KALAU NAK UKUR BAJU BIARLAH DI BADAN SENDIRI
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Teringat senikata indah lagu zaman dulu-dulu,
 Jangan suka berjanji
 Kalau tak ditepati
 Merana diri………………..
Banyak orang tidak sedar diri apabila memperkatakan sesuatu semata mata untuk memperlihatkan atau ingin menonjolkan dirinya atau terasa dirinya megah apabila mengatakan sesuatu yang hendak dicapai bertaraf antarabangsa.

Tetapi kalau ditanyakan kepada pelayar solo Malaysia yang mengelilingi dunia itu, secara jujur beliau akan mengatakan cukuplah sekali itu, begitu juga yang telah mendaki Gunung Everest cukuplah sekali itu.

Tetapi bagi kalangan orang yang hanya menuturkan kata-kata tanpa merasai sendiri pahit getirnya mencapai apa yang dituturkan akan terus berangan-angan mat jenin mencapai puncak kelapa. Terus akan berkeras kita boleh mencapainya, tetapi apakah hasil yang telah diperolehinyanya.

Mula-mula kita lihat kembali petikan kenyataan tersebut yang kemudian disambut oleh sekolah-sekolah dan universiti dan kemudiannya kita lihat realiti dan kenyataannya yang kini dan semasa.

Kerajaan mahu jadikan sekolah kebangsaan bertaraf dunia
PETALING JAYA 28 April - Kerajaan mahu menjadikan sekolah kebangsaan (SK) di negara ini bertaraf dunia selaras dengan matlamat mewujudkan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang diiktiraf antarabangsa.

Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha melahirkan universiti bertaraf dunia itu mesti dimulakan dari SK yang turut mempunyai standard dunia supaya sistem pendidikan negara memiliki kesinambungan.

"SK adalah saluran utama kepada IPT awam dan swasta (memperoleh pelajar) maka dasar serta matlamatnya ti-dak boleh bercanggah dengan hala tuju IPT, kerana itu ia mesti ada kesinambungan,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penutup Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2004 bertemakan Membangunkan Keupayaan Intelektual Malaysia Dalam Abad Ke-21 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Datuk Dr. Michael Yeoh.

Beliau mengulas mengenai sesi pembentangan kertas kerja pada sidang kemuncak itu yang rata-ratanya menyentuh keperluan melahirkan universiti tempatan bertaraf dunia dan menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau selaras dengan arus globalisasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi dalam ucaptamanya pada majlis perasmian sidang kemuncak itu semalam turut menyatakan bahawa matlamat untuk membangunkan satu sistem pendidikan negara yang bertaraf dunia adalah merupakan satu agenda utama kerajaan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kementeriannya akan mengkaji semula struktur latihan para guru termasuk tempat kerja, insentif dan anugerah sebagai usaha mengiktiraf golongan tersebut sebagai tulang belakang sistem pendidikan.

Katanya, aspek tersebut perlu diberi penekanan kerana bidang perguruan bukan semata-mata pekerjaan tetapi adalah untuk mendidik generasi muda.

Dalam perkembangan berkaitan beliau turut menggariskan empat fokus utama sistem pendidikan negara iaitu kualiti dan pandangan sosial terhadap guru, sekolah di kawasan luar bandar, sekolah kebangsaan dan pendidikan bagi menghadapi ekonomi baru.

Utusan :: 29/4/2004

Sekolah sekolah pun turut berslogan dan berobjektif
SEK MEN KEB TUN SARDON: VISI UNIT MULTIMEDIA

Membangunkan sistem Pusat Sumber Sekolah ( PSS ) berkualiti yang bertaraf dunia yang dapat memperkembangkan potensi individu yang berbudaya ICT berteraskan Falsafah Pendidikan Negara ( FPN ) dan memenuhi aspirasi negara Malaysia.

Universiti pun turut serta;
KE ARAH UUM BERTARAF DUNIA
Pensijilan ISO 9002 2003
Pengwujudan Budaya Q 2004
Anugerah Q PM 2004
Universiti Bertaraf Dunia 2005
Kita lihat pula apa yang telah dihasilkan oleh Kementerian yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan meningkatkan ke taraf dunia tersebut:
Ketua Polis Negara bimbang jumlah pelajar sekolah ditangkap meningkat
KAJANG 11 Julai - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar melahirkan kebimbangan berikutan peningkatan jumlah pelajar sekolah yang ditangkap polis sejak kebelakangan ini.

Lebih membimbangkan, kata beliau, apabila sebahagian besar pelajar berkenaan terlibat dalam melakukan pelbagai kes jenayah.

Menurutnya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan seramai 2,562 pelajar ditangkap pada tahun 2003 dan 1,429 daripada mereka didapati melakukan kes jenayah.

"Jumlah ini semakin meningkat pada tahun lalu apabila polis berjaya menangkap 2,710 pelajar dan 1,499 daripada mereka melakukan jenayah.

"Pada tahun ini, sehingga Mei lalu, 1,048 pelajar sekolah ditangkap dengan 607 daripada mereka terbabit dalam jenayah,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kesimpulannya, jangan bercakap ikut sedap mulut, berasa hebat dengan bercakap perkataan hebat bertaraf dunia, sedangkan pengetahuan dan pengalaman yang amat rendah dan jauh dari memahami reality sebenar penghasilan dari dasar pendidikan dan pembelajaran yang porak peranda, organisasi yang sedia ada penuh dengan pentadbiran kucar-kacir dan tidak berdasarkan kepada keutamaan pendidikan lahiriah dan rohani yang seimbang. Mendidik bukan boleh berselindung dengan slogan sahaja tetapi apa yang diperhatikan dan diamati rakyat adalah kelahiran pelajar yang tinggi nilai pekerti dan ilmiahnya.`

Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 12.07.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN