BEGINILAH KERJA PEMERINTAH MALAYSIA, 
KOREK LUBANG TUTUP LUBANG

Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Pemerintah Malaysia sejak dulu, kini dan selamanya hanya penuh retorik kata-kata, sentiasa salah pihak lain tanpa cermin diri, mengharapkan ucapan, penghargaan serta terima kasih dari rakyat dah penuh janji nak buat itu dan ini serta kami dah buat itu dan ini, terpulanglah kepada rakyat untuk berterima kasih.

Hakikatnya, apa yang mereka lakukan umpama peniaga gerai dan warung yang sentiasa meminjam dari along. Korek lubang sana dan tampung lubang sini. Korek lubang sini dan tampung lubang sana. Lihatlah akibat kebebasan tanpa batasan dan melampau hingga menyebabkan generasi rakyat menjadi penagih dadah yang merupakan bala Allah kepada pemerintah yang tidak berlaku adil. Adakah mereka yang telah mengisytiharkan sebagai negara Islam dan Islam Hadhari melihat isu ini dan kembali merujuk kepada Al-Quran. Tidak sama sekali.

Mereka lebih suka merujuk kepada negara barat tetapi apabila tidak mendatang kejayaan, mereka tercari cari justifikasi bagi membenarkan tindakan seterusnya dengan pula merujuk kepada Negara China dan Iran. Tetapi mereka lupa yang Iran mengamalkan Hukum Islam di negaranya. Tentang hal tersebut mereka tidak ingin membicarakannya. Lihat petikan berita berikut:

Iran, China sudah lama beri jarum percuma - Marina
Oleh: SYAHRIL A. KADIR
KUALA LUMPUR 6 Jun - Iran, sebuah negara Islam konservatif telah melaksanakan program pemberian jarum suntikan percuma kepada penagih dadah sehingga berjaya mengurang serta mengawal penularan jangkitan HIV/AIDS di negara itu.

Malah di sebuah wilayah di China, para imamnya `turun ke padang' untuk memberi jarum suntikan percuma kepada penagih dadah kerana mereka tahu akibat daripada virus ini amat menakutkan dan boleh memberi kesan kepada masa depan umat Islam di sana.

Sehubungan itu, Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Datin Paduka Marina Mahathir berkata, pihaknya bercadang membawa beberapa orang ulama dari negara ini ke Iran bagi membuktikan betapa kaedah ini berjaya mengawal penularan wabak HIV/AIDS dan tidak menyalahi syarak.

“Mereka (ulama Iran) berpegang kepada dua prinsip Islam iaitu `jangan memudaratkan diri dan jangan memudaratkan orang lain' dan `bertoleransi dengan kemudaratan kecil bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar,'' katanya.

Marina berkata demikian dalam sesi penerangan media mengenai cadangan memberikan jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah oleh Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek dalam kenyataannya minggu lalu berkata, kementeriannya akan menjalankan projek perintis selama enam bulan di bawah Program Pengurangan Kesan Buruk, dengan memberikan jarum suntikan, kondom dan dadah gantian yang dipanggil methadone kepada 1,200 penagih dadah.

Ia akan dilaksanakan di 10 klinik kerajaan dan 10 klinik swasta di empat zon ditetapkan di utara, selatan, tengah dan timur bermula Oktober setelah semua kakitangan perubatan terlibat diberikan latihan secukupnya.

Langkah itu diambil bagi mengurangkan kadar jangkitan HIV.

Semua dah tahu yang HIV berjangkit melalui salahguna dadah dan sex rambang. Langkah memberikan jarum dan kondom adalah langkah mengubat tetapi langkah pencegahan amat lembut. Kenapakah langkah pencegahan tidak dikuatkuasakan dengan bersemangat seperti mana mahu memberikan jarum dan kondom percuma? Tepuk dada Tanya selera. Inilah kerja Pak Pandir Moden, KOREK LUBANG TUTUP LUBANG.

Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 08.06.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: