![]()
BAGAIMANA LAGI PERLU DIJELASKAN?
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Amat tertarik sekali apabila membaca petikan wawancara berikut; tetapi bagi mengelakkan bias atau berat sebelah lalu dipaparkan perkara yang ada kaitannya di antara perkara yang diutarakan dan dilafazkan mereka tanpa sebarang ulasan dari Pak Ngah. Apa yang perlu anda buat HANYA membuat penilaian sendiri dari petikan-petikan berikut:‘Tukar kepemimpinan nombor satu Pas untuk perubahan’Segalanya telah terjawab, tepuk dada Tanya selera. Salam dari Pak Ngah.‘PERJUANGAN Pas tidak akan ke mana.’ Itulah hujah Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Abdul Rahman Bakar merujuk perkembangan terbaru parti pembangkang itu selepas Muktamar Tahunan Ke-51 Pas akhir bulan lalu. Beliau berpengalaman luas berdepan dengan Pas mempunyai alasan tersendiri mengatakan demikian. Ikuti wawancara wartawan Berita Harian (BH), WAN JAILANI RAZAK mengenai senario pemilihan kepemimpinan Pas dari kaca mata beliau sebagai calon Barisan Nasional (BN) yang pernah menewaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pilihan raya umum tahun lalu.
BH: Generasi muda dilihat lebih tertarik dengan dasar politik Umno yang lebih terbuka dan telus berbanding pembangkang yang hanya memecah-belahkan orang Melayu dengan sentimen sempit. Apakah ia juga menjadi punca penyokong muda Pas beralih angin?
RAHMAN: Dasar Umno lebih terbuka, bersifat kemalaysiaan yang mengambil kira kepentingan semua kaum. Sebaliknya, Pas hanya mementingkan slogan. Ikatan Pas, DAP, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) hanya sandiwara politik. Dasar Umno tidak menzalimi mana-mana pihak. Kita tidak pecat imam Pas, tidak tutup Pasti, tidak memberhentikan bantuan kebajikan kepada orang miskin walaupun dia penyokong Pas, tidak pilih kasih, malah dalam peruntukan dana khas, kita bagi kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman.
Pendekatan kita lebih adil. Dalam ‘Sure Kerja’, kita bagi peluang kepada semua. Kita juga menggalakkan semua penyertaan dalam industri perkilangan tanpa tanya fahaman. Begitu juga dasar pemberian bantuan pendidikan, biasiswa. Kelemahan Pas yang ketara dan dibenci golongan muda ialah memecahbelahkan perpaduan Melayu seperti isu kafir mengkafir, pulau-memulau kenduri, masjid dan surau dan berpuak-puak.
Golongan muda benci dengan label dijatuhkan pemimpin Pas kepada Umno. Penyokong muda tidak mahu lihat label kotor, mereka lebih suka kepada sifat Islam asas. Tidak ada isu besar dibawa Pas untuk kepentingan umat Islam seperti keluar daripada kepompong kemiskinan, meningkatkan ekonomi, kedudukan profesionalisme orang Melayu, kemudahan penempatan, membuka bandar baru untuk usahawan atau membawa Melayu ke era lebih global.
KEZALIMAN UMNO:10 rumah RTB Bujal dimusnahkan dan masjid turut diroboh.
Sebanyak 10 buah rumah peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bujal, kira-kira 30 kilometer dari sini telah dimusnahkan oleh kerajaan BN negeri melalui Pejabat Tanah Kemaman (PTK) sehingga jam 9.10 pagi ini.
Semua rumah yang dirobohkan dengan menggunakan jentolak itu masih dalam pembinaan, sebahagiannya sudah didirikan tiang dan dinding.
Operasi merobohkan rumah yang bermula jam 7.15 pagi itu turut disertai oleh kira-kira 100 orang yang melibatkan kakitangan PTK, anggota polis, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Rela.
Masjid RTB Bujal berjaya diroboh
KEMAMAN, 26 Mei (Hrkh) - Masjid Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bujal, Kemaman berjaya dirobohkan oleh pihak penguatkuasa kerajaan negeri Terengganu petang ini selepas penduduk kampung tidak lagi berada di situ.Para penguatkuasa dengan dua jentolak ini masuk jam 2.30 petang dan mula merobohkan masjid itu jam 2.45 petang.
Jam 3.20 petang kerja-kerja meroboh itu selesai dan masjid itu menjadi padang dengan batu, kayu dan atapnya berselerakan.
Ketika penguatkuasa ini masuk, jalan-jalan masuk ke situ ditutup semuanya termasuk untuk pejalan kaki.
12 penguatkuasa dengan dikawal oleh kira-kira 100 FRU dan Pasukan Gerak Am (PGA) (12 terak semuanya) menggunakan dua jentolak dari Pejabat Daerah Kemaman dan Jabatan Parit dan Saliran untuk meroboh masjid itu.
Penjelasan Isu Tanah: Kezaliman Kerajaan Umno/BN Terengganu
Haji Wan Muda Wan Ismail
Alhamdulillah, dengan sukacitanya dimaklumkan hakikat sebenar yang sedang berlaku di Negeri Terengganu pada masa ini iaitu mengenai perampasan tanah dan perobohan rumah serta masjid di dalam kawasan-kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang telah diluluskan oleh Kerajaan PAS/BA (1999-2004) kepada rakyat yang berhak menurut undang-undang.Kelulusan dan pemberian tanah tersebut adalah sesuai dengan hasrat kerajaan negeri ketika itu untuk melaksanakan prinsip ihya’ul mawat (menghidupkan tanah yang mati) bagi kemakmuran negeri dan rakyat Terengganu. Pemberian ini adalah untuk mereka yang berhak dan melepasi sempadan kepentingan parti-parti politik. Berikut adalah kronologinya.
Bermula tahun 1975, Kerajaan Umno/BN Terengganu membekukan permohonan tanah. Permohonan tanah hanya dibuka pada tahun 2000 oleh Kerajaan PAS/BA Terengganu.
Permohonan tanah dibuka semula untuk individu, permastautin tanpa hak (tanah rintahan haram) dan RTB. Jumlah permohonan yang diterima seluruh negeri sehingga Disember 2003 adalah seperti berikut: RTB (65,156 lot), individu (36,651 lot), permastautin tanpa hak (23,515 lot) yang berjumlah 125,322 lot.
Untuk mempercepatkan proses pemberian milik tanah kepada rakyat, kerajaan ketika itu bersetuju mewujudkan RTB.
Proses pewujudan RTB adalah seperti berikut:
• Cadangan daripada Pejabat Tanah setelah berbincang dengan Jawatankuasa Tanah Daerah.
• Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri lulus/tolak.
• Pejabat Tanah melalui Jawatankuasa Tanah Daerah pilih peserta.
• Tanah diluluskan secara Lesen Menduduki Sementara (LMS) untuk tempoh 3 tahun dan boleh disambung lagi dengan perakuan daripada Jawatankuasa Tanah Daerah.Masalah utama di dalam proses mewujudkan RTB ialah kerja-kerja mengukur yang tidak mampu dijalankan dengan segera oleh Pegawai Penempatan Pejabat Tanah.
Untuk menyelesaikannya, kerajaan negeri bersetuju menyerahkan kerja-kerja ukur dan kerja-kerja berkaitan dengannya kepada juru ukur berlesen. Sebanyak 7 syarikat juru ukur berlesen bergabung di bawah satu konsortium yang dilantik pada 2 Mei 2002.
Hasilnya sangat memberangsangkan apabila sebanyak 382 RTB berjaya diwujudkan sehingga 31 Disember 2003 berjumlah 65,156 lot. Statusnya adalah seperti berikut: telah diluluskan 33,719 lot, dalam proses 13,107 lot, dalam siasatan 18,330 lot.
Kelulusan LMS yang diberikan oleh kerajaan negeri ketika itu ialah untuk tempoh selama 3 tahun dengan tujuan untuk dimakmurkan sama ada dengan mendirikan rumah ataupun dengan pertanian.
Mereka yang mengusahakan tanah itu dengan membina rumah atau menanam tanaman sehingga pihak Pentadbir Tanah berpuas hati, maka dipertimbangkan untuk diberi hak milik kekal atau pajakan (lease) kepada pengusaha tanah tersebut.
Adalah jelas bahawa tanah yang diluluskan itu walaupun LMS adalah bertujuan supaya peserta tanah terbabit memiliki tanah secara sah, ia bukannya LMS biasa. Kesungguhan peserta membina rumah atau menanam dapat dilihat apabila mereka berusaha sendiri dengan mengumpul dana, membersih tanah, menambun, merata dan kerja-kerja berkaitan dengan usaha mengimarahkan tanah tersebut.
Tindakan Kerajaan Umno/BN sekarang ialah tidak membenarkan LMS diperbaharui walaupun belum tamat tempoh 3 tahun yang diluluskan oleh Kerajaan PAS/BA dahulu, sedangkan peserta telah berusaha memenuhi syarat-syarat yang diberikan dalam tempoh tersebut.
Tindakan jahat dan zalim oleh Kerajaan BN Terengganu sekarang ke atas tanah RTB ialah:
Meroboh rumah yang sedang dibina di atas tanah tersebut seperti yang berlaku di RTB Belimbing Api, Jabi (Besut), RTB Pengkalan Merbau, Langkap (Setiu) dan RTB Bujal, Kijal (Kemaman). Di RTB Bujal, sebuah masjid yang dibina secara gotong royong oleh para peserta juga tersungkur menyembah bumi hasil tangan-tangan Kerajaan Umno/BN Terengganu.
Tindakan Kerajaan Umno/BN melalui PTD mengarah untuk meroboh rumah-rumah peserta RTB adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan prinsip keadilan sejagat (natural justice) bahkan ianya juga bertentangan dengan proses perundangan negara. Walaupun notis telah dihantar kepada peserta-peserta RTB dan jika sabit kesalahan boleh didenda di bawah seksyen 425 Kanun Tanah Negara tetapi setakat ini tiada pendakwaan di mahkamah dalam Negeri Terengganu ke atas mana-mana peserta RTB bagi memenuhi kehendak seksyen tersebut. Dan tiada apa-apa arahan daripada mana-mana mahkamah yang mengarahkan untuk diroboh rumah-rumah tersebut. Ini bermakna tindakan PTD adalah tindakan di luar peruntukan undang-undang dan bersifat draconian.
Usaha meroboh rumah-rumah ini secara kekerasan, bukannya melalui jalan perundingan kerana pintu perundingan telah ditutup. Jalan perundingan diganti dengan bom asap, Polis, Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Rela dan anggota Cawangan Khas (SB). Rakyat yang mempertahankan hak mereka dihadapi seperti menghadapi pengganas.
Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Menteri Besar Terengganu dan beberapa pihak lain telah membuat kenyataan-kenyataan palsu dan melakukan pembohongan fakta untuk media massa dan masyarakat sebagai justifikasi tindakan jahat kerajaan di bawah pimpinannya.
Jawatankuasa ini merayu saudara dan saudari mendoakan kesejahteraan rakyat Terengganu khususnya peserta-peserta RTB dan membalas kezaliman Umno/BN dengan menunaikan solat hajat di tempat masing-masing.
Haji Wan Muda Wan Ismail, Setiausaha, Jawatankuasa Khas Pembelaan Tanah Rakyat Negeri Terengganu
Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.
Pak Ngah - 16.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)