JAWAPAN KEPADA KENYATAAN PERDANA MENTERI
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Beginilah petikan dari kenyataan PM berhubung dengan cadangan memberiokan jarum dan kondom percuma "Tetapi kalau ada pihak lain ada cadangan lebih baik lagi, maka Kementerian Kesihatan mesti bersedia menimbangkannya,'' kata beliau.

Alangkah indahnya kalau pemimpin yang mengutarakan dan membanggakan Islam Hadhari ini dapat kembali merujuk kepada Islam sebelum membuat kenyataan ini. Apakah Islam Hadahari tidak mampu mencari penyelesaian ini? Layak benarlah kalau kembali kepada Islam yang biasa diamalkan di Malaysia sejak zaman berzaman sebab di dalamnya terdapat penyelesaian ke arah tersebut.

Sebelum diteruskan lagi, elok benarlah diperlihatkan petikan kenyataan PM tersebut terlebih dahulu:

HIV di tahap darurat - PM -- Program beri jarum, kondom percuma tetap dilaksana Oktober
Daripada: AZNAN BAKAR
DOHA, Qatar 16 Jun - Kerajaan akan tetap meneruskan pelaksanaan program perintis pemberian jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah bagi mengawal penyebaran HIV/AIDS memandangkan keadaan sudah sampai ke tahap darurat.

Program itu akan bermula Oktober ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Dari segi agama, kalau berlaku sesuatu darurat atau yang akan jadi darurat maka untuk pencegahan boleh ambil tindakan yang dicadangkan itu.

"Tetapi kalau ada pihak lain ada cadangan lebih baik lagi, maka Kementerian Kesihatan mesti bersedia menimbangkannya,'' kata beliau pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di Sidang Kemuncak Selatan Kedua, Kumpulan 77 (G77) campur China di sini, hari ini.

Abdullah menambah, pelaksanaan Oktober ini hanya di peringkat percubaan dan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan masih sedia menerima cadangan-cadangan lain jika ia lebih baik untuk membendung penularan penyakit itu.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan berhubung cadangan Kementerian Kesihatan itu yang mencetuskan kontroversi dan mendapat bantahan daripada beberapa kerajaan negeri, mufti dan pertubuhan agama Islam. Mereka menganggap cadangan itu bukan sahaja akan menyumbang kepada masalah sosial, tetapi juga membazir wang rakyat.

Sebelum dilanjutkan perbincangan ini, kita perhatikan dahulu fakta-fakta yang diketengahkan oleh Syed Azman Syed Ahmad seperti berikut:
Hala Tuju Bangsa Melayu Menuju Abad Ke 21 : Apa Agenda Kita ?
Oleh Syed Azman Syed Ahmad

Masa Depan Sosial Bangsa Melayu
Gejala keruntuhan akhlak dikalangan remaja Melayu sekarang ini dikatakan sedang berada ditahap yang amat meruncing. Perubahan nilai dan krisis moral dalam masyarakat Melayu juga nampaknya telah sampai ketahap yang membimbangkan. Perangkaan statistik kes jenayah dan salah laku moral yang membabitkaan golongan muda-mudi di negara kita sekarang semakin serius dan kronik. Kes-kes penagihan dadah (rajah 1), Pembuangan bayi (rajah 2), perhubungan seks (rajah 3), peminum arak, bohsia dan bohjan serta jangkitan AIDS dan HIV (rajah 4) yang kesemuanya menunjukkan angka yang bertambah setiap hari. Penagihan dan pengedaran dadah merebak dengan meluasnya walaupun penangkapan penagih dadah dan hukuman gantung dikenakan keatas pengedar.

Sekilas fakta anggaran penagihan dadah dan perbelanjaan dikalangan penagih Melayu
Bilangan penduduk Malaysia yang terlibat dengan penagihan dadah 500,000 orang
Bilangan remaja Melayu yang dianggarkan terlibat dengan penagihan 350,000 (70%)
Bilangan penagih tegar di Malaysia 80,000 orang
Perbelanjaan harian untuk penagih biasa (minima) RM 10
Perbelanjaan harian untuk penagih tegar (minima) RM 30

Anggaran perbelanjaan untuk dadah di kalangan penagih Melayu :
Harian 350,000 x RM 10 RM 3.5 juta
Bulanan RM 3.5 juta x 30 RM 105 juta
Tahunan RM 105 juta x 12 RM 1.26 bilion
Rujukan : Sunday Mail 6/2/94, Utusan Malaysia 10/2/96, Berita Harian 8/4/96 dan New Straits Times 11/7/96.
Sekilas Fakta Angka ` Rasmi` Kerajaan Mengenai Pembuangan Bayi Mengikut Bangsa
Angka 1994 Jumlah yang dibuang - 36 ( angka Bukit Aman )
- 58 ( angka Jabatan Kebajikan )

Melayu - 16
Cina - 5
India - 2
Belum pasti - 13
Angka 1995 ( Jabatan Kebajikan )
Jumlah yang dibuang - 54
Jumlah mengikut bangsa :
Melayu - 32
Cina - 4
India - 16
Lain-lain - 2

Jumlah bayi yang di buang (yang dijumpai) dari bulan Januari hingga Mei 1996 = 21 orang ( 8 mati )
Sumber : Utusan Malaysia 5/7/96 dan 12/8/96.
Sekilas Fakta Wanita Mengandung Tanpa Nikah Di Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Mengikut Bangsa
Angka 1993 Jumlah yang mengandung - 83
* Tiada angka mengikut bangsa yang diberikan.

Angka 1994
Jumlah yang mengandung - 181
Jumlah mengikut bangsa :
Melayu - 147
Cina - 10
India - 12
Lain - 12

Angka 1995 Jumlah yang mengandung - 125
Jumlah mengikut bangsa
Melayu - 115
Cina - 4
India - 4
Lain-lain - 2

Angka 1996 ( Jan - Jun ) Jumlah yang mengandung - 72
Jumlah mengikut bangsa
Melayu - 65
Cina - 3
India - 2
Lain-lain - 2
Sumber : Jabatan Kebajikan Masyarakat, Utusan Malaysia 2/9/96

Sekilas Fakta Anggaran Jangkitan HIV Dan AIDS Di Kalangan Pengidap Melayu
Bilangan penduduk Malaysia yang dijangkiti HIV dan AIDS :
- 16,349 ( HIV )
- 448 ( AIDS )

Bilangan remaja Melayu yang dianggarkan dijangkiti HIV dan AIDS :
- 11,758 orang ( 70% )
Bilangan yang telah menemui maut : 363
Peruntukan Kerajaan Malaysia bagi merawat mangsa AIDS
- anggaran rawatan bagi seorang RM 50,000 setahun
- peruntukan yang diperlukan setiap tahun RM 755 juta
Peruntukan kerajaan bagi program pencegahan dan pengawalan HIV/AIDS:
- Peruntukan bagi tahun 1993 - 1995 RM 120 juta
- Peruntukan bagi 1996 RM 45 juta
Sumber : Watan 29/5/96 dan The New Straits Times 12/8/96

Statistik yang tercatat jelas menunjukkan golongan Melayu menjadi juara dalam semua gejala yang merosakkan ini. Budaya hedonisme pula diperluaskan lagi bagi memerangkap dan membiarkan generasi muda Melayu didalam khayalan. Para artis disanjung pula dan dijadikan `role model` sehinggakan ada dianugerah `tokoh seni'.3 Pada masa yang sama para ulama dan golongan cendekiawan bukan saja tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam masyarakat bahkan peranan mereka dipinggirkan. Ini adalah realiti "Sosial Engineering" yang sedang berlaku bagi menghancurkan bangsa Melayu.

Dalam hal ini, kenyataan demi kenyataan yang melahirkan kebimbingan pihak kerajaan terhadap gejala keruntuhan moral ini khususnya dikalangan remaja Melayu harus diberikan perhatian oleh semua pihak. Misalnya, Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Mahyuddin Yassin telah menyatakan hasil dari satu kajian rambang telah dibuat oleh sekumpulan penyelidik dari beberapa buah universiti telah mendapati 71 peratus daripada golongan remaja berusia antara 13 dan 21 tahun merokok, 40 peratus menonton video luncah, 28 peratus terbabit dalam perjudian dan 14 peratus mengambil dadah berat seperti heroin dan morfin.4 Manakala Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim pula menyatakan bahawa pembangunan negara haruslah seiring dengan pembangunan sosial. Beliau menambah lagi tiada gunanya membicarakan persoalan `masyarakat madani` sekiranya masalah moral dan sosial masih lagi berleluasa.5

Namun kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin negara ini seolah-olah tidak diperdulikan dan dikesampingan oleh penganjur-penganjur `budaya mungkar` seperti konsert rock. Malahan usaha-usaha bagi menghidupkan serta menyuburkan budaya kuning semakin rancak dijalankan terutama dengan membawa penyanyi serta kumpulan muzik rock yang bertaraf antarabangsa bagi merangkap secara halus genarasi muda terjebak dengan budaya sesat sebegini. Ia boleh dilihat sebagai mempersendakan hasrat murni dan aspirasi pembinaan genarasi muda Melayu yang berakhlak.

Bagi menyorot perkembangan gejala keruntuhan akhlak ini, penulis sendiri (bersama-sama 20 orang pembantu penyelidik) telah berkesempatan membuat satu kajian berbentuk `Opportunistic Sampling` dan `Observation` Konsert Scorpions, Salem Cool Planet Music Quake' yang telah diadakan baru-baru ini.

Sekilas Fakta Kajian ` Konsert Scorpion , Salem Cool Planet' Di Kalangan Remaja Melayu

Anggaran kehadiran : 35,000 orang
- 26,000 (75%) Melayu
- 5,000 (15%) Cina
- 4,000 (10%) India dan lain-lain

Bilangan sample kajian : 269 respoden
- 165 remaja lelaki Melayu
- 104 remaja perempuan Melayu

Antara gejala negatif yang dikenal-pasti berlaku adalah :
1. Mengaku meninggalkan sembahyang Asar dan Maghrib - 244 (91%)
2. Menghisap rokok - 218 ( 81%)
3. Pernah mencuba dadah - 142 (53%)
4. Pernah mencuba minuman keras - 145 (54%)
5. Pernah terbabit dalam perjudian - 87 (32%)
6. Pernah menonton filem/video lucah - 179 (67%)
7. Menerima hubungan seks bebas boleh dilakukan - 75 (28%)
8. Kelakuan yang tidak sopan (bertembik, berpeluk, bercium dll) - bilangan yang sempat dicatit : 359
9. Pakaian yang tidak senonoh (singkat, nampak dada dll) - bilangan yang sempat dicatit : 567
10. Mengungkapkan kata-kata lucah - bilangan yang sempat dicatit : 104
11. remaja wanita yang menghisap rokok : 128 kes
12. remaja lelaki yang membuka baju semasa konsert berjalan : 52 kes
13. remaja yang minum arak diluar stadium : 11 kes6

Berdasarkan fakta-fakta tersebut, penyelesaian terhadap permasalahan gejala sosial, dadah, HIV&AIDS ini ada jawapannya di dalam petikan Ucapan dasar Presiden PAS, Allahyarham Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor pada 15 Mei 1998. Tetapi apakan daya, mereka sebaliknya tidak mengendahkan langsung tentang seruan tersebut sebaliknya berbangga dengan pengamalan sistem sekular dan islam Hadhari sejak akhir akhirnya. Penyelesaian yang sebenar hanya ada seperti mana dalam petikan ucapan dasar seperti berikut:
Petikan Ucapan Dasar Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor sempena perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke 44 di Taman Melewar, Kuala Lumpur pada 15 Mei 1998 bersamaan 18 Muharram 1419H.

ISLAM DAN ISU SEMASA
Dengan sikap terbuka PAS mengajak umat dan rakyat menegakkan Islam bagi menyelamatkan mereka dan menyelesaikan masalah yang selama ini mereka tercari-cari penyelesaiannya. Sekarang ini semua pihak mengeluh kerana dibelenggu masalah yang menghantui pemikiran mereka. Berlakunya penyelewengan aqidah di kalangan umat Islam, keruntuhan moral dan pelbagai gejala sosial, peningkatan kadar jenayah, pembunuhan secara sengaja, pencabulan harta dan maruah, gejala politik wang, kegawatan ekonomi, kemusnahan alam sekitar, perubahan cuaca dan lain-lain adalah masalah yang tidak selesai dan tidak dapat diselesaikan.

Benarlah firman Allah s.w.t.;
"Telah nyatalah berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk itu supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)". (Surah Al-Rum : 41)

Keruntuhan moral ketara gagal diatasi melalui pelbagai tindakan undang-undang manusia, walaupun dengan hukuman yang paling keras seperti hukuman bunuh mandatori ke atas pengedar dadah. Ini kerana mereka menganggap dadah sahaja yang najis, tetapi tidak termasuk arak, judi dan lain-lain, namun undang-undang yang keras itu masih mengalami kebuntuan.

Di samping itu, merebak gejala pergaulan bebas yang melahirkan anak-anak luar nikah yang dicampak ke dalam longkang dan tong sampah. Ini kerana tiada kawalan undang-undang yang kuat dan tegas. Rasuah, penyalahgunaan kuasa dan politik wang diambil tindakan secara 'Bani Israel' di mana undang-undang dikenakan terhadap orang tertentu dan golongan tertentu saja. Begitu juga dengan peningkatan kadar jenayah akibat kelemahan undang-undang manusia yang digantikan atau berpaling daripada hukum Allah, sepatutnya semua keadaan ini menyedarkan pihak berkenaan supaya kembali kepada jalan Allah. Gejala maksiat yang berleluasa menjadi penempah bencana yang menimpa negara dan umat Islam tanpa mengira sesiapa, sama ada bersifat bencana alam seperti kemarau, banjir dan perubahan cuaca, atau secara tindakan tangan-tangan manusia sendiri seperti inflasi yang tidak mampu disifarkan, jenayah rasuah dan lain-lain.

Ideologi ciptaan manusia dan undang-undangnya tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang, kerana penyelesaiannya tidak merangkumi segala aspek naluri mereka. Ada yang diberi penekanan hanya kepada aspek lahiriah saja tanpa aspek rohani yang menyatakan dosa, pahala dan pembalasan selepas mati, dan ada yang memberi perhatian kepada kepentingan individu tanpa masyarakat dan akasnya. Sepatutnya pihak berkenaan sedar dan insaf dengan keruntuhan kominisme dan kebuntuan Barat dalam menangani masalah negara dan masyarakat di negara yang mencipta dan mencanangkan ideologi itu.

Adapun Islam ciptaan Allah pencipta seluruh alam merangkumi semua aspek naluri manusia dan seluruh keperluan mereka, sesungguhnya aspek hubungan dengan Allah dan manusia tidak boleh dipisahkan. Begitu juga dengan aspek roh dan jasad, individu dan masyarakat, politik dan ekonomi tidak boleh diasingkan daripada Islam. Begitulah kenyataan yang ada di dalam Al-Quran dan Rasulullah s.a.w. menjadi contoh Imam solat dan Imam negara.

Generasi awal umat Islam terdiri dari kalangan mereka yang tidak tercemar dengan tamadun jahiliah yang bersifat kebendaan dan terpisah daripada penyelewengan ahli Kitab dan falsafah akal yang terhad kemampuannya. Mereka yang diisikan dengan aqidah Islamiah, akhlak dan syariat Allah telah berjaya menegakkan tamadun yang tersendiri, sehingga mereka menjadi umat yang termulia.
Firman Allah s.w.t.;

"Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dilahirkan bagi kebaikan umat manusia, kamu menyuruh berbuat baik, kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah". (Surah Ali-Imran : 110)

Adapun kelemahan yang jelas berlaku mutakhir ini apabila ajaran Islam ditinggalkan, ialah penyerahan kuasa pemerintahan diserah kepada mereka yang tidak memenuhi syarat dan sifat kepimpinan Islam. Ulama lemah dan jahat dijadikan penasihat yang bersekongkol dengan umarak yang leka dan lalai dengan nikmat kuasa pemerintahan. Merekalah yang memberikan peluang kepada musuh Islam menjajah tanah air Islam dan penganutnya hingga terdedah kepada serangan pemikiran yang ketara, sehingga ajaran Islam terhakis daripada sebahagian besar penganutnya. Mereka ini menjadi alat kepada musuh Islam di zaman penjajahan, dan kepada mereka juga diserahkan kemerdekaan yang diberi secara terancang.

Jalan terbaik adalah kembali kepada Islam seluruhnya, bukan berpilih-pilih untuk keuntungan kelompok mereka sahaja tetapi sebaliknya pula mengisytiharkan Negara Islam yang mengamalkan Islam Hadhari dengan menerima bentuk pentadbiran secular. Kembalilah kepada Al Quran dan Al Sunnah.

Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 16.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN