SUDAH GAHARU CENDANA PULA,
SUDAH PUN TAHU BUAT BUAT BERTANYA PULA (2)
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Setelah meneliti semua kata-kata mereka itu, masih boleh percayakah lagi kepimpinan kelompok ini? Kalau tak percaya lihat apa yang dikatakan dari petikan di bawah ini. SEMUA ORANG TELAH TAHU APA YANG TELAH TERJADI KEPADANYA BEBERAPA HARI YANG LALU. Cakapnya mereka ini selalunya tak pernah serupa bikin. Lihat petikan berikut;
Banyak yang diceritakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad mengenai liku-liku yang membawa kemenangan dengan undi terbanyak iaitu 1,507 dalam pemilihan jawatan Naib Presiden Umno 23 September lalu.

Sepanjang interbiu lebih sejam dengan Agendadaily di pejabatnya di Putrajaya itu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ini bagaimanapun beberapa kali meminta agar sebahagian darinya dikira sebagai perbualan off the record sahaja.

Katanya beliau tidak mahu menyinggung mana-mana pihak. “Sebab itu saya lebih suka mendiamkan diri dan berhati-hati untuk bercakap mengenai hal ini,” katanya.

Kesempatan berbual dengannya secara terus terang dan terbuka memberi perspektif sebenar mengenai kemenangannya itu dalam mencari jawapan kepada tandatanya terbesar sejak malam pengumuman keputusan pemilihan itu lagi.

“Bagaimana Tan Sri Isa boleh dapat nombor satu?” – begitulah ramai yang kedengaran bertanya sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra pada malam berkenaan.

Dari raut wajahnya yang bersahaja ketika menjawab soalan-soalan yang direct to the point , Tan Sri Isa nampak semacam tidak terusik dengan persepsi sesetengah orang terhadapnya.

Ikut cakapnya tiga kali melalui kekalahan dalam pemilihan jawatan utama Umno – dua kali jawatan Ketua Pemuda Umno dan sekali Naib Presiden - banyak mengajarnya. “Saya lebih suka menilai di mana kesalahan saya dari mencari kesalahan orang,” katanya.

Banyak faktor yang menyumbang kepada kemenangan itu. Apapun beliau menganggap personal touch calon adalah faktor yang amat dekat dengan hati para perwakilan.

Berikut ialah antara yang diperbualkan dalam interbiu Agendadaily dengan Tan Sri Isa:

Agendadaily: Kita dengar sampai hari ini ada yang hairan dan bertanya bagaimana Tan Sri boleh dapat nombor satu dalam pemilihan Naib Presiden Umno?

Isa: Tak kan saya nak jawab... biarlah orang lain jawab hal ini…bila perkara itu fokus pada saya… tak kenalah saya jawab.

Agendadaily: Soalnya Tan Sri orang nak tau juga apakah ‘rahsia’ di sebalik kemenangan yang dikira mengejutkan itu …sekurang-kurangnya orangramai dapat faham keadaan sebenar dan tidak timbul salah faham?

Isa: Saya boleh bagitau …tak ada masalah. Sebenarnya kalau saya jelas macam manapun…bagi Al Quran pun... kalau ada orang tak setuju …dia tetap tak setuju.Ini benda politik.

Agendadaily: Sebenarnya begini…ada orang beranggapan dari segi politik Tan Sri is on the way out …jadi ada yang prasangka habis bila Tan Sri menang ...apa lagi dapat nombor satu ...apa perasaan Tan Sri bila ada orang beranggapan begitu?

Isa :Setahu saya…saya kerja kuat untuk menang…apa orang nak kata itu bukan hak saya nak sekat…terserah pada dia. Orang lupa saya pernah kalah tiga kali. Saya kalah…saya terima… relaks.

Bila kalah saya kaji dan tengok apa kesalahan saya.Ini lebih baik daripada saya cari kesalahan orang lain…kita kena cari apa kesalahan kita…apa kekurangan kita.

Tahun 1993..(bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno) saya di luar team(Team Wawasan) …1996 (bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno) ...saya di luar team juga…tahun 2000 (bertanding jawatan Naib Presiden Umno) saya fikir saya tak cukup kerja.

Jadi 2004…saya jumpa dekat 2,000 perwakilan.

Saya jumpa …saya jalinkan personal touch .Saya melihat perwakilan sekarang ni mahukan personal touch.

Bila saya jumpa tu… very simple saja… mereka kata kita nak jumpa calon.. nak tau,nak kenal, kenapa nak bertanding dan macam-macam lagi. Mereka nak dengar pada mulut kita sendiri.

Mungkin ini satu advantage …bila dapat jumpa perwakilan…saya berkenal mesra dengan mereka… kalaupun sebelum ini mereka 50-50… mereka sokong saya.

Itu faktor pertamalah. Kedua…saya ni bertanding kali keempat.

Bila saya bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno tahun 1993 dan 1996… majoriti perwakilan Pemuda sudah jadi perwakilan di bahagian.

Semangat orang yang sokong saya (masa bertanding jawatan Ketua Pemuda dulu) begitu tinggi…kata mereka Tan Sri kita dah kalah tiga kali…jadi tak kan nak kalah kali keempat.

Itu yang buat kami kerja kuat. Bila saya jumpa ramai perwakilan maka rangkaian tu makin meluas. Rangkaian lama tak hilang dan kini ditambah pula yang baru.

Kalau siapa tak turun ke bawah… habis. Perwakilan tak peduli kalau you keluar televisyen atau suratkhabar tiap-tiap hari.

Agendadaily: Dari pengalaman bertanding ni .. Tan Sri yakin faktor penting di sudut hati perwakilan ialah personal touch antara mereka dengan calon?

Isa: Ya.. personal touch .Perwakilan kenal semua calon yang bertanding…terutama mereka yang bertanding jawatan Naib Presiden.

Saya sendiri sudah 20 tahun sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno. Mustahil orang tak kenal… tetapi mereka nak personal touch … itu yang saya nampak dari pengalaman saya.

Saya dengan penyokong saya sentiasa mesra dan berhubung selalu.

Agendadaily: Sekarang ni Tan Sri dah menang…soalnya ada cakap-cakap belakang dakwa Tan Sri Isa main duit…Tan Sri Isa main duit…apa perasaan Tan Sri?

Isa : Conscience saya clear …saya tak peduli apa orang nak kata.

Saya sebagai orang politik kalau nak dengar apa orang kata… saya tak jadi kerja. Saya bukan baru dalam politik. Saya dah jadi Menteri Besar 22 tahun… sebelum tu jadi Exco kerajaan negeri tiga tahun lapan bulan.

Sebenarnya saya bertanding ini pun saya tak fikir nombor berapa saya akan dapat. Sebagai orang yang biasa kalah… kita tak kira nombor.

Saya nak cakap sini…sama ada you nak percaya atau tidak…dua tiga hari sebelum pemilihan saya panggil orang-orang saya…bila bincang-bincang dan tolak perwakilan dari Negeri Sembilan…kita yakin dapat undi 1,448.

Saya tolak dulu Negeri Sembilan…sebab itu kira bonus.. itu saya punya homeground.

Kita go for headcount. Lepas kita tolak lagi 10 peratus… baru buat penjumlahan perwakilan dari setiap negeri (yang yakin sokong).

Agendadaily: Tan Sri terkejutkah bila menang dan dapat nombor satu?

Isa: Saya tak terkejut… saya tahu InsyaAllah saya menang… saya dah bertanding tiga kali… bila kita pergi to the ground kita dah tahu bagaimana sambutan orang. Kita tahu orang ni nak sokong ke tak sokong. Dia punya cakap… dia punya minat. Kalau dia kata InsyaAllah… InsyaAllah..tu pun kita tau.

Saya bukan takbur…tetapi saya yakin kali ini saya menang.

Bila dapat nombor satu tu …Alhamdulillah.

Apa yang tidak disebut, semuanya disebut:
1. “Saya lebih suka menilai di mana kesalahan saya dari mencari kesalahan orang
2. Saya boleh bagitau …tak ada masalah. Sebenarnya kalau saya jelas macam manapun…bagi Al Quran pun... kalau ada orang tak setuju …dia tetap tak setuju. Ini benda politik
3. Conscience saya clear …saya tak peduli apa orang nak kata. Saya sebagai orang politik kalau nak dengar apa orang kata… saya tak jadi kerja. Saya bukan baru dalam politik. Saya dah jadi Menteri Besar 22 tahun…sebelum tu jadi Exco kerajaan negeri tiga tahun lapan bulan
4. Saya bukan takbur…tetapi saya yakin kali ini saya menang.
5. Bila dapat nombor satu tu …Alhamdulillah
Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 17.07.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN