HISHAMUDDIN TAK DAPAT MENILAI ANTARA KACA DAN PERMATA
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Keutamaan dalam bertindak hendaklah berlandaskan kepada fakta dan bukti serta dapat dilihat dengan jelas duduk perkara sesuatu permasalahan tersebut. Amat menghairankan apabila kantin kotor nak panggil BPR tetapi projek menyediakan komputer ke Sekolah yang bernilai jutaan ringgit masih membisu diam membatu. Berikut di perlihatkan petikan kedua dua berita yang berkenaan seperti berikut:
Kantin kotor: BPR mungkin siasat
Oleh: NOR AZIAH JAAFAR

KEPALA BATAS 21 Mei - Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk memanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pemberian tender kantin di sekolah-sekolah sehingga menimbulkan masalah premis yang kotor.

Serentak itu, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ambrin Buang supaya memaklumkan kepada orang ramai dengan telus cara pemberian kontrak tersebut untuk mereka membuat penilaian.

Menurutnya, sama seperti isu disiplin dan keselamatan murid-murid, pihak kementerian tidak akan berkompromi dalam isu kebersihan kantin kerana tidak mahu masalah kesihatan menjadi penghalang kepada usaha kerajaan untuk memperkasakan sekolah-sekolah di negara ini.

"Pihak kementerian tidak mahu pemberian tender kepada pengusaha kantin disalahgunakan sehingga soal makan minum murid-murid diabaikan serta menimbulkan kebimbangan dari segi kesihatan mereka.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk memikirkan kaedah yang terbaik secara telus agar orang ramai yakin dengan sistem kita dan jika sekiranya ada penyelewengan saya juga tidak teragak-agak untuk memanggil pihak berkuasa termasuk BPR untuk datang siasat,'' katanya.

Kontraktor rakus jejas pembelajaran
Oleh Noor Azam Abd Aziz
azam@hmetro.com.my

KECEWA dan sedih. Itulah perasaan yang dikongsi warga pendidik serta masyarakat apabila menyaksikan usaha kerajaan menyediakan infrastruktur terbaik untuk sekolah berkubur di tengah jalan berikutan kegagalan kontraktor terbabit.

Nampaknya, kemelut pembinaan makmal komputer di sekolah yang tidak lama dulu dipaparkan dalam media massa belum selesai sepenuhnya berikutan ada lagi yang belum dibaik pulih atau diperbaiki.

Paparan media massa berhubung kegagalan menyiapkan projek makmal komputer sekolah, penambahan bangunan sekolah serta jalan di beberapa negeri sebelum ini memperlihatkan betapa usaha murni kerajaan itu tergendala dan pelajar menerima padahnya.

Masalah berkenaan wajar dijadikan perhatian umum kerana ia membabitkan jutaan ringgit wang rakyat dalam menyediakan kemudahan terbaik untuk dunia pendidikan negara.

Keluh kesah masyarakat yang menyaksikan kegagalan projek murni kerajaan itu menjelaskan betapa mereka prihatin dan meletakkan harapan tinggi supaya ia disempurnakan demi masa depan anak-anak.

Mereka wajar marah, kecewa dan meluahkan perasaan berkenaan kerana harapan hanya tinggal harapan dan apa dijanjikan hanyalah tong kosong yang tidak bermakna.

Bahangnya begitu dirasai warga pendidik dan masyarakat luar bandar yang begitu dahagakan kemudahan di sekolah.

Masalah yang begitu ketara serta mendapat liputan meluas ialah isu kegagalan projek pembinaan makmal komputer sekolah pada 2004.

Dengan peluang pendidikan teknologi maklumat terhad di kawasan desa kerana masalah kewangan dan latar belakang keluarga, makmal komputer serba lengkap sudah pasti hadiah bernilai buat anak-anak itu supaya tidak tercicir.

Kemelut berhubung projek makmal komputer ini dibongkar apabila bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin mendedahkan hanya 50 peratus makmal komputer dirancang siap pada akhir 2001, selesai dibina setakat Julai 2003.

Berdasarkan laporan didedahkan media pada 2004 mendapati 533 makmal komputer sekolah di seluruh negara tidak boleh digunakan dan ini sungguh mengecewakan.

Hasil tinjauan mendapati kemudahan berkenaan belum siap sepenuhnya, sedang diperbaiki akibat kerosakan selepas pembinaan dan tiada kelengkapan seperti dijanjikan.

Beginilah keadaannya apabila gagal menilai antara kaca dengan permata. Walaupun kilauan permata bersinar namun yang nampak kaca sahaja. Apakah mereka sengaja membutakan mata mereka atau mereka sebenar nya pelakon semata, tiada mengenal kepentingan rakyat tetapi hanya slogan di bibir sahaja. Musim pemilihan ini maka berdegar-degar mereka berkokok tetapi ekor berlumuran taik. Hanya mereka yang tidak mengambil berat akan masa depan agama, nasib anak bangsa sahaja terus alpa dibuai kokokan kosong sijalak menantikan hari berakhirnya mereka. Sama ada digulaikan akhirnya atau disimpan sebagai Sijalak yang tidak diendahkan lagi

Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 22.05.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: