TELUS TETAPI TIDAK TELUS
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Walau pun nampak macam telus tetapi tidaklah telus namun usaha telah diperlihatkan oleh Presiden Indonesia untuk rakyat menelefon atau menghantar SMS kepada beliau. Sudah pastinya banyak gangguan telefon. Di Malaysia ini, BOMBA pun dipermainkan orang apatah lagi kalau diberikan peluang oleh Perdana Menteri bukan sahaja dipermainkan, ianya juga akan penuh dengan caci-maki dan sumpah seranah juga.

Kalau di Malaysia ini diberikan peluang begitu tentulah lebih panas dan ganas. Walau bagaimanapun pedih dan celuparnya kata kata yang akan didengarkan namun, setidak-tidaknya dapatlah menilai keadaan sebenar pengharapan rakyat.

Statistik yang bakal dikumpulkan nanti pastinya akan memberikan keinsafan kepada pemimpin itu keadaan diri sendiri di mata rakyat. Perhatikanlah petikan dari berita tersebut;

Telefon atau SMS saya - Susilo
JAKARTA 12 Jun - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono meminta rakyat menelefon terus atau mengirim mesej menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada beliau jika masalah mereka tidak selesai disebabkan kerenah birokrasi atau pegawai yang tidak cekap.

Susilo yang berikrar untuk memperbaiki masalah birokrasi Indonesia selepas mengambil alih kuasa pada Oktober lalu menyatakan, telefon mudah alih beliau boleh dihubungi 24 jam sehari untuk rakyat menyuarakan aduan.

“Jika anda fikir pegawai kerajaan tidak ambil peduli, tidak datang berkunjung dan masalah anda tidak diselesaikan, telefon mudah alih saya aktif 24 jam sehari,'' kata Susilo menurut laporan Jakarta Post hari ini.

Kakitangan awam Indonesia memang terkenal kerana tidak berdisiplin dan sering menyalahgunakan kedudukan mereka untuk menambahkan pendapatan menerusi rasuah.

Susilo yang berucap kepada sekumpulan petani dan nelayan dalam satu majlis di Jawa Barat berkata, panggilan telefon dan mesej teks itu akan menjadi `mata dan telinga' beliau dalam usaha untuk membantu mengatasi masalah rakyat.

Bagaimanapun nombor telefon yang diberikan oleh Susilo tidak dapat dihubungi apabila dicuba oleh AFP.

Seorang jurucakap Presiden, Dino Pati Jalal menjelaskan, nombor itu milik sekumpulan pembantu Susilo yang memantau panggilan dan mesej yang masuk dan menyalurkannya kepada Presiden.

“Beliau memberi perhatian kepadanya. Selepas melalui proses tapisan, panggilan dan mesej itu akan memberi sedikit gambaran tentang pandangan rakyat dan masalah mereka di luar istana Presiden.'' - AFP

Apa yang ingin kita pertimbangkan di sini, kenapa akhbar Utama mereka menyiarkan berita seumpama ini. Secara mudah, cuba kita ulaskan petikan seperti berikut:
1. “Bagaimanapun nombor telefon yang diberikan oleh Susilo tidak dapat dihubungi”
2. nombor itu milik sekumpulan pembantu Susilo yang memantau panggilan dan mesej yang masuk dan menyalurkannya kepada Presiden.
Di antara pandangan biasa di minda rakyat berhubung tindakan Susilo tersebut adalah kurang berkesan dan apa perlu PM mengikutinya. Sekiranya orang bercakap mengenai keterbukaan oleh Susilo akan dengan mudah kemudian hari nanti bagi kepimpinan Malaysia menolak idea yang seperti itu.

Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 13.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: