulan Lembu iaitu Lembu yang sakit dan Lembu yang suci. Apakah kita masih memerlukan kedua dua lembu tersebut untuk terus ke hadapan atau kita mencari pula orang yang dapat mentadbir dan memberikan keadilan yang sama rata sama ada kepada Lembu yang sakit atau lembu yang suci. Kita ingin memilih Tuan Lembu yang adil dan ikhlas dalam menyediakan semua keperluan asas dan perlindungan sempurna kepada semua pihak.

Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 27.07.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN